Friday, January 16, 2009

MILIKAN 999 TAHUN: ANGGOTA KESELAMATAN PALING BERHAK

PENGKHIANATAN
TERHADAP ANGGOTA KESELAMATAN


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyatakan rasa sokongan dan terharu terhadap titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengenai rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu. Semangat titah tersebut harus dihayati oleh rakyat dan pemerintah, khususnya Kerajaan Negeri Perak.

PERKASA sedih kerana semangat pendirian Raja-raja Melayu pada tahun 1950 itu telah dilupakan oleh pimpinan kerajaan Negeri Perak yang berkuasa sekarang. Ada banyak cara di mana kaum bukan Melayu telah dan boleh memiliki tanah-tanah di negeri itu melalui kuasa ekonomi dan pembangunan.

Selama ini proses tersebut tidak pernah dibangkitkan oleh orang Melayu. Tetapi kelulusan 999 tahun kepada kampung-kampung baru merupakan pengkhianatan dan tindakan yang tidak prihatin terhadap perasaan orang Melayu seluruhnya dan anggota keselamatan khususnya.

Kewujudan kampung-kampung baru oleh penjajah Inggeris ketika itu bertujuan untuk mengasingkan penempatan kaum Cina daripada bekerjasama dengan penganas-penganas komunis yang pernah memerintah Negara dibawah kuasa bintang tiga. Maka penempatan yang dinamakan sebagai kampung baru itu diberikan segala kelengkapan insfrastuktur yang tidak dimiliki oleh kampung Melayu tradisional ketika itu.
Sewajarnya, sekiranya Kerajaan Negeri Perak ingin memberikan kelulusan tanah untuk tempoh yang begitu lama, ianya wajib diberikan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera, yang telah bekorban mempertahankan Negara daripada ancaman Komunis. Mereka bertungkus lumus dan berkorban nyawa dan darah untuk Negara.

Keluarga anggota keselamatan ini lebih layak dan berhak dianugerahkan pemilikan tanah sehingga 999 tahun malahan wajib untuk hak milik kekal selama-lamanya. PERKASA berharap kerajaan Negeri Perak tidak akan melupakan hakikat sejarah perjuangan ini.

Jika anggota keselamatan tersebut telah meninggal dunia maka kaum keluarga mereka wajib diberikan pengiktirafan melalui pemberian tanah hak milik kekal. Keluarga mereka ini masih melarat dirumah-rumah setinggan dan rumah-rumah pangsa sekangkang kera.

Janganlah mengharapkan hujan dilangit air tempayan dicurahkan. Kerana ingin mendapatkan sokongan politik sementara dari kaum lain maka perasaan anggota keselamatan dan kaum bumiputra umumnya dilukakan. Keputusan politik semasa yang silap boleh mengubah sejarah Negara yang akan datang. Ketika itu penyesalan tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

PERKASA percaya jika permainan politik begini berterusan banyak lagi perkara-perkara yang melibatkan ‘nyawa’ bangsa Melayu akan dikorbankan.

Yang Benar
Dato’ Fuad Hassan
Timbalan Presiden Perkasa



7 comments:

Kembara Politik said...

Assalamualaikum Dato',

Tindakan kerajaan boneka DAP Perak ini memang sudah dijangka. DAP akan menggunakan peluang yang ada untuk meraih sokongan bukan Melayu melalui tindakan pemberian tanah.

Pemberian ini akan menyebabkan bukan Melayu akan lebih cenderung ke arah DAP walaupun tindakan pemberian tanah ini sangat bersalahan dengan dasar negara.

Permainan politik sebegini yang mana PAS tidak berupaya mengatakan 'TIDAK' pada DAP amat mendukacitana orang Melayu.

Saya ada mengulas berhubung isu pemberian tanah ini melalu artikel berikut:

http://kembarapolitik.blogspot.com/2009/01/mengimbau-penulisan-blog-kembara_10.html

LensaPR said...

Johor, Melaka, NS, Perlis, Pahang dan Terngganu elok buat dulu. Baru le handalDato'

amirhamzah64 said...

Salam Dato'

Macam seronok juga membaca komen LensaPR. Nak mengharapkan negeri-negeri pembangkang, rasanya macam tak ada harapan membela Melayu.

Saya sokong negeri-negeri yang dikuasai BN seperti yang disebut oleh LensaPR termasuk Sabah dan Sarawak mempergiatkan dan membuka semula tanah-tanah FELDA khusus untuk bekas-bekas tentera dan polis.

terima kasih.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

banjarbp said...

Tulisan orang yang kecewa yang AMENO pun tolak dia.

fuhas said...
This comment has been removed by the author.
fuhas said...

Sdr Banjarbp

Politik adalah suatu perjalanan. Hanya Allah yg tahu apa yang terjadi esok. Sebagai pekerja masyarakat, politik hanya salah satu cara untuk mencapai matlamat.

Ramai yg memilih cara sendiri dalam perjuangan. Saya salah seorang daripadanya.

Kecewa saya ialah kerana ada bangsa saya yg sanggupkan korbankan prinsip agama & bangsa kerana ingin mendapatkan secebis undi !!, samada dari pemimpin UMNO apatah lagi MB Perak dalam kes pemilikan tanah 999.

amirhamzah64 said...

Salam Datuk,

Berikut adalah tulisan saya dalam blog saya yang bertajuk Tuanku yang cerdik, Menteri Besar yang dungu. Tulisan saya ini ada sedikit kaitan dengan isu milikan 999 tahun Tanah kampung Baru di Perak

Tulisan saya begini:

Memang benarlah seperti dalam catatan sejarah,100 tahun terakhir penjajahan British di Tanah Melayu telah memberikan kemewahan melimpah- ruah kepada masyarakat Cina terutama apabila kita memperkatakan pemberian tanah bagi penduduk Kampung Baru. Pada tahun 1950, masyarakat Cina telah mendapat keistimewaan menduduki satu kawasan serba lengkap sedangkan pribumi Melayu hidupnya daif dan merempat di tanah airnya sendiri.

20 tahun kemudiannya baru lah 112,000 keluarga Melayu daif mendapat tanah yang jauh dari bandar, meneroka sendiri dan cuba merubah hidup mereka dengan bantuan kerajaan. FELDA yang ada pada hari ini adalah cetusan idea pemimpin-pemimpin Melayu khususnya Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein yang ingin memberi ruang dan peluang kepada Melayu untuk merasai sedikit nikmat hidup di bumi tanah pusaka ini.

Pada hari ini wujud seorang pemimpin Melayu yang tidak sedar diri dan tidak tahu diuntung telah memberi pula hak milik kekal kepada penduduk -penduduk Kampung Baru yang tidak mendapat hak milik kekal itu semasa penjajahan British. Pemimpin Melayu ini lebih dahsyat daripada British , seorang yang buta sejarah, lemah ,lembik ,mudah dikuasai, senang dipengaruhi dan merelakan ditunggangi oleh orang lain untuk mencapai sesuatu kepentingan. Melayu ini tidak mahu menyelidiki jauh sekali untuk menginsafi kerana tanah-tanah Kampung Baru adalah tanah-tanah milik kerajaan Tanah Melayu atau tanah-tanah persendirian Melayu.

Nasib baik Negeri Perak mempunyai Raja Muda yang cerdik dan bijak dapat menutup kedunguan Menteri Besar yang lemah. Pendedahan DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN RAJA DR. NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
berkenaan isu pemberian hak milik kekal kepada penduduk-penduduk Kampung Baru tidak tercatat dalam buku-buku teks sejarah di sekolah -sekolah dan jarang diketahui umum. Baginda bertitah 'Rancangan Briggs sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu'

Kekesalan dan kesedihan Raja Dr.Nazrin Shah dengan apa yang berlaku di Perak hari ini diterjemahkan dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)baru-baru ini. Titah Raja Nazrin Shah yang menjadi payung kepada umat Melayu Perak perlu disambut oleh YAB Menteri Besar dengan membatalkan hasratnya sebelum timbulnya rasa kebencian umat Melayu di seluruh negara terhadap beliau.

Persoalannya, sama ada YAB Menteri Besar akan patuh kepada nasihat Tuanku Raja Muda yang mewakili hasrat dan harapan Melayu Perak yang dipayungi baginda atau terus tunduk dan mengikut telunjuk rakan kongsinya DAP.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com