Friday, November 7, 2008

MCA: JANGAN UJI TAHAP KESABARAN KAMI


PERKASA mengingatkan badan-badan politik bukan Melayu jangan mengambil kesempatan mendesak untuk penghapusan hak-hak 30 peratus ekuiti bumiputra dalam syarikat-syarikat awam. Desakan tersebut dibuat oleh naib presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia 27 Oktober.

“Akhir-akhir ini terlalu banyak desakan kaum bukan Melayu secara berani dan terbuka untuk menghapuskan hak-hak kaum bumiputra yang diperuntukan perlembagaan.” Kata Timbalan Presiden PERKASA Dato’ Fuad Hassan.

“Cukuplah ugutan-ugutan yang diberikan oleh parti-parti politik bukan Melayu selama ini dan janganlah menguji tahap kesabaran kami”, katanya lagi.

“Cubalah lihat dalam syarikat-syarikat yang 100 peratus di buka kepada sesiapa sahaja, berapa ramaikah jumlah peserta bumiputra yang berjaya bersaing”, tambahnya lagi.

“Kita setuju bahawa kaum bumiputra bukan merupakan kaum subsidi selamanya, tetapi penilaian tahap kejayaan harus dibuat dan langkah-langkah perlu harus diambil untuk menanganinya,” katanya lagi.

“Dasar Ekonomi Baru telah dibahas dan diluluskan oleh perhimpunan bangsa Melayu. Janganlah pula satu dua pemimpin Melayu pandai-pandai merungkai amanah yang pernah dipersetujukan,” Tambah Fuad lagi.

PERKASA berpendapat sampai masanya seluruh wakil kaum bumipurta dipanggil dalam suatu kongres khas bagi menilai tahap pencapaian DEB dan mendengar sendiri apakah itu Dasar Ekonomi Nasional (DEN).

PERKASA kesal kerana banyak parti-parti politik Melayu bisu terhadap cabaran dan desakan ini semata-mata kerana mengharapkan balasan sokongan bukan Melayu. “Jagalah juga perasaan bangsa ini, dan janganlah mengharapkan guruh di langit, air tempayan di curahkan,” Kata Dato’ Fuad lagi.