Monday, August 31, 2009

JALUR YANG DILUPAKAN

SEJARAH MERDEKA DITULIS SEMULA

Sambutan Hari Kemerdekaan ke 52 tahun ini amat sederhana mungkin dalam sejarah sambutan kemerdekaan Negara yang pernah diadakan. Pelbagai alas an mungkin dapat diberikan seperti kekuatiran wabak H1N1, bulan Ramadhan, kemelesetan ekonomi atau kesuraman iklim politik Negara.

Namun penyebarannya dalam media letronik seperti radio dan television kerajaan dan swasta agak lebih dari biasa. Apa yang menjadi perhatian saya adalah sambutan rakyat untuk mengibarkan jalur gemilang agak layu tidak bermaya. Kesegaran ini tidak terlihat seperti zaman kesegaran Negara dalam tahun-tahun 90an dahulu.

Saya banyak menerima sms ucapan tahiah kemerdekaan tetapi yang menarik perhatian saya adalah satu sms yang tidak saya kenali menulis seperti berikut:

“Astagafirullah, telah 52 tahun rupanya kita merdeka, tp serba serbi masih tidak sempurna, banyak yang tak betul dari yg kena, tu pun kita masih terlena, asyik jerit Merdeka! Merdeka! Merdeka!.”


Terdahulu dari itu sahabat blogger saya, Nobisha, mengirimkan sms berikut kepada saya. Katanya:

“Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yg saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu (saya tak pasti berapa ramai) bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin Negara, malah ada di antaranya yg menunjukkan kebencian kpd Negara, jalur gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup merbahaya. Politik kebencian ditanam dan kini tumbu segar. Saya boleh terima kalau mereka menolak sesebuah parti politik, tetapi saya tak boleh terima kalau mereka menunjukkan kebencian kpd Negara. Harus ada satu usaha pemulihan. TQ – Norizan bin Sharif.”

Dari dua sms di atas sudah cukup menimbulkan kebimbangan bagi saya bagaimana kebencian sebahagian generasi terhadap parti politik terhubungkait dengan kebencian terhadap jalur gemilang, lagu-lagu patriotik dan sambutan kemerdekaan itu sendiri. Politik kebencian terhadap parti disinonimkan dengan segala simbol kenegaraan yang dijayakan oleh parti politik berkenaan.

Jika ini berlaku malanglah bagi Negara yang rakyatnya tidak dapat membezakan antara institusi politik dan institusi Negara. Rakyat Negara ini perlu meminjam kacamata orang Eropah Timur seperti Bosnia, Palestin, Negara-negara Arab, Indo-Pakistan, Indonesia, Filipina dan lain-lain untuk melihat bagaimana Negara ini menjadi sanjungan dan contoh teladan, walaupun dengan segala kekurangannya.

Satu dari sebab pembanjiran pelancong dari Timur Tengah di Negara ini setiap tahun adalah kerana rasa hormat dan kagumnya mereka kepada kecemerlangan yang sedikit bagi kita tetapi mulia dan tinggi bagi mereka. Jika ditanya kepada pelancong-pelancong ini mengapa mereka memilih Malaysia seringkali kita akan menerima jawapan; makanan, solat, dan Mahathir!. Ini kerana kelantangan Mahathir menegur kuasa-kuasa besar dan pembangunan nagara dalam tempoh yang singkat. Mahathir bukanlah sempurna, tetapi sumbangannya dilihat besar dan mengatasi kelemahannya.

Memang terdapat kelemahan dan kekurangan di sana-sini tetapi ini seharusnya tidak mengurangkan rasa sayang dan kasih kita kepada Negara dan jalur gemilang sebagai simbol kemerdekaan. Kebetulannya kali ini Negara diterajui oleh UMNO melalui Barisan Nasional. Tetapi di peringkat negeri terdapat negari-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Merekapun pasti menyambut kemerdekaan juga.


Jika tidak Jalur Gemilang, jalur apakah yang akan mereka kibarkan?. Tetapi apabila membaca Malaysia kini yang di tulis K.Kabilan, dalam rencananya bertajuk “Deleted from victors' history: The other freedom fighters”, fahamlah saya bahawa terdapat segelintir masyarakat di Negara ini yang mahukan perjuangan Komunis diterima sebagai sebahagian daripada perjuangan Kemerdekaan. Mereka menyebutkan nama seperti Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah.

Tetapi berasaskan prinsip lulus jarum lulusnya kelinking, fahamlah saya bahawa akhirnya mereka mahu memaksakan agar Chin Peng diterima sebagai pejuang Kemerdekaan. Nampaknya berdasarkan sinario politik Negara dengan kebangkitan parti sosialis DAP sebagai rakan sekutu Pakatan Rakyat, sejarah Kemerdekaan Negara akan ditulis semula dengan olahan baru. Saya percaya rakan-rakan PAS akan bersetuju asalkan kompromi nama-nama Burhanuddin Helmi juga dimasukkan.


Teringatlah saya dengan paparan sejarah pembukaan Negara Singapura Muzium di Pulau Sentosa. Asal usul Negara Singapura seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang terpadam. Kemajuan Singapura dikatakan bermula dari golongan kuli-kuli Cina yang datang dari Selatan Negara Cina yang mengangkut dagangan di pelabuhan di waktu orang-orang Melayu dilihat bermain konda kondi, gasing dan layang-layang.

Jika demikianlah sifat dan sikap anak-anak Melayu terhadap jalur gemilang saya rasa satu lagi tulisan semula sejarah seperti yang terdapat di Pulau Sentosa selatan Singapura akan terlihat di Muzium di George Town, Pulau Pinang, maaf Penang!. - Sekadar satu renungan.



Sunday, July 19, 2009

MELAYU & LIBERALISME

“Globalisation can bring about a better world if we are not fanatical about it. Not everything that is done in the name of globalization will give good results. We should always be on the lookout for adverse consequesces and be Prepared to take corrective actions or even to reverse certain Globalization trends in order to ensure that these adverse Consequences will not befall us.”

– Tun Mahathir Mohamad

PENGENALAN

1. Dewasa ini isu Liberalisasi menjadi satu topik yang hangat dibicarakan oleh banyak pihak samada rakyat, ahli politik, pakar ekonomi, badan antarabangsa mahupun badan-badan bukan kerajaan. Di negara kita perbincangan mula timbul apabila Perdana Menteri ke 6, YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak membuat pengumuman semasa membentangkan bajet mini di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua pada 10 Mac 2009, bahawa Kerajaan akan mengambil langkah-langkah dalam meliberalisasikan sektor perkhidmatan, bagi menarik lebih banyak pelaburan, membawa masuk profesional dan teknologi, serta memperkukuhkan daya saing sektor ini.

2. DS Najib seterusnya mengumumkan langkah berani dan luar biasa apabila beliau mengnyahkawalseliaan garis panduan pelaburan secara menyeluruh bagi mengujudkan dasar yang adil dan saksama untuk semua, termasuk pelabur asing dalam merasmikan The Invest Malaysia 2009, di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, pada 30 Jun, 2009. Menurut DS Najib lagi pengumuman itu adalah garis panduan dasar baru yang adil, yang direka bagi manfaat semua untuk para pelabur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan untuk instrumen efektif baharu bagi penyertaan Bumiputera.

3. Beliau juga menyatakan bahawa dasar (kerajaan) tersebut DS Najib seterusnya mengumumkan langkah berani dan luar biasa apabila beliau mengnyahkawalseliaan garis panduan pelaburan secara menyeluruh bagi memastikan aliran masuk lebih besar Pelaburan Langsung Asing (FDI). Hanya dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi maka pergagihan dan peningkatan ekuiti yang berkesan dalam dilakukan.

4. Pada tahun 2020, sektor perkhidmatan akan menyumbang 70 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang pada masa kini sekadar 54 peratus. Sektor perkhidmatan Singapura menyumbang 80 peratus dan Hong Kong melebihi 90 peratus dalam KDNK negara tersebut. Sementara kadar potensi pertumbuhan Malaysia merosot.

5. “FDI di seluruh dunia dijangka berkurangan 50-60 peratus daripada jumlah yang dilihat pada tahun lepas. Malaysia perlu meraih sebahagian daripada jumlah (baki FDI) itu,” kata Najib semasa merasmikan mesyuarat Perundingan Bajet 2010.

6. Menurut Pengarah Eksekutif Malaysian Institute of Economic Research (MIER);

“We have to reinvent the economy and put it on a different growth trajectory. To do that, we have to move up the value chain and we have to discover new sources of growth.”


PERDEBATAN LIBERALISME

7. Kenyataan diatas telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, khususnya kaum bumiputra yang merasakan konsep liberalisasi ini merupakan ancaman dalam usaha membantu usahawan bumiputra. Mereka berpendapat liberalisasi membuka ruang persaingan yang luas dimana kaum bumiputra masih belum bersedia dan masih lemah terutama dalam bidang kemahiran, pengalaman, modal dan pasaran berbanding kaum lain dari dalam mahupun luar negara.

8. Sebaliknya, terdapat golongan bumiputra Melayu baru yang merasakan diri mereka kuat dan sudah berjaya dalam perniagaan beranggapan bahawa kerajaan harus patuh kepada hukum liberalisme berasaskan meritokrasi. Kerajaan tidak perlu campurtangan dalam urusan persaingan pasaran bebas. Mereka mementingkan kebebasan dan persaingan individu serta menggelarkan diri mereka sebagai “libertarian”.

9. Perdebatan mengenai liberalisme ini bukan sahaja berhubung dengan isu-isu ekonomi, tetapi ianya berkait langsung dengan isu-isu globalisasi, meritokrasi pendidikan, perkhidmatan sosial, agama, budaya, politik dan sebagainya.

FAHAM LIBERALISME

10. Sebenarnya terdapat pelbagai bentuk fahaman liberalisme yang mendakwa melindungi hak kebebasan. Apa yang mereka pertikaikan ialah makna sebenar kebebasan. Liberalisme berkembang begitu meluas dalam dunia moden dan kebanyakan negara-negara Barat sendiri sekurang-kurangnya melaksanakan asas liberalisme, iaitu kebebasan individu sebagai asas masyarakat.

11. Di Barat sendiri terdapat perdebatan yang mendalam, penuh konflik dan percanggahan di kalangan pendukung liberal sendiri. Kesan daripada percanggahan tersebut selain liberalisme klasik, lahir pelbagai aliran dalam fahaman liberalisme.

12. Dalam perdebatan mengenai isu liberalisme terdapat tiga pandangan utama yang dikemukakan. Dan perdebatan ini akan berterusan dengan masing-masing pendapat menggemukakan hujah dan alasan masing-masing;

(i) Pendapat yang mempertahankan faham Liberalisme klasik atau neo libertarian. Mereka menekankan peri pentingnya hak-hak individu dan kesaksamaan peluang. Mereka juga menekankan kepada perlunya kebebasan berfikir dan bersuara, pembatasan kuasa-kuasa kerajaan, peraturan undang-undang dan ketelusan dalam sistem kerajaan. Mereka menyokong pasaran bebas tanpa campurtangan kerajaan.

(ii) Pendapat yang bertentangan dengan pandangan pertama. Mereka mewakili pandangan sosialis / komunis klasik yang berhujah bahawa kerajaan perlu memastikan kesamarataan kebendaan/kekayaan dalam masyarakat. Mereka menolak liberalisme. Selepas runtuhnya tembok blok komunis / sosialis, pandangan ini semakin lemah dan berkurangan.

(iii) Pendapat yang saya sebut sebagai Liberalisme terpandu (Guided Liberalism). Pandangan ini mahukan faedah dasar liberalisasi dirasakan oleh rakyat tempatan mahupun pelabur asing dengan sedikit panduan kerajaan terutama bagi membetulkan ketidakseimbangan ataupun kecelaruan pasaran bebas.

“The financial crisis has put to rest the myths that our economic institutions are sound and that markets works best when deregulated.” - Agenda For A New Economy, From Phantom Wealth to Real Wealth, (p 5).

PERSPEKTIF CALON INDONESIA

13. Dalam kempen pilihanraya Indonesia isu liberalisasi menjadi agenda utama perdebatan tentang pengarahan bakal pimpinan nombor satu negara itu, khususnya mengenai rancangan perspektif ekonomi mereka dalam konteks liberalisasi ekonomi. Ketiga-tiga calon (Susilo Bambang Yudhoyono / SYB, Jusuf Kalla / JK dan Megawati Soekarnoputri / Mega) mempunyai persamaan dan perbedaan. Tapi semuanya bersetuju bahawa perlunya prasyarat bagi pertumbuhan ekonomi.

14. SBY tampak lebih cenderung kepada orientasi pasaran, di mana peranan kerajaan adalah terbatas dan berakhir sebagai pengawal (regulator). Sedangkan Mega pula sebaliknya, berpandangan bahawa kerajaan harus lebih berperanan dalam pasaran. Beliau mahukan lebih campurtangan dan perlindungan kerajaan dalam pasaran seperti menghapuskan peranan orang tengah dalam pemasaran hasil pertanian.

15. JK nampak lebih seimbang. Beliau tidak anti pasaran. JK hanya mahukan campurtangan kerajaan sekiranya pasaran gagal menjalankan fungsinya. Ini yang saya maksudkan dengan liberalisasi terpandu atau terkawal.


PENDAPAT PERTAMA

16. Di negara kita terdapat aliran golongan yang menyokong pandangan pertama dengan kuat, terutama daripada masyarakat bukan Melayu yang dijuarai oleh DAP semenjak dari dahulu lagi. Faham “Malaysian Malaysia” telah mula digunakan sejak awal tahun 60 an lagi apabila sebuah blok politik ditubuhkan oleh Lee Kuan Yew dan People’s Action Party. Ianya terdiri daripada parti-parti seperti PAP, People’s Progressive Party (PPP) dan United Democratic Party (UDP) pada tahun 1965.

17. Dalam mesyuarat Majlis Perpaduan Malaysia (Malaysian Solidarity Council) yang pertama, seramai tujuh pemimpin dari parti politik tersebut telah memberikan ucapan menyokong konsep “Malaysian Malaysia”, yang menyatakan penentangan terhadap artikel 153 dalam Perlembagaan Malaysia, khususnya mengenai perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak. Mereka menganggap kandungan perlembagaan ini sebagai perkauman atau bersifat “Malay Malaysia”.


18. Di kalangan orang Melayu sendiri telah wujud golongan yang bangun menentang Dasar Pengesahan (Affirmative Action) melalui campurtangan kerajaan terhadap bumiputra seperti yang disuarakan oleh Menteri Besar Selangor pada 20 April 2008 yang lalu.


19. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah beberapa kali mengulangi pendiriannya yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam mengagihkan kek ekonomi di negeri itu.

20. Beliau memberi alasan penggantungan rakyat termasuk bumiputera terhadap dasar itu tidak perlu kerana Selangor mempunyai sumber yang banyak untuk diagihkan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa.

21. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

22. Kenyataan tersebut merupakan kali kedua dibuat membabitkan DEB kerana pada Mac tahun lalu, Abdul Khalid pernah menyifatkan dasar itu gagal memberikan faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

23. Sebelum kenyataan tersebut Tan Sri Khalid turut mengatakan bahawa dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat pada 1970 itu dan kemudiannya diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum tertentu.


24. Seorang lagi pemimpin Melayu yang merupakan bekas Menteri Kabinet zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, Zaid Ibrahim, dalam bukunya, Saya Pun Melayu, menulis:


“DEB telah berjaya dilaksanakan dan itulah sebabnya peratus kemiskinan rakyat dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus sahaja pada 2002. Sebagaimana mengikut persetujuan semua kaum, DEB lupus pada tahun 1990, dan dengan itu berakhir program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat dalam tempoh 20 tahun..” (pp. 64).

25. Bagi Zaid sebarang usaha melanjutkan dasar perlindungan terhadap bumiputra seperti Dasar Pembangunan Nasional (1990) oleh Perdana Menteri Tun Mahathir adalah bertentangan semangat DEB, tiada persetujuan antara kaum dan bertujuan untuk meramaikan kapitalis Melayu. (pp. 64-66).

26. Zaid turut menyatakan bahawa Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang menggantikan DEB sebagai Dasar Ekonomi UMNO yang mengutamakan diskriminasi dan pilih kasih dalam pembahagian kekayaan negara kepada rakyat.

27. Golongan Melayu seperti Zaid Ibrahim dan Khalid Ibrahim ini mendesak agar dasar perlindungan dan hak keistimewaan dihapuskan serta digantikan dengan dasar meritokrasi. Pemimpin dari parti politik tertentu mendesak supaya DEB sebagai dasar ekonomi yang gagal dan tidak adil mesti dihapuskan. Ini kerana ia merupakan satu dasar perlindungan yang bercanggah dengan prinsip keadilan dalam liberalisasi.

28. Pandangan di atas adalah pandangan persaingan ‘free for all’ dan memang ada asasnya dan boleh dilaksanakan sekiranya pemimpin serta rakyat di negara berkenaan tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab terhadap bangsa dan negaranya.

29. Pendapat yang menyatakan “we should look at the forest, not the trees..” mungkin boleh dilihat perlaksanaan sebaliknya pada nasib orang Melayu di Singapura bagaimana bangsa minoriti Melayu ini bersaing kuat untuk mendapatkan hak dalam setengah sektor yang dinafikan. Mereka mungkin mendapat pendapatan yang lebih dari jiran negara seberang, tetapi mereka hilang sesuatu, kuasa politik dan ekonomi.

30. Pandangan politik Melayu mengenai liberalisme ini mendapat respon luar biasa daripada masyarakat bukan Melayu yang mula merasakan diri mereka perlu mendapat hak yang lebih daripada apa yang pernah mereka perolehi.

LUPA SEJARAH

31. Lupakah Zaid dan Khalid atau disebabkan dasar ‘quid pro quo’ (beri memberi) Pakatan Rakyat, tentang bagaimana besarnya tolak ansur bangsa Melayu terhadap kemasukan orang asing ke dalam negara mereka sehinggakan di negeri-negeri Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) bilangan kaum Cina telah mencapai angka 64 peratus keseluruhannya (1931). Angka-angka inilah yang menyebabkan orang Melayu ketika itu diburu oleh satu kebimbangan baru.

32. Pun begitu, orang Melayu tidak marah kepada imigran Cina atau India, malah tidak juga kepada penjajah Inggeris. Nilai toleransi mereka begitu tinggi. Tidakpun berlaku perjuangan ala Klu Klux Klan seperti yang mengganas di Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke 19. Hanya yang mereka perlukan adalah pembelaan sehingga mereka dapat dipulihkan agar dapat berjalan dan bersaing serta berdiri dengan megah tanpa sebarang tongkat atau bantuan. Salahkah itu?

33. Sebenarnya golongan ini bebal sejarah dan kenyataan tahap pencapaian ekonomi bumiputra. Benar kita memerlukan penilaian terhadap dasar dan perlaksanaan. Tetapi menafikan kejayaan DEB adalah keterlaluan dan menuduh seluruh DEB adalah penyelewengan adalah pembohongan dan berbau “arak politik”. Memang DEB memerlukan pemeriksaan di atas pencapaian oleh pihak yang dipertanggungjawabkan, tetapi menuduh DEB sebagai dasar perkauman, tidak adil dan gagal adalah keterlaluan.

34. DEB merupakan penterjemahan ruh perlembagaan dalam usaha memulihkan nasib generasi bumiputra yang ketinggalan sejak berzaman atas apa jua alasan yang diberikan sejarah. Perbedaan struktur asasi masyarakat mengikut garis ethnik dalam bidang pekerjaan, pendapatan dan harta memerlukan jangka masa yang lama hingga memerlukan beberapa generasi untuk dipulihkan. Ini diakui oleh Pendita Zabaa dalam tulisannya mengenai kemiskinan orang Melayu 1927, dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman.


35. Tuduhan Zaid bahawa Dasar Pembangunan Negara yang digubal pada tahun 1990 pada zaman Tun Mahathir tidak mendapat persetujuan antara kaum juga adalah satu pembohongan. Parti-parti komponan BN pernah menandatangani dokumen persetujuan tersebut walaupun kemudiannya terdapat ura-ura untuk menariknya kembali atas sebab-sebab politik tetapi mereka tidak berbuat demikian. Saya rasa dokumen ini jika perlu harus diedarkan oleh kerajaan kepada rakyat.

PENDAPAT KETIGA

36. Golongan ketiga pula berpendapat bahawa kerajaan perlu memberikan campurtangan yang wajar dalam membantu bagi membetulkan sebarang ketidakseimbangan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam masyarakat, terutama yang melibatkan ketidakadilan, perkhidmatan asasi dan kritikal seperti perubatan dan pendidikan.

37. Pendapat ini yang umumnya mewakili golongan bumiputra berpendapat bahawa DEB adalah merupakan suatu “legitimate differentiation” di bawah artikel 2.2 International convention on eliminating of all forms of racial discrimination, bagi membetulkan keadaan yang tidak seimbang dalam sesuatu negara.

38. Bagaimanapun program ini tidak harus dalam sebarang kes bagi mengekalkan kesannya untuk ketidaksamarataan atau hak-hak yang terpisah bagi kumpulan-kumpulan kaum yang berbeda setelah matlamat mereka tercapai.

39. Ratusan tahun Melayu menghadapi penjajahan dan kesannya melalui kemasukan kaum asing. Satu dasar yang dipaksakan terima. Dengannya persaingan bermula. Memang terdapat peningkatan tahap ekonomi kaum bumiputra semenjak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970. Namun dalam membetulkan perbedaan ketara struktur asas ekonomi ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat 20 tahun. Ia memerlukan lebih dari itu disamping diberikan bimbingan dalam menghadapi dunia pasaran bebas terbuka.

40. Sejak merdeka, UMNO yang didukung oleh komponen parti perikatan dan kemudiannya BN menyokong gagasan pemulihan ini. Ini merupakan satu tindakan yang sah menurut semangat perlembagaan yang berasaskan prinsip “quid pro quo” (dasar beri memberi), yakni toleransi Melayu dalam soal penerimaan kerakyatan kaum lain dibalas dengan dasar perlindungan yang sah.

41. Keadaan ekonomi yang berat sebelah serta usaha mencabar persetujuan perlembagaan yang sah ini telah mengakibatkan peristiwa ketidakstabilan negara seperti yang terlihat dalam peristiwa berdarah 13 mei 1969. Benarlah apa yang pernah dinyatakan oleh Secretary Gates; “Failure in economics can lead to failure in security; counter-wise, failures in security can create economic

crises..”

REALITI EKONOMI

42. Umum mengetahui bahawa masalah ketidaksamaan Sosioekonomi di negara ini masih berterusan. Terdapat tiga golongan yang masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan dan hak milik kekayaan, iaitu :

43. Golongan Bumiputra – pemilikan dari segi ekuti dalam sektor korporat 19.4%, hak milik premis 15.0%, dan pendapatan purata RM3,156.

44. Golongan Bumiputra Sabah & Sarawak – dari segi hak milik sektor korporat 3.0%, dan pendapatan purata antara RM2,063 hingga RM2,858.

45. Golongan India – dari segi hak milik sektor korporat 1.1%, hak milik premis 3.8% dan pendapatan purata RM3,799.

46. Kemelesetan ekonomi tahun-tahun 1998 dan 2009 mengusutkan perangkaan-perangkaan di atas. Usaha membetulkan ketidakseimbangan ini sebenarnya tidak menjejaskan atau diskriminasi golongan Cina dan golongan lain selaras dengan falsafah pembangunan negara yang berteraskan ‘Pertumbuhan dengan pengagihan’ (growth with distribution) yang telah dilaksanakan sejak dari tahun 70an lagi. Masyarakat Cina terus mencapai peningkatan dari segi hak milik sektor korporat, iaitu kepada 42.4%, hak milik premis 76.1% dan pendapatan purata sebanyak RM4,853.


PENDEKATAN MAHATHIR



47. Pandangan globalisasi / liberalisasi versi Malaysia juga dapat dilihat apabila Tun Mahathir dengan jaya dapat menyelamatkan negara dalam krisis kewangan serantau 1998 sehinggakan tindakan campurtangan tegas kerajaan ini menjadi rujukan negara dan pakar kewangan dunia. Tun Mahathir menyatakan dalam bukunya Globalisation and the New Realities:




“Malaysia’s approach to globalization in general and the financial crisis in particular has been guided by the basic principle that the pace of globalization in Malaysia at least must be on Malaysia’s terms, based on its circumstances and priorities. It may not always be possible but it is crucial to ensure that everybody benefits – both the foreign investors and Malaysians. A step by stem approach is also important to avoid the excesses and problems associated with all new ideas, principles or processes, including globalization…which is better life for our people and our continued freedom from foreign domination.” (PP. 113-114).




48. Ini jelas membuktikan bahawa tidak benar dan tidak mungkin Tun Mahathir dapat menolak kehadiran globalisasi dan liberalisme. Apa yang beliau mahukan ialah kepastian bahawa ia dilakukan secara berperingkat dan mempastikan kedua-dua pihak, rakyat Malaysia dan pelabur asing mendapat faedahnya.

49. Globalisasi dan liberalisasi ekonomi tidak harus mengulangi sejarah abad ke 15 semasa Zaman Penerokaan Barat, dimana sokongan politik dan ketenteraan negara-negara maju menjajah dan mengaut sebanyak mungkin keuntungan untuk kepentingan empayar politik dan ekonomi Barat dan mewujudkan negara-negara anak jajahan yang berpecah-pecah dibawah jajahan takluknya.

50. Tun Mahathir adalah menteri yang bertanggungjawab sebagai pengarah dasar ekonomi sebaik sahaja beliau memegang jawatan Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1977. Beliau tidak terlibat dalam pembentukan DEB tetapi beliaulah pentafsir dan penterjemahnya dalam bentuk perlaksanaan.

51. Namun begitu Tun Mahathir mengerti kenyataan masyarakat Malaysia dan beliau bertanggungjawab meliberalisasikan DEB bagi maksud menggalakkan penyertaan pelaburan asing dan bukan bumiputra. Dan DEB kini telah digantikan dengan Dasar Pelan Nasional (DPN) dan Wawasan 2020 yang ternyata menekankan pembelaan kepada semua kaum dalam integrasi nasional. (pp. 75, Malaysian Politics Under Mahathir).

52. Liberalisasi dalam sektor-sektor penting telah dilakukan oleh Tun Mahathir semasa kemelesetan ekonomi tahun 1980an. Pada September 1986, beliau membenarkan agar pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus sekiranya 50 peratus hasil keluaran adalah untuk diekspot atau 50 peratus hasil keluaran dibekalkan ke kawasan bebas cukai atau ke gudang kilang pembuatan yang berlesen. Dan pada tahun 1998 pegangan ekuiti dan syarat-syarat lain dihapuskan dalam kilang pembuatan berlesen.

53. Kronologi seterusnya menunjukkan pegangan equiti bebas mula mengambil tempat dalam sector Multimedia Super Corridor (1997), Iskandar Malaysia, Sektor Kewangan dan 12 sektor perkhidmatan sert a 160 sub-sektor perkhidmatan.

MELAYU PERLU BERSAING

54. Kehadiran liberalisasi memang tidak dapat dielakkan. Ia pasti datang membawa kebaikan dan tidak kurang juga bencana kepada bumiputra jika tidak dirancang. Negara memerlukan pertumbuhan ekonomi bagi pengagihan kekayaan dan ini boleh dilakukan melalui penarikan modal asing disamping sumbangan keluaran domestik. Rangsangan kemasukan modal asing akan rancak sekiranya terdapat liberalisasi dalam sektor ekonomi negara, kestabilan politik, kemudahan infrastruktur, insentif dan sebagainya.

55. Kaum bumiputra perlu ditanamkan semangat kuat bersaing melalui kekuatan mental, kemahiran, dan keupayaan intelek. Mereka perlu memiliki sikap yang betul seperti amanah, urus tadbir yang baik, daya tahan, jaringan perniagaan, budaya, ilmu dan kemahiran untuk survival. Mereka juga harus mengikis sikap dan tabiat buruk seperti karenah birokrasi dan rasuah, mencari jalan pintas untuk kekayaan, sikap selesa dan malas berusaha, cepat mengaku kalah, menunjuk kekayaan, ketirisan, iri hati, kronisme dan sebagainya.

56. Kaum bumiputra harus cepat sedar, bahawa dasar perlindungan adalah merupakan satu dasar sementara bagi meletakkan kaum bumiputra agar sama “level” kaum lain sebelum bersaing dalam medan liberalisasi yang lebih luas dan bebas. Adalah satu penghinaan kepada orang Melayu untuk mendapat keistimewaan ini selama-lama sebagaimana yang dicatit dalam tulisan buku Ooi Kee Beng bertajuk The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time.


LIBERALISASI MALAYSIA

57. Liberalisasi dan faham Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak juga bukanlah merupakan kejutan atau gagasan baru dalam sektor ekonomi dan kewangan. Ia merupakan suatu kesinambungan daripada asas-asas perancangan pembangunan ekonomi negara sejak dari dahulu lagi. Penekanan liberalisasi adalah untuk meningkatkan pertumbuhan dalam ekonomi dunia yang menguncup bagi meningkatkan ekuiti dalam masyarakat Satu Malaysia (Growth with Equity).

58. Dasar ini juga sebenarnya cenderung mendekati pendapat ketiga, dimana liberalisasi memerlukan panduan dan peraturan (Guided Liberalism) bagi menjamin agar peruntukan perlembagaan artikel 153 serta penterjemahannya terus dipertahankan disamping memenuhi tuntutan globalisasi antarabangsa yang tidak menentu.

59. Di peringkat antarabangsa kronologi liberalisasi industri perdagangan bermula sejak dari perjanjian GATT General Agreement on Tariffs and Trade 1947, World Trade Organisation (WTO) 1995 dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) 1992, dimana tariff bagi semua barangan dagang dikurangkan secara berperingkat antara 0 – 5% pada tahun 2003 dan dihapuskan terus pada 2010.

60. Di Malaysia, gagasan ini telahpun termaktub dalam Pelan Perspektif Rumusan Ketiga (OPP3) yang mengandungi pembangunan abad kedua di bawah Wawasan 2020 dengan tumpuan diberikan untuk pembentukan negara yang memiliki daya saing dan daya tahan (resilient and competitive nation).

61. Dasar dan strategi tersebut ditujukan kearah memperkukuhkan kekuatan negara bagi menghadapi kekurangan dan sekatan serta cabaran daripada persaingan global.

62. Satu pendekatan menyeluruh (holistic) terhadap pembangunan ekonomi adalah penting bagi mempastikan kestabilan pertumbuhan, penggalakkan keharmonian di kalangan kumpulan-kumpulan etnik dan mejayakan semangat interasi nasional.

63. Pelan Perspektif Rumusan ke3 yang juga dikenali sebagai Dasar Wawasan Kebangsaan (National Vision Policy / NVP) ada menyebutkan bahawa:

“The NVP, with national unity as its overriding objective, is aimed at establishing a progressive and prosperous Bangsa Malaysia which lives in harmony and engages in full and fair partnership. Economic growth will be promoted alongside efforts aimed at poverty eradication and restructuring of society. Social, economic, and regional imbalances will be narrowed.”

64. Antara Teras utama dalam Dasar Wawasan Kebangsaan adalah seperti berikut:

“Mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang tinggi melalui pengukuhan sumber-sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan koperat selaras dengan pengurusan makro-ekonomi.”
“Meningkatkan persaingan bagi menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.”

65. Dalam konteks ini jugalah gagasan Satu Malaysia: Rakyat Di dahulukan, Pencapaian diutamakan. Matlamatnya ialah perpaduan nasional, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara iaitu : sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan keadilan sosial.

66. Pengumuman liberalisasi ke atas 27 sub sektor perkhidmatan adalah bertujuan memperkukuhkan ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran global. Langkah ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia. Di bawah model baru ekonomi ini sektor perkhidmatan akan dibangunkan secara intensif sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi negara.

67. Justifikasi diatas pengumuman beliau adalah kerana sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara, menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008, di mana, sebanyak 47.6 peratus merupakan sumbangan daripada perkhidmatan bukan kerajaan. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia.

68. Langkah liberalisasi ini tidak harus bermaksud Malaysia perlu mengurangkan pegangan ekuiti semasa oleh syarikat Malaysia di dalam usahasamanya dengan rakan perniagaan asing. Kedudukan pegangan ekuiti semasa oleh syarikat Malaysia di dalam syarikat sedia wujud hendaklah dikekalkan.

69. Langkah liberalisasi serta merta ini adalah ditujukan bagi pelaburan-pelaburan baru sahaja. Bagi tujuan penyenaraian syarikat milik asing di Bursa saham tempatan, syarikat ini masih perlu mematuhi syarat-syarat penyenaraian di Bursa, termasuk pegangan ekuiti oleh Bumiputera.

LANGKAH BERANI NAJIB

70. DS Najib juga berpendapat bahawa liberalisasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan kita hanya mampu memilih fasa perlaksanaannya sahaja. Adalah menguntungkan jika negara memilih untuk disegerakan bagi membolehkan negara mempunyai ruang untuk merebut peluang antarabangsa lebih awal.

71. Antara hala tuju yang melibatkan Model Ekonomi Baru bagi membantu golongan bumiputra seperti yang diumumkan oleh DS Najib dalam transformasi ekonomi negara pada Invest Malaysia 2009 tersebut adalah :

(i) Mewujudkan kaedah yang lebih berkesan untuk meningkatkan penyertaan bumiputra dalam pelbagai bidang ekonomi berasaskan pendekatan meritokrasi di kalangan bumiputra ;

(ii) Mengubah pendekatan daripada pengenaan syarat 30% pemilikan ekuiti ke atas setiap syarikat korporat kepada memberi tumpuan untuk meningkatkan penyertaan bumiputra secara berkesan dalam ekonomi ;

(iii) Menggalakkan penglibatan berkesan dan berkekalan bumiputra dengan menguasai pemilikan dan pengurusan syarikat korporat ;

(iv) Mengenal pasti usahawan bumiputra yang berpotensi serta membina keupayaan usahawan bumiputra sedia ada untuk terlibat secara efektif dalam sektor pertumbuhan dan strategic;

(v) Mewujudkan usahasama tulen di antara bumiputra dengan bumiputra dalam setor strategiK;

(VI) Meningkatkan tenaga kerja bumiputra terutamanya dalam kategori pekerjaan pengurusan dan professional dalam sector korporat;

(VII) Meningkatkan saiz golongan menengah bumiputra;

72. Ada yang terkilan apabila Najib mengumumkan penghapusan syarat 30 peratus pegangan ekuiti bumiputra bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) bagi syarikat-syarikat Malaysia yang ingin disenaraikan di bursa saham, peningkatan pemilikan pegangan saham syarikat asing dari 49 peratus kepada 70 peratus, pengecualian FIC bagi hartanah kepentingan bumiputra atau kerajaan pada hartanah di bawah nilai RM 20 juta dan sebagainya.

73. Masalahnya adalah dari kajian yang dijalankan daripada RM 54 billion jumlah saham yang diperuntukkan, cuma tinggal RM 2 billion nilai saham bumiputra yang tinggal ditangan kaum bumiputra. Ini disebabkan kerana penyakit kaum bumiputra yang ingin mendapat keuntungan yang cepat atau kesilapan memberikan kepada yang tidak berhak.

74. Lantaran keadaan kewangan negara yang diterjemahkan kepada kesan kacau bilau dalam ekonomi sebenar, syarikat, pekerjaan, rakyat dan keluarga seluruh dunia akibat kegawatan ekonomi global maka langkah-langkah drastik telah dilakukan bagi menyelamatkan Malaysia supaya tidak ketinggalan. Menurut Najib,

“Government remains committed towards enhancing economic participation by Bumiputeras. A new approach shall be undertaken, focused on promoting sustainable, meaningful and effective participation through genuine partnerships and meritocracy.”

75. Selaras dengan pendekatan baru ini, satu institusi pelaburan baru Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan ditubuhkan sebagai tabung ekuiti swasta dengan modal permulaan sebanyak RM 500 juta dan akan berkembang sehingga RM 10 billion. Ekuinas dikatakan akan memberikan tumpuan pelaburannya dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi. Penyertaan Bumiputra dalam Ekuinas adalah berdasarkan kebolehan dan keupayaan mereka (Meritocracy).

76. Najib berharap langkah-langkah baharu itu akan menjadikan ekonomi negara lebih rancak dan meletakkan Malaysia "lebih tinggi" di mata pelabur asing, bukan sahaja dalam pelaburan asing langsung tetapi juga pelaburan ekuiti melalui model ekonomi baru negara. (New Economic Model).

MEREBUT PELUANG

77. Oleh yang demikian, usahawan bumiputra tiada pilihan lain melainkan terpaksa bersaing dan merebut peluang daripada liberalisasi yang dilakukan secara berperingkat ini. Ini dapat dilakukan melalui usahasama (joint-ventures) dengan pelabur-pelabur luar negara, menyertai misi khusus dan pamiran diluar negara, bantuan teknikal dan kerjasama yang disediakan oleh rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), serta dana pinjaman dan ‘matching grant’ untuk SME’s melalui Tabung Pembangunan Keupayaan Sektor Perkhidmatan (SSCDF) dan sebagainya.

78. Bumiputra juga perlu melakukan paradigm shift dalam urusan perniagaan. Mereka juga perlu bersungguh-sungguh membentuk ‘mind-set global’ untuk melihat dunia sebagai potensi pasaran atau pusat sumber untuk memperolehi keuntungan. Mereka perlu menumpukan bidang yang mereka mahir dan berfikir cara baru untuk perkara yang lama dan bergerak meningkatkan nilai tambah dalam rantaian perdagangan dunia. Dan seterusnya tidak jemu mempelajari sesuatu yang baru dan berinnovasi.

79. Bumiputra juga jika perlu boleh mengadakan usahasama dengan kaum Cina yang berjaya dalam perniagaan samada dari dalam mahupun luar negara. Kaum Cina di rantau ini memang terkenal berjaya dalam perniagaan kerana sikap dan cara mereka menyesuaikan diri dalam mana-mana negara yang disinggahinya. Pengerusi Hang Lung Development di Hong Kong pernah menyatakan ;

“The overwhelming need to succeed and succeed fast also make the Chinese overseas businessmen extremely flexible. Time is never on their side. With the government and military not under their control, they must bend with the wind and grab whatever opportunities that come their way. What if an opportunity arises in an area where they have no expertise? Learn as you go!. What if there are no the necessary resources? Find it, create it or make do!. What if there are barriers in the way? Go over it or around it, but never right through, never confront.” – Ronnie Chan.

CADANGAN DAN BIMBINGAN

80. Apa pun, liberalisasi yang tidak diurus dengan baik tetap mempunyai kesan negatif. Justeru, BNM dan MITI perlu sentiasa mengkaji dan memantau serta menyediakan dasar yang berhati-hati dalam melaksanakan dasar liberalisasi kewangan dan sektor perkhidmatan yang terbabit. Inilah yang dilakukan kebanyakan negara yang sedang muncul sebagai negara ekonomi baru di rantau Asia seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan beberapa negara lain.

81. Bumiputra harus belajar menyertai perniagaan dalam suasana persaingan kerana yang demikian mereka dapat diintegrasikan dalam aliran utama ekonomi dan diakui sebagai ahli perniagaan dan usahawan yang sejati. “The blocks to success are more likely to be mental than external”

82. Kerajaan perlu meneruskan sokongan kepada komuniti perniagaan Bumiputera bagi membina dan memperkukuhkan keupayaan dan daya saing di pasaran tempatan dan meneroka peluang di luar negara. Ini perlu dilakukan melalui pelbagai bantuan dana, program latihan, idea, pemudahcara dan insentif yang ditawarkan untuk perkhidmatan tempatan.

83. Langkah ke arah liberalisasi ekonomi wajar dilakukan secara berperingkat (progressive liberalisation) sesuai dengan peningkatan dan keupayaan kaum bumiputra bersaing dalam ekonomi domestik dan global. Ini selaras dengan semangat dasar ekonomi liberal yang terpimpin. (Guided Liberalisation).

84. Kerajaan perlu merangka satu strategi induk ekonomi kaum bumiputra yang bakal meningkatkan penglibatan bumiputra ke tahap global.

85. Secara insaf kaum bumiputra juga harus menilai dan merenungi dan memperbaiki diri mereka yang sering dikaitkan dengan keselesaan, terlalu bergantung, kurang semangat dan daya saing, jalan pintas untuk kekayaan, tidak bekerja kuat, terlalu mementingkan hiburan, dan sebagainya. Hanya dengan menyedari kelemahan mereka dan cuba mengatasinya sendiri barulah segala dasar untuk membantu mereka mungkin berjaya.

86. Jawatankuasa Pemantauan perlu diwujudkan bagi menilai tahap pencapaian dan perlaksanaan bagi membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi domestik dalam menggalakkan penglibatan sektor swasta serta penarikan pelaburan asing dalam pertumbuhan ekonomi negara.

87. Keperluan memeriksa perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) dengan melibatkan penyertaan kakitangan kerajaan, ahli akademik, dan ahli perniagaan.

88. Mengembelingkan penglibatan terus Syarikat-Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dalam merintis jalan kepada syarikat-syarikat bumiputra yang berpotensi agar berkembang meneroka peluang di pasaran antarabangsa. Perlu digerakkan Perbadanan Kemajuan Negeri-Negeri bagi menghadapi suasana krisis ekonomi global melalui agensi-agensi antaranya Petronas, TNB, Telekom dan sebagainya.

89. Pembangunan dalam kepelbagaian Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputra (BCIC) yang berkesan harus diberikan keutamaan yang tinggi di bawah strategi penyusunan daripada pemilikan ekuiti. Agensi seperti PNB dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SCDC) yang ditubuhkan harus mengambil strategi baru dan berkesan untuk menambah bilangan pengurus dan usahawan bumiputra untuk terlibat aktif dalam syarikat-syarikat di mana Bumiputra memiliki saham yang berkesan.

90. Perbadanan Nasional Berhad (PNB) harus menceburi dalam bidang baru melalui pembangunan venture capital dan pembangunan keusahawan. Adalah tidak memadai agensi seperti PNB memainkan peranan pasif dengan sekadar menggerakkan modal bumiputra untuk memiliki ekuiti bagi pihak bumiputra pada harga yang istimewa.

91. Kerajaan harus berhati-hati dan selektif terhadap pemberian sistem kuota dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputra bagi aktiviti perniagaan. Ini bagi mempastikan supaya hanya bumiputra yang memiliki potensi, komitmen dan mepunyai latarbelakang yang layak diberikan bantuan agar mereka dapat berjaya dalam bidang yang diceburkan. Langkah ini mungkin melambatkan sedikit pencapaian kuantitatif tetapi akan menghasilkan pencapaian bumiputra yang berkualiti.

92. Kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara kepentingan negara bagi sektor strategik. Syarikat-syarikat dalam sektor ini perlu dilindungi melalui syarat ekuiti seperti yang dikehendaki dalam kawalseliaan setiap sektor seperti Komisi Tenaga, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Komisi Perkhidmatan Air Negara, Komisi Multimedia dan Komunikasi Negara dan lain-lain.

93. Mungkin ucapan Barack Obama mengenai menggantikan sistem ekonomi persaingan global dengan sistem ekonomi kerjasama global boleh menjadi renungan berdasarkan krisis ekonomi global yang dihadapi oleh Amerika sejak beberapa bulan yang lalu;

“We will work to replace a global system of economic competition with a global system of economic cooperation based on the sharing of beneficial technology and the right of the people of each nation to own and control their own economic resources to meet their need for food, energy, shelter, education, health care, and other basic needs. We will work to protect the rights and health of working people and environment everywhere.”
- Barack Obama, dalam Agenda For a New Economy.


Kertas kerja "Melayu Dalam Persaingan Liberalisasi 1Malaysia"
Dibentangkan dalam Wacana Kedudukan Institusi Beraja & Melayu
Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1 Malaysia,
Pada 11 Julai 2009, (Jam 5.30 ptg – 7.00 ptg)
Putra World Trade Centre,
Kuala Lumpur.

RUJUKAN:

1. Ahmad Sarji Abdul Hamid (Edited & Intro), Malaysia’s Vision 2020,
Pelanduk Pub., Malaysia, 1995.

2. David C. Korten, Agenda For A New Economy, From Phantom Wealth to Real Wealth, Berrett-Koehler Pub. Inch, San Francisco, 2009.

3. Foong Wai Fong, The New Asian Way – Rebuilding Asia through Self- reliance, Pelanduk Publications, Malaysia, 1999.

4. Mahathir Mohamad, Globalisation and the New Realities, Pelanduk Pub. (M) Sdn. Bhd., Malaysia, 2002.

5. Mohd. Najib Razak, Satu Malaysia, Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Diutamakan, Ucapan sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 28 April 2009.

6. Mohd. Najib Razak, Liberalisasi Sektor Perkhidmatan, Ucapan di Pejabat Perdana Menteri, 22 April, 2009.

7. Mohd. Najib Razak, PM announces slew of liberalisation measures, Speech at The Invest Malaysia 2009, Shangri La Hotel, Kuala Lumpur, 30 June, 2009.

8. Mohd. Najib Razak, “Transformasi Ekonomi Negara,” Ucapan Persidangan Invest Malaysia 2009, Utusan Malaysia, 1 Julai 2009.

9. “Overseas Chinese Businessman and Global Century”, Ronnie Chan, based on a speech delivered in Los Angeles, USA on October 2nd, 1996.

10. Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff, “Competition will bring out the best in us,” New Sunday Times, June 7, 2009.

11. R.S. Milne & Diane K. Mauzy, Malaysian Politics Under Mahathir, MPG Book Ltd, Bodmin, Cornwall, Great Britain, 1999.

12. Zaid Ibrahim, Saya Pun Melayu, ZI Publication Sdn. Bhd., 2009.












































































Thursday, July 2, 2009

HATI-HATI LAKSANA LIBERALISASI


PERKASA MAHU LIBERALISASI TERPIMPIN

Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (perkasa) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak mengenai langkah meliberalisasikan garis panduan pelaburan (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas Berhad) dalam merasmikan Persidangan The Invest Malaysia 2009 pada 30 jun yang lalu.

Pengumuman itu penting sebagai garis panduan dasar baru yang adil, bagi manfaat semua untuk para pelabur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan untuk instrumen efektif baharu bagi penyertaan Bumiputera.

PERKASA menganggap pengumuman tersebut sebagai langkah berani dan luar biasa dalam suasana krisis ekonomi global yang mengancam. Ini penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara untuk pengagihan pendapatan negara. Namun amatlah baik sekiranya langkah tersebut dibincangkan terlebih dahulu di kalangan usahawan-usahawan bumiputra.

PERKASA mengingatkan kerajaan agar liberalisasi terhadap kepentingan bumiputra wajar dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat (progressive liberalisation) sesuai dengan peningkatan dan keupayaan kaum bumiputra bersaing dalam ekonomi domestik dan global. Ini selaras dengan semangat dasar ekonomi liberal yang terpimpin. (Guided Liberalisation).

Walaupun terkilan dengan penghapusan 30 peratus ekuiti bumiputra dalam penyenaraian Bursa saham, PERKASA meminta usaha menggantikan 30 peratus penyertaan ekuiti bumiputra dalam ekonomi makro di lakukan dengan bersungguh-sungguh serta melibatkan pengagihan ekuiti bumiputra yang bukan sahaja adil tetapi melibatkan seramai mungkin pengusaha bumiputra yang layak.

Pimpinan politik, pengurus korporat dan pegawai yang melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputra mestilah amanah, professional serta mempunyai keazaman yang tinggi terhadap pembelaan nasib bangsa yang tertinggal.

BNM dan MITI perlu sentiasa mengkaji dan memantau agar kesan perlaksanaan liberalisasi kewangan dan sektor perkhidmatan negara agar tidak berakhir dengan penguasaan Syarikat-syarikat Multi-Nasional global yang tidak mengindahkan kepentingan dan kebajikan ekuiti minoriti masyarakat Malaysia umumnya dan bumiputra khususnya.

Kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara kepentingan bagi sektor strategik negara. Syarikat-syarikat dalam sektor ini perlu dilindungi melalui syarat ekuiti seperti yang dikehendaki dalam kawalseliaan setiap sektor seperti Komisi Tenaga, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Komisi Perkhidmatan Air Negara, Komisi Multimedia dan Komunikasi Negara dan lain-lain.

PERKASA mahukan agar pembangunan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputra (BCIC) perlu diberikan tumpuan yang lebih berkesan dan bersungguh-sungguh. Ia harus diberikan keutamaan yang tinggi di bawah strategi penyusunan daripada pemilikan ekuiti.

Agensi seperti PNB dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SCDC) yang ditubuhkan harus mengambil strategi baru dan berkesan untuk menambah bilangan pengurus dan usahawan bumiputra untuk terlibat aktif dalam syarikat-syarikat di mana Bumiputra memiliki saham yang berkesan.

PERKASA mencadangkan agar satu lagi Kongeres Ekonomi Bumiputra diadakan bagi menilai pencapaian terdahulu serta menyediakan diri bagi menghadapi suasana ekonomi global yang lebih mencabar.

Yang benar,


Datuk Ibrahim Ali
Presiden,
Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Kuala Lumpur
2 Julai 2009



Thursday, May 21, 2009

PAS KOMPROMI MAKSIAT KERANA UNDI



SYARIAH BUKAN LAGI KEUTAMAAN
Sejak bermuafakat dengan DAP melalui pengantaraan PKR, isu-isu seperti maksiat, arak, zina dan dadah bukan lagi menjadi isu-isu besar Parti Islam ini. Isu-isu tersebut sudah jatuh kategori kelas dua atau tiga.

Isu-isu utama kini adalah mendapatkan sokongan kaum lain sebanyak mungkin berdasarkan prinsip "mencari persamaan sementara menyimpan perbezaan" (atau, seek common grounds while reserving differences) yang menjadi semangat barisan bersatu perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Persamaan utamanya atau “common grounds” mereka adalah menumbangkan kerajaan BN dengan apacara sekalipun walaupun dengan harga agama dan bangsa. Apakah pengorbanan yang paling tinggi yang pernah dibuat kalau tidak mensyirikkan kalimah “Allah” untuk tuhan-tuhan dan kepercayaan yang lain.

Semua tuhan, batukah, kayukah, besikah, boleh pakai perkataan Allah !!. Masha Allah.

Semua kaum amat gembira dengan liberalisasi akidah politik PAS ini dan Insya Allah mereka akan mencapai matlamatnya. Undi akan bertambah. Semasa di Kuala SiPetang, dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, saya melihat gambar-gambar pemimpin PAS diletakkan di tokong-tokong Cina. Ini satu kejayaan besar buat Islam. Tokong masih macam tu juga cuma ada gambar Tuan Guru Nik Aziz. Sayang saya tak bawa Kamera, tidak memang saya rakamkan. Harganya? Tokong boleh pakai Tuan Allah !.

Tetapi “common grounds” hanya dapat bertahan selagi kuasa belum dapat ditangan. Itu sebabnya Pakatan Rakyat tidak berani menyenaraikan senarai kabinet bayangan mereka. Akhirnya perbedaan akan terjelma juga. Waktu itu yang akan berlaku adalah kehilangan keseimbangan kuasa. Dalam konteks Malaysia berbilang kaum, kacau.

Dalam masa PAS-PKR-DAP berusaha berterusan untuk berpolitik menjatuhkan BN, mereka jangan lupa bahawa mereka sudahpun menjadi kerajaan di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, dan Kelantan. Perak tengoklah keputusan mahkamah. Kerja dan janji semasa pilihanraya perlu dilaksanakan. Mereka juga dinilai rakyat.

Ramai yang bertanya apa perubahan yang telah rakyat perolehi dalam kawasan-kawasan yang dikuasai PAS-PKR-DAP?. UMNO memanglah hancur semua. Tidak ada satupun benda baik yang pernah mereka lakukan. Semuanya perkauman, kezaliman dan rasuah. Jadi benda baik yang PAS-PKR-DAP buat pada rakyat kawasan masing-masing apa dia??

Bagi PAS yang dulunya mahukan hukum syariah mana dia?. Penjualan arak masih juga dijual secara terbuka. Mana dia iklan papan tanda yang menyatakan bahawa penjualan arak kepada umat Islam adalah merupakan satu kesalahan.?

Bukankah kuasa PBT atau Pihak Berkuasa Tempatan di bawah penguasaan kerajaan negeri? Mengapakah cadangan Mohd Termizi Ismail seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta aktivis PAS tidak jadi dibentangkan dalam mesyuarat MPK pada 26 November yang lalu?

Jawapnya ialah politik, nothing to do with Islam.

Betul ke semua kaunter penjualan arak di bawah PAS dengan kerjasama Pakatan Rakyat telah dikendalikan oleh orang yang bukan Islam.

Sudah ke dibuat pemisahan kaunter pembayaran barangan tidak halal dibuat di kaunter khas yang dijaga oleh bukan Islam.

Jangan diharapkan kilang-kilang arak di Selangor supaya ditutup kerana mereka akan memberikan alasan mereka tiada kuasa. Bagaimana penjualan di 7 Eleven, kedai runcit, pasar mini, kedai makan secara terbuka dan kiosk stesyen-stesyen minyak?

Parti politik manakah yang menguasai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang baru-baru ini terkenal sebagai premis judi internet atau syurga bagi kaki judi di Pandan Perdana dan Pandan Indah. Mana dia wakil-wakil rakyat PAS-PKR-DAP ? Mungkin juga mereka sibuk dalam kemelut politik di Perak jadi terlepas pandang akan perkara-perkara kecil seperti ini.

Mungkin juga kerana ada usul fiqh yang baru dijumpai dari Taha Jabir al alwani atau Yusuf Qadhawi..Dalam muktamar PAS pun perkara-perkara seperti ini tidak lagi kedengaran. Kejayaan Anwar mengenalkan PAS kepada dunia !!..

Pernah kita dengar PAS-PKR-DAP melalui kerajaan yang dikuasainya berbicara masalah Mat Rempit, ragut dan mengujudkan kerjasama rakyat dikawasannya membentras masalah yang membimbangkan ini?

Yang saya pernah dengar ialah bagaimana ingin mengenepikan penyokong-penyokong dan simpatisan UMNO dalam pemilihan jawatankuasa masjid, JKKK dan tender-tender perlupusan sampah untuk diberikan kepada penyokong-penyokong parti mereka pula.

Kata seorang Exco Selangor, “dulu giliran kamu, sekarang giliran kami pula setelah sekian lama menunggu..” Jika demikianlah kenyataannya, apa beda dan istimewanya mereka berbanding dengan UMNO. Pepatah Inggeris pernah berkata, “You can change the saddle, but it is still the same donkey!”. Baju atau warna bertukar, perangai lagu tu jugak..

Sekurang-kurangnya korupnya UMNO dan BN setelah lebih 50 tahun berkuasa, tetapi dalam Pakatan Rakyat korup, skandal, bogel, bersekedudukan, anak haram, liwat, serta memulakan politik lompat hanya dalam tempoh satu tahun mereka berkuasa??. Wow, that is really a good start !!.


Tuesday, May 19, 2009

CAKAP SALAH TAK CAKAP SALAH


Lirik lagu di bawah ini bolehlah dinyanyikan berdasarkan melodi lagu yang dipopularkan oleh penyanyi klasik bernama R. Azmi (1923 – 1974) yang bertajuk “Serba Salah”. Lirik di bawah adalah ciptaan saya sendiri sebagai curahan rasa hati yang bercampur-campur kesal, marah dan bertekad.

Raja Azmi Raja Ambiah (1923-1974) atau lebih dikenali sebagai R. Azmi merupakan seorang penyanyi Melayu era 50-an 60-an / 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.

Dia dilahirkan pada tahun 1923 di Kuala Kangsar, Perak. Merupakan artis seangkatan dengan Tan Sri P.Ramlee, Tan Sri S.M. Salim. Pernah berlakon dalam filem bertajuk Bapa Saya dan merupakan penyanyi latar bagi filem-filem keluaran Malay Filem Production. Turut menyanyi dan mengubah lagu.

R Azmi meninggal dunia pada tahun 1974 akibat penyakit asma pada usia 51 tahun di rumah seorang guru besar di Klang, Selangor.



SERBA SALAH

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Tersebutlah kisah kerusi di Penanti
Wakil rakyatnya sudah berhenti
Katanya dia nak pergi mengaji
Rupanya di rumah relax makan kuaci

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Perak belum selesai, ada berhenti lagi
Politik punya hal rakyat nak di uji
Ada dua speaker ada dua menteri
Satu turun pergi cabut kerusi sekali..

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Satu keluar tahanan tak mau terima kasih
Nazar di Batu Cave cukur bulu habih
Kerajaan Melayu zalim semua pilih kasih
Kalau semua tak baik, Sri Lanka boleh pilih

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Sebut pasal Melayu dikatakan rasis
India dan Cina nanti tentang habis
Kuasa dan tanah dah tergadai nyaris
Semua dah tiada apa nak di waris

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Sidang bawah pokok untuk jaga negeri
Pakai kot cantik bawah matahari
Speaker mula sidang pakai mikropon gigi
Pokok di tebang, semua cabut lari..

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah


Menang bicara baru demokrasi
Kalah bicara buat demonstrasi
Hakim dan polis semua konspirasi
Lintang pukang lari kedutaan Turki

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Gangster jadi hero arak satu negeri
Polis jadi jahat habis jasa pergi
Perompak jadi kawan asal bagi undi
Bila tak terkawal, polis kena lagi..

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Wahai Nik Aziz wahai Haji Hadi
Kalau berpolitik jangan gadai negeri
Dulu semua salah macam kafir harbi
Dapat lima negeri buka kandang babi

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

UMNO bukan betul dalam semua perkara
Tapi jasa dia kita tak boleh lupa
Mana yang kotor bersihkan bersama
Agama & bangsa kekal selamanya

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salah

Mari muafakat wahai bangsaku
Bila berpecah kita hilang kuku
Apa pun cakap semua tak lagu
Hanya yang tinggal lagu negaraku

Cakap salah tak cakap salah
Jadi semua serba salahhhhhhh…


















Saturday, May 16, 2009

UMNO: JANGAN MURUNG TERLALU LAMA


ATTACKING IS THE BEST DEFENCE

UMNO perlu melakukan muhasabah diri mengapa ianya kurang mendapat sokongan rakyat dan ini pernah dinyatakan berkali-kali oleh ramai pihak.

Fitrahnya sebagai parti politik tua dan lama berkuasa ia terdedah kepada banyak kelemahan dan kekurangan sehingga jasa besarnya dilupakan.

Langkah dasar keterbukaan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri – menjadi pemangkin kepada pendedahan nanah UMNO, BN dan kerajaan yang menunggu masa untuk terbongkah keluar.

UMNO perlukan ‘blood transfusion’. Diharap dengan suntikan darah baru dapat memberikan tenaga dan kesegaran untuk beberapa lama lagi sebelum ia menghadapi persaraan wajib.

Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang ke 6. Masanya tidak banyak Cuma 2 tahun. Untuk itu pasukan DS Najib tidak ada masa untuk berbulan madu diatas kejayaan lantikan.

Disamping pasukan ini bekerja kuat untuk rakyat, mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya dalam pertempuran persaingan dan permainan untuk menakluk kuasa. Adalah menjadi tanggungjawab utama mereka untuk mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap dan perlakuan rakyat agar kembali menyokong perjuangan parti dan negara dalam pilihanraya yang ke 13.

Pendekatan defensif atau mempertahankan diri tidak akan membawa kemenangan. Yang penting cepat sedar terhadap kelemahan dan memperbaikinya segera dan bukannya bersugul-sugul untuk sekian lama tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan. Sekali kalah pilihanraya yang ke 12 sudah seperti negara di langgar garuda !!. Sepi dalam moral yang rendah dan tidak kurang yang cuba main selamat.

Ini masanya UMNO dan BN melakukan pendekatan aggresif. Mereka belum kalah total. ‘Attacking is the best defence’. Kerana ini adalah permainan politik untuk merampas atau mengekal kuasa kerana cita-cita seorang yang ingin menjadi Perdana Menteri yang tak kesampaian.

PKR dan PAS telah meletakkan prinsip bangsa dan agamanya di pintu belakang kerana ingin mengambil hati orang-orang bukan Melayu. Melalui Pakatan Rakyat mereka berjaya mencipta matlamat bersama dan hanya satu – tumbangkan BN.

Strategi mereka ternyata berkesan sebab mereka menyerang dan terus menyerang dari semua posisi dan sudut. UMNO tidak bernafas untuk menjawab. Semua institusi-institusi penting negara seperti Kehakiman, Polis dan SPR sudah dikunci mati oleh Anwar melalui menghilangkan kepercayaan rakyat kepadanya. Bukan semua tuduhan betul, tapi rakyat mempercayainya. Inilah politik.

Bertabur rentak langkah dan tari komponen BN kerana serangan dan fitnah separuh benar daripada PR. Sebenarnya BN memerlukan pahlawan muda dan berani untuk menghadapi serangan ini.

Belumpun lama PKR berkuasa, terlalu banyak kes-kes nyata di kalangan wakil-wakil rakyat mereka yang menyebabkan pilihanraya-pilihanraya kecil yang menyusahkan rakyat terpaksa diadakan. Tetapi nampaknya ini tidak dieksploit dengan kemas oleh BN dan isu-isu ini berlalu begitu sahaja tanpa dilihat sebagai satu kesalahan.

Dalam beberapa minggu lalu terlalu banyak ‘political drama’ yang kita tonton sehinggakan rakyat sudah mulai rasa muak dan jijik.

Dalam sejarah negara tidak pernah kita melihat kaum India yang hanya merupakan 1.8 juta penduduk negara ini 'naik minyak' sampai begitu rupa sehingga sanggup memaki hamun pasukan keselamatan negara dan pimpinan yang diistilahkan oleh Hindraf sebagai 'kerajaan Melayu-Muslim'.

Jika saya diminta menyebut satu usaha positif DS Najib maka ianya adalah kegigihan beliau menangani krisis ekonomi negara dan sudah ada tanda-tanda positif kearah tersebut. Saya percaya jika usaha ini berjaya rakyat akan membuat penilaian semula terhadap tanggapan salah mereka sebelum ini.

Pendekatan beliau untuk tidak melayan provokasi-provokasi Anwar telah menobatkan beliau sebagai PM yang ke 6 lebih awal daripada sepatutnya. Ketenangan beliau yang bersahajalah yang membawa kerajaan Perak tumbang kepada BN berbanding kehebohan Anwar melalui Rancangan 16 September yang gagal.

Kita selalunya merancang, tetapi kita selalu lupa rancangan Allah kepada kita.