Sunday, February 2, 2014

PANDANGAN IKHLAS & BENAR




Faekah bekas setiausaha politik MB Selangor dikecam kerana menasihatkan ahli politik di luar Selangor supaya belajar perlembagaan negeri termasuk proses serta prosedurnya selain tidak menghina Sultan Selangor dan jangan tidak terlalu yakin dengan diri sendiri.

Pandangan ini banyak kebenarannya. Malaysia mempunyai negeri-negeri yang punyai perlembagaan negerinya sendiri. Selangor memang cukup terbuka untuk mana-mana penduduk negeri lain berhijrah, mencari rezeki dan bertanding di negeri ini. Namun setiap negeri ada identiti dan maruahnya sendiri.

Di negeri yang dinaungi Sultan, Anak jati Selangor tak mungkin berpeluang untuk bertanding di negeri lain apatah lagi untuk menjadi Menteri Besar di negeri tersebut. Ini kerana DYMM Sultan mahu merasakan kepentingan negerinya diwarisi dan dijaga anak negerinya.

Saya tidaklah mempunyai semangat ketaksuban dan kenegerian yang tinggi. Sesiapapun boleh bertanding di Selangor, you are most welcome. Tetapi seperti anak-anak negeri lain, saya juga rasa tercabar apabila jawatan Menteri Besarnya dipegang oleh orang luar, bekas banduan seksual, dan rakus menggunakan negeri saya untuk batu loncatan ke Putrajaya.

Apakah Permatang Pauh, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan penguasaan 2/3 ADUN Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang tidak memadai untuk dijadikan batu loncatan tersebut?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140202/po_07/Khalid-nafi-arah-Faekah-kritik-Anwar#ixzz2s7iZjMQB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, July 28, 2013

FILM BARU KOMUNIS MALAYSIA


Film "The New Village" menceritakan kesengsaraan bangsa Cina di zaman penjajahan British namun ternyata mengesahkan hubungan cinta & kerjasama masyarakat Cina kepada Komunis.  


Film ini dilihat sebagai mendukung pandangan PKR, PAS dan DAP bahawa perjuangan komunis adalah perjuangan kemerdekaan. 

Ia dirancang untuk ditayangkan di pawagam pada 22 ogos 2013 sempena sambutan hari kemerdekaan. 

Ini memberikan implikasi besar pada penulisan semula sejarah tanah air dan kekeliruan makna pada sambutan Hari Kemerdekaan. 

Masyarakat akan mentafsir dan mula membuat perbandingan bertapa mudahnya film ini diluluskan berbanding "Tanda Putra".

Film terbitan Wong Kew Lit ditaja bersama Astro Shaw sdn bhd, MyMelody dll. Ia juga dilihat untuk menyaingi versi kemerdekaan Tanda Putra. 

Jika film ini dibenarkan tayangannya dengan mudah saya rasa akan menimbulkankontroversi hebat antara polarisasi kaum Melayu -Cina serta memberi tamparan hebat kepada pasukan polis & tentera yg ramai terkorban melawan komunis. 

Film ini perlu diberi perhatian serius oleh Finas dan KKMM.Http://m.youtube.com/watch?v=nmZYLzezR98&desktop_uri=%2Fwatch%3Fv%3DnmZYLzezR98

Tuesday, June 18, 2013

TUN MAHATHIR AKUI KESILAPAN

Dr M akui kesilapan tidak sekat internet semasa berkuasa 


Oleh Md Izwan June 18 2013 

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapannya semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet ia ekoran keputusan keputusan pilihan raya umum ke-13 PRU13 baru-baru ini dimana media baru banyak memainkan peranan. 


Dr Mahathir berkata beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai Multimedia Super Corridor MSC pada 1996.  


Ketika saya mengetuai MSC saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet. 


Saya beritahu dia tidak kami akan jadi sangat bebas tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali kata beliau semasa berucap pada majlis penutup CEO Forum 2013 di Berjaya Times Square Convention Centre disini - 18 Jun 2013.

Saturday, September 22, 2012

HAK DAN TANGGUNGJAWAB RAKYAT

-->

-->
MEREALISASIKAN
GAGASAN 1MALAYSIA

Fuad Hassan

Setiap pemimpin yang baru menerajui bagi mana-mana organisasi atau negara  akan menyajikan suatu  gagasan atau teori politik yang diharapkan akan membuka jalan menuju kejayaan dan kemakmuran rakyatnya. Kesejahteraan hanya dapat diwujudkan dalam suatu sistem tata sosial di mana setiap individu bergantung kepada individu lain, dan memerlukan seseorang pemimpin untuk mengatur urusan kehidupan mereka.

Apabila  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-6 mengambalialih teraju pemerintahan, beliau telah meletakkan satu kerangka landasan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia, dikenali sebagai Gagasan 1Malaysia.

Gagasan ini merupakan suatu proses kesinambungan pembinaan tamadun bangsa yang bermula dari usaha mencapai kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pembangunan luar bandar oleh Tun Abdul Razak Hussein, perpaduan bangsa oleh Tun Hussein Onn, Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Islam Hadhari oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 1Malaysia oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dengan rendah diri mengakui bahawa gagasannya adalah satu penerusan dan berkesinambungan:

“Dalam erti kata lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.”
 
Ini merupakan suatu proses kesinambungan dari rantaian pemimpin-pemimpin dari   parti politik yang berkongsi pandangan pembangunan yang sama bagi membangunkan negara bangsanya yang masih muda ini. Perbedaan antara mereka adalah bagaimana masing-masing pimpinan menangani permasalahan menurut pendekatan dan penekanan semasa mereka.

Kertas ini dirangka berasaskan definisi konsep Gagasan 1Malaysia yang dinyatakan oleh YAB Datuk Seri Najib iaitu,

“….kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” (Datuk Seri Najib, Utusan Malaysia, 16 April 2009).

-->

2.  ASAS TAMADUN
         
Pembinaan sesebuah tamadun bangsa dalam sejarah peradaban manusia bermula dan berteraskan asas modal insan yang kukuh dan berkualiti. Kesedaran kepada hakikat dan fakta sejarah ini telah menyebabkan tamadun-tamadun besar sepanjang sejarah manusia memberikan tumpuan yang utama kepada pembinaan modal insan yang menjadi teras dan tunjang kewujudan sesebuah tamadun.

Dalam bukunya The Philosophy of Civilization, Albert Schweitzer. menggariskan hubungan tamadun kebendaan dengan etika. Manusia bukan sahaja memerlukan kemajuan dari segi pertanian, perdagangan global, perbandaran, sistem pengangkutan canggih, perundangan, gaya kesenian yang tinggi, mercu tanda seni bina, astronomi dan sebagainya, tetapi juga etika kehidupan, cara dan gaya hidup, kepercayaan, nilai dan perlakuan dan budaya tinggi (High Culture).

 Menurut beliau, sebab utama berlakunya krisis dunia pada tahun 1923 adalah akibat daripada manusia telah kehilangan konsep etika dalam ketamadunan yang membawa kepada "rudeness" atau kehilangan kehalusan atau "civility".

Penekanan kepada pembinaan modal insan sebagai teras tamadun dapat dilihat dengan begitu ketara dalam pemikiran Islam selaku salah satu tamadun besar suatu ketika dahulu yang memberi sumbangan yang bermakna kepada kewujudan tamadun Barat hari ini.

Islam menganggap pembinaan manusia dalam erti membina nilai-nilai murni dalam diri dan pemikiran manusia dan dalam masa yang sama menyekat sebarang anasir yang boleh merosakkan jiwa dan akal manusia, sebagai asas pembinaan masyarakat dan seterusnya tamadun bangsa. Bertitik tolak daripada keyakinan inilah Rasulullah s.a.w memperuntukkan selama 13 tahun di Mekah di awal kebangkitan Baginda s.a.w sebagai rasul bagi membina generasi muslim pertama di Mekah.
 
Dalam tempoh ini, tumpuan diberikan kepada pembinaan generasi melalui pengisian akidah tanpa disibukkan dengan soal-soal perundangan yang disempurnakan di Madinah setelah terbentuknya generasi muslim yang menjadi benih-benih yang akhirnya menumbuhkan ‘pohon’ tamadun yang dahannya menjulang tinggi ke langit sementara akarnya menjalar ke pasak bumi.

Pemikiran Islam berhubung kaedah pembentukan tamadun ini kemudiannya diterjemahkan dengan begitu jelas oleh Syaidina Umar al-Khattab yang merupakan salah satu nama besar dalam sejarah peradaban Islam kerana kejayaan kepimpinannya menumbangkan Parsi, kuasa besar tamadun dunia pada waktu itu.

Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab (r.a.) duduk bersama dengan sekumpulan sahabat beliau. Beliau berkata kepada mereka, “cuba kamu bercita-cita!” Salah seorang daripada mereka berkata, “aku bercita-cita memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di medan jihad.”

Kemudian ‘Umar r.a berkata lagi, “cuba kamu bercita-cita!”. Seorang lagi sahabat beliau berkata, “aku bercita-cita agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat ku belanjakan untuk jihad fi sabilillah.”

‘Umar r.a berkata lagi buat kali yang ketiga, “cuba kamu bercita-cita!” Lalu sahabat-sahabat beliau berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”

Lalu ‘Umar r.a berkata, “cita-citaku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim pembantu  Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat ku gunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”.

Proses pembinaan tamadun sesuatu bangsa yang berteraskan pembinaan modal insan ini merupakan proses yang memakan masa yang panjang dan perlu dilakukan secara berterusan dan penuh komited. Ini adalah merupakan kenyataan yang jelas terpapar dalam sejarah tamadun silam mahu pun tamadun Barat hari ini.

Tamadun Barat yang begitu gah dan menguasai seantero dunia hari ini sebenarnya melalui perjalanan yang panjang sebelum mencapai kemuncaknya pada zaman kini sebagaimana yang dijelaskan dalam laluan sejarahnya “...The Enlightenment is the name given to the age of reason, discovery and learning that flourish from about 1680 to 1820 and changed the way that people viewed the world.”



-->
3.   TAMADUN

Konsep pembinaan masyarakat yang bertamadun ini sebenarnya sudah dibicarakan dalam falsafah politik Islam sejak lebih seribu tahun dahulu. Sarjana dan ahli falsafah seperti Ibnu Khaldun dan Al Farabi telah mengkaji hal tersebut dalam karya-karya mereka. Pada zaman moden, ia telah dibincangkan dengan mendalam oleh sarjana seperti Hegel, de Tocqueville, Durkheim dan Habermas.
 
Norma-Norma seperti hak-hak Individu, bidang peribadi, hak berpersatuan, menghormati peraturan formal, kepelbagaian sosial, publisiti umum dan perusahaan bebas memang telah dibicarakan secara meluas. Antara ciri-ciri asas yang ditekankan adalah:-

​i)         Muafakat dalaman (internal consensus);
​ii)        Kepercayaan dan keyakinan sosial
​           (social trust and confidence);
iii)       Sikap kesederhanaan;
 iv)      Perpaduan tanpa memihak kepada sesuatu
           kumpulan ​tertentu (non-​partisan solidarity).

Antara ciri-ciri penting dan utama sesebuah negara maju ialah jaminan yang diberikan oleh undang-undang terhadap pemeliharaan dan pengiktirafan terhadap hak-hak individu dalam negara yang biasa dinyatakan sebagai hak asasi manusia. Isu hak asasi manusia ini kini telah menjadi antara persoalan asas dan teras diperingkat global. Ini kemudiannya diisytiharkan dengan jelas dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1948.

Banyak pihak dan tulisan yang membicarakan hak-hak asasi manusia samada menurut tradisi zaman klasik, ajaran besar Islam mahupun menurut pandangan moden Barat. Perbincangan melarat dari hak untuk bekerja, hak pendidikan, hak menggugurkan anak, hak untuk hidup, hak bersuara, hak memiliki harta dan sebagainya.

Di dalamnya terlihat perbincangan mengenai aturan moral dan perundangan. Kebanjiran badan-badan bukan kerajaan dan aktivis sosial menyemarakkan lagi perbahasan mengenainya.

Di samping penulis mengakui hak-hak asasi yang diterima sebagai hak umum dan wajar dan harus didukung oleh peraturan moral masyarakat, perbincangan mengenai tanggungjawab rakyat wajar juga diketengahkan, kerana rakyat bukan bebas tanpa sebarang peraturan dan nilai yang didukung bersama.

 
-->
4.   KONSEP 1MALAYSIA

Gagasan 1Malaysia; Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri adalah suatu impian, harapan yang membawa kesimpulan mudah kepada tiga maksud yakni 1) Perpaduan Nasional (antara kaum, agama, dan jarak wilayah), 2) Semangat Patriotik, dan 3) Pengukuran pencapaian kerajaan dalam memenuhi kehendak Negara dan rakyat, melalui kaedah pengukuran seperti yang dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan lain-lain.
 
Berdasarkan kefahaman di atas, konsep ini mengandungi dua elemen seperti berikut :

​i. Usaha pembentukan bangsa Malaysia sehingga keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berfikir dan bertindak sebagai Bangsa Malaysia; dan

​ii. Komitmen kerajaan memenuhi keperluan dan kehendak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

5.         1MALAYSIA DAN ISLAM

Konsep 1Malaysia berserta dua elemen di dalamnya sebenarnya selari dengan ajaran Islam.

5.1. Elemen pertama : Usaha pembentukan bangsa Malaysia

5.1.1. Penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama di bawah satu negara telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah yang turut didiami oleh orang-orang Yahudi;

5.1.2. Penyatuan seluruh rakyat merupakan wasilah kepada keamanan dan kemakmuran Negara. Dalam Islam, kedudukan sesuatu wasilah samada diterima atau ditolak bergantung kepada matlamat. Jika matlamat yang dituju merupakan matlamat yang baik, maka wasilahnya dianggap baik dan diterima pakai dan demikianlah sebaliknya; Namun Islam dengan jelas menolak faham “tujuan menghalalkan cara” seperti di bawa oleh Machiavelli, melalui frasa "the end justifies the means" seperti dalam bukunya, The Prince.
5.1.3. Pembentukan bangsa Malaysia tidak meleburkan identiti keagamaan dan kebudayaan sesuatu kaum kerana usaha ini bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan “Kebebasan beragama” kepada seluruh warga Malaysia. Inilah antara hak-hak penting kaum bukan Melayu seperti yang dijamin perlembagaan.
 
5.1.4.​ Tetapi Perkara 10 Fasa (4) Perlembagaan melarang mana-mana pihak mempersoal atau mengungkit hak dan keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan khususnya: Soal kerakyatan (Bhg.III Perlembagaan), Isu Bahasa   (Perkara 152), Kedudukan Istimewa Orang Melayu (Perkara 153) dan Kepentingan Sah Kaum Lain dan Kedaulatan Raja-Raja (Perkara 181). Ini bertujuan memberi keadilan kepada semua kaum  seperti yang dipersetujui bersama oleh kaum-kaum utama sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 sebagai balasan Kaum Melayu yang terpaksa bersetuju menerima taraf kerakyatan kaum asing melalui Prinsip Jus Soli (Pemberian Taraf Kerakyatan Secara Automatik Mengikut Tempat Lahir).

5.1.5 ​Kaum Cina (MCA) dan India (MIC) pula menerima status, Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak Keistimewaan Orang Melayu dan Kedaulatan Raja-raja dan Sultan Melayu.

5.2.      Elemen kedua: Komitmen kerajaan memenuhi keperluan dan kehendak semua rakyat Malaysia
 
Keselarian elemen kedua ini dengan Islam boleh dilihat dari dua aspek berikut :-
 
5.2.1.​ Islam memuliakan seluruh manusia
 
i)   Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu yang diajarkan kepada penganutnya. Antara ciri-ciri yang berkaitan diskusi ini adalah insaniyyah (kemanusiaan);

ii) Antara maksud insaniyyah ialah Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia (Lihat Qaradhawi, Yusuf, al-Thaqafah al-’Arabiyyah al-Islamiyyah (2001), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 28);

iii) Manusia secara jelas dimuliakan oleh Islam seperti yang dinyatakan oleh firman Allah yang bermaksud[1]  :
 
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan                              anak-anak Adam”

iv) Kemuliaan itu diangkat atas dasar bahawa mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama (Al-Qaradhawi, 2001, op.cit, hlm. 29);

v) Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini bukan sekadar teori. Ia dipamerkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. yang diceritakan, “Ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas baginda s.a.w bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. Baginda menjawab, ”bukankah ia jiwa [yang bernyawa]?” (hadis riwayat Bukhari).

​5.2.2.  Kewajipan pemerintah Islam menjaga kebajikan warga-negara bukan Islam.


i)       Sabda Nabi s.a.w :
 
Terjemahan: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu  bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin.

ii)    Justeru itu hadith di atas telah meletakkan satu garis panduan yang wajib dipatuhi oleh setiap insan beragama Islam atas sifat tanggungjawabnya kepada orang yang dipimpinnya merentasi batas agama, kaum dan juga warna kulit. Malah, ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa tanggungjawab itu akan ditanya oleh Allah s.w.t. di ‘Hari Penghitungan’ nanti;

iii)     Warganegara bukan Islam diberi hak sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara beragama Islam. Ini dinyatakan oleh prinsip yang ditegaskan oleh para fuqaha’ :
Terjemahan: Bagi mereka [warganegara bukan Islam] apa yang kita [warganegara Islam] miliki dan di atas [bahu] mereka apa yang di atas [bahu] kita.

iv)   Prinsip ini bermaksud, bagi mereka hak sebagaimana hak yang kita miliki dan di atas bahu mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab yang diletakkan di bahu kita;

v)  Kebertanggungjawaban terhadap rakyat bukan Islam ini diterjemahkan oleh para sahabat dan pemerintah Islam seperti perjanjian yang ditulis oleh Khalid al-Walid dengan penduduk Hirah di Iraq yang beragama Krisitan :-

“Mana-mana orang tua yang tidak mampu bekerja, ditimpa apa jua penyakit atau jatuh miskin sehingga rakan seagamanya memberi sedekah kepadanya, aku gugurkan bayaran jizyah [daripadanya] dan akan ditanggung sara hidupnya serta tanggungannya daripada Baitul Mal orang Islam”[2].
 
vi)  Menurut Syaikh Qaradhawi, perjanjian ini dilakukan oleh Khalid al-Walid pada zaman Syaidina Abu Bakar r.a di hadapan sebilangan besar para sahabat tanpa ada di kalangan mereka yang membantah[3];

vii) Tindakan serupa dilakukan oleh Syaidina Umar r.a yang membawa seorang tua Yahudi yang meminta sedekah ke Baitul Mal dan memerintahkan supaya diperuntukkan kepadanya dan orang yang sepertinya wang Baitul Mal yang mencukupi dan mampu mengubah keadaannya[4];

viii) Kesimpulan daripada beberapa penjelasan di atas menunjukkan bahawa usaha kerajaan membela semua rakyat di Negara Malaysia ini tanpa mengira bangsa dan agama, adalah selaras dengan prinsip kemuliaan manusia yang ditegaskan oleh al-Quran dan prinsip layanan pemerintah Negara Islam terhadap penganut Islam dan bukan Islam.


6.​  KEADILAN SOSIAL


Keadilan sosial ialah setiap individu mendapat hak-haknya dan di masa yang sama ia perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya bagi merealisasi keadilan dalam hidup ini. Hak-hak ini merangkumi semua, hak untuk berekonomi, hak untuk bersuara, hak untuk berpolitik dan sebagainya.

Sebagai contoh, dalam hubungan antara pemerintah dengan rakyat, pemerintah ada hak-haknya yang perlu dipenuhi oleh rakyat dan di masa yang sama, ia ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap rakyatnya.

Begitu juga dengan rakyat, mereka ada hak-hak yang perlu ditunaikan oleh pemerintah, di masa yang sama mereka juga ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada pemerintah. Dalam Gagasan 1Malaysia, semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana2 pihak akan dipinggirkan. Namun Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum2 yang berada pada tahap yang berbeza. Dasar2 kerajaan dan peruntukan2 Perlembagaan yang memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan.

IBN TAIMIYYAH
-->
7.         PERANAN RAKYAT


Layanan yang adil kepada semua rakyat yang merupakan elemen pertama konsep 1Malaysia adalah manifestasi daripada peranan dan tanggungjawab pihak pemerintah, walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
 
Dalam masa yang sama, rakyat juga tidak terlepas daripada mempunyai tanggungjawab bagi mendukung segala hasrat murni pihak pemerintah demi kejayaan rakyat dan Negara. Rakyat dibenarkan tidak bersetuju dengan pemerintah, tetapi dibatasi agar jangan sampai mengganggu kesejahteraan, keamanan dan kepentingan rakyat terbanyak. Justeru itu, dalam Gagasan 1Malaysia rakyat didambakan supaya berusaha, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia;
 
Pada dasarnya, asas kepada pembinaan Negara bangsa dan Bangsa Malaysia sudah diupayakan oleh pemerintah melalui 5 Prinsip Rukun Negara sejak awal tahun 70-an. Dalam Prinsip Rukun Negara tersebut telah menggariskan tugas, tanggungjawab dan peranan rakyat bagi membentuk kesepaduan Bangsa Malaysia dalam kepelbagaian kaum dan agama;
 
Sebagai rumusan terhadap konteks tanggungjawab rakyat bagi menjayakan Gagasan 1Malaysia, boleh dirangkumkan dalam penghayatan dan amalan Prinsip-prinsip Rukun Negara.
 
1Malaysia menekankan matlamat membina tamadun untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menurut acuan Malaysia. Maju dalam pengertian kebendaan mahu pun nilai-nilai tinggi masyarakatnya. Prasyarat kepada kemajuan ini adalah PERPADUAN dan persaudaraan masyarakatnya. Dengan perpaduan lahirlah KEAMANAN yang memungkinkan segala perancangan membangunkan modal insan dilakukan melalui proses PENDIDIKAN. Falsafah pendidikan yang jelas dan seimbang dapat melahirkan warga NEGARA MAJU.

Hala tuju negara bagi mencapai wawasan Negara Maju harus dicerminkan melalui beberapa nilai aspirasi yang telah digariskan sebagaimana berikut:-

i)          Budaya Berprestasi Tinggi

ii)         Budaya inovasi

iii)        Budaya ketepatan

iv)        Budaya ilmu

v)         Kebijaksanaan

vi)        Kesetiaan

vii)       Ketabahan

viii)      Integriti

8.         HAK-HAK INDIVIDU MENURUT ISLAM

Dalam pemikiran Islam, hak-hak yang diberikan kepada manusia berangkaian dengan kewajipan dan tanggungjawab. Keberangkaian antara hak dan tanggungjawab ini merupakan natijah dan kesan kepada ketetapan Islam bahawa pengiktirafan terhadap hak-hak manusia ini datangnya dari Allah s.w.t.

Sebagai kesan kepada keberangkaian hak dengan tanggungjawab ini, dalam pemikiran Islam, manusia bukan sahaja sebagai penuntut hak-hak yang diperuntukkan kepadanya, tetapi dalam masa yang sama merupakan individu yang dituntut dari pihak masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahunya.

Menurut Islam, semua individu dalam sesebuah masyarakat mempunyai hak. Dalam masa sama mereka juga mempunyai tanggungjawab ke atas orang yang lain. Hak dan tanggungjawab tersebut merupakan kewajipan untuk dilaksanakan sepanjang kehidupannya dalam masyarakat.

Rangkaian antara hak dengan tanggungjawab secara jelasnya boleh dinyatakan seperti berikut :

​1.    Hak rakyat ke atas pemerintah bergandingan dengan kewajipan pemerintah menunaikan hak rakyat;

​2.   Hak orang-orang miskin ke atas orang-orang kaya bergandingan dengan kewajipan orang-orang kaya menunaikan hak-hak orang miskin;

​3.       Hak-hak pekerja ke atas majikan tersimpul dengan kewajipan majikan menunaikan hak-hak pekerja;

​4.      Hak-hak wanita ke atas lelaki berangkai dengan kewajipan kaum lelaki     menunaikan hak-hak wanita; dan

​5.       Hak anak-anak ke atas para ibu bapa bergandingan dengan kewajipan ibu bapa menunaikan hak anak-anak.

Hak-hak manusia dalam Islam secara umumnya merangkumi hak-hak peribadi, pemikiran, politik, perundangan, sosial, ekonomi, kebebasan umum yang pelbagai, hak-hak kaum lelaki dan wanita dan juga hak-hak orang Islam dan bukan Islam.

Kupasan mengenai perkara di atas ditulis dengan mendalam, antaranya oleh Professor Dr.Fathi Uthman dalam bukunya, "Huquq al Insan Bayna al Shari'ah al Islamiyyah Wa al Fikr al Qanuni al Gharbi" (Hak-hak insan antara Syariah Islam dan Pemikiran Undang-undang Barat) dan juga tulisan Prof.Dr.Yusuf Al Qardhawi, Wawasan Islam: Antara Keaslian dan Kemodenan.

9.         HAK KETAATAN

Sesebuah negara tercipta kerana dukungan dan kesetiaan (mubaya'ah) dari ahli al syawkah (golongan berpengaruh), dan setelah itu berkat pengaruh ahli al syawkah itu seluruh masyararakat menyatakan kesetiaan kepada pemimpinnya.

Sumpah setia ini memaksakan kepatuhan sebagai kewajipan yang paling utama sebagai warga negara, selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah s.w.t dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah merupakan perjanjian seorang Muslim dengan pemimpin dan penjawat pentadbiran Muslim di dalam masyarakatnya.

Ayat-ayat al Quran yang mengawali siasah sesungguhnya menetapkan kandungan-kandungan dari bay'ah (sumpah setia) tersebut. Di satu pihak, ayat-ayat ini mewajibkan pemerintah untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak, dan untuk menghakimi sesuatu umat manusia secara adil seperti yang dirakamkan oleh firman Allah yang berbunyi (An-Nisa’ : 58) :

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Di pihak yang lain, ayat-ayat ini mewajibkan kaum muslimin untuk mematuhi pemerintah selama ia tetap melakukan kewajipan-kewajipannya seperti yang ditegaskan oleh sabda Nabi Muhammad s.a.w[5] :
 
Maksudnya : [Menjadi kewajipan] atas setiap individu muslim mendengar dan taat [kepada pemerintah] dalam perkara yang ia suka dan [perkara] ia benci kecuali  [jika] ia diperintah [melakukan] maksiat. Maka, jika pemerintah memerintah [supaya dilakukan] maksiat, maka tiada [kewajipan] taat dan mendengar [perintahnya ke atas setiap Muslim]”.
 
Hujah-hujah ini kira-kira sama dengan yang dikemukakan oleh theology Kristian pada zaman pertengahan untuk menciptakan hubungan yang erat di antara gereja dengan negara.
 
Persatuan dan integriti ummah, pentingnya keamanan sosial, penegakan keadilan, dan penghargaan kepada hak-hak individu menghendaki agar tata pentadbiran yang baik harus dipertahankan.

Kesedaran terhadap perpaduan rakyat inilah yang menyebabkan dikutuknya suku-suku Khawarij, Rawafidh (Syi'ah) dan lain-lainnya yang menyimpang dari jama'ah. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah bersabda [6]:
 
Maksudnya : “Sesiapa yang mendapati sesuatu yang dibencinya dari pemerintahnya maka hendaklah ia bersabar [kerana] sesungguhnya sesiapa yang memisahkan [dirinya] dari komuniti [Islam] walaupun sejengkal kemudian ia mati [maka ia tidak mati] melainkan mati seperti mati jahiliyah”.
 
Ibnu Taimiyyah (661 - 728 H./ 1263 - 1328M) berpendapat bahawa ketaatan harus disertai dengan penyelarasan di mana setiap individu dapat menyertai dalam kehidupan masyarakat secara bergotong royong. Negara adalah tidak lain daripada sebuah organisasi di mana pemimpin dan rakyatnya bersama-sama berjuang untuk merealisasikan cita-cita bersama.
 
Fungsi pemimpin hanyalah untuk menyelaraskan dan menjalankan disiplin di dalam masyarakat. Pemimpin hanyalah diangkat untuk menyeru kepada kebajikan dan mencegah kejahatan; inilah tujuan utama dari pemerintahan.

Kenyataan Ibnu Taimiyyah ini adalah rumusan daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang meletakkan kewajipan membantu pemerintah, memberi nasihat dan menjamin kebajikan mereka selaku pihak yang mengambil tanggungjawab menjaga kemaslahatan seluruh rakyat, sebagai hak pemerintah yang wajib ditunaikan oleh rakyat.
 
Kewajipan membantu dan memberi nasihat kepada pemerintah serta menjamin kebajikan mereka membawa pengertian bahawa rakyat bukan hanya sekadar mentaati pemerintah, tetapi dalam masa yang sama memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat seluruhnya dari segi-segi yang dinyatakan.
 
Konsep ketaatan kepada pemimpin bukanlah satu konsep yang bersifat mutlak kerana ia pada hakikatnya merupakan ‘ketaatan bersyarat’ yang akan gugur apabila syarat yang ditetapkan tidak dipenuhi, iaitu ketiadaan percanggahan antara perintah pemimpin dengan nas-nas yang tegas dari al-Quran, al-Sunnah atau pun Ijma’.

Justeru itu, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan bahawa mengingkari pemimpin hanya boleh dilakukan apabila keputusan-keputusannya terang-terangan bertentangan dengan ketetapan perundangan yang didasarkan kepada teks-teks yang tegas di dalam al Qur'an atau Sunnah, atau Ijma' para ulama. Nabi Muhammad saw pernah bersabda[7] :
 
Maksudnya : Tidak ada [kewajipan] taat bagi [mana-mana] manusia dalam [perkara berkaitan] maksiat [terhadap] Pencipta”

Namun Imam Ibnu Taimiyyah membuat perbedaan antara pengingkaran dan pemberontakan. Menurutnya, kita boleh mengingkari perintah yang tidak baik dari seorang pemimpin dan menderitai hukuman kerananya, tetapi kita tidak boleh mengangkat senjata untuk melawannya selama ia melakukan solat. Perbuatan seorang pemimpin boleh dikritik namun kekekuasaannya tidak boleh ditentang.

10.       HAK DINASIHATI
 
Setiap Muslim berkewajipan memberi nasihat (nush) yang baik kepada pemimpin sebagaimana yang dilakukan kepada warga masyarakat yang biasa. Al Quran menyatakan kaum Muslimin sebagai orang-orang yang bersaudara dan bersahabat, dan mempersatukan mereka untuk saling menolong dan saling menasihati. Firman Allah (Ali Imran : 103) :

Maksudnya : Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.

Allah berfirman (al-Taubah : 71):
 
Maksudnya : Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan.

11.       TANGGUNGJAWAB PEMERINTAH   

Tanggungjawab merupakan suatu keperluan atau kewajipan melakukan sesuatu dengan cara yang khusus. H.L.A. Hart  (1961) membedakan  antara "kewajipan" bertanggungjawab seperti yang dikehendaki oleh  perundangan dengan "rasa tanggung jawab moral".
 
Keperluan membayar cukai adalah tanggungjawab perundangan di mana kegagalan mematuhinya akan dikenakan hukuman oleh mahkamah. Tanggungjawab moral dilakukan berasaskan kesedaran bahawa ianya wajar dan patut dilakukan.

Terdapat juga teori kontrak sosial yang pernah berlaku dalam falsafah politik purba seperti yang terlihat pada tulisan-tulisan Plato dan juga pemikiran-pemikiran yang dikemukakan oleh Hobbes, Locke dan Rousseau pada abad ke 17 dan 18, yang kemudiannya muncul semula pada zaman moden seperti yang disebut oleh John Rawls.
 
Kontrak sosial merupakan perjanjian yang dibuat mungkin di kalangan sesama rakyat, atau rakyat dengan pemerintah di mana rakyat menerima kekuasaan kerajaan dan sebagai balasan mereka akan menerima faedah-faedah yang hanya pihak yang berkuasa dapat memberikannya. Di sini tanggungjawab politik rakyat kepada pemerintah dan sebaliknya berlaku berasaskan janji implisit antara keduanya.

Para sarjana samada Islam atau Barat telah menggariskan beberapa tanggungjawab yang diletakkan di bahu pemimpin yang kesemuanya berlegar disekitar pemeliharaan ideologi dan kedaulatan negara, mewujudkan kestabilan dalam negeri melalui penguatkuasaan undang-undang dan  menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat.

Sistem pemerintahan yang berkesan, stabil dan sistematik tidak mungkin wujud tanpa gandingan peranan pemerintah dan peranan rakyat. Dalam konteks hak-hak pemerintah yang wajib ditunaikan oleh seluruh rakyat, selaku pihak yang mengambil tanggungjawab mentadbir dan menjaga kebajikan rakyat, pemerintah diberikan hak-hak tertentu sebagai galang ganti kepada pewakafan segenap tenaga dan pemikiran mereka demi rakyat.

Justeru, rakyat berkewajipan memberikan ketaatan dan kesetian kepada pemerintah bagi memenuhi tuntutan bernegara, disamping bertanggungjawab mendokong pemerintah dari segi membantu, memberi nasihat dan menjaga kebajikan pemerintah melalui Baitul Mal.
 
Dalam konteks Malaysia, tanggungjawab pemerintah yang ketara ialah menjaga perpaduan rakyat dan keharmonian dalam negara yang boleh retak dan bergolak bila-bila masa disebabkan kepelbagaian kaum rakyatnya dan kerencaman budaya penghuninya.
 
Gagasan 1Malaysia meletakkan ‘perpaduan‘ sebagai asas penting dalam pembinaan tamadun negara. Keadaan kerencaman penduduk negara ini berbanding negara lain di dunia menjadikan isu perpaduan sesuatu yang prima, yang mendasari semua perancangan pembangunan lainnya.

Untuk itu pengurusan masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan di Malaysia sebenarnya lebih sukar dan sensitif berbanding negara lain di dunia. Permuafakatan pemimpin utama kaum, toleransi yang tinggi, pengorbanan, serta kawalan dan penguatkuasaan undang-undanglah yang menyumbang kepada keadaan kestabilan yang sekian lama ini.
 
Sebagai sebuah negara yang baru merdeka, isu kaum dan agama masih menjadi perbincangan dan perdebatan di antara ahli politik, pentadbir dan pendidik. Setelah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, agak mendukacitakan perbincangan mengenainya semakin hangat terutama selepas pilihanraya umum yang ke 12 (2008).

Ini kerana asas-asas yang pernah menyumbang  kepada kestabilan dan persefahaman mula diungkit dan dirungkai. Di sinilah Gagasan 1Malaysia menekankan peri pentingnya perpaduan sebagai asas utama kepada Negara Maju. 

12.       TANGGUNGJAWAB RAKYAT

Tanggungjawab rakyat dalam kehidupan bernegara adalah menunaikan hak-hak pemerintah iaitu ketaatan, memberi dokongan dan nasihat kepada pemerintah. Dalam konteks merealisasikan gagasan 1Malaysia, rakyat bertanggungjawab mendokong gagasan ini dan memberikan apa jua sumbangan yang membawa kepada kejayaan gagasan ini.

Tanggungjawab rakyat yang terpenting dan utama ialah berusaha mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Negara ini. Tanpa perpaduan rakyat, matlamat teras gagasan 1Malaysia iaitu mewujudkan Negara bangsa dan perpaduan nasional berasaskan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’, tidak akan terlaksana.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan antara kaum perlu berteraskan kepada tiga prinsip iaitu pertama; prinsip penerimaan antara semua kaum; kedua, prinsip kenegaraan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga, prinsip keadilan sosial.

Setiap kaum yang membentuk masyarakat dan negara Malaysia mesti menerima hakikat kepelbagaian mereka dengan makna menerima semua kaum yang terdapat di Malaysia sebagai rakyat Malaysia yang sah dan mempunyai hak yang diperakui dan dijamin oleh undang-undang negara. Jika diambil kira pandangan salah seorang pemikir terkenal Islam masa kini, iaitu Dr. Tariq Ramadhan, penerimaan terhadap kaum-kaum yang berlainan perlulah dibina di atas asas menghormati, bukan sekadar toleransi.

Pandangan ini berasaskan kepada pengertian toleransi yang bermaksud paksaan yang dikenakan ke atas diri sendiri supaya menerima kehadiran orang atau kaum yang berbeza demi mewujud maslahah-maslahah tertentu atau memelihara kepentingan-kepentingan tertentu yang sedia wujud.

Sikap yang dipamerkan dalam hubungan antara kaum yang berlainan yang diasaskan di atas prinsip toleransi semata-mata, tidak akan berupaya membentuk perpaduan yang jitu disebabkan tiada unsur-unsur penghormatan terhadap kaum yang berbeza.

Setiap perkara yang boleh meretakkan perpaduan kaum di Negara ini perlu dielakkan. Di sinilah pentingnya setiap rakyat mempunyai tasawwur yang jelas tentang perkauman yang secara tabi’ienya mendarah daging dalam diri setiap manusia. Sifat perkauman tabi’ie ini perlu dikawal dan diselenggara oleh nilai-nilai murni bagi mengelakkannya menjadi pemusnah kepada perpaduan yang sedia terbina.
Fahaman perkauman sepatutnya difahami sebagai kecintaan kepada kaum sendiri yang mendorong individu mahupun kelompok berusaha bersungguh-sungguh membela dan menjaga kepentingan kaum dalam batas-batas tertentu bagi memastikan semangat perkauman tadi tidak membawa kepada penindasan kepada kaum lain atau memandang rendah kepada kaum yang berlainan.
 
Semangat perkauman yang dibiarkan bebas tanpa batasan hanya akan menghancurkan Negara kerana ia akhirnya akan membawa kepada penindasan terhadap kaum lain di atas nama membela kaum sendiri, atau memandang rendah kepada kaum lain di atas nama kecintaan kepada kaum dan keturunan sendiri.
 
Rakyat Malaysia juga mesti memperbetulkan persepsi mereka terhadap kemajmukan masyarakat Negara ini. Kepelbagaian kaum dan kerencaman budaya serta agama, tidak boleh dilihat sebagai garis pemisah antara kaum-kaum yang  berlainan atau sebab kepada pertelingkahan. Ia sebaliknya mesti dilihat sebagai potensi yang boleh digembeling bagi kemajuan dan kemakmuran Negara melalui pemanfaatan budaya yang pelbagai, ciri-ciri kekauman yang berbeza dan kemahiran-kemahiran yang berlainan.
13.    AMANAH PEMERINTAH DAN PENYERTAAN RAKYAT

Hubungan rakyat dengan pemerintah harus bertimbal balik dalam menjana nilai-nilai aspirasi untuk menjadikan Malaysia negara maju. Pemerintah melaksanakan amanah dan rakyat menyertai atau membantu menjayakannya sejajar dengan ketetapan bahawa pemerintah diberikan hak-hak tertentu yang wajib ditunaikan oleh rakyat. Ketetapan ini menuntut rakyat memberikan penyertaan mereka dalam segala program atau gagasan yang dirangka oleh pihak pemerintah dalam bentuk mentaati pemerintah, memberikan dokongan dan sokongan serta nasihat.
 
Melalui Gagasan 1Malaysia enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) telah diberikan keutamaan dan rakyat tidak harus menjadi penonton pasif atau mengizinkan sebarang keadaan negatif berterusan. Enam NKRA tersebut adalah:-
 
i)        Mencegah jenayah

ii)       Memerangi rasuah

iii)      Pendidikan berkualiti

iv)      Meningkatkan pendapatan rakyat

v)     Meningkatkan prasarana luar bandar

vi)    Penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam

Kesemua Bidang Keberhasilan Utama di atas hanya akan tinggal sebagai slogan dan gagal diterjemahkan ke alam realiti kehidupan tanpa sokongan dan penyertaan rakyat keseluruhannya. Dalam konteks pencegahan jenayah sebagai contoh, segala usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang serta pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, tidak akan memberi impak yang besar dalam penurunan kadar jenayah jika segala usaha ini tidak disambut oleh rakyat dan didokong secara bersama.
 
Hal ini terjadi kerana kerosakan atau keadaan yang tidak terkawal yang berlaku dalam sesebuah masyarakat, bukan hanya berpunca  daripada individu, tetapi juga struktur dan pengaruh masyarakat sebagaimana yang diutarakan oleh sesetengah sarjana.

            "Human being are not born corrupt, tainted by 'original sins'; rather they are corrupted by the society.." "And society can corrupt individuals in a number of ways..."  (Political theory, Andrew Heywood, NewYork, 2004, pp. 168).


Gambaran ini dinukilkan dalam pengenalan yang masyhur oleh Rousseau dalam bukunya Sosial Contract (1762). 'Man is born free is everywhere in Chain'. Menurutnya, kadar jenayah tidak mungkin dapat dikurangkan semata-mata berasaskan hukuman, tetapi melalui perubahan sosial, termasuk mengurangkan kadar penggangguran, perumahan, kawalan kemasukan imigrasi, pemantauan masyarakat (social watch) dan sebagainya.

Memang menjadi tanggungjawab pemerintah mengambil langkah mengurangkan kadar jenayah. Semua pemimpin yang sedang atau ingin memerintah berazam dan berjanji akan memberikan jaminan keselamatan, perlindungan, kemakmuran dan keselesaan kepada rakyatnya. Namun seperti yang dijelaskan, rakyat berkewajipan memberikan dokongan dan sokongan kepada pemerintah dalam sebarang usaha yang bertujuan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada negara secara keseluruhannya.

Di Malaysia jenayah dalam pelbagai bentuk sering memenuhi ruang dada akhbar sehingga rakyat merasakan tidak selamat. Jenayah seperti pembunuhan, ragut, rogol, rompak dan samun mungkin tidak sebanyak negara-negara sedang membangun yang lain, namun pendedahan dan pembunuhan berprofil tinggi cukup untuk menyebabkan rakyat tidak merasa selamat.

Tetapi menyerahkan tugas menjaga keamanan hanya kepada pemerintah tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut sebaik mungkin. Rakyat perlu bertanggungjawab menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk membuat tangkapan dan dakwaan.

Rakyat juga perlu sama-sama membantu memperkukuhkan semangat kejiranan Rukun tetangga dan  sanggup menjadi saksi semasa perbicaraan atau kehakiman. NKRA dalam usaha pencegahan jenayah merupakan usaha kerajaan memberikannya perasaan selamat kepada rakyat. Kejayaannya perlu diukur dan dirasai kesan positifnya oleh rakyat.

Peranan yang sama perlu dilakukan seluruh rakyat berhubung usaha besar-besaran pihak kerajaan memerangai rasuah kerana tanpa gabungan peranan kerajaan dan masyarakat, segala usaha yang sedang dan telah dilakukan bagi membanteras jenayah ini tidak akan memberikan kesan yang maksima.

Peranan kerajaan berhubung pembanterasan jenayah ini ialah memberi kesedaran dan pendidikan tentang bahaya rasuah disamping menguatkuasakan undang-undang. Namun segala tindakan ini tidak akan menatijahkan hasil yang berkesan tanpa sentuhan dan sambutan dari rakyat.
 
Persoalan yang penting yang harus diperhatikan kita menangani persekitaran yang bawa kepada perbuatan rakus ini. Antaranya ialah godaan nafsu berasaskan nilai permissive, kehilangan institusi pemeriksaan kuasa, pembuat keputusan yang samar, ketiadaan peranan masyarakat sivil, pemisahan jurang atau ketidakadilan dalam pengagihan harta yang memburukkan keadaan kemiskinan rakyat, serta penyuburan amalan rasuah di kalangan rakyat sendiri.

 14.       PENUTUP

Bagi mencapai aspirasi agar Malaysia menjadi sebuah negara maju berteraskan acuan sendiri pada tahun 2020 mendatang, adalah diharapkan bahawa formula yang dirumus oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang digelar sebagai Gagasan 1Malaysia akan dapat diterapkan ke hati sanubari seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Gagasan tersebut merupakan sebagai usaha lanjutan bagi memupuk perpaduan rakyat. Sesungguhnya hanya melalui perpaduan rakyat akan dapat menuju pencapaian Wawasan 2020.
 
Hal ini dikukuhkan lagi oleh Datuk Seri Mohd. Najib dalam ucapannya:-

“1 Malaysia adalah gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia”.





 [1] Al-Isra’ : 70

[2] Abu Yusuf, al-Kharaj, hlm.144

[3] Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, hlm. 16.

[4] Abu Yusuf, al-Kharaj, hlm.126

[5] Sahih Bukhari hadis no.7144, Sahih Muslim hadis no.1839,

[6] Sahih Bukhari, hadis no.7054, Sahih Muslim, hadis no. 4896

[7] Musnad al-Syihab al-Qudha’ie, hadis no. 814


RUJUKAN:

Andrew Heywood, Political Theory, An Introduction, Publication Palgrave Macmillan, 2004.

Institut Strategi Pembangunan Malaysia (MINDS), Masyarakat Madani – Satu Tinjauan Awal, 1998.

Michael Rosen & Jonathan Wolff, Political Thought, Oxford University Press, 1999.

Mohammad Hashim Kamali, Freedon of Expression in Islam, Berita Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1994.

Norbert Elias, The Civilizing process, The History of Manners and State Formation and Civilization, Blackwell, Oxford UK & Cambridge USA, 1994.

Prof.Dr.Yusuf Al Qardhawi, Wawasan Islam: Antara Keaslian dan Kemodenan

Qamaruddin Khan, Politik Pemikiran Ibnu Taymiyyah, Penerbitan Pustaka, Bandung 1983.