Ada orang
berpendapat dari beberapa sudut, politik Malaysia selepas Pilihan Raya
Umum ke-12 pada Mac lalu adalah politik "serba mungkin" - the
politics of possibility. Ianya juga seperti yang dinyatakan
oleh Machiavelli mempunyai elemen The end justifies the means atau tujuan
menghalalkan cara.
Untuk mencapai
satu tujuan jangkapendek pelbagai cara dibolehkan melalui andaian logika,
sandaran Islam, serta perikatan tidak suci "unholy alliance" antara
pihak yang berbeda kepentingan. Ini suatu percubaan berani dari pihak
yang berlainan mimpi bagi mempertaruhkan masadepan negara, bangsa dan agama.
PAS memberikan
justifikasi dengan menyatakan permuafakatan dengan DAP sebagai "Tahalluf
Siyasi". (Permuafakatan
Politik). Tahalluf Siyasi apa kalau perjuangan Islamnya semakin luntur,
perjuangan bangsanya semakin kabur dan banyak perkara dasar Islami perlu
mendapat lampu hijau dari DAP. Tahalluf Siyasi harus mendaulatkan Maqasid
Syariah (Matlamat Politik yang berasaskan syariah) dan perlaksanaan matlamat
syariah semakin kukuh apabila maqasid mendahulukan perundingan sesama ummah,
bukan musuhnya.
Dalam dunia media
yang semakin canggih dan terbuka ini, panduan, kawalan dan penguatkuasaan
semakin sukar dan boleh dianggap bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi
baru, kebebasan bermaklumat dan bersuara. Keadaan ini menyukarkan sebarang
usaha untuk menanam rasa kesatuan (sense of oneness) sebagai pendorong untuk
bekerjasama bagi sesuatu tujuan yang lebih besar dan jauh.
Jalur Gemilang simbol penyatuan |
Banyak sekali isu-isu yang suatu ketika dahulu dianggap 'taboo' dan sensitif kini habis terburai, dilapah mengikut perasaan hati dan kebebasan akal semasa. Isu kalimah Allah, isu penghinaan institusi raja-raja, dasar-dasar penting perlembagaan negara, dasar afirmatif, sistem kehakiman, simbol-simbol negara dan sebagainya. Semuanya dirungkai atas nama keadilan dan kebebasan rakyat dan penyamarataan. |
Dalam masyarakat
yang rumit seperti Malaysia, kita memerlukan simbol atau payung untuk kita
bersatu. Perlu ada gencatan senjata dalam perkara yang dipersetujui bersama.
Masjid nampaknya tidak lagi dapat dijadikan tempat penyatuan, institusi raja
bukan tidak terlepas dari penghinaan, kehakiman tidak dianggap bebas jika tidak
memihak kepada sesuatu pihak berkepentingan, kebenaran tidak lagi bersifat
mutlak tetapi semuanya nisbi menurut sudut pandangan.
Dr. Sheikh Muszaphar |
Dalam erti kata
lain dalam sistem anarki atau runtuhnya peraturan, tiada lagi sumber kuasa atau
simbol rujukan yang boleh menyatukan. Semuanya berselindung disebalik nama
kuasa ketuanan dan kebebasan rakyat.
Jalur Gemilang
sebagai simbol kemerdekaan dan semangat patriotik tidak lepas dari kritikan dan
penghinaan. Suatu ketika dulu terdapat pelbagai pandangan lantang berkaitan
dengan simbol patriotisme dan sejarah negara. Antaranya:
1. Usaha untuk
melakukan penilaian semula terhadap sejarah kemerdekaan negara. Bahawa pejuang
sebenar kemerdekaan adalah Parti Komunis Malaya (PKM) dan bukannya Tunku Abdul
Rahman dan parti UMNO yang dianggap tali barut penjajah.
2. Usaha
merendahkan martabat Jalur Gemilang dengan menyatakan JG diciplak dari
bendera negara imperialis Amerika seperti yang pernah disebut oleh bekas
pemimpin sosialis Universiti Malaya yang kini menjadi aktivis Pakatan Rakyat,
Hishamuddin Rais;
3. Mempermainkan
lagu Negaraku sebagai "Negara Kuku" dalam bentuk raps seperti yang
terlihat dalam klip video penyanyi raps kontroversi, Namewee. Beliau juga
pernah meluahkan protesnya terhadap azan yang dianggap mengganggu ketenteraman
subuh.
4. Luahan Twit
kerana tidak berminat mengibarkan Jalur Gemilang serta menurunkn darjat
Jalur Gmilang sebagai "Jalur Malang" oleh bekas menteri besar Perak
Mohammad Nizar Jamaluddin;
5. Tentangan
terhadap tema, logo dan lagu "Janji Ditepati" untuk hari sambutan 55
tahun kemerdekaan negara oleh Pakatan Rakyat dan penyokong media sosial PR.
Lee Chong Wei |
Sejarah tidak
pernah menafikan peranan yang dimainkan golongan kiri seperti Ibrahim Yaakub,
Ahmad Boestamam, Burhanuddin Helmi dan lain-lain yang mahu mencapai kemerdekaan
bersama Indonesia melalui konsep "Melayu Raya". Jika sejarah tersebut
dirasakan tidak memadai bolehlah diperincikan lagi oleh pakar-pakar sejarah.
Tetapi kita harus
mengakui pandangan majoriti bahawa Tunku Abdul Rahman melalui UMNO, MCA dan MIC
sudah ditakdirkan berjaya mencapai kemerdekaan tahun 1957 dengan Tunku
diisytiharkan sebagai Bapa Kemerdekaan. Beliau juga telahpun menjawat sebagai
Perdana Menteri pertama dan Malaya diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu. Kejayaan seterusnya adalah usaha menubuhkan Malaysia pada tahun 1963
bersama-sama pemimpin masyarakat Sabah dan Sarawak.
Walaupun cara
mendapat kemerdekaan Tunku tidak menumpahkan darah seperti di Filipina dan
Indonesia, atau seperti perjuangan PKM di hutan yang ingin memaksakan ideologi
komunis, ia tidak sedikitpun
mengurangkan nilai kemerdekaan yang kita miliki secara teratur, tertib dan
bijaksana. Malahan kejayaan demi kejayaan yang dicapai berbanding dengan
negara lain menunjukkan kebijaksanaan dalam politik diplomasi mengatasi
segala-galanya.
M. Magendran dan N. Mohandas |
Ketika Lee Chong
Wei berhempas kudrat untuk menaikkan nama negara kita tidak memerlukan manusia
seperti ADUN Alam Shah, M.Manoharan yang memperlekehkan keupayaan anak Malaysia
dengan memuji pasukan lawan. Ini sungguh tidak patriotik.
Bukankah George
Bernard Shaw pernah menyatakan: "Patriotisme pada asasnya, adalah
satu keyakinan bahawa sesuatu negara itu adalah yang terbaik di dunia kerana
kita lahir di dalamnya." walaupun pada hakikatnya ada yang lebih baik dari
kita.
Sebelum Pandelela
Rinong meraih pingat gangsa dalam acara papan terjun di sukan Olympik, seorang
pengamal twitter bernama Johari Pain menulis: "Gua berani kerat (anunya)
kalau pandelela menang pingat mlam nih.."
Tiba-tiba
Pandelela berjaya dengan cemerlang maka ramai yang menuntut Johari Pain
menunaikan janjinya, iaitu "Janji DiKerati". Benarlah kata ahli
falsafah Greek bahawa:,“Wise men speak because they have something to say;
Fools because they have to say something.”
Bunyinya kelihatan
jenaka tetapi itulah yang berlaku. Rakyat Malaysia diajar supaya tidak lagi
bangga dengan negara sendiri. Mereka juga diajar usah berterima kasih kepada
pemberian pemimpin kerana itu hak mereka.
Rakyat juga diajar
terus meminta daripada menyumbang untuk negara. Ini semua akibat segala-gala
sudah dipolitikkan. Mereka tidak lagi dapat membedakan antara "simbol
negara", "visi negara" dengan sepak terajang politik kepartaian.
Sesungguhnya kita
amat rindukan zaman "Malaysia Boleh" yang pernah bergemuruh dilaungkan oleh semua golongan
rakyat ketika kapal melonjak ke langit membawa Angkasawan negara Dr.
Sheikh Muszaphar Shukor. Demikian juga ketika Azhar Mansor membuat pelayaran
solo mengelilingi dunia, M.
Magendran dan N. Mohandas berjaya menakluki gunung Everest dan ketika Nicole
Davis berjaya mengulangi juara dunia berkali-kali dalam pertandingan squash
antarabangsa.
Laungan Ini
merupakan kemuncak penyatuan rakyat dan simbol penyatuan negara yang perlu
terus dihidupkan seperti sukan Olympik di kota London. Usahlah Ia dipolitikkan.
Namun gangguan
terhadap simbol penyatuan negara masih belum reda. Baru-baru ini Pakatan Rakyat
bertekad untuk menggunakan tema "Sebangsa Sejiwa Senegara" seperti
yang diumum oleh sasterawan negara dan penyokong tegar PR, A. Samad Said
sebagai tema kemerdekaan Pakatan Rakyat.
"Janji
Ditetapi" dianggap sebagai tema Barisan Nasional. Tetapi ternyata tiada
muafakat diantara Pakatan Rakyat sendiri untuk menggunakan tema bersama mereka.
Akhirnya wujudlah tiga tema bagi empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat:
1- “Sebangsa
Sejiwa Senegara” di Selangor dan Pulau Pinang.
2- “Menerajui
Perubahan” di Kelantan.
3- “Terus
Berbakti” di Kedah.
Apakah mesej yang
ingin kita sampaikan kepada rakyat dalam kekecohan tema kemerdekaan ini. Apakah
kebebasan, demokrasi atau anarki, yakni runtuhnya peraturan dan kepimpinan yang
tidak dihormati dalam acara penting negara. Ini akibat tidak dapat membedakan
antara "politik kepartaian" dengan "politik
kenegaraan".
Dimanakah yang
dikatakan elemen berbau politik "Janji ditepati" berbanding dengan
ketiga-tiga tema berasingan PR? Kesemuanya bersifat konsep universal,
Bukankah "Janji Ditepati" merupakan satu nilai mulia
yang dituntut oleh semua agama. Bukankah Janji Ditepati seharusnya merupakan azam
pemimpin untuk menjayakan wawasan negara maju.
Tidakkah Janji
Ditepati merupakan peringatan untuk semua, tidak kira kerajaan atau
pembangkang, individu atau masyarakat, supaya menunaikan janji yang belum
terlaksana bagi mencapai matlamat kebahgiaan rakyat dan Negara Terbaik atau
"Madinah Al-fadilah" seperti yang diharapkan oleh Ibn Farabi.
Apakah maksud
"Sebangsa Sejiwa Senegara" terlalu berbeda dari konsep Satu Malaysia.
Bukankah suku kata "Se" yang bermakna "Satu"?. Jika
demikian apakah justifikasi logo Satu Malaysia diharamkan oleh Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) untuk dipasang dan dikibarkan di Negeri Selangor?.
Bukankah pengarah
komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pernah menjelaskan istilah
"Sebangsa" bermaksud "Bangsa Malaysia, penyatuan semua kaum
seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir
Mohamad" (Sinar Harian, 12 Ogos 2012, m.s. 6). Apa bedanya dengan Satu
Malaysia?.
Pakatan Rakyat
juga menyatakan konsep Satu Malaysia adalah slogan yang ditiru dari Negara
Israel. Sebenarnya "One Israel" atau "Yisrael Ahad"
adalah merupakan strategi
Parti Buruh untuk mengadakan perikatan dengan Parti Gesher dan Parti Agama Meimad bagi memenangi
pilihanraya Knesset Israel pada tahun 1999. Ia bertujuan untuk
mengurangkan imej sekular Parti Buruh.
Semua mengetahui
"One Israel" terkubur apabila parti Meimad keluar dari perikatan pada
tahun 2000 kerana tidak bersetuju dengan Persidangan Camp David yang berunding
dengan Yasser Arafat. Ehud Barak kemudian didakwa kerana melanggar peraturan
pilihanraya dengan menggunakan dana asing untuk kempen Knesset tersebut.
Jelasnya,
"One Israel" merupakan permuafakatan politik jangkapendek Ehud Barak
untuk menang pilihanraya. Satu Malaysia adalah lambang visi pemimpin untuk
meneraju negara selepas menang pilihanraya 2008. Tujuannya untuk menyatu,
memakmur dan mengukur pencapaian kerajaan dalam usaha membantu rakyat. Ia
adalah terjemahan dan lanjutan dari Wawasan 2020 dan Islam Hadari.
Kesimpulannya kita
harus mengerti bahawa politik harus punya batas masa dan tempat. Bukan semua
perkara perlu dipolitikkan. Dasar-dasar penting negara serta simbolnya harus
didukung bersama. Dalam usaha menyambut 55 tahun merdeka ayuh kita kibarkan JG
dengan megah sebelum kita kehilangan. Sebenarnya bukan salah politik tapi
pelakunya. Benarlah seperti kata Gen. H. Norman Schwarzk bahawa
"kepimpinan adalah kombinasi strategi dan perwatakan (karakter). Jika
harus memilih salah satu, pilihlah perwatakan".
FUAD HASSAN