MEREALISASIKAN
GAGASAN 1MALAYSIA
Fuad Hassan
Setiap pemimpin
yang baru menerajui bagi mana-mana organisasi atau negara akan menyajikan
suatu gagasan atau teori politik yang diharapkan akan membuka jalan
menuju kejayaan dan kemakmuran rakyatnya. Kesejahteraan hanya dapat diwujudkan
dalam suatu sistem tata sosial di mana setiap individu bergantung kepada
individu lain, dan memerlukan seseorang pemimpin untuk mengatur urusan
kehidupan mereka.
Apabila
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-6
mengambalialih teraju pemerintahan, beliau telah meletakkan satu kerangka
landasan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia, dikenali sebagai
Gagasan 1Malaysia.
Gagasan ini
merupakan suatu proses kesinambungan pembinaan tamadun bangsa yang bermula dari
usaha mencapai kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pembangunan
luar bandar oleh Tun Abdul Razak Hussein, perpaduan bangsa oleh Tun Hussein
Onn, Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Islam Hadhari oleh Tun
Abdullah Ahmad Badawi dan 1Malaysia oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Perdana Menteri
dengan rendah diri mengakui bahawa gagasannya adalah satu penerusan dan
berkesinambungan:
“Dalam erti kata
lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan
aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam
sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.”
Ini merupakan
suatu proses kesinambungan dari rantaian pemimpin-pemimpin dari parti
politik yang berkongsi pandangan pembangunan yang sama bagi membangunkan negara
bangsanya yang masih muda ini. Perbedaan antara mereka adalah bagaimana
masing-masing pimpinan menangani permasalahan menurut pendekatan dan penekanan
semasa mereka.
Kertas ini
dirangka berasaskan definisi konsep Gagasan 1Malaysia yang dinyatakan oleh YAB
Datuk Seri Najib iaitu,
“….kita berdiri,
kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita
mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam
negara kita” (Datuk Seri Najib, Utusan Malaysia, 16 April 2009).
2. ASAS TAMADUN
Pembinaan sesebuah
tamadun bangsa dalam sejarah peradaban manusia bermula dan berteraskan asas
modal insan yang kukuh dan berkualiti. Kesedaran kepada hakikat dan fakta
sejarah ini telah menyebabkan tamadun-tamadun besar sepanjang sejarah manusia
memberikan tumpuan yang utama kepada pembinaan modal insan yang menjadi teras
dan tunjang kewujudan sesebuah tamadun.
Dalam bukunya The
Philosophy of Civilization, Albert Schweitzer. menggariskan hubungan tamadun
kebendaan dengan etika. Manusia bukan sahaja memerlukan kemajuan dari segi
pertanian, perdagangan global, perbandaran, sistem pengangkutan canggih,
perundangan, gaya kesenian yang tinggi, mercu tanda seni bina, astronomi dan
sebagainya, tetapi juga etika kehidupan, cara dan gaya hidup, kepercayaan,
nilai dan perlakuan dan budaya tinggi (High Culture).
Menurut
beliau, sebab utama berlakunya krisis dunia pada tahun 1923 adalah akibat
daripada manusia telah kehilangan konsep etika dalam ketamadunan yang membawa
kepada "rudeness" atau kehilangan kehalusan atau
"civility".
Penekanan kepada
pembinaan modal insan sebagai teras tamadun dapat dilihat dengan begitu ketara
dalam pemikiran Islam selaku salah satu tamadun besar suatu ketika dahulu yang
memberi sumbangan yang bermakna kepada kewujudan tamadun Barat hari ini.
Islam menganggap
pembinaan manusia dalam erti membina nilai-nilai murni dalam diri dan pemikiran
manusia dan dalam masa yang sama menyekat sebarang anasir yang boleh merosakkan
jiwa dan akal manusia, sebagai asas pembinaan masyarakat dan seterusnya tamadun
bangsa. Bertitik tolak daripada keyakinan inilah Rasulullah s.a.w
memperuntukkan selama 13 tahun di Mekah di awal kebangkitan Baginda s.a.w
sebagai rasul bagi membina generasi muslim pertama di Mekah.
Dalam tempoh ini,
tumpuan diberikan kepada pembinaan generasi melalui pengisian akidah tanpa
disibukkan dengan soal-soal perundangan yang disempurnakan di Madinah setelah
terbentuknya generasi muslim yang menjadi benih-benih yang akhirnya menumbuhkan
‘pohon’ tamadun yang dahannya menjulang tinggi ke langit sementara akarnya
menjalar ke pasak bumi.
Pemikiran Islam
berhubung kaedah pembentukan tamadun ini kemudiannya diterjemahkan dengan
begitu jelas oleh Syaidina Umar al-Khattab yang merupakan salah satu nama besar
dalam sejarah peradaban Islam kerana kejayaan kepimpinannya menumbangkan Parsi,
kuasa besar tamadun dunia pada waktu itu.
Di dalam sebuah
rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab (r.a.) duduk bersama dengan sekumpulan
sahabat beliau. Beliau berkata kepada mereka, “cuba kamu bercita-cita!” Salah
seorang daripada mereka berkata, “aku bercita-cita memiliki emas yang dapat
memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di medan jihad.”
Kemudian ‘Umar r.a
berkata lagi, “cuba kamu bercita-cita!”. Seorang lagi sahabat beliau berkata,
“aku bercita-cita agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya
dapat ku belanjakan untuk jihad fi sabilillah.”
‘Umar r.a berkata
lagi buat kali yang ketiga, “cuba kamu bercita-cita!” Lalu sahabat-sahabat
beliau berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul
Mu’minin.”
Lalu ‘Umar r.a
berkata, “cita-citaku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti
Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim pembantu Abu
Huzaifah, agar mereka semua dapat ku gunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”.
Proses pembinaan
tamadun sesuatu bangsa yang berteraskan pembinaan modal insan ini merupakan
proses yang memakan masa yang panjang dan perlu dilakukan secara berterusan dan
penuh komited. Ini adalah merupakan kenyataan yang jelas terpapar dalam sejarah
tamadun silam mahu pun tamadun Barat hari ini.
Tamadun Barat yang
begitu gah dan menguasai seantero dunia hari ini sebenarnya melalui perjalanan
yang panjang sebelum mencapai kemuncaknya pada zaman kini sebagaimana yang
dijelaskan dalam laluan sejarahnya “...The Enlightenment is the name given to
the age of reason, discovery and learning that flourish from about 1680 to 1820
and changed the way that people viewed the world.”
3. TAMADUN
Konsep pembinaan
masyarakat yang bertamadun ini sebenarnya sudah dibicarakan dalam falsafah
politik Islam sejak lebih seribu tahun dahulu. Sarjana dan ahli falsafah
seperti Ibnu Khaldun dan Al Farabi telah mengkaji hal tersebut dalam
karya-karya mereka. Pada zaman moden, ia telah dibincangkan dengan mendalam
oleh sarjana seperti Hegel, de Tocqueville, Durkheim dan Habermas.
Norma-Norma
seperti hak-hak Individu, bidang peribadi, hak berpersatuan, menghormati
peraturan formal, kepelbagaian sosial, publisiti umum dan perusahaan bebas
memang telah dibicarakan secara meluas. Antara ciri-ciri asas yang ditekankan
adalah:-
i) Muafakat
dalaman (internal consensus);
ii) Kepercayaan
dan keyakinan sosial
(social trust and
confidence);
iii) Sikap
kesederhanaan;
iv) Perpaduan tanpa
memihak kepada sesuatu
kumpulan tertentu
(non-partisan solidarity).
Antara ciri-ciri
penting dan utama sesebuah negara maju ialah jaminan yang diberikan oleh
undang-undang terhadap pemeliharaan dan pengiktirafan terhadap hak-hak individu
dalam negara yang biasa dinyatakan sebagai hak asasi manusia. Isu hak asasi manusia
ini kini telah menjadi antara persoalan asas dan teras diperingkat global. Ini
kemudiannya diisytiharkan dengan jelas dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia
Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1948.
Banyak pihak dan
tulisan yang membicarakan hak-hak asasi manusia samada menurut tradisi zaman
klasik, ajaran besar Islam mahupun menurut pandangan moden Barat. Perbincangan
melarat dari hak untuk bekerja, hak pendidikan, hak menggugurkan anak, hak
untuk hidup, hak bersuara, hak memiliki harta dan sebagainya.
Di dalamnya
terlihat perbincangan mengenai aturan moral dan perundangan. Kebanjiran
badan-badan bukan kerajaan dan aktivis sosial menyemarakkan lagi perbahasan
mengenainya.
Di samping penulis
mengakui hak-hak asasi yang diterima sebagai hak umum dan wajar dan harus
didukung oleh peraturan moral masyarakat, perbincangan mengenai tanggungjawab
rakyat wajar juga diketengahkan, kerana rakyat bukan bebas tanpa sebarang
peraturan dan nilai yang didukung bersama.
4. KONSEP 1MALAYSIA
Gagasan 1Malaysia;
Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan seperti yang dihasratkan oleh
Perdana Menteri adalah suatu impian, harapan yang membawa kesimpulan mudah
kepada tiga maksud yakni 1) Perpaduan Nasional (antara kaum, agama, dan jarak
wilayah), 2) Semangat Patriotik, dan 3) Pengukuran pencapaian kerajaan dalam
memenuhi kehendak Negara dan rakyat, melalui kaedah pengukuran seperti yang
dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama
(NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)
dan lain-lain.
Berdasarkan
kefahaman di atas, konsep ini mengandungi dua elemen seperti berikut :
i. Usaha
pembentukan bangsa Malaysia sehingga keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum dan agama berfikir dan bertindak sebagai Bangsa Malaysia; dan
ii. Komitmen
kerajaan memenuhi keperluan dan kehendak semua rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum dan agama.
5.
1MALAYSIA DAN ISLAM
Konsep 1Malaysia
berserta dua elemen di dalamnya sebenarnya selari dengan ajaran Islam.
5.1. Elemen
pertama : Usaha pembentukan bangsa Malaysia
5.1.1. Penyatuan
seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama di bawah satu negara telah
dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah yang turut didiami oleh
orang-orang Yahudi;
5.1.2. Penyatuan
seluruh rakyat merupakan wasilah kepada keamanan dan kemakmuran Negara. Dalam
Islam, kedudukan sesuatu wasilah samada diterima atau ditolak bergantung kepada
matlamat. Jika matlamat yang dituju merupakan matlamat yang baik, maka
wasilahnya dianggap baik dan diterima pakai dan demikianlah sebaliknya; Namun
Islam dengan jelas menolak faham “tujuan menghalalkan cara” seperti di bawa
oleh Machiavelli, melalui frasa "the end justifies the means" seperti
dalam bukunya, The Prince.
5.1.3. Pembentukan
bangsa Malaysia tidak meleburkan identiti keagamaan dan kebudayaan sesuatu kaum
kerana usaha ini bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain
memperuntukkan “Kebebasan beragama” kepada seluruh warga Malaysia. Inilah
antara hak-hak penting kaum bukan Melayu seperti yang dijamin perlembagaan.
5.1.4. Tetapi
Perkara 10 Fasa (4) Perlembagaan melarang mana-mana pihak mempersoal atau
mengungkit hak dan keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan khususnya: Soal
kerakyatan (Bhg.III Perlembagaan), Isu Bahasa (Perkara 152), Kedudukan
Istimewa Orang Melayu (Perkara 153) dan Kepentingan Sah Kaum Lain dan
Kedaulatan Raja-Raja (Perkara 181). Ini bertujuan memberi keadilan kepada semua
kaum seperti yang dipersetujui bersama oleh kaum-kaum utama sebelum mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957 sebagai balasan Kaum Melayu yang terpaksa bersetuju
menerima taraf kerakyatan kaum asing melalui Prinsip Jus Soli (Pemberian Taraf
Kerakyatan Secara Automatik Mengikut Tempat Lahir).
5.1.5 Kaum Cina
(MCA) dan India (MIC) pula menerima status, Agama Islam sebagai Agama
Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak Keistimewaan Orang
Melayu dan Kedaulatan Raja-raja dan Sultan Melayu.
5.2.
Elemen kedua: Komitmen kerajaan memenuhi keperluan dan
kehendak semua rakyat Malaysia
Keselarian elemen
kedua ini dengan Islam boleh dilihat dari dua aspek berikut :-
5.2.1. Islam
memuliakan seluruh manusia
i) Islam
memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu yang diajarkan kepada
penganutnya. Antara ciri-ciri yang berkaitan diskusi ini adalah insaniyyah
(kemanusiaan);
ii) Antara
maksud insaniyyah ialah Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan
hak-hak manusia (Lihat Qaradhawi, Yusuf, al-Thaqafah al-’Arabiyyah
al-Islamiyyah (2001), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 28);
iii) Manusia
secara jelas dimuliakan oleh Islam seperti yang dinyatakan oleh firman Allah
yang bermaksud[1] :
Maksudnya : “Dan
sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam”
iv) Kemuliaan itu
diangkat atas dasar bahawa mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada
keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama (Al-Qaradhawi,
2001, op.cit, hlm. 29);
v) Prinsip
kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini bukan sekadar teori. Ia
dipamerkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan
oleh Jabir bin Abdullah r.a. yang diceritakan, “Ada satu jenazah [diusung]
melintasi Nabi s.a.w, lantas baginda s.a.w bangun dan berdiri [sebagai
menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, ”Wahai Rasulullah,
sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. Baginda menjawab, ”bukankah ia
jiwa [yang bernyawa]?” (hadis riwayat Bukhari).
5.2.2.
Kewajipan pemerintah Islam menjaga kebajikan warga-negara bukan Islam.
i) Sabda
Nabi s.a.w :
Terjemahan: Setiap
kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap orang yang
dipimpin.
ii) Justeru
itu hadith di atas telah meletakkan satu garis panduan yang wajib dipatuhi oleh
setiap insan beragama Islam atas sifat tanggungjawabnya kepada orang yang
dipimpinnya merentasi batas agama, kaum dan juga warna kulit. Malah, ditekankan
oleh Rasulullah s.a.w. bahawa tanggungjawab itu akan ditanya oleh Allah s.w.t.
di ‘Hari Penghitungan’ nanti;
iii) Warganegara
bukan Islam diberi hak sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara beragama
Islam. Ini dinyatakan oleh prinsip yang ditegaskan oleh para fuqaha’ :
Terjemahan: Bagi
mereka [warganegara bukan Islam] apa yang kita [warganegara Islam] miliki dan
di atas [bahu] mereka apa yang di atas [bahu] kita.
iv) Prinsip
ini bermaksud, bagi mereka hak sebagaimana hak yang kita miliki dan di atas
bahu mereka tanggungjawab seperti tanggungjawab yang diletakkan di bahu kita;
v) Kebertanggungjawaban
terhadap rakyat bukan Islam ini diterjemahkan oleh para sahabat dan pemerintah
Islam seperti perjanjian yang ditulis oleh Khalid al-Walid dengan penduduk
Hirah di Iraq yang beragama Krisitan :-
“Mana-mana orang
tua yang tidak mampu bekerja, ditimpa apa jua penyakit atau jatuh miskin
sehingga rakan seagamanya memberi sedekah kepadanya, aku gugurkan bayaran
jizyah [daripadanya] dan akan ditanggung sara hidupnya serta tanggungannya
daripada Baitul Mal orang Islam”[2].
vi) Menurut
Syaikh Qaradhawi, perjanjian ini dilakukan oleh Khalid al-Walid pada zaman
Syaidina Abu Bakar r.a di hadapan sebilangan besar para sahabat tanpa ada di
kalangan mereka yang membantah[3];
vii) Tindakan serupa dilakukan oleh Syaidina Umar r.a yang membawa seorang tua
Yahudi yang meminta sedekah ke Baitul Mal dan memerintahkan supaya
diperuntukkan kepadanya dan orang yang sepertinya wang Baitul Mal yang
mencukupi dan mampu mengubah keadaannya[4];
viii) Kesimpulan daripada beberapa penjelasan di atas menunjukkan bahawa usaha
kerajaan membela semua rakyat di Negara Malaysia ini tanpa mengira bangsa dan
agama, adalah selaras dengan prinsip kemuliaan manusia yang ditegaskan oleh
al-Quran dan prinsip layanan pemerintah Negara Islam terhadap penganut Islam
dan bukan Islam.
6. KEADILAN SOSIAL
Keadilan sosial
ialah setiap individu mendapat hak-haknya dan di masa yang sama ia perlu
melaksanakan segala tanggungjawabnya bagi merealisasi keadilan dalam hidup ini.
Hak-hak ini merangkumi semua, hak untuk berekonomi, hak untuk bersuara, hak
untuk berpolitik dan sebagainya.
Sebagai contoh,
dalam hubungan antara pemerintah dengan rakyat, pemerintah ada hak-haknya yang
perlu dipenuhi oleh rakyat dan di masa yang sama, ia ada tanggungjawab yang
perlu ditunaikan terhadap rakyatnya.
Begitu juga dengan
rakyat, mereka ada hak-hak yang perlu ditunaikan oleh pemerintah, di masa yang
sama mereka juga ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada pemerintah.
Dalam Gagasan 1Malaysia, semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana2
pihak akan dipinggirkan. Namun Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf
kemajuan kaum2 yang berada pada tahap yang berbeza. Dasar2 kerajaan dan
peruntukan2 Perlembagaan yang memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukannya
akan tetap dilaksanakan.
IBN TAIMIYYAH |
7.
PERANAN RAKYAT
Layanan yang adil
kepada semua rakyat yang merupakan elemen pertama konsep 1Malaysia adalah
manifestasi daripada peranan dan tanggungjawab pihak pemerintah, walau dalam
apa jua keadaan sekalipun.
Dalam masa yang
sama, rakyat juga tidak terlepas daripada mempunyai tanggungjawab bagi
mendukung segala hasrat murni pihak pemerintah demi kejayaan rakyat dan Negara.
Rakyat dibenarkan tidak bersetuju dengan pemerintah, tetapi dibatasi agar jangan
sampai mengganggu kesejahteraan, keamanan dan kepentingan rakyat terbanyak.
Justeru itu, dalam Gagasan 1Malaysia rakyat didambakan supaya berusaha,
berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia;
Pada dasarnya,
asas kepada pembinaan Negara bangsa dan Bangsa Malaysia sudah diupayakan oleh
pemerintah melalui 5 Prinsip Rukun Negara sejak awal tahun 70-an. Dalam Prinsip
Rukun Negara tersebut telah menggariskan tugas, tanggungjawab dan peranan
rakyat bagi membentuk kesepaduan Bangsa Malaysia dalam kepelbagaian kaum dan
agama;
Sebagai rumusan
terhadap konteks tanggungjawab rakyat bagi menjayakan Gagasan 1Malaysia, boleh
dirangkumkan dalam penghayatan dan amalan Prinsip-prinsip Rukun Negara.
1Malaysia
menekankan matlamat membina tamadun untuk menjadikan Malaysia sebagai negara
maju menurut acuan Malaysia. Maju dalam pengertian kebendaan mahu pun
nilai-nilai tinggi masyarakatnya. Prasyarat kepada kemajuan ini adalah
PERPADUAN dan persaudaraan masyarakatnya. Dengan perpaduan lahirlah KEAMANAN
yang memungkinkan segala perancangan membangunkan modal insan dilakukan melalui
proses PENDIDIKAN. Falsafah pendidikan yang jelas dan seimbang dapat melahirkan
warga NEGARA MAJU.
Hala tuju negara
bagi mencapai wawasan Negara Maju harus dicerminkan melalui beberapa nilai
aspirasi yang telah digariskan sebagaimana berikut:-
i)
Budaya Berprestasi Tinggi
ii)
Budaya inovasi
iii)
Budaya ketepatan
iv)
Budaya ilmu
v)
Kebijaksanaan
vi)
Kesetiaan
vii)
Ketabahan
viii)
Integriti
8.
HAK-HAK INDIVIDU MENURUT ISLAM
Dalam pemikiran
Islam, hak-hak yang diberikan kepada manusia berangkaian dengan kewajipan dan
tanggungjawab. Keberangkaian antara hak dan tanggungjawab ini merupakan natijah
dan kesan kepada ketetapan Islam bahawa pengiktirafan terhadap hak-hak manusia
ini datangnya dari Allah s.w.t.
Sebagai kesan
kepada keberangkaian hak dengan tanggungjawab ini, dalam pemikiran Islam,
manusia bukan sahaja sebagai penuntut hak-hak yang diperuntukkan kepadanya,
tetapi dalam masa yang sama merupakan individu yang dituntut dari pihak
masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahunya.
Menurut Islam,
semua individu dalam sesebuah masyarakat mempunyai hak. Dalam masa sama mereka
juga mempunyai tanggungjawab ke atas orang yang lain. Hak dan tanggungjawab
tersebut merupakan kewajipan untuk dilaksanakan sepanjang kehidupannya dalam
masyarakat.
Rangkaian antara
hak dengan tanggungjawab secara jelasnya boleh dinyatakan seperti berikut :
1.
Hak rakyat ke atas pemerintah bergandingan
dengan kewajipan pemerintah menunaikan hak rakyat;
2. Hak orang-orang miskin ke atas orang-orang kaya
bergandingan dengan kewajipan orang-orang kaya menunaikan hak-hak orang miskin;
3.
Hak-hak pekerja ke atas majikan tersimpul dengan
kewajipan majikan menunaikan hak-hak pekerja;
4.
Hak-hak wanita ke atas lelaki berangkai dengan
kewajipan kaum lelaki menunaikan hak-hak wanita; dan
5.
Hak anak-anak ke atas para ibu bapa bergandingan
dengan kewajipan ibu bapa menunaikan hak anak-anak.
Hak-hak manusia
dalam Islam secara umumnya merangkumi hak-hak peribadi, pemikiran, politik,
perundangan, sosial, ekonomi, kebebasan umum yang pelbagai, hak-hak kaum lelaki
dan wanita dan juga hak-hak orang Islam dan bukan Islam.
Kupasan mengenai
perkara di atas ditulis dengan mendalam, antaranya oleh Professor Dr.Fathi
Uthman dalam bukunya, "Huquq al Insan Bayna al Shari'ah al Islamiyyah Wa
al Fikr al Qanuni al Gharbi" (Hak-hak insan antara Syariah Islam dan
Pemikiran Undang-undang Barat) dan juga tulisan Prof.Dr.Yusuf Al Qardhawi,
Wawasan Islam: Antara Keaslian dan Kemodenan.
9.
HAK KETAATAN
Sesebuah negara
tercipta kerana dukungan dan kesetiaan (mubaya'ah) dari ahli al syawkah (golongan
berpengaruh), dan setelah itu berkat pengaruh ahli al syawkah itu seluruh
masyararakat menyatakan kesetiaan kepada pemimpinnya.
Sumpah setia ini
memaksakan kepatuhan sebagai kewajipan yang paling utama sebagai warga negara,
selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah s.w.t dan ajaran Nabi Muhammad
s.a.w. Ini adalah merupakan perjanjian seorang Muslim dengan pemimpin dan
penjawat pentadbiran Muslim di dalam masyarakatnya.
Ayat-ayat al Quran
yang mengawali siasah sesungguhnya menetapkan kandungan-kandungan dari bay'ah
(sumpah setia) tersebut. Di satu pihak, ayat-ayat ini mewajibkan pemerintah
untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak, dan untuk menghakimi sesuatu umat
manusia secara adil seperti yang dirakamkan oleh firman Allah yang berbunyi
(An-Nisa’ : 58) :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada
ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu
menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Di pihak yang
lain, ayat-ayat ini mewajibkan kaum muslimin untuk mematuhi pemerintah selama
ia tetap melakukan kewajipan-kewajipannya seperti yang ditegaskan oleh sabda
Nabi Muhammad s.a.w[5] :
Maksudnya :
[Menjadi kewajipan] atas setiap individu muslim mendengar dan taat [kepada
pemerintah] dalam perkara yang ia suka dan [perkara] ia benci kecuali
[jika] ia diperintah [melakukan] maksiat. Maka, jika pemerintah memerintah [supaya
dilakukan] maksiat, maka tiada [kewajipan] taat dan mendengar [perintahnya ke
atas setiap Muslim]”.
Hujah-hujah ini
kira-kira sama dengan yang dikemukakan oleh theology Kristian pada zaman
pertengahan untuk menciptakan hubungan yang erat di antara gereja dengan
negara.
Persatuan dan
integriti ummah, pentingnya keamanan sosial, penegakan keadilan, dan
penghargaan kepada hak-hak individu menghendaki agar tata pentadbiran yang baik
harus dipertahankan.
Kesedaran terhadap
perpaduan rakyat inilah yang menyebabkan dikutuknya suku-suku Khawarij,
Rawafidh (Syi'ah) dan lain-lainnya yang menyimpang dari jama'ah. Diriwayatkan
bahawa Nabi Muhammad saw pernah bersabda [6]:
Maksudnya :
“Sesiapa yang mendapati sesuatu yang dibencinya dari pemerintahnya maka
hendaklah ia bersabar [kerana] sesungguhnya sesiapa yang memisahkan [dirinya]
dari komuniti [Islam] walaupun sejengkal kemudian ia mati [maka ia tidak mati]
melainkan mati seperti mati jahiliyah”.
Ibnu Taimiyyah
(661 - 728 H./ 1263 - 1328M) berpendapat bahawa ketaatan harus disertai dengan
penyelarasan di mana setiap individu dapat menyertai dalam kehidupan masyarakat
secara bergotong royong. Negara adalah tidak lain daripada sebuah organisasi di
mana pemimpin dan rakyatnya bersama-sama berjuang untuk merealisasikan
cita-cita bersama.
Fungsi pemimpin
hanyalah untuk menyelaraskan dan menjalankan disiplin di dalam masyarakat.
Pemimpin hanyalah diangkat untuk menyeru kepada kebajikan dan mencegah
kejahatan; inilah tujuan utama dari pemerintahan.
Kenyataan Ibnu
Taimiyyah ini adalah rumusan daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi
s.a.w yang meletakkan kewajipan membantu pemerintah, memberi nasihat dan
menjamin kebajikan mereka selaku pihak yang mengambil tanggungjawab menjaga
kemaslahatan seluruh rakyat, sebagai hak pemerintah yang wajib ditunaikan oleh
rakyat.
Kewajipan membantu
dan memberi nasihat kepada pemerintah serta menjamin kebajikan mereka membawa
pengertian bahawa rakyat bukan hanya sekadar mentaati pemerintah, tetapi dalam
masa yang sama memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat seluruhnya dari
segi-segi yang dinyatakan.
Konsep ketaatan
kepada pemimpin bukanlah satu konsep yang bersifat mutlak kerana ia pada
hakikatnya merupakan ‘ketaatan bersyarat’ yang akan gugur apabila syarat yang
ditetapkan tidak dipenuhi, iaitu ketiadaan percanggahan antara perintah
pemimpin dengan nas-nas yang tegas dari al-Quran, al-Sunnah atau pun Ijma’.
Justeru itu, Imam
Ibnu Taimiyyah menegaskan bahawa mengingkari pemimpin hanya boleh dilakukan
apabila keputusan-keputusannya terang-terangan bertentangan dengan ketetapan
perundangan yang didasarkan kepada teks-teks yang tegas di dalam al Qur'an atau
Sunnah, atau Ijma' para ulama. Nabi Muhammad saw pernah bersabda[7] :
Maksudnya : Tidak
ada [kewajipan] taat bagi [mana-mana] manusia dalam [perkara berkaitan] maksiat
[terhadap] Pencipta”
Namun Imam Ibnu
Taimiyyah membuat perbedaan antara pengingkaran dan pemberontakan. Menurutnya,
kita boleh mengingkari perintah yang tidak baik dari seorang pemimpin dan
menderitai hukuman kerananya, tetapi kita tidak boleh mengangkat senjata untuk
melawannya selama ia melakukan solat. Perbuatan seorang pemimpin boleh dikritik
namun kekekuasaannya tidak boleh ditentang.
10.
HAK DINASIHATI
Setiap Muslim
berkewajipan memberi nasihat (nush) yang baik kepada pemimpin sebagaimana yang
dilakukan kepada warga masyarakat yang biasa. Al Quran menyatakan kaum Muslimin
sebagai orang-orang yang bersaudara dan bersahabat, dan mempersatukan mereka
untuk saling menolong dan saling menasihati. Firman Allah (Ali Imran : 103) :
Maksudnya : Dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu
dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam
yang bersaudara.
Allah berfirman
(al-Taubah : 71):
Maksudnya : Dan
orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi
setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada
berbuat kejahatan.
11.
TANGGUNGJAWAB PEMERINTAH
Tanggungjawab
merupakan suatu keperluan atau kewajipan melakukan sesuatu dengan cara yang
khusus. H.L.A. Hart (1961) membedakan antara "kewajipan"
bertanggungjawab seperti yang dikehendaki oleh perundangan dengan
"rasa tanggung jawab moral".
Keperluan membayar
cukai adalah tanggungjawab perundangan di mana kegagalan mematuhinya akan
dikenakan hukuman oleh mahkamah. Tanggungjawab moral dilakukan berasaskan
kesedaran bahawa ianya wajar dan patut dilakukan.
Terdapat juga
teori kontrak sosial yang pernah berlaku dalam falsafah politik purba seperti
yang terlihat pada tulisan-tulisan Plato dan juga pemikiran-pemikiran yang
dikemukakan oleh Hobbes, Locke dan Rousseau pada abad ke 17 dan 18, yang
kemudiannya muncul semula pada zaman moden seperti yang disebut oleh John
Rawls.
Kontrak sosial
merupakan perjanjian yang dibuat mungkin di kalangan sesama rakyat, atau rakyat
dengan pemerintah di mana rakyat menerima kekuasaan kerajaan dan sebagai
balasan mereka akan menerima faedah-faedah yang hanya pihak yang berkuasa dapat
memberikannya. Di sini tanggungjawab politik rakyat kepada pemerintah dan
sebaliknya berlaku berasaskan janji implisit antara keduanya.
Para sarjana
samada Islam atau Barat telah menggariskan beberapa tanggungjawab yang
diletakkan di bahu pemimpin yang kesemuanya berlegar disekitar pemeliharaan
ideologi dan kedaulatan negara, mewujudkan kestabilan dalam negeri melalui
penguatkuasaan undang-undang dan menjaga kebajikan dan kemaslahatan
rakyat.
Sistem
pemerintahan yang berkesan, stabil dan sistematik tidak mungkin wujud tanpa
gandingan peranan pemerintah dan peranan rakyat. Dalam konteks hak-hak
pemerintah yang wajib ditunaikan oleh seluruh rakyat, selaku pihak yang
mengambil tanggungjawab mentadbir dan menjaga kebajikan rakyat, pemerintah
diberikan hak-hak tertentu sebagai galang ganti kepada pewakafan segenap tenaga
dan pemikiran mereka demi rakyat.
Justeru, rakyat
berkewajipan memberikan ketaatan dan kesetian kepada pemerintah bagi memenuhi
tuntutan bernegara, disamping bertanggungjawab mendokong pemerintah dari segi
membantu, memberi nasihat dan menjaga kebajikan pemerintah melalui Baitul Mal.
Dalam konteks
Malaysia, tanggungjawab pemerintah yang ketara ialah menjaga perpaduan rakyat
dan keharmonian dalam negara yang boleh retak dan bergolak bila-bila masa
disebabkan kepelbagaian kaum rakyatnya dan kerencaman budaya penghuninya.
Gagasan 1Malaysia
meletakkan ‘perpaduan‘ sebagai asas penting dalam pembinaan tamadun negara.
Keadaan kerencaman penduduk negara ini berbanding negara lain di dunia
menjadikan isu perpaduan sesuatu yang prima, yang mendasari semua perancangan
pembangunan lainnya.
Untuk itu
pengurusan masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan di Malaysia
sebenarnya lebih sukar dan sensitif berbanding negara lain di dunia.
Permuafakatan pemimpin utama kaum, toleransi yang tinggi, pengorbanan, serta
kawalan dan penguatkuasaan undang-undanglah yang menyumbang kepada keadaan
kestabilan yang sekian lama ini.
Sebagai sebuah
negara yang baru merdeka, isu kaum dan agama masih menjadi perbincangan dan
perdebatan di antara ahli politik, pentadbir dan pendidik. Setelah lebih 53
tahun negara mencapai kemerdekaan, agak mendukacitakan perbincangan mengenainya
semakin hangat terutama selepas pilihanraya umum yang ke 12 (2008).
Ini kerana
asas-asas yang pernah menyumbang kepada kestabilan dan persefahaman mula
diungkit dan dirungkai. Di sinilah Gagasan 1Malaysia menekankan peri pentingnya
perpaduan sebagai asas utama kepada Negara Maju.
12.
TANGGUNGJAWAB RAKYAT
Tanggungjawab
rakyat dalam kehidupan bernegara adalah menunaikan hak-hak pemerintah iaitu
ketaatan, memberi dokongan dan nasihat kepada pemerintah. Dalam konteks
merealisasikan gagasan 1Malaysia, rakyat bertanggungjawab mendokong gagasan ini
dan memberikan apa jua sumbangan yang membawa kepada kejayaan gagasan ini.
Tanggungjawab
rakyat yang terpenting dan utama ialah berusaha mewujudkan perpaduan di
kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Negara ini. Tanpa perpaduan rakyat,
matlamat teras gagasan 1Malaysia iaitu mewujudkan Negara bangsa dan perpaduan
nasional berasaskan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’, tidak akan terlaksana.
Dalam konteks Malaysia,
perpaduan antara kaum perlu berteraskan kepada tiga prinsip iaitu pertama;
prinsip penerimaan antara semua kaum; kedua, prinsip kenegaraan yang
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga, prinsip
keadilan sosial.
Setiap kaum yang
membentuk masyarakat dan negara Malaysia mesti menerima hakikat kepelbagaian
mereka dengan makna menerima semua kaum yang terdapat di Malaysia sebagai
rakyat Malaysia yang sah dan mempunyai hak yang diperakui dan dijamin oleh
undang-undang negara. Jika diambil kira pandangan salah seorang pemikir
terkenal Islam masa kini, iaitu Dr. Tariq Ramadhan, penerimaan terhadap
kaum-kaum yang berlainan perlulah dibina di atas asas menghormati, bukan
sekadar toleransi.
Pandangan ini
berasaskan kepada pengertian toleransi yang bermaksud paksaan yang dikenakan ke
atas diri sendiri supaya menerima kehadiran orang atau kaum yang berbeza demi
mewujud maslahah-maslahah tertentu atau memelihara kepentingan-kepentingan
tertentu yang sedia wujud.
Sikap yang
dipamerkan dalam hubungan antara kaum yang berlainan yang diasaskan di atas
prinsip toleransi semata-mata, tidak akan berupaya membentuk perpaduan yang
jitu disebabkan tiada unsur-unsur penghormatan terhadap kaum yang berbeza.
Setiap perkara
yang boleh meretakkan perpaduan kaum di Negara ini perlu dielakkan. Di sinilah
pentingnya setiap rakyat mempunyai tasawwur yang jelas tentang perkauman yang
secara tabi’ienya mendarah daging dalam diri setiap manusia. Sifat perkauman
tabi’ie ini perlu dikawal dan diselenggara oleh nilai-nilai murni bagi
mengelakkannya menjadi pemusnah kepada perpaduan yang sedia terbina.
Fahaman perkauman
sepatutnya difahami sebagai kecintaan kepada kaum sendiri yang mendorong
individu mahupun kelompok berusaha bersungguh-sungguh membela dan menjaga
kepentingan kaum dalam batas-batas tertentu bagi memastikan semangat perkauman
tadi tidak membawa kepada penindasan kepada kaum lain atau memandang rendah
kepada kaum yang berlainan.
Semangat perkauman
yang dibiarkan bebas tanpa batasan hanya akan menghancurkan Negara kerana ia
akhirnya akan membawa kepada penindasan terhadap kaum lain di atas nama membela
kaum sendiri, atau memandang rendah kepada kaum lain di atas nama kecintaan
kepada kaum dan keturunan sendiri.
Rakyat Malaysia
juga mesti memperbetulkan persepsi mereka terhadap kemajmukan masyarakat Negara
ini. Kepelbagaian kaum dan kerencaman budaya serta agama, tidak boleh dilihat
sebagai garis pemisah antara kaum-kaum yang berlainan atau sebab kepada
pertelingkahan. Ia sebaliknya mesti dilihat sebagai potensi yang boleh
digembeling bagi kemajuan dan kemakmuran Negara melalui pemanfaatan budaya yang
pelbagai, ciri-ciri kekauman yang berbeza dan kemahiran-kemahiran yang
berlainan.
13. AMANAH PEMERINTAH DAN PENYERTAAN RAKYAT
Hubungan rakyat
dengan pemerintah harus bertimbal balik dalam menjana nilai-nilai aspirasi
untuk menjadikan Malaysia negara maju. Pemerintah melaksanakan amanah dan
rakyat menyertai atau membantu menjayakannya sejajar dengan ketetapan bahawa
pemerintah diberikan hak-hak tertentu yang wajib ditunaikan oleh rakyat.
Ketetapan ini menuntut rakyat memberikan penyertaan mereka dalam segala program
atau gagasan yang dirangka oleh pihak pemerintah dalam bentuk mentaati
pemerintah, memberikan dokongan dan sokongan serta nasihat.
Melalui Gagasan
1Malaysia enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) telah diberikan keutamaan dan
rakyat tidak harus menjadi penonton pasif atau mengizinkan sebarang keadaan
negatif berterusan. Enam NKRA tersebut adalah:-
i) Mencegah
jenayah
ii) Memerangi
rasuah
iii) Pendidikan
berkualiti
iv) Meningkatkan
pendapatan rakyat
v) Meningkatkan
prasarana luar bandar
vi)
Penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam
Kesemua Bidang
Keberhasilan Utama di atas hanya akan tinggal sebagai slogan dan gagal
diterjemahkan ke alam realiti kehidupan tanpa sokongan dan penyertaan rakyat
keseluruhannya. Dalam konteks pencegahan jenayah sebagai contoh, segala usaha
pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang serta pelbagai program yang
dilaksanakan kerajaan, tidak akan memberi impak yang besar dalam penurunan
kadar jenayah jika segala usaha ini tidak disambut oleh rakyat dan didokong
secara bersama.
Hal ini terjadi
kerana kerosakan atau keadaan yang tidak terkawal yang berlaku dalam sesebuah
masyarakat, bukan hanya berpunca daripada individu, tetapi juga struktur
dan pengaruh masyarakat sebagaimana yang diutarakan oleh sesetengah sarjana.
"Human being are not born corrupt, tainted by 'original sins'; rather they
are corrupted by the society.." "And society can corrupt individuals
in a number of ways..." (Political theory, Andrew Heywood, NewYork,
2004, pp. 168).
Gambaran ini dinukilkan dalam pengenalan yang masyhur oleh Rousseau dalam bukunya
Sosial Contract (1762). 'Man is born free is everywhere in Chain'. Menurutnya,
kadar jenayah tidak mungkin dapat dikurangkan semata-mata berasaskan hukuman,
tetapi melalui perubahan sosial, termasuk mengurangkan kadar penggangguran,
perumahan, kawalan kemasukan imigrasi, pemantauan masyarakat (social watch) dan
sebagainya.
Memang menjadi
tanggungjawab pemerintah mengambil langkah mengurangkan kadar jenayah. Semua
pemimpin yang sedang atau ingin memerintah berazam dan berjanji akan memberikan
jaminan keselamatan, perlindungan, kemakmuran dan keselesaan kepada rakyatnya.
Namun seperti yang dijelaskan, rakyat berkewajipan memberikan dokongan dan
sokongan kepada pemerintah dalam sebarang usaha yang bertujuan membawa kebaikan
dan kesejahteraan kepada negara secara keseluruhannya.
Di Malaysia
jenayah dalam pelbagai bentuk sering memenuhi ruang dada akhbar sehingga rakyat
merasakan tidak selamat. Jenayah seperti pembunuhan, ragut, rogol, rompak dan
samun mungkin tidak sebanyak negara-negara sedang membangun yang lain, namun
pendedahan dan pembunuhan berprofil tinggi cukup untuk menyebabkan rakyat tidak
merasa selamat.
Tetapi menyerahkan
tugas menjaga keamanan hanya kepada pemerintah tidak akan dapat menyelesaikan
masalah tersebut sebaik mungkin. Rakyat perlu bertanggungjawab menjadi mata dan
telinga pihak berkuasa untuk membuat tangkapan dan dakwaan.
Rakyat juga perlu
sama-sama membantu memperkukuhkan semangat kejiranan Rukun tetangga dan
sanggup menjadi saksi semasa perbicaraan atau kehakiman. NKRA dalam usaha
pencegahan jenayah merupakan usaha kerajaan memberikannya perasaan selamat
kepada rakyat. Kejayaannya perlu diukur dan dirasai kesan positifnya oleh
rakyat.
Peranan yang sama
perlu dilakukan seluruh rakyat berhubung usaha besar-besaran pihak kerajaan
memerangai rasuah kerana tanpa gabungan peranan kerajaan dan masyarakat, segala
usaha yang sedang dan telah dilakukan bagi membanteras jenayah ini tidak akan
memberikan kesan yang maksima.
Peranan kerajaan
berhubung pembanterasan jenayah ini ialah memberi kesedaran dan pendidikan
tentang bahaya rasuah disamping menguatkuasakan undang-undang. Namun segala
tindakan ini tidak akan menatijahkan hasil yang berkesan tanpa sentuhan dan
sambutan dari rakyat.
Persoalan yang
penting yang harus diperhatikan kita menangani persekitaran yang bawa kepada
perbuatan rakus ini. Antaranya ialah godaan nafsu berasaskan nilai permissive,
kehilangan institusi pemeriksaan kuasa, pembuat keputusan yang samar, ketiadaan
peranan masyarakat sivil, pemisahan jurang atau ketidakadilan dalam pengagihan
harta yang memburukkan keadaan kemiskinan rakyat, serta penyuburan amalan
rasuah di kalangan rakyat sendiri.
14.
PENUTUP
Bagi mencapai
aspirasi agar Malaysia menjadi sebuah negara maju berteraskan acuan sendiri
pada tahun 2020 mendatang, adalah diharapkan bahawa formula yang dirumus oleh
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang
digelar sebagai Gagasan 1Malaysia akan dapat diterapkan ke hati sanubari
seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Gagasan
tersebut merupakan sebagai usaha lanjutan bagi memupuk perpaduan rakyat.
Sesungguhnya hanya melalui perpaduan rakyat akan dapat menuju pencapaian
Wawasan 2020.
Hal ini dikukuhkan
lagi oleh Datuk Seri Mohd. Najib dalam ucapannya:-
“1 Malaysia adalah
gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,
berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap
rakyat Malaysia”.
[1] Al-Isra’ : 70
[2] Abu Yusuf,
al-Kharaj, hlm.144
[3] Ghair
al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, hlm. 16.
[4] Abu Yusuf,
al-Kharaj, hlm.126
[5] Sahih Bukhari
hadis no.7144, Sahih Muslim hadis no.1839,
[6] Sahih Bukhari,
hadis no.7054, Sahih Muslim, hadis no. 4896
[7] Musnad
al-Syihab al-Qudha’ie, hadis no. 814
RUJUKAN:
Andrew
Heywood, Political Theory, An Introduction, Publication Palgrave Macmillan,
2004.
Institut
Strategi Pembangunan Malaysia (MINDS), Masyarakat Madani – Satu Tinjauan Awal,
1998.
Michael
Rosen & Jonathan Wolff, Political Thought, Oxford University Press, 1999.
Mohammad
Hashim Kamali, Freedon of Expression in Islam, Berita Publishing Sdn. Bhd.,
Kuala Lumpur, 1994.
Norbert
Elias, The Civilizing process, The History of Manners and State Formation and
Civilization, Blackwell, Oxford UK & Cambridge USA, 1994.
Prof.Dr.Yusuf
Al Qardhawi, Wawasan Islam: Antara Keaslian dan Kemodenan
Qamaruddin
Khan, Politik Pemikiran Ibnu Taymiyyah, Penerbitan Pustaka, Bandung 1983.