Saturday, July 28, 2012

TIADA ARAB SPRING DI MSIA





BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.

Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
 Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
 Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:

1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.

5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya.

ARKIB : 27/07/2012

Arab Spring Berbeda Dengan kita.


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Wednesday, July 25, 2012

KEFAHAMAN MAQASID AL SYARIAH


KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah, serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.

Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh mengenai Maqasid Al Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.

Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al Syariah.

Maqasid Al Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu Maqasid Al Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara serta keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.


Menurut Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan meninggalkan kemudaratan.

"Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Al-Mustashfa'," katanya.

Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu sendiri.

Jadi katanya, bagi memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu, dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama rasmi.

Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.

"Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai pendekatan wasatiyah yang turut didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan amat diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru kita untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan sebagai keutamaan," katanya.
Wasatiyah dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan ideologi sosial dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat, melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara langsung dari Studio TV Al Hijrah, Kompleks Pusat Islam setiap Isnin, pukul 10 malam.


ARKIB UTUSAN ONLINE : 24/07/2012

Memahami pengertian konsep Maqasid Al Syariah


Oleh :
ZAINAL RASHID AHMAD
Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah

Sunday, July 22, 2012

MEMAHAMI SENI POLITIK ANWAR




POLITIK adalah seni pengurusan angka, persepsi dan permainan propaganda. Dalam mana-mana parti di seluruh dunia atau peringkat antarabangsa, mereka mempunyai strategi tertentu dalam konteks untuk mempengaruhi sikap, pendirian, pemikiran rakyat yang mereka dampingi.

Dalam konteks meneroka 'strategi' parti-parti pembangkang di negara ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan (gambar) berterus-terang mengenai politik semasa tanah air.

"Dalam konteks memahami strategi parti pembangkang di Malaysia, kita tak boleh mengasingkan strategi parti dengan strategi individu tertentu khususnya Anwar Ibrahim.

"Ini disebabkan strategi pada pandangan umumnya adalah strategi yang didasari oleh pemikiran-pemikiran politik baru yang dicanangkan oleh ketua pembangkang itu," kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.



Fuad Hassan: Bekas pemimpin pelajar

Fuad membahagikan pengamatan beliau kepada elemen strategi berikut. Ia, kata beliau untuk renungan dan penilaian rakyat yang diakuinya kini matang dalam mengikuti perkembangan politik tanah air.

1. Strategi terus kepada rakyat

- Ini bermakna dia berkomunikasi langsung dalam bentuk bersemuka atau tidak langsung dalam media sosial, media elektronik yang dikuasai serta media cetak yang dikuasai bagi maksud menyampaikan mesej dalam bahasa dan perbandingan yang mudah kepada rakyat.

Dalam konteks ini, umum tahu bahawa ketua pembangkang mempunyai 'keistimewaan tersendiri' khususnya dari segi penguasaan bahasa dan juga ideologi serta hubungan awam serta 'pengurusan pentas yang bijak'.

Sama ada beliau berada di dalam mahkamah ataupun luar mahkamah ataupun dalam media cetak atau media sosial, mesej yang hendak disampaikan adalah kepada rakyat. Dan bukannya kepada hakim, akhbar dan kepada penonton tv yang terbatas.

Itu sebabnya kadang-kadang dia tidak menjawab soalan-soalan mahkamah. Dia tidak menjawab soalan-soalan para hakim kepadanya. Tetapi dia menjawab 'apa yang rakyat mahu dengar'.

 2. Dikambinghitamkan

- Dalam konteks ini UMNO yang selalunya menjadi 'scapegoat' atas apa sahaja isu masyarakat. Sama ada sampah, longkang, isu tanah ataupun isu pegawai kerajaan yang kecewa ataupun isu kemalangan jalan raya, maka semua dikatakan ini perbuatan UMNO.

Strateginya adalah megambil kesempatan pada ruang dan peluang untuk menghasut rakyat merasai kecewa atau marah kepada pemimpin.

Lumpuhnya UMNO bererti lumpuhnya BN. Sebab itu fokus tumpuan serangan yang diberikan haruslah kepada UMNO dan UMNO dijadikan 'kambing hitam' dalam setiap kesalahan umum dan kekecewaan rakyat dalam apa jua isu.

3. Seruan mengikut pihak majoriti

- Setiap pihak khususnya 'parti yang berkenaan' sering ingin menggambarkan mereka berada di pihak majoriti.

Pertama, melalui meramaikan jumlah pendengar atau penonton ceramah. Yang kedua, memujuk ikon-ikon masyarakat yang kecewa seperti artis, bekas pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh untuk menunjukkan satu gelombang peralihan kepada kumpulan mereka. Itu sebabnya akhir-akhir ini kita dapat melihat ramai artis dipujuk untuk menyertai ceramah-ceramah mereka.

Jadi, apa yang patut dibuat? Yang patut kita buat sebenarnya ialah tunjukkan lebih ramai lagi orang berpengaruh yang berada di pihak kerajaan. Mereka ini harus diberikan perhatian, diberikan tumpuan. Kebanyakan orang lama ini adalah orang yang sudah berjasa, sudah melalui zamannya dan mereka ini memberikan sumbangan kepada kerajaan.

Jadi, sekiranya kerajaan tidak melihat kepada mereka, sudah tentulah mereka akan mencari platform yang lain. Tolong jaga kumpulan ini.

4. Kenyataan memukau

- 'Mereka' memberikan janji dan harapan yang dilihat macam praktikal dan logik. Tetapi sebenarnya palsu. Antaranya, memberikan harapan kepada rakyat dengan pelbagai janji seperti menurunkan harga barang dan harga minyak walaupun tidak mengambil kira pasaran dunia. Walhal tidak pula dibicarakan tentang soal bagaimana mencipta kekayaan dan bagaimana mendapatkan pertumbuhan negara.

Yang dibicarakan adalah pengagihan... pengagihan...pengagihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa rakyat sekarang ini sudah dipasak dengan pemikiran rasuah.

5. Serangan berterusan

- Strategi ini banyak rakyat dapat lihat. Bertalu-talu, bertubi-tubi dan berfokus khususnya kepada ketua pimpinan, dalam konteks ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran yang pelbagai. Dalam kes-kes tertentu isu dicipta seperti kes pembunuhan wanita Mongolia.


Najib yang semasa itu masih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada malam 22 Ogos 2008 telah melafazkan sumpah di depan jemaah Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang bahawa beliau tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Walau apa pun Perdana Menteri buat, tetapi oleh kerana konsep 'kambing hitam' dan serangan bertubi-tubi, imej negatif berkenaan masih terpalit. Antaranya, ciptaan 'pengurusan pentas antarabangsa' seperti Mahkamah Perancis dan peristiwa Suaram berjumpa wakil pegawainya di Thailand (isu kapal selam Scorpene).

Ini memang 'seni' pakatan pembangkang. Ketua Pembangkang juga sering kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak dan sebagainya.

Dan mesej yang menyebabkan orang ketawa dan tergelak ini mudah diterima oleh masyarakat walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat. Ada tanda-tanda, sekarang masyarakat sudah kurang ambil kisah tentang tuduhan-tuduhan itu kerana apa-apa perkara pun kalau keterlaluan, masyarakat Melayu yang mempunyai nilai dan budaya sendiri akan menolaknya.

6. Kesaksian

- Ini digunakan bagi maksud untuk menangkis tuduhan-tuduhan mahkamah terhadap diri individu berkenaan yang digunakan oleh ketua pembangkang yang kemudiannya menjadi amalan kepada pengikutnya. Iaitu menggunakan seseorang atau lembaga untuk mendukung atau mengecam sesuatu tuduhan iaitu dengan cara menggunakan pakar atau ahli atau saksi langsung dalam kes-kes mahkamah.

Contohnya, sekiranya sesuatu kes dibicara dengan membawa pakar forensik atau hakim tertentu dari dalam negara, maka 'dia' akan 'counter' dengan membawa pakar forensik dan bekas-bekas hakim supreme council dari luar untuk mewujudkan dua pandangan yang berbeza. Yakni, tidak ada satu pendapat yang mutlak.

Malah, ada juga dengan cara agama khususnya mengambil pendapat ulama-ulama luar. Dr. Yusof al-Qhardawi contohnya, boleh digunakan bagi maksud memberi prinsip-prinsip umum menurut hukum Islam walaupun orang berkenaan mungkin tidak mengetahui perincian tentang peristiwa yang berlaku dalam satu-satu kes.

7. Pendekatan pertentangan kelas

- Pakatan pembangkang merupakan gabungan longgar pelbagai ideologi politik bagi maksud jangka pendek menawan Putrajaya. Dalamnya masih tersirat agenda kaum dan agama yang ekstrem dan tersembunyi. Penyusupan parti sosialis dalam pakatan itu terlibat dalam penonjolan pendekatan pertentangan kelas yang menjadi cara terbuka. Mereka mengapi-apikan rakyat dengan membuat perbandingan kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Misalnya menanam kebencian rakyat terhadap golongan kaya (kekayaan dikaitkan dengan kronisme dan rasuah) dan menanam kebencian kepada feudalisme seperti institusi raja-raja. Pendekatan seperti ini pernah meruntuhkan banyak dinasti dan kerajaan beraja pada masa lampau.

Fuad berkata, ada banyak lagi 'strategi' yang digunakan pakatan pembangkang. Dan apa yang patut dibuat ialah ia harus dijawab oleh tuan punya diri terlebih dahulu sebelum dibantu oleh orang lain.

"Sekiranya tuan punya diri menjawab, barulah orang lain boleh bantu. Tapi kalau tuan punya diri mendiamkan diri, perkara itu sukar untuk pihak-pihak lain membantu," katanya.


Tembelang tujuh 'muslihat'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

ISU POLITIK KITAR SEMULA


Pakar Isu kitar semula dan 'spin"


ISU-isu politik sekarang kini 'di pasaran' akhir. Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat, banyak isu kini dikitar semula dan disegarkan untuk survival politik pakatan pembangkang.

Ini trend sekarang. Ibarat dalam pusingan tinju dan tomoi Siam, hanya beberapa minit loceng hendak dibunyikan, masing-masing memberi tumbukan dan tendangan bertubi-tubi walaupun 'foul' untuk pastikan lawan tumbang. Inilah yang digunakan DAP, PKR dan Pas supaya 'nyawa' bersambung selepas pilihan raya umum.

Kalau dilihat, banyak isu sebenarnya sudah terjawab. Sama ada oleh tindakan agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR). Isu kilang memproses nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. kalau dinilai, dari aspek pengurusan politik sudah selesai pun dengan pelawaan pembangkang supaya menyertai satu jawatankuasa khas di Parlimen. Tetapi ia ditolak mentah-mentah oleh mereka dalam mencari penyelesaian saintifik isu Lynas ini.

Isu Pusat Fidlot National (NFC) begitu juga. Dari segi pengurusan politik juga sudah berlalu. Tinggal penyelesaian undang-undang di mahkamah sahaja. Dan kini nampak ketara ialah tindakan beria-ria pembangkang untuk menghidup dan menyegarkan isu-isu yang dikitar semula.

Ketika ditanya Utusan Malaysia kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan apakah perkara sama juga dikesan oleh jenteranya yang kerap turun padang menemui dan menyelesaikan isu-isu berkepentingan rakyat, Fuad memberikan komen berikut: "Pakatan pembangkang memang tidak sabar-sabar lagi menghidupkan isu-isu lama yang dikitar semula ini. 



Tetapi rakyat melihat kebanyakan isu ini sudah hilang 'daya beratnya' oleh kerana isu-isu ini sudah terlampau banyak mahu dikitar semula, langsung tidak ada fokus," kata beliau ketika dihubungi.

Beliau memberitahu, isu-isu yang dikitar semula ini telah dirancang dengan teratur oleh pembangkang dengan membahagi-bahagikannya kepada segmen-segmen dan kluster tertentu. Iaitu segmen yang boleh menarik orang muda, kaum Cina, peneroka Felda dan masyarakat India.

Fuad menarik perhatian mengenai gesaan Pas melalui Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang menuntut supaya pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Kata Fuad: "Isu PTPTN ini popular di kalangan generasi muda. Sedangkan yang sepatutnya dilakukan oleh Mohamad ialah meminta pelajar membayar pinjaman mereka kerana kalau tidak bayar, risikonya nanti terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan pelajar itu sendiri.

"Ketika ini kira-kira RM44 bilion yang sepatutnya dibayar pelajar (yang pinjam PTPTN) ini tidak dilunaskan sehingga hari ini ... jika dihapuskan, kerajaan terpaksa mengeluarkan subsidi. Bagaimana pula kepada pelajar yang telah membayar pinjaman ini. Kerana hendak mencari populariti, wang negara yang begitu besar ini hendak dihapuskan pula oleh Pas," kata beliau.

Fuad mempunyai pandangan sama dengan penulis. Soal betul atau tidak bagi pakatan pembangkang ketika ini ditolak ke tepi. Yang penting waktu ini dan saat ini, isu-isu dikitar semula menjadi pertaruhan hidup dan mati pembangkang.

Akibat isu kitar semula

Ada isu-isu yang dulunya 'hidup', tidak lagi dapat bertahan. Misalnya isu kematian mendiang Teoh Beng Hock, ia amat berkesan dipergunakan pembangkang pada Pilihan Raya Sarawak yang mengundang sensitiviti kaum Cina. Tetapi nampaknya ketika ini sudah 'pudar'.

Untuk mencetuskan semula sensitiviti masyarakat India, Hindraf muncul kembali di Putrajaya beberapa hari lepas. Mereka berhimpun dekat Pejabat Perdana Menteri kerana mendakwa kerajaan BN telah menghampakan kepercayaan masyarakat India.

Kalaulah 'ketuanya', P.Uthayakumar murni hatinya, dia tentunya sudah menghulurkan penghargaan kepada kerajaan betapa banyak sumbangan yang diperuntukkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kaum India.

Apakah di Batu Caves tempoh hari, Uthayakumar tidak duduk dan bersesak-sesak bersama penganut Hindu mendengar pengumuman Najib? Sepatutnya, Uthayakumar melaungkan 'nambikei' kepada Najib dan bukannya menghempaskan buah tembikai di Putrajaya.

Demikian juga perilaku Dong Zong atau Persekutuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia baru-baru ini yang kemunculan mereka dilihat seolah-olah cuba 'menangguk di air keruh'.

Dengan setiap kali turun padang, Najib dan timbalan beliau yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghulurkan peruntukan untuk sekolah Cina, itu belum termasuk peruntukan tetap kerajaan setiap tahun dan melalui MCA dan Gerakan lagi, Dong Zong masih tetap tidak bersyukur.

Dan apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong diejek dan dikatakan ditumbuk semasa hadir pada satu perhimpunan anjuran Dong Zong di Kolej New Era, Kajang, Selangor, di satu pihak yang turut hadir pada perhimpunan itu menaruh simpati pula kepada Ka Siong.

Ini berikutan sikap budiman (gentleman) Ka Siong yang memaafkan perbuatan pihak yang mengejek dan menumbuknya. Beliau cuma datang untuk mengurus dan menyelesaikan permasalahan sekolah-sekolah Cina dan bukannya hendak berdepan dengan perbuatan biadab sedemikian.

Kajian Bebas isu Teoh Beng Hock sudah selesai tapi
isunya  terus dimainkan.

Cara terbaik untuk berdepan dengan sentimen dan isu-isu yang dikitarkan semula pakatan pembangkang ini ialah tidak semuanya perlu dijawab. Namun, ia mesti ditangani dengan baik. Seperti isu Lynas, meskipun ia cuma isu tempatan di Kuantan, kesannya jika tidak dikendali dengan berkesan, boleh melarat ke peringkat antarabangsa.

Namun kalau diperhatikan secara keseluruhan, ada tanda-tanda pembangkang begitu defensif dengan serangan tindak balas bertali arus daripada Barisan Nasional. Isu Yahudi misalnya, meskipun isu pokoknya mengenai tindakan Anwar Ibrahim mahu mempertahankan keselamatan Israel, Pas pula cuba mencetuskan semacam hendak mempertahankan Yahudi. Sedangkan yang ditentang oleh kerajaan adalah zionisme dan Israel yang didirikan oleh ideologi Zionisme.

Pas dilihat cuba pula membela Anwar dengan menyebut bukan semua orang Yahudi jahat. Tapi pokok sebenar isunya ialah apakah Pas menyokong keselamatan Israel yang dilaungkan Anwar.

Ada yang mengapikan sehingga beliau 
begitu berani


Di Pulau Ketam beberapa hari lepas apabila Fuad berjumpa kaum Cina di situ, beliau dan beberapa anggota JASA melihat kecerahan di wajah mereka yang dari kalangan golongan lama dan pertengahan untuk meraikan kedatangan pemimpin. Cuma, berdasarkan gerak badan orang muda Cina, mereka nampaknya cuba lari-lari.

Ia masih paten kaum Cina namun sedikit sebanyak ia kian berganjak kepada BN kerana ikonnya kini ialah Najib. Dan perasaan sokongan orang Cina kepada BN ini dipercayai boleh dineutralkan jika ada calon-calon yang boleh menang di kawasan Cina.


ARKIB : 29/03/2012

Isu kitar semula pertaruhan pembangkang?

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KAJIAN PEMIKIRAN ORANG MUDA


ADA sesetengah tanggapan mengatakan kerajaan mesti banyak bercerita mengenai kisah kejayaan (success story) kepada orang muda.

Kerajaan, kata mereka, mempunyai banyak kisah kejayaan yang orang sibuk bercakap kebelakangan ini. Hanya kerana kisah itu tidak diulangi beberapa kali, ia kurang disedari orang muda atau belia.

Cuma risikonya - keghairahan ‘pihak berkenaan’ dalam menerobos politik yang sihat masih belum pulih. Malah, semakin buruk. ‘Pihak berkenaan’ dikatakan menggerakkan politik biasa dalam keadaan yang ‘luar biasa’ dengan menjadikan politik tanah air dalam keadaan huru-hara sekarang.

Memang ‘pihak berkenaan’ dikatakan memiliki tahalluf siyasi atau permuafakatan politik yang tampak menyerlahkan misi bersama. Ia digabung-gabung, sampaikan konon tidak terjawab oleh pihak sebelah sana. Namun, kebelakangan ini khususnya sejak setahun lalu, tampak perubahannya.

‘Politik luar biasa’ ini dibalas dengan tahalluf siyasi kerajaan atau lebih tepat lagi Barisan Nasional yang tampak menggugat dan menggusarkan mereka.

Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya baru-baru ini adalah antara kisah kejayaan yang perlu dikongsi kepada rakyat negara ini terutama orang muda. Kepada kerajaan, ia majlis yang diadakan untuk orang muda.

Perhimpunan paling ramai di Putra Jaya

Namun bagi pakatan pembangkang, apa sahaja dilakukan kerajaan waktu dan ketika ini adalah politik semata-mata. Pedulikan mereka. Kalau dilayan, tak berkerjalah kerajaan untuk rakyat.

Kerana pembangkang melihat majlis untuk orang muda yang berlangsung dari 23 hingga 23 Mei lalu itu sebagai himpunan sosial yang berjaya digelombangkan kepada himpunan politik, maka mereka mencuba untuk mensabotajnya.

Di Padang Kota, Pulau Pinang, pada hari sama himpunan jutaan belia berlangsung, pihak berkenaan mengadakan program untuk belia. Kelihatannya agak berjaya dari segi kehadiran program yang diketuai seorang ustaz.

Tetapi di Selangor, tindakan yang sama, gagal. Kerusi-kerusi yang diletakkan dalam dewan tidak diisi penonton, kosong belaka. Program yang sepatutnya dihadiri ketua pembangkang dan beberapa orang kanannya tidak berjaya.

Sebenarnya, golongan muda adalah sasaran kerajaan dan pembangkang. Kedua-duanya akur bahawa ketika ini golongan itu mewakili 77.9 peratus daripada pengundi berdaftar untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Bercakap kepada penulis di ibu negara Khamis lalu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan berkata, kalau hendak diambil kira jumlah kehadiran dan penyertaan lebih dua juta golongan di bawah umur 40 tahun ke Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, ia memang tampak ketara pandangan mereka terhadap kerajaan - semakin hari semakin baik.

Ini kerana cuma satu sahaja yang boleh disimpulkan - kalau orang muda tak suka kerajaan, masakan mereka hadir program tersebut. Tapi, mereka tetap hadir dengan gelombang besar pula ke majlis di Putrajaya itu.

Perhimpunan Hijau di Kedah

“Cuma kita (kerajaan) jangan terlampau selesa dan tidak baca isyarat orang muda ini dengan baik. Orang muda adalah golongan yang paling sukar diramal.

“Mereka seringkali dilabelkan sebagai golongan yang tidak mengambil peduli mengenai politik tanah air. Dan dikatakan mempunyai pelbagai tuntutan khusus yang sukar dijangka.

“Kerana itulah suara orang muda tidak boleh sesekali diketepikan. Hakikatnya golongan itu akan menjadi penentu kepada masa depan negara dan tentu sekali kita bercakap tentang menjelang PRU-13," kata beliau.

Mengambil peluang untuk menyelami isi hati orang muda inilah maka bertempat di sekitar Putrajaya sempena perhimpunan belia terbesar itu, pihak Fuad berusaha menyelami isi hati orang muda melalui satu kaji selidik.

Kajian dibuat dengan pemilihan responden dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun secara rawak merangkumi kaum Melayu sebanyak 82.34 peratus, Cina (10.04 peratus), India (3.94 peratus), Bumiputera Sarawak (0.96 peratus), Bumiputera Sabah (1.63 peratus), Orang Asli (0.49 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.31 peratus.

Hasil kajian yang diperoleh amat positif. Ia jelas sekali menunjukkan golongan muda mengambil berat mengenai politik negara. Berdasarkan soalan yang diberikan, seramai 46.1 peratus generasi muda berminat mengikuti perkembangan politik negara.

Lebih memberangsangkan lagi di sebalik tanggapan kononnya orang muda tidak hiraukan apa yang dibuat kerajaan, kira-kira 75 peratus responden yang sama berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan untuk generasi muda melalui Program Transformasi Kerajaan.

“Orang muda adalah pengundi berdaftar terbesar. Mereka ini penentu masa depan negara dan mengikuti perkembangan daripada media sosial dan media elektronik.



“Oleh itu boleh dirumuskan bahawa parti yang banyak memberi perhatian kepada pengurusan orang muda itulah yang akan menentukan kemenangan pada pilihan raya umum nanti," kata Fuad yang turut memberitahu kajian tersebut merangkumi 71 peratus belia bandar dengan bakinya adalah dari luar bandar.

Kata beliau, biarpun dapatan daripada kajian adalah positif, namun beliau berharap pihak kerajaan akan mengambil berat mengenai beberapa isu golongan muda yang sering diputar belitkan parti pembangkang.

“Kami sengaja meletakkan soalan adakah anda bersetuju agar semua hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dihapuskan dan hasil dapatan yang diperoleh adalah 42.7 peratus menyokong berbanding 34 peratus tidak menyokong.

“Di sini, isu PTPTN adalah isu popular dan ‘strategik’ dimainkan pembangkang sehingga memancing orang muda dan diajar oleh mereka nilai-nilai yang tidak baik, iaitu diajar agar tidak membayar hutang. Sedangkan perkara ini bertentangan dengan budaya ketimuran dan ajaran agama.

“Kita lihat orang muda sedikit sebanyak terpengaruh, oleh kerana itu, setiap kali isu seperti ini berlaku, kerajaan diharap bertindak pantas memberi penjelasan yang konkrit dan sistematik kerana isu pendidikan merupakan antara perkara yang menjadi perhatian golongan muda," katanya.

Fuad berpendapat, golongan muda mudah dipengaruhi. Oleh itu, golongan tersebut perlu diberi pendidikan dan penjelasan mengenai batas-batas ‘kebebasan’ agar tidak dimanipulasikan pihak-pihak yang menjadikannya sebagai slogan politik.

Berikutan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara April lalu yang dikatakan ‘berjaya’ menarik sokongan orang muda, kajian pihak Fuad turut bertanyakan respons golongan belia mengenai demonstrasi tersebut.

Hasil dapatan mendapati 52.7 peratus responden tidak bersetuju bahawa demonstrasi jalanan merupakan cara terbaik untuk menegur kerajaan, manakala 54.9 peratus responden pula tidak bersetuju bahawa demonstrasi Bersih 3.0 benar-benar bersih.

Lebih menarik lagi, 64.3 peratus golongan muda yang ditemu bual itu mahu pihak berkuasa bertegas ke atas mana-mana kumpulan yang ingin mengadakan demonstrasi jalanan pada masa hadapan.

“Kajian tersebut turut menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa sistem pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dan lebih 50 peratus bersetuju sistem pilihan raya berlangsung dengan adil," katanya.

Kata Fuad, dalam kajian tersebut, pihaknya juga menyelitkan mengenai senarai pemimpin mana yang menjadi pilihan orang muda ketika ini. Rata-rata anak muda semua kaum memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding sembilan pemimpin lain termasuk kalangan parti pembangkang.

“Anwar Ibrahim tidaklah sepopular seperti yang disangka. Malah golongan muda dalam kajian itu lebih memilih (Mursyidul Am Pas) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbanding Anwar.

“Ini mungkin kerana orang muda sudah terdedah dengan cerita peribadi Anwar serta mereka juga telah melihat segala manipulasi janji pembangkang terutama PKR yang diketuainya yang tidak pernah ditunaikan," katanya.

Apa pun, rumusannya ialah kerajaan perlu pintar dalam membaca isyarat orang muda. Kehendak golongan ini memang sukar diramalkan.

Namun, kalau kita berpegang kepada satu sahaja -- orang muda biasanya golongan yang baru hendak memulakan kehidupan. Apa lagi yang baru berkahwin. Tuntutan mendesak waktu itu adalah soal ekonomi - peluang pekerjaan yang lebih baik dan rumah.

Meneliti dapatan kajian pihak Fuad, terselit satu rumusan di dalamnya yang agak menarik perhatian. Yakni, dalam kalangan orang muda, faktor yang banyak mempengaruhi pemilihan dalam politik ialah diri mereka sendiri. Peratusnya besar, 75.1. Pengaruh keluarga dan rakan-rakan pula, masing-masing hanya sekitar 30 peratus dan 27 peratus.

Orang muda memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk disuntik. Jika di pentas ceramah, lawak jenaka wajar diselang-selikan dengan inti ucapan politik yang berat- lakukanlah.

Semakin ramai yang ingin mendengar kisah kejayaan kerajaan. Anak-anak muda ingin mendengar kisah tersebut.


ARKIB : 04/06/2012

‘Kisah kejayaan’ untuk belia

Oleh ZULKIFLI JALIL dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my