Wednesday, September 12, 2012

BENDERA ITU ROH KEMERDEKAAN


ASAL USUL JG

SIAPA kata Jalur Gemilang bukan ciptaan anak negeri atau warganegara Malaysia?

Kalau dilihat aksi provokasi dua pemuda mengibarkan bendera merah putih yang mereka namakan 'Sang Saka Malaya' untuk menggantikan Jalur Gemilang, yang terpampang di muka depan akhbar ini semalam, bukankah itu kelihatannya seperti bendera Singapura atau bendera Indonesia? 

Sebenarnya, isu untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan reka bentuk lain, bukanlah isu baru. Ia mula-mula sekali dibangkitkan oleh aktivis sosialis atau pendemonstrasi jalanan, Hishammuddin Rais dua tahun lalu.
JALUR GEMILANG

Kalau anda boleh layari satu bual bicara penyokong kuat pembangkang ini dalam program Rentakkini.TV ketika mengulas sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tersebut, Hishamuddin telah menguar-uarkan bahawa Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat. Katanya selain lagu Negaraku, ia wajib diubah kerana kedua-duanya bukan garapan anak negeri.
HASSAN AZHARI AZAN MERDEKA

Apabila diajukan cercaan Hishamuddin itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang kebetulan penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah rakan seangkatannya  suatu ketika dulu, Fuad mengingatkan:

"Bendera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam meminjam, ia sesuatu yang lumrah.

Tetapi yang penting, ia diubah suai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing. 

BENDERA AMERIKA

"Paling penting, makna kemerdekaan."

Fuad menarik perhatian yang mana dengan sedikit perubahan, sesuatu bendera itu boleh diukir dengan meminjam idea dari bendera negara lain. Apatah lagi, jika kedua-dua negara ada hubungan penjajahan.

"Cuba kita lihat bendera Australia ada persamaan dengan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia.

"Yang dicadangkan bendera negara ini turut sama dengan Indonesia itu adalah kehendak Ibrahim Yaakob yang ketika itu hendak bersama Ahmad Boestaman, pejuang nasionalis kiri yang mahu Malaya merdeka bersama Indonesia, dalam konsep Indonesia Raya. Mereka juga hendak merdeka sekali bersama Filipina," kata beliau.

BRITISH HINDIA KOMPENI

Dan hakikatnya, kalau dilihat bendera Amerika Syarikat mirip bendera Syarikat Hindia Timur British. Malah, bukan sahaja bendera Amerika Syarikat, bendera empayar Majapahit, Pulau Bikini Atoll dan Liberia juga menyamai corak berjalur-jalur bendera Syarikat Hindia Timur berkenaan.

"Malah, bendera Amerika Syarikat juga telah 26 kali berubah reka bentuknya sejak tahun 1777 tapi tidak menghilangkan jalurnya.

"Bendera Amerika ambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam meminjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya," katanya.


EMPAYAR MAJAPAHIT
Menyangkal lagi dakwaan Jalur Gemilang bukan ciptaan anak tempatan, Fuad berkata, ciptaan bendera negara ini telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan. Dan menerusi pemilihan yang dibuat pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.

Bagaimanapun, sebelum diumumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, permintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna kuning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu. 

LIBERIA

Justeru, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu rekaan telah dicadangkan oleh Sultan Kedah dan diberikan kepada pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaya.

"Dan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack.

"Jadi, tidak betul dakwaan Hishammuddin itu bendera kita adalah hasil ciplak dari negara asing," katanya.

PULAU BIKINI ATOLL

Dalam perbualan hampir 20 minit dengan kami, Fuad bagaimanapun terdiam sejenak. Beliau teringatkan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, 84, yang mempunyai nilai sentimental pada hari negara mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.

"Bapa yang ketika itu berusia 25 tahun telah diminta oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib atas jemputan Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) untuk membaca azan selepas pengisytiharan merdeka.

"Ia untuk memberi roh kepada kemerdekaan. Dan ia (azan) bukan dalam bentuk 'Hijaz' iaitu melankolik atau mendayu-dayu tetapi dalam bacaan yang lebih bersemangat," katanya.
Dan benarlah bendera itu bukan sekadar bendera.

Jalur Gemilang itu roh kemerdekaan.

Oleh ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com

Friday, August 17, 2012

USAH POLITIKKAN SIMBOL NEGARA

Ada orang berpendapat dari beberapa sudut,  politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac lalu adalah politik "serba mungkin" - the politics of possibility. Ianya juga seperti yang dinyatakan oleh Machiavelli mempunyai elemen The end justifies the means atau tujuan menghalalkan cara. 


Untuk mencapai satu tujuan jangkapendek pelbagai cara dibolehkan melalui andaian logika, sandaran Islam, serta perikatan tidak suci "unholy alliance" antara pihak yang berbeda kepentingan.  Ini suatu percubaan berani dari pihak yang berlainan mimpi bagi mempertaruhkan masadepan negara, bangsa dan agama.  

PAS memberikan justifikasi dengan menyatakan permuafakatan dengan DAP  sebagai "Tahalluf Siyasi".  (Permuafakatan Politik). Tahalluf Siyasi apa kalau perjuangan Islamnya semakin luntur, perjuangan bangsanya semakin kabur dan banyak perkara dasar Islami perlu mendapat lampu hijau dari DAP. Tahalluf Siyasi harus mendaulatkan Maqasid Syariah (Matlamat Politik yang berasaskan syariah) dan perlaksanaan matlamat syariah semakin kukuh apabila maqasid mendahulukan perundingan sesama ummah, bukan musuhnya.

Dalam dunia media yang semakin canggih dan terbuka ini, panduan, kawalan dan penguatkuasaan semakin sukar dan boleh dianggap bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi baru, kebebasan bermaklumat dan bersuara. Keadaan ini menyukarkan sebarang usaha untuk menanam rasa kesatuan (sense of oneness) sebagai pendorong untuk bekerjasama bagi sesuatu tujuan yang lebih besar dan jauh.


Jalur Gemilang simbol penyatuan
Banyak sekali isu-isu yang suatu ketika dahulu dianggap 'taboo' dan sensitif kini habis terburai, dilapah mengikut perasaan hati dan kebebasan akal semasa.  Isu kalimah Allah, isu penghinaan institusi raja-raja, dasar-dasar penting perlembagaan negara, dasar afirmatif,  sistem kehakiman, simbol-simbol negara dan sebagainya. Semuanya dirungkai  atas nama keadilan dan kebebasan rakyat dan penyamarataan.
Dalam masyarakat yang rumit seperti Malaysia, kita memerlukan simbol atau payung untuk kita bersatu. Perlu ada gencatan senjata dalam perkara yang dipersetujui bersama. Masjid nampaknya tidak lagi dapat dijadikan tempat penyatuan, institusi raja bukan tidak terlepas dari penghinaan, kehakiman tidak dianggap bebas jika tidak memihak kepada sesuatu pihak berkepentingan, kebenaran tidak lagi bersifat mutlak tetapi semuanya nisbi menurut sudut pandangan. 
Dr. Sheikh Muszaphar
 Dalam erti kata lain dalam sistem anarki atau runtuhnya peraturan, tiada lagi sumber kuasa atau simbol rujukan yang boleh menyatukan. Semuanya berselindung disebalik nama kuasa ketuanan dan kebebasan rakyat.

Jalur Gemilang sebagai simbol kemerdekaan dan semangat patriotik tidak lepas dari kritikan dan penghinaan. Suatu ketika dulu terdapat pelbagai pandangan lantang berkaitan dengan simbol patriotisme dan sejarah negara. Antaranya:

1. Usaha untuk melakukan penilaian semula terhadap sejarah kemerdekaan negara. Bahawa pejuang sebenar kemerdekaan adalah Parti Komunis Malaya (PKM) dan bukannya Tunku Abdul Rahman dan parti UMNO yang dianggap tali barut penjajah. 

2. Usaha merendahkan  martabat Jalur Gemilang dengan menyatakan JG diciplak dari bendera negara imperialis Amerika seperti yang pernah disebut oleh bekas pemimpin sosialis Universiti Malaya yang kini menjadi aktivis Pakatan Rakyat, Hishamuddin Rais;

3. Mempermainkan lagu Negaraku sebagai "Negara Kuku" dalam bentuk raps seperti yang terlihat dalam klip video penyanyi raps kontroversi, Namewee. Beliau juga pernah meluahkan protesnya terhadap azan yang dianggap mengganggu ketenteraman subuh.

4. Luahan Twit kerana tidak berminat  mengibarkan Jalur Gemilang serta menurunkn darjat Jalur Gmilang sebagai "Jalur Malang" oleh bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin;

5. Tentangan terhadap tema, logo dan lagu "Janji Ditepati" untuk hari sambutan 55 tahun kemerdekaan negara oleh Pakatan Rakyat dan penyokong media sosial PR.
Lee Chong Wei

Sejarah tidak pernah menafikan peranan yang dimainkan golongan kiri seperti Ibrahim Yaakub, Ahmad Boestamam, Burhanuddin Helmi dan lain-lain yang mahu mencapai kemerdekaan bersama Indonesia melalui konsep "Melayu Raya". Jika sejarah tersebut dirasakan tidak memadai bolehlah diperincikan lagi oleh pakar-pakar sejarah.

Tetapi kita harus mengakui pandangan majoriti bahawa Tunku Abdul Rahman melalui UMNO, MCA dan MIC sudah ditakdirkan berjaya mencapai kemerdekaan tahun 1957 dengan Tunku diisytiharkan sebagai Bapa Kemerdekaan. Beliau juga telahpun menjawat sebagai Perdana Menteri pertama dan Malaya diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kejayaan seterusnya adalah usaha menubuhkan Malaysia pada tahun 1963 bersama-sama pemimpin masyarakat Sabah dan Sarawak.

Walaupun cara mendapat kemerdekaan Tunku tidak menumpahkan darah seperti di Filipina dan Indonesia, atau seperti perjuangan PKM di hutan yang ingin memaksakan ideologi komunis,   ia tidak sedikitpun mengurangkan nilai kemerdekaan yang kita miliki secara teratur, tertib dan bijaksana. Malahan kejayaan demi kejayaan yang dicapai berbanding dengan negara lain menunjukkan kebijaksanaan dalam politik diplomasi mengatasi segala-galanya.
M. Magendran dan N. Mohandas


Ketika Lee Chong Wei berhempas kudrat untuk menaikkan nama negara kita tidak memerlukan manusia seperti ADUN Alam Shah, M.Manoharan yang memperlekehkan keupayaan anak Malaysia dengan memuji pasukan lawan. Ini sungguh tidak patriotik.

Bukankah George Bernard Shaw pernah menyatakan: "Patriotisme pada asasnya, adalah satu keyakinan bahawa sesuatu negara itu adalah yang terbaik di dunia kerana kita lahir di dalamnya." walaupun pada hakikatnya ada yang lebih baik dari kita.

Sebelum Pandelela Rinong meraih pingat gangsa dalam acara papan terjun di sukan Olympik, seorang pengamal twitter bernama Johari Pain menulis: "Gua berani kerat (anunya) kalau  pandelela  menang pingat mlam nih.."

Tiba-tiba Pandelela berjaya dengan cemerlang maka ramai yang menuntut Johari Pain menunaikan janjinya, iaitu "Janji DiKerati". Benarlah kata ahli falsafah Greek bahawa:,“Wise men speak because they have something to say; Fools because they have to say something.” 

Bunyinya kelihatan jenaka tetapi itulah yang berlaku. Rakyat Malaysia diajar supaya tidak lagi bangga dengan negara sendiri. Mereka juga diajar usah berterima kasih kepada pemberian pemimpin kerana itu hak mereka.  

Rakyat juga diajar terus meminta daripada menyumbang untuk negara. Ini semua akibat segala-gala sudah dipolitikkan. Mereka tidak lagi dapat membedakan antara "simbol negara", "visi negara" dengan sepak terajang politik kepartaian.

Sesungguhnya kita amat rindukan zaman "Malaysia Boleh" yang pernah  bergemuruh dilaungkan oleh semua golongan rakyat ketika kapal melonjak ke langit membawa Angkasawan negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Demikian juga ketika Azhar Mansor membuat pelayaran solo mengelilingi dunia,  M. Magendran dan N. Mohandas berjaya menakluki gunung Everest dan ketika Nicole Davis berjaya mengulangi juara dunia berkali-kali dalam pertandingan squash antarabangsa.  

Laungan Ini merupakan kemuncak penyatuan rakyat dan simbol penyatuan negara yang perlu terus dihidupkan seperti sukan Olympik di kota London. Usahlah Ia dipolitikkan.

Namun gangguan terhadap simbol penyatuan negara masih belum reda. Baru-baru ini Pakatan Rakyat bertekad untuk menggunakan tema "Sebangsa Sejiwa Senegara" seperti yang diumum oleh sasterawan negara dan penyokong tegar PR, A. Samad Said sebagai tema kemerdekaan Pakatan Rakyat.

"Janji Ditetapi" dianggap sebagai tema Barisan Nasional. Tetapi ternyata tiada muafakat diantara Pakatan Rakyat sendiri untuk menggunakan tema bersama mereka. Akhirnya wujudlah tiga tema bagi empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat:

1- “Sebangsa Sejiwa Senegara” di Selangor dan Pulau Pinang.
2- “Menerajui Perubahan” di Kelantan.
3- “Terus Berbakti” di Kedah.

Apakah mesej yang ingin kita sampaikan kepada rakyat dalam kekecohan tema kemerdekaan ini. Apakah kebebasan, demokrasi atau anarki, yakni runtuhnya peraturan dan kepimpinan yang tidak dihormati dalam acara penting negara. Ini akibat tidak dapat membedakan antara "politik kepartaian" dengan "politik kenegaraan". 

Dimanakah yang dikatakan elemen berbau politik "Janji ditepati" berbanding dengan ketiga-tiga tema berasingan PR? Kesemuanya bersifat konsep universal,  Bukankah "Janji Ditepati" merupakan satu nilai  mulia yang dituntut oleh semua agama. Bukankah Janji Ditepati seharusnya merupakan azam pemimpin untuk menjayakan wawasan negara maju.

Tidakkah Janji Ditepati merupakan peringatan untuk semua, tidak kira kerajaan atau pembangkang, individu atau masyarakat, supaya menunaikan janji yang belum terlaksana bagi mencapai matlamat kebahgiaan rakyat dan Negara Terbaik atau "Madinah Al-fadilah" seperti yang diharapkan oleh Ibn Farabi.

Apakah maksud "Sebangsa Sejiwa Senegara" terlalu berbeda dari konsep Satu Malaysia. Bukankah suku kata "Se" yang bermakna "Satu"?. Jika demikian apakah justifikasi logo Satu Malaysia diharamkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dipasang dan dikibarkan di Negeri Selangor?.

Bukankah pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pernah menjelaskan istilah "Sebangsa" bermaksud "Bangsa Malaysia, penyatuan semua kaum seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad" (Sinar Harian, 12 Ogos 2012, m.s. 6). Apa bedanya dengan Satu Malaysia?.

Pakatan Rakyat juga menyatakan konsep Satu Malaysia adalah slogan yang ditiru dari Negara Israel. Sebenarnya "One Israel" atau "Yisrael Ahad"  adalah merupakan strategi  Parti Buruh untuk mengadakan perikatan dengan Parti Gesher  dan Parti Agama Meimad bagi memenangi pilihanraya Knesset Israel pada tahun 1999. Ia bertujuan untuk mengurangkan imej sekular Parti Buruh.

Semua mengetahui "One Israel" terkubur apabila parti Meimad keluar dari perikatan pada tahun 2000 kerana tidak bersetuju dengan Persidangan Camp David yang berunding dengan Yasser Arafat. Ehud Barak kemudian didakwa kerana melanggar peraturan pilihanraya dengan menggunakan dana asing untuk kempen Knesset tersebut.

Jelasnya, "One Israel" merupakan permuafakatan politik jangkapendek Ehud Barak untuk menang pilihanraya. Satu Malaysia adalah lambang visi pemimpin untuk meneraju negara selepas menang pilihanraya 2008. Tujuannya untuk menyatu, memakmur dan mengukur pencapaian kerajaan dalam usaha membantu rakyat. Ia adalah terjemahan dan lanjutan dari Wawasan 2020 dan Islam Hadari.

Kesimpulannya kita harus mengerti bahawa politik harus punya batas masa dan tempat. Bukan semua perkara perlu dipolitikkan. Dasar-dasar penting negara serta simbolnya harus didukung bersama. Dalam usaha menyambut 55 tahun merdeka ayuh kita kibarkan JG dengan megah sebelum kita kehilangan. Sebenarnya bukan salah politik tapi pelakunya. Benarlah seperti kata Gen. H. Norman Schwarzk bahawa "kepimpinan adalah kombinasi strategi dan perwatakan (karakter). Jika harus memilih salah satu, pilihlah perwatakan". 


FUAD HASSAN







Saturday, July 28, 2012

TIADA ARAB SPRING DI MSIA





BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.

Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
 Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
 Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:

1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.

5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya.

ARKIB : 27/07/2012

Arab Spring Berbeda Dengan kita.


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Wednesday, July 25, 2012

KEFAHAMAN MAQASID AL SYARIAH


KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah, serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.

Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh mengenai Maqasid Al Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.

Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al Syariah.

Maqasid Al Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu Maqasid Al Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara serta keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.


Menurut Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan meninggalkan kemudaratan.

"Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Al-Mustashfa'," katanya.

Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu sendiri.

Jadi katanya, bagi memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu, dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama rasmi.

Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.

"Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai pendekatan wasatiyah yang turut didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan amat diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru kita untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan sebagai keutamaan," katanya.
Wasatiyah dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan ideologi sosial dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat, melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara langsung dari Studio TV Al Hijrah, Kompleks Pusat Islam setiap Isnin, pukul 10 malam.


ARKIB UTUSAN ONLINE : 24/07/2012

Memahami pengertian konsep Maqasid Al Syariah


Oleh :
ZAINAL RASHID AHMAD
Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah

Sunday, July 22, 2012

MEMAHAMI SENI POLITIK ANWAR




POLITIK adalah seni pengurusan angka, persepsi dan permainan propaganda. Dalam mana-mana parti di seluruh dunia atau peringkat antarabangsa, mereka mempunyai strategi tertentu dalam konteks untuk mempengaruhi sikap, pendirian, pemikiran rakyat yang mereka dampingi.

Dalam konteks meneroka 'strategi' parti-parti pembangkang di negara ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan (gambar) berterus-terang mengenai politik semasa tanah air.

"Dalam konteks memahami strategi parti pembangkang di Malaysia, kita tak boleh mengasingkan strategi parti dengan strategi individu tertentu khususnya Anwar Ibrahim.

"Ini disebabkan strategi pada pandangan umumnya adalah strategi yang didasari oleh pemikiran-pemikiran politik baru yang dicanangkan oleh ketua pembangkang itu," kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.



Fuad Hassan: Bekas pemimpin pelajar

Fuad membahagikan pengamatan beliau kepada elemen strategi berikut. Ia, kata beliau untuk renungan dan penilaian rakyat yang diakuinya kini matang dalam mengikuti perkembangan politik tanah air.

1. Strategi terus kepada rakyat

- Ini bermakna dia berkomunikasi langsung dalam bentuk bersemuka atau tidak langsung dalam media sosial, media elektronik yang dikuasai serta media cetak yang dikuasai bagi maksud menyampaikan mesej dalam bahasa dan perbandingan yang mudah kepada rakyat.

Dalam konteks ini, umum tahu bahawa ketua pembangkang mempunyai 'keistimewaan tersendiri' khususnya dari segi penguasaan bahasa dan juga ideologi serta hubungan awam serta 'pengurusan pentas yang bijak'.

Sama ada beliau berada di dalam mahkamah ataupun luar mahkamah ataupun dalam media cetak atau media sosial, mesej yang hendak disampaikan adalah kepada rakyat. Dan bukannya kepada hakim, akhbar dan kepada penonton tv yang terbatas.

Itu sebabnya kadang-kadang dia tidak menjawab soalan-soalan mahkamah. Dia tidak menjawab soalan-soalan para hakim kepadanya. Tetapi dia menjawab 'apa yang rakyat mahu dengar'.

 2. Dikambinghitamkan

- Dalam konteks ini UMNO yang selalunya menjadi 'scapegoat' atas apa sahaja isu masyarakat. Sama ada sampah, longkang, isu tanah ataupun isu pegawai kerajaan yang kecewa ataupun isu kemalangan jalan raya, maka semua dikatakan ini perbuatan UMNO.

Strateginya adalah megambil kesempatan pada ruang dan peluang untuk menghasut rakyat merasai kecewa atau marah kepada pemimpin.

Lumpuhnya UMNO bererti lumpuhnya BN. Sebab itu fokus tumpuan serangan yang diberikan haruslah kepada UMNO dan UMNO dijadikan 'kambing hitam' dalam setiap kesalahan umum dan kekecewaan rakyat dalam apa jua isu.

3. Seruan mengikut pihak majoriti

- Setiap pihak khususnya 'parti yang berkenaan' sering ingin menggambarkan mereka berada di pihak majoriti.

Pertama, melalui meramaikan jumlah pendengar atau penonton ceramah. Yang kedua, memujuk ikon-ikon masyarakat yang kecewa seperti artis, bekas pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh untuk menunjukkan satu gelombang peralihan kepada kumpulan mereka. Itu sebabnya akhir-akhir ini kita dapat melihat ramai artis dipujuk untuk menyertai ceramah-ceramah mereka.

Jadi, apa yang patut dibuat? Yang patut kita buat sebenarnya ialah tunjukkan lebih ramai lagi orang berpengaruh yang berada di pihak kerajaan. Mereka ini harus diberikan perhatian, diberikan tumpuan. Kebanyakan orang lama ini adalah orang yang sudah berjasa, sudah melalui zamannya dan mereka ini memberikan sumbangan kepada kerajaan.

Jadi, sekiranya kerajaan tidak melihat kepada mereka, sudah tentulah mereka akan mencari platform yang lain. Tolong jaga kumpulan ini.

4. Kenyataan memukau

- 'Mereka' memberikan janji dan harapan yang dilihat macam praktikal dan logik. Tetapi sebenarnya palsu. Antaranya, memberikan harapan kepada rakyat dengan pelbagai janji seperti menurunkan harga barang dan harga minyak walaupun tidak mengambil kira pasaran dunia. Walhal tidak pula dibicarakan tentang soal bagaimana mencipta kekayaan dan bagaimana mendapatkan pertumbuhan negara.

Yang dibicarakan adalah pengagihan... pengagihan...pengagihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa rakyat sekarang ini sudah dipasak dengan pemikiran rasuah.

5. Serangan berterusan

- Strategi ini banyak rakyat dapat lihat. Bertalu-talu, bertubi-tubi dan berfokus khususnya kepada ketua pimpinan, dalam konteks ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran yang pelbagai. Dalam kes-kes tertentu isu dicipta seperti kes pembunuhan wanita Mongolia.


Najib yang semasa itu masih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada malam 22 Ogos 2008 telah melafazkan sumpah di depan jemaah Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang bahawa beliau tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Walau apa pun Perdana Menteri buat, tetapi oleh kerana konsep 'kambing hitam' dan serangan bertubi-tubi, imej negatif berkenaan masih terpalit. Antaranya, ciptaan 'pengurusan pentas antarabangsa' seperti Mahkamah Perancis dan peristiwa Suaram berjumpa wakil pegawainya di Thailand (isu kapal selam Scorpene).

Ini memang 'seni' pakatan pembangkang. Ketua Pembangkang juga sering kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak dan sebagainya.

Dan mesej yang menyebabkan orang ketawa dan tergelak ini mudah diterima oleh masyarakat walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat. Ada tanda-tanda, sekarang masyarakat sudah kurang ambil kisah tentang tuduhan-tuduhan itu kerana apa-apa perkara pun kalau keterlaluan, masyarakat Melayu yang mempunyai nilai dan budaya sendiri akan menolaknya.

6. Kesaksian

- Ini digunakan bagi maksud untuk menangkis tuduhan-tuduhan mahkamah terhadap diri individu berkenaan yang digunakan oleh ketua pembangkang yang kemudiannya menjadi amalan kepada pengikutnya. Iaitu menggunakan seseorang atau lembaga untuk mendukung atau mengecam sesuatu tuduhan iaitu dengan cara menggunakan pakar atau ahli atau saksi langsung dalam kes-kes mahkamah.

Contohnya, sekiranya sesuatu kes dibicara dengan membawa pakar forensik atau hakim tertentu dari dalam negara, maka 'dia' akan 'counter' dengan membawa pakar forensik dan bekas-bekas hakim supreme council dari luar untuk mewujudkan dua pandangan yang berbeza. Yakni, tidak ada satu pendapat yang mutlak.

Malah, ada juga dengan cara agama khususnya mengambil pendapat ulama-ulama luar. Dr. Yusof al-Qhardawi contohnya, boleh digunakan bagi maksud memberi prinsip-prinsip umum menurut hukum Islam walaupun orang berkenaan mungkin tidak mengetahui perincian tentang peristiwa yang berlaku dalam satu-satu kes.

7. Pendekatan pertentangan kelas

- Pakatan pembangkang merupakan gabungan longgar pelbagai ideologi politik bagi maksud jangka pendek menawan Putrajaya. Dalamnya masih tersirat agenda kaum dan agama yang ekstrem dan tersembunyi. Penyusupan parti sosialis dalam pakatan itu terlibat dalam penonjolan pendekatan pertentangan kelas yang menjadi cara terbuka. Mereka mengapi-apikan rakyat dengan membuat perbandingan kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Misalnya menanam kebencian rakyat terhadap golongan kaya (kekayaan dikaitkan dengan kronisme dan rasuah) dan menanam kebencian kepada feudalisme seperti institusi raja-raja. Pendekatan seperti ini pernah meruntuhkan banyak dinasti dan kerajaan beraja pada masa lampau.

Fuad berkata, ada banyak lagi 'strategi' yang digunakan pakatan pembangkang. Dan apa yang patut dibuat ialah ia harus dijawab oleh tuan punya diri terlebih dahulu sebelum dibantu oleh orang lain.

"Sekiranya tuan punya diri menjawab, barulah orang lain boleh bantu. Tapi kalau tuan punya diri mendiamkan diri, perkara itu sukar untuk pihak-pihak lain membantu," katanya.


Tembelang tujuh 'muslihat'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my