Monday, August 31, 2009

JALUR YANG DILUPAKAN

SEJARAH MERDEKA DITULIS SEMULA

Sambutan Hari Kemerdekaan ke 52 tahun ini amat sederhana mungkin dalam sejarah sambutan kemerdekaan Negara yang pernah diadakan. Pelbagai alas an mungkin dapat diberikan seperti kekuatiran wabak H1N1, bulan Ramadhan, kemelesetan ekonomi atau kesuraman iklim politik Negara.

Namun penyebarannya dalam media letronik seperti radio dan television kerajaan dan swasta agak lebih dari biasa. Apa yang menjadi perhatian saya adalah sambutan rakyat untuk mengibarkan jalur gemilang agak layu tidak bermaya. Kesegaran ini tidak terlihat seperti zaman kesegaran Negara dalam tahun-tahun 90an dahulu.

Saya banyak menerima sms ucapan tahiah kemerdekaan tetapi yang menarik perhatian saya adalah satu sms yang tidak saya kenali menulis seperti berikut:

“Astagafirullah, telah 52 tahun rupanya kita merdeka, tp serba serbi masih tidak sempurna, banyak yang tak betul dari yg kena, tu pun kita masih terlena, asyik jerit Merdeka! Merdeka! Merdeka!.”


Terdahulu dari itu sahabat blogger saya, Nobisha, mengirimkan sms berikut kepada saya. Katanya:

“Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yg saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu (saya tak pasti berapa ramai) bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin Negara, malah ada di antaranya yg menunjukkan kebencian kpd Negara, jalur gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup merbahaya. Politik kebencian ditanam dan kini tumbu segar. Saya boleh terima kalau mereka menolak sesebuah parti politik, tetapi saya tak boleh terima kalau mereka menunjukkan kebencian kpd Negara. Harus ada satu usaha pemulihan. TQ – Norizan bin Sharif.”

Dari dua sms di atas sudah cukup menimbulkan kebimbangan bagi saya bagaimana kebencian sebahagian generasi terhadap parti politik terhubungkait dengan kebencian terhadap jalur gemilang, lagu-lagu patriotik dan sambutan kemerdekaan itu sendiri. Politik kebencian terhadap parti disinonimkan dengan segala simbol kenegaraan yang dijayakan oleh parti politik berkenaan.

Jika ini berlaku malanglah bagi Negara yang rakyatnya tidak dapat membezakan antara institusi politik dan institusi Negara. Rakyat Negara ini perlu meminjam kacamata orang Eropah Timur seperti Bosnia, Palestin, Negara-negara Arab, Indo-Pakistan, Indonesia, Filipina dan lain-lain untuk melihat bagaimana Negara ini menjadi sanjungan dan contoh teladan, walaupun dengan segala kekurangannya.

Satu dari sebab pembanjiran pelancong dari Timur Tengah di Negara ini setiap tahun adalah kerana rasa hormat dan kagumnya mereka kepada kecemerlangan yang sedikit bagi kita tetapi mulia dan tinggi bagi mereka. Jika ditanya kepada pelancong-pelancong ini mengapa mereka memilih Malaysia seringkali kita akan menerima jawapan; makanan, solat, dan Mahathir!. Ini kerana kelantangan Mahathir menegur kuasa-kuasa besar dan pembangunan nagara dalam tempoh yang singkat. Mahathir bukanlah sempurna, tetapi sumbangannya dilihat besar dan mengatasi kelemahannya.

Memang terdapat kelemahan dan kekurangan di sana-sini tetapi ini seharusnya tidak mengurangkan rasa sayang dan kasih kita kepada Negara dan jalur gemilang sebagai simbol kemerdekaan. Kebetulannya kali ini Negara diterajui oleh UMNO melalui Barisan Nasional. Tetapi di peringkat negeri terdapat negari-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Merekapun pasti menyambut kemerdekaan juga.


Jika tidak Jalur Gemilang, jalur apakah yang akan mereka kibarkan?. Tetapi apabila membaca Malaysia kini yang di tulis K.Kabilan, dalam rencananya bertajuk “Deleted from victors' history: The other freedom fighters”, fahamlah saya bahawa terdapat segelintir masyarakat di Negara ini yang mahukan perjuangan Komunis diterima sebagai sebahagian daripada perjuangan Kemerdekaan. Mereka menyebutkan nama seperti Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah.

Tetapi berasaskan prinsip lulus jarum lulusnya kelinking, fahamlah saya bahawa akhirnya mereka mahu memaksakan agar Chin Peng diterima sebagai pejuang Kemerdekaan. Nampaknya berdasarkan sinario politik Negara dengan kebangkitan parti sosialis DAP sebagai rakan sekutu Pakatan Rakyat, sejarah Kemerdekaan Negara akan ditulis semula dengan olahan baru. Saya percaya rakan-rakan PAS akan bersetuju asalkan kompromi nama-nama Burhanuddin Helmi juga dimasukkan.


Teringatlah saya dengan paparan sejarah pembukaan Negara Singapura Muzium di Pulau Sentosa. Asal usul Negara Singapura seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang terpadam. Kemajuan Singapura dikatakan bermula dari golongan kuli-kuli Cina yang datang dari Selatan Negara Cina yang mengangkut dagangan di pelabuhan di waktu orang-orang Melayu dilihat bermain konda kondi, gasing dan layang-layang.

Jika demikianlah sifat dan sikap anak-anak Melayu terhadap jalur gemilang saya rasa satu lagi tulisan semula sejarah seperti yang terdapat di Pulau Sentosa selatan Singapura akan terlihat di Muzium di George Town, Pulau Pinang, maaf Penang!. - Sekadar satu renungan.