Sunday, March 8, 2009

MENYAMBUNG PERJUANGAN BANGSA



PERHIMPUNAN UMAT PRIBUMI

SABTU lepas jam 10.30 pagi bertempat di perkarangan Komplek Sukan Tenaga Nasional Berhad di Jalan Pantai, saya menghadiri sidang media Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengenai Perhimpunan Pribumi Perkasa yang akan diadakah pada hari ahad, 22 Mac 2009, HARI AHAD yang akan datang ini.

Sidang tersebut dipengerusikan oleh Dato’ Ibrahim Ali, Presiden PERKASA dan saya selaku timbalannya. Datuk Ruhanie Ahmad bekas ahli parlimen Johor bertindak sekali ketua penerangan. Seramai lebih kurang 50 orang ahli jawatankuasa dan wartawan hadir.


Banyak perkara yang telah dibincangkan dengan teliti bagi menjayakan perhimpunan tersebut. Tetamu utama yang yang menyampaikan ucapan adalah Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun dijangkakan akan menyampaikan ucapan yang paling penting yang ingin disampaikan terutama mengenai keadaan orang-orang Melayu.

Perhimpunan tersebut dibahagikan kepada dua bahagian. Sebelah paginya ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sebelah petangnya diikuti dengan Persidangan Kemuncak Pribumi yang akan disampaikan oleh 10 pemimpin-pemimpin NGO Pribumi termasuk daripada Sabah dan Sarawak. Semua kaum pribumi dari seluruh negara dijemput hadir mulai jam 9 pagi.

Dijangkakan lebih 10,000 orang akan hadir dalam perhimpunan tersebut yang bertujuan untuk:
1. Menunjukkan Penyatuan dan perpaduan Pribumi dari pelbagai fahaman di atas perkara-perkara yang menyentuh hak pribumi dan kedaulatan Negara.
2. Mendukung dan Memperkukuhkan sendi-sendi utama perlembagaan Negara sebagai asas penyatuan rakyat Malaysia seluruhnya.
3. Mendapatkan maklumbalas serta cadangan-cadangan dari akar umbi Pribumi mengenai usaha melindungi dan memperkukuhkan hak-hak mereka dari dicabar oleh mana-mana pihak bagi maksud kepentingan sempit mereka.

MIRZA DAN FUAD
Satu perkara yang menarik adalah saya dan Encik Mirza Abdullah, pemimpin Orkestra DBKL, berjaya menyiapkan lagu rasmi PERKASA hanya dalam tempoh satu minggu. Mirza menyediakan melodi dan saya menyiapkan liriknya dalam rentak March. Agak mengembirakan apabila lagu itu diterima dengan baik oleh ahli jawatankuasa PERKASA dan dinyanyikan untuk pertama kalinya sebelum sidang akhbar bermula. Lirik lagu PERKASA adalah seperti berikut:

PRIBUMI PERKASA NEGARA

Maju langkah bersatu
Perkasa darah tubuh bangsa-ku
Jiwa nan cekal pahlawan dulu
Bina kekuatan baru

Suara anak Malaysia
Pertahan nilai bangsa mulia
Agama, Raja, Ne-ga-ra tercinta
Pribumi Perkasa Negara

CHORUS

Musuh mencabar ku gempur
Berangkai kita bersama
Walaupun -- bungaku kan gugur
Bersambung juang anak merdeka
(Merdeka !!)

VERSE

Ini Tanah bertuah
Warisan kita untuk semua
Makmur ba-hagia selama-lamanya
Pribumi Perkasa Negara

(Music Interlude)
Ulangan Dari Rangkap Awal
…………………………………

Pribumi Perkasa Negara
Pribumi Perkasa Negara


Ciptaan dan gubahan: Mirza Abdullah
Lirik: Fuad Hassan
Key D


TUNJUK PERASAAN AKIBAT KELEMBAPAN MENTERI

Apa yang menarik sidang akhbar tersebut berlaku pada masa yang sama dengan tunjuk perasaan penentangan terhadap pengajaran mata pelajaran sains dan mathematic dalam bahasa Inggeris.

Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu.

Tunjuk perasaan itu dipimpin oleh bekas ketua pengarah DBP, Dato’ Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara A.Samad Said. Lebih kurang 8,000 orang hadir dengan diakihiri kekecohan apabila polis melepaskan gas pemedih mata kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat permit polis.

Sebenarnya, perhimpunan ini tidak perlu jika Menteri Pelajaran membuat kajian dan keputusan yang pantas. Kelembaban menteri inilah yang telah menimbulkan kekecohan sehingga menghilangkan satu persatu pengaruh parti pemerintah di kalangan rakyat di negara ini, termasuk sasterawan, yang mempunyai pengaruh besar di kalangan pelajar dan mahasiswa.
Isu ini telah mendapat bantahan dari awal-awal lagi secara senyap dan terang; Yang terangnya; apabila berlaku bantahan dan laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Pendidikan oleh GAPENA yang didakwa mengikut seksyen 17 (1) Akta Pendidikan Negara.

Jawapan Hisham tentang ada parti pembangkang mengambil kesempatan bukan jawapan terhadap isu yang dibangkitkan. Siapa yang tidak mahu mengambil peluang kalau itu menguntungkan mereka dalam saat Barisan Nasional semakin tempang?

Kita difahamkan India dan Cina juga menentang isu dan mendesak supaya diajar dalam bahasa ibunda mereka masing-masing. Mereka juga akan mengadakan tujuk perasaan yang sama.

Soalnya, Hisham gagal menangani isu ini secara bijaksana dan pantas. Ini cukup menakutkan rakyat jika beliau terpilih sebagai naib presiden UMNO.





4 comments:

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

Terima kasih menyiarkan artikel yang mengandungi tulisan Faisal Tehrani bagi membantu kefahaman umat Islam yang keliru.

محمد صلى الله عليه وسلم : مأنسي چونتوه اومت مأنسي

سلامت مڽمبوت مولداورسول 1430ه


رسول الله مڽاتوكن مأنسي دالم ساتو اڬام.
فتنه ممچهكن 1.8 بيلياون اومت اسلام سلوروه دنيا.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

1. Tahniah kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengenai Perhimpunan Pribumi Perkasa yang akan diadakah pada hari Ahad, 22 Mac 2009, HARI AHAD yang akan datang ini.

2. Saya adalah ahli PERKASA dan sering menghantar artikel ke website PERKASA. Insyaallah saya akan hadir.

3. Kali ini saya tidak sependapat dengan Datuk mengenai PPSMI. Saya telah mendengar hujah Datuk dalam Hujah NTV9 dan penulisan-penulisan yang berkaitan.

4. Tidak mengapa Datuk, saya ada bunga-bunga bahasa untuk kita. MENGKRITIK TIDAK BERERTI MENENTANG,
MEMUJI TIDAK SEMESTINYA MENYOKONG,
MENEGUR TIDAK BERMAKNA MEMBENCI,
DAN
BERBEZA PENDAPAT
ADALAH KAWAN BERFIKIR
YANG BAIK

Keranda 152 Tahun 1967 dan 2009



Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu bukannya mengambil masa yang singkat. Keranda 152 1967 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara tokoh terpenting ialah Usman Awang yang ketika itu menjadi editor Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP. Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian Bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Semua orang Melayu di Malaysia dipelopori pejuang bahasa mahu mengangkat martabat Bahasa Melayu ke tempat yang wajar di negara ini bagi menggantikan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti ketika itu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan Bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa termasuk Cina, India dan lain-lain. Ketika Malaysia baru merdeka pada 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa Bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas Bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail dan Allahyarham Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967. Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan Bahasa Inggeris.(sumber :wikipedia.org/wiki/Keranda_152)

Apakah kesan daripada protes keranda 1967 itu. Pada tahun 1971, murid-murid darjah 1 Sekolah Rendah Jenis kebangsaan (Inggeris)telah belajar semua matapelajaran dalam bahasa pengantar Bahasa Melayu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik tolak, detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status Bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak. Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British.Ini adalah kejayaan terbesar yang dilakukan oleh kakitangan DBP sehingga ke hari ini.

Perarakan Keranda Mac 2009 merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Perarakan ini, yang disertai oleh lebih 8,000 orang, bermula pada pukul 2 petang pada 7 Mac 2009 menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Perarakan ini dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan disertai oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad serta barisan pemimpin politik seperti Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Perarakan ini dikatakan menyerupai matlamat perarakan Keranda 152 yang diadakan pada tahun 1967. Perarakan ini diadakan kerana mahu mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Kejayaan demi kejayaan yang dicapaikan oleh Bahasa Melayu kononnya telah dimusnahkan oleh dasar PPSMI yang dianjurkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 dan dilaksanakan pada 2003.

Apakah perbezaannya perarakan Keranda 152 tahun 1967 dan tahun 2009 dari segi matlamat dan tujuannya? Apakah benar perarakan keranda 152 1967 mempunyai matlamat yang serupa dengan perarakan Mac 2009?

Kesan keranda 152 1967 telah menyaksikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa yang diakui sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan dan digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan universiti hatta kebidang kehakiman, apakah pula nasib Bahasa Melayu selepas 2009?

Adakah sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, tidak ada satupun sumbangan beliau kepada kemajuan dan pembangunan Bahasa Melayu?

Apakah kemajuan matapelajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar Melayu sejak 1971 hingga 2003 sehingga menyebabkan Tun melakukan perubahan drastik dengan memperkenalkan PPSMI di tahun 1, tingkatan 1, tingkatan 3 dan tingkatan 6 Bawah pada tahun 2003?

Mengapakah sejak 1971 hingga 2002,usaha-usaha meningkatkan matapelajaran Bahasa Inggeris tidak berjaya malah menyebabkan pelajar Melayu mempunyai masalah menguasai Bahasa Inggeris walaupun sudah berada di menara gading?

Apakah pencapaian sebenar pelajar-pelajar Melayu khususnya dalam bidang-bidang profesional dan kaitannya berhubung dengan penguasaan Bahasa Inggeris dalam sektor Industri dan pekerjaan mereka di peringkat dalam negara dan antarabangsa?

Dalam hal ini, Tun melihat kepentingan bangsa itu lebih utama. Penguasaan Bahasa Inggeris mengikut pendapat Tun akan meletakkan Bangsa Melayu di peringkat global. Melayu boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Harapan Tun ,Wawasan 2020 ke arah sebuah negara maju akan tercapai mengikut jadual. Pada masa itu generasi PPSMI ini akan memenuhi Cyberjaya dan lain-lain sektor profesional sebagai pekerja mahir bertaraf dunia.

Bangsa yang maju akan membawa sekali bahasanya. Bahasa Melayu akan menjadi megah dan hebat kerana Bangsa Melayu sendiri sudah boleh duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

Satu ketika dulu, masyarakat Melayu tidak membenarkan anak-anak mereka belajar di Sekolah Inggeris kerana takut anaknya masuk agama Kristian. Sejarah telah membuktikan anak-anak yang belajar di Sekolah Inggeris inilah yang menjadi pemimpin dan pelopor kemerdekaan negara. Anak-anak Melayu khususnya dari kalangan anak-anak Raja dan bangsawan ini adalah sebagai persediaan untuk mentadbir negara apabila negara mencapai kemerdekaan.

Dato'Onn Jaafar dibesarkan di England dan pada awal kepulangannya ke Johor, Allahyarham tidak fasih berbahasa Melayu. Adakah Dato'Onn kekurangan jatidiri Melayunya bahkan akhirnya Dato'Onn adalah antara pemidato Melayu yang terulung. Dato'Onn lah yang menyelamatkan Melayu daripada dijual kepada Malayan Union.

Bagaimana pula dengan ulama-ulama kita yang belajar agama di negara-negara Timur Tengah yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Adakah ulama-ulama kita tidak fasih berbahasa Melayu atau hilang jatidiri Melayunya. Adakah Dewan Ulama PAS bermesyuarat menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantaraannya?

Di negara kita ada beribu-ribu ibubapa Melayu sedang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh negara. Mengapa agaknya mereka menghantar anak-anaknya ke sana? Kurang Melayukah ibubapa-ibubapa itu? Mereka menghantar anak-anaknya ke sana kerana bahasa Cina adalah bahasa yang pendek dan sangat sesuai dengan nombor seperti Matematik. Selain itu mereka mahukan anak-anaknya menguasai banyak bahasa seperti bahasa Jawa, Melayu, Cina dan Inggeris.

Kalau begitu mengapa Tun Mahathir tidak mahu menggunakan Bahasa Cina dalam Matematik dan Sains? Dalam Bahasa Inggeris pun sudah haru biru seluruh negara apatah lagi Bahasa Cina? Bahasa Cina bukan bahasa Dunia. Bahasa Dunia adalah Bahasa Inggeris dan ianya adalah Bahasa ke dua negara selepas Bahasa Kebangsaan.

Jikalau Bahasa Arab itu adalah bahasa ilmu yang menguasai dunia saya percaya Tun Mahathir akan memilih Bahasa Arab sebagai bahasa untuk mengajar matematik dan sains. Bukannya PPSMI tetapi PPSMA .Agak-agaknya Hadi Awang berarak atau tidak ke Istana Negara pada 7 Mac yang lalu?

Mana lebih dahulu perlu dimajukan bangsa Melayu kah atau bahasa Melayu kah?

Maafkan saya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad (orang Muor) yang saya hormati dan kasihi.Kali ini saya tidak sependapat dengan Datuk- Datuk berdua. Saya juga melawan arus Perhubungan UMNO Negeri Johor yang secara konsisten menentang PPSMI. Mungkin saya tersilap tapi saya terdidik separuh umur saya di bawah pemerintahan Tun Mahathir.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

1. Hari ini saya hantar 2 penulisan kerana seronok Datuk telah memberi penghargaan kepada saya.

Kelembapan Menteri Atau Kelembapan Kerajaan ?

Sepanjang pemerintahan Pak Lah banyak perkara yang diusahakan oleh Tun Mahathir sebelum 2003 telah tidak dilayan baik oleh Pak Lah.

1. Jalan Keretapi Berkembar dari Tanah Besar China ke Singapura.
2. Jambatan Bengkok digantikan dengan Wilayah Iskandar Malaysia dan Wilayah-wilayah ekonomi yang lain.
3. Dasar Perindustrian Negara diganti dengan Dasar Pertanian Satu Perniagaan.
4. Penerapan Nilai-Nilai Islam diganti dengan Islam Hadhari
5. Melambat-lambatkan keputusan PPSMI sama ada diteruskan atau dimansuhkan.
6. Wawasan 2020 seakan-akan sudah tergelincir dari landasannya. Kita ada 11 tahun sahaja lagi untuk mencapai taraf negara maju.

Inilah sebahagian daripada ingatan saya yang menyebabkan Tun Mahathir merasa tersinggung sehingga berlarutan kepada terkeluarnya Tun daripada UMNO. Ada beberapa perkara yang saya setuju dengan Pak Lah misalnya Dasar Pertanian Negara yang memang menuju kesasarannya iaitu orang-orang Melayu. TS Muhyiddin dan Tok Pa sudah melakukan yang terbaik. Bagaimana pula dengan Dasar perindustrian negara yang telah dibangunkan oleh Tun selama 22 tahun termasuklah Industri Kereta Nasional negara?

Dalam Isu sebesar ini Hishamuddin atau Pak Lah yang sepatutnya umumkan sama ada PPSMI ini dimansuh atau diteruskan? TS Muhyiddin telah menyatakan Isu PPSMI akan termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung UMNO Mac nanti untuk dibincangkan. Sekarang rakyat sudah ada 'date line' dan Mac 2009 ianya mesti diumumkan oleh Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan.

Jikalau BN merasakan PPSMI ini akan menjadi isu yang berpanjangan sehingga Pilihanraya ke 13, maka tidak ada salahnya jika PPSMI ini dipinda beberapa perkara. Memansuhkannya mungkin kurang tepat tetapi boleh diubahsuai supaya diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

1. PPSMI wajib bagi semua pelajar sekolah rendah (SK dan SRJK) dari tahun 1 hingga tahun 6.

2. Selepas UPSR hanya pelajar-pelajar yang mendapat gred A dan B bagi kedua-dua mata pelajaran itu belajar PPSMI dalam tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Pelajar-pelajar yang mendapat gred C,D,E akan belajar dalam bahasa pengantarnya Bahasa Melayu.

3. Selepas PMR hanya pelajar-pelajar aliran sains sahaja yang belajar PPSMI dalam tingkatan 4 dan 5 seterusnya ke tingkatan 6 aliran sains. Aliran-aliran lain selain daripada aliran sains bolehlah belajar menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu.

4. Dasar 60% aliran Sains dan 40% aliran Sastera hendaklah dipatuhi dan dipantau oleh Kementerian Pelajaran, Jabatan pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pengetua Sekolah.

5. PPSMI adalah mandatori dan wajib bagi sekolah-sekolah berikut:
1. Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
2. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
3. Sekolah-Sekolah Sains
4. Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Tajaan Kerajaan Negeri
5. Maktab Tentera
6. Sekolah-sekolah Agama / Maahad berasrama penuh.
6. Mana-mana sekolah yang difikirkan setaraf oleh Kementerian Pelajaran.

6. PPSMI akan menjadi matapelajaran pilihan bagi sekolah-sekolah:
1. Sekolah Harian Biasa kecuali aliran Sains
2. Sekolah Menengah Teknik kecuali aliran sains dan teknikal
3. Sekolah Agama harian kecuali aliran sains

Dalam keadaan sekarang, keadaan ekonomi dan politik yang gawat, mungkin cadangan ini boleh dijadikan alternatif kepada perlaksanaan sedia ada. Melangkah ke belakang bukan bermakna kalah tetapi menyusun strategi supaya PPSMI lebih kemas dan diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Jikalau ada pakej-pakej yang lebih menarik sangat dialu-alukan, yang penting kita dapat menyelesaikan satu persatu masalah dan kemelut yang tidak berkesudahan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

p/s

Timbalan Presiden pilihan saya:
TS Muhyiddin Yassin

Naib Presiden Pilihan saya:
Datuk Seri Rais Yatim
Datuk Khalid Nordin
Datuk Syafie Abdal

FUAD HASSAN said...

Sdr Amair hamzah

salam.

Baguslah saudara sangat rajin menulis. Ingin sangat saya berbincang dengan sdr tapi bukan dalam penulisan blog ini kerana itu bukan subjek yang ingin saya tuliskan.

Saya setuju semua pandangan sdr kecuali saya rasa Tun Mahathir juga adalah insan biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Beliau memang merupakan pemimpin kelas dunia yang hebat dan sukar dicari ganti.

Nait beliau untuk memertabatkan bangsa memang mulia dan tinggi, tetapi ada cara lain (selain PPMSI) yang boleh digunakan untuk memajukan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak bangsa.

Sains dan Mathematik, selain bahasa falsafahnya, bukannya merupakan bahasa 'literature' boleh meningkatkan penguasaan harian kita terhadap bahasa melainkan mengenai 'angka' dan 'istilah maklmal'.

Mengenai Menteri yang lembab saya tetap mempertahankannya. Cakap pasal Pak Lah tak payah kita ulas lagi, semua kita telah mafhum dan beliau pun akan mengundurkan diri.

Kita bercakap mengenai orang yang ingin menjadi Naib Prediden dan kemungkinan menjadi pengganti Najib.

Apa yang lambat sangat membuat kajian begitu lama? Notis tunjuk perasaan telah lama diumumkan oleh gerakan GMI, buatlah cepat keputusan samada setuju atau tidak.

Kita sudah cukup dengan tsunami politik dan terlalu banyak sub plot dalam perjalanan politik negara dan negeri. Ini cukup memualkan.

Beliau tidak sensitif tentang bagaimana merosotnya pengaruh UMNO dan menjawab 'isu ini bukan keutamaan saya'??

Nanti kita bincang mengenai bagaimana berlakunya kemerosotan bangsa kita dalam semua hal, termasuk bahasa, bila kita ada peluang berjumpa.

Nanti ajaklah kawan2 hadir ya?..

Terima kasih