Saturday, October 18, 2008

KENYATAAN MEDIA PERKASA



PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
MENGENAI KENYATAAN KHAS MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU KE 215


1. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berikrar dan bersumpah untuk berdiri teguh bagi mempertahankan kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu ke 215 berhubung dengan hak-hak kkeistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan persekutuan.

2. PERKASA berpendapat bahawa pendirian tersebut merupakan pandangan yang paling jelas dan tegas serta berasaskan sejarah penglibatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu dalam kompromi perjuangan Negara mencapai kemerdekaan. Inilah merupakan pendirian yang paling tegas dalam sejarah Persidangan Raja-Raja Melayu. PERKASA menjunjung kasih di atas penegasan tersebut dan amat terharu di atas rasa prihatian Raja-Raja Melayu berasaskan perkembangan-perkembangan sosio-politik mutakhir.

3. Pendirian PERKASA sesuai dengan matlamat fasal 4 penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang didaftarkan oleh pendaftar pertubuhan pada 12 haribulan September 2008, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi:

1 Memperkasakan Islam Sebagai Agama Persekutuan
2 Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
3 Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu
4 Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu
5 Memperkasakan kaum Pribumi
6 Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia
7 Mempertahankan kedaulatan Negara.

4. PERKASA mengesa agar semua orang-orang Melayu yang berada di semua lapangan; politik kepartaian, badan bukan kerajaan, badan iktisas, dan individu-individu Melayu agar menyatakan sokongan padu terhadap pendirian tertinggi bangsa Melayu yang merupakan teras persefahaman dan rujukan bagi perpaduan bangsa. Masyarakat Melayu harus bersatu dan tidak harus bersikap “partisan” apabila menyentuh perkara-perkara dasar seperti kepentingan bangsa dan agama Islam dan perlembagaan 153.

5. Harus diingatkan bahawa kestabilan yang dinikmati oleh Negara lebih dari 50 tahun yang lalu adalah hasil dari permuafakatan “social contract” para pejuang kemerdekaan antara kaum, penggunaan dan penyaluran sistem demokrasi dengan wajar, pengorbanan para pasukan keselamatan serta kompromi kaum dan Raja-Raja Melayu di atas paksaan penjajahan. Sejarah ini tidak mungkin dihapuskan lantaran suasana corak politik yang berubah. Kita seharusnya bersyukur, kerana di atas toleransi dan persefahaman inilah maka Malaysia terhindar dari kekacauan yang dahsyat seperti yang berlaku di Negara-negara jiran atau rantau yang lain.

6. Provokasi-provokasi politik dan agama dan keadaan ketidaktentuan politik Negara yang berpanjangan semenjak dari sebelum dan sesudah pilihanraya Mac 2008, telah memberikan isyarat yang salah terhadap pelabur dan pembuat keputusan dalam dan luar Negara, di saat tumpuan semua harus diberikan terhadap mempercekapkan pengurusan Negara dalam menghadapi krisis ekonomi dunia dan meningkatkan mertabat bangsa.

7. Sewajarnya, parti politik yang belum mempunyai cukup majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, haruslah berbuat demikian dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Ini penting agar tempoh beberapa tahun yang akan datang di terajui oleh suasana stabil bagi kerja-kerja membangunkan Negara seperti janji manifesto pilihanraya parti masing-masing. PERKASA mengesa agar orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia lainnya, berperanan mengekalkan kestabilan dan keamanan sebagai tanggungjawab bersama.

8. Perbincangan mengenai perkara-perkara sensitif negara haruslah dalam suasana muafakat, ilmiah dan kondusif oleh pakar-pakar dari kaum dan agama berbeda yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap sejarah pengorbanan, tolak ansur, serta perjuangan pasukan keselamatan bagi mencapai kemerdekaan.

9. Faham liberalisasi dan kebebasan mutlak yang di ambil Barat dalam membicarakan perkara-perkara sensitif tidak akan mengangkat kemuliaan sesuatu bangsa sekiranya ia berakhir dengan kebencian dan ketegangan yang akhirnya mengujudkan suasana anarki. Musyawarah sesama kaum dan agama serta menghormati perbedaan adalah intipati penyelesaian


10. PERKASA kesal kerana terdapat segelintir bloggers dan forumers yang telah menghina dan menggunakan bahasa-bahasa “kebinatangan” terhadap Raja-Raja Melayu, semata-mata kerana baginda mengingatkan tentang kepentingan perpaduan Melayu dan hak mempertahankan perlembagaan 153. Siapakah yang bertanggung jawab sehingga forumers ini begitu berani mengeluarkan bahasa-bahasa yang demikian atas nama kebebasan bersuara dan hak-hak rakyat. Usah kita membiarkan Raja-Raja Melayu bersendirian dan dianggap “racist” dalam mempertahankan saki-baki hak-hak bangsa akibat kelemahan, perpecahan dan percakaran antara sesama bangsa Melayu akibat perbedaan politik.


11. Seringkali kita menyalahkan penjajahan yang mencorakkan suasana sosio-politik dan struktur ekonomi kita sekarang. Maka yang demikian, mengapa harus kita mengulangi kesilapan dengan meciplak faham kebebasan mutlak sehingga membawa kepada purak puranda dan ketegangan masyarakat. Seharusnya faham kebebasan dan hak asasi disertai bersama dengan kewajiban dan pertanggungjawaban bersama terhadap menjamin kestabilan Negara.

12. PERKASA mengesa kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif yang telah disepakati, bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan. Adalah penting bagi yang berkuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada individu-indivdu atau kumpulan yang membuat kekacauan di luar batas yang diperuntukan perlembagaan negara.

13. Sehubungan dengan ini, PERKASA menyokong penuh tindakan kerajaan mengistiharkan HINDRAF sebagai pertubuhan haram. HINDRAF telah membuat fitnah yang jahat terhadap Negara dengan menuduh berlakunya pembersihan ethnik terhadap kaum minoriti India serta pemusnahan rumah ibadat hindu setiap 3 minggu di Malaysia. HINDRAF juga menuduh bahawa Negara Malaysia mempunyai dasar untuk membunuh seorang kaum India setiap minggu seperti yang terbukti dalam suratnya kepada Perdana Menteri Britain, Gordan Brown, pada 15 November 2007 yang lalu. Ratusan demonstrasi jalanan dan penggunaan bahasa yang kesat dan biadap telah digunakan terhadap pasukan keselamatan dan pemimpin kaum Melayu.


14. Perkauman melampau HINDRAF telah digunakan oleh parti politik tertentu untuk tujuan politik sempit mereka tanpa mengambilkira penipuan yang dilakukan. Hakikatnya adalah, semakin ramai kaum India dan kaum-kaum lainnya yang berhijrah ke Negara ini disebabkan ruang kebebasan yang mereka kecapi melalui peluang mencari rezeki dan mengaut kekayaan, kebebasan beragama dan rumah beribadat serta patung berhala paling tinggi di tanah yang mendapat kebenaran. Kebebasan dan nikmat bagaimana lagi yang dikehendaki dan tidak di syukuri?.

15. Kami juga mengumumkan bahawa Presiden dan Ahli jawatankuasa penaja Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia akan menyerah watikah ikrar taat setia dan sumpah sokongan terhadap kenyataan khas Persidangan Raja-Raja Melayu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, yang mewakili Raja-Raja Melayu, pada hari rabu, 22 haribulan Oktober 2008, jam 3 petang, di Istana Negara.



Yang Benar,

Dato’ Fuad Hassan
Timbalan Pengerusi Penaja
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
17 Oktober 2008

Kelab Sultan Sulaiman,
Kampong Baharu, Kuala Lumpur.

No comments: