Tuesday, March 24, 2009

PERTAHAN KEDAULATAN MELAYU / ISLAM



PERISYTIHARAN
25 RABIUL AWAL 1430 / 22 HB MAC 2009
PERSIDANGAN KEMUNCAK PRIBUMI NEGARA
KUALA LUMPUR

‘Dengan nama Allah Yang Pemurah dan Penyayang’

ان الله يحب الذين يقاتلون فى سبيله صفاكأنهم نبينامرصوص



Sesungguhnya Allah amat menyukai orang–orang yang berjuang di jalannya dalam barisan yang teratur umpama bangunan yang tersusun kukuh (Ash-Shaff : 4)

BAHAWASANYA, Persidangan Kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada – 25 Rabiul awal 1430 / 22 hb Mac 2009 yang dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan disertai 1500 orang perwakilan dari 60 pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat Kebangsaan dengan ini telah bermuafakat untuk menyatakan pendirian bersama :



1. MENGULANGI dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja Melayu ke 215 (16 Ogos 2008) berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan persekutuan.

2. MENYERU semua pemimpin kaum pribumi mengambil usaha bersungguh-sungguh bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan dan ukhuwah kaum Melayu dan pribumi sebagai teras perpaduan dan keharmonian bangsa Malaysia serta berperanan mengekalkan kestabilan sebagai tanggungjawab bersama.

3. MENGGESA semua pihak termasuk parti siasah dan badan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan pribumi serta kepentingan-kepentingan sah kaum lain dan menentang sebarang pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dan Pribumi dalam perundangan dan perlaksanaan.



4. MENGESYORKAN agar pihak berkuasa mengambil langkah memperkasakan peruntukkan mengenai hal-hal Islam dalam perlembagaan serta menolak sebarang provokasi mana-mana pihak bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah dengan Perlembagaan negara.


5. MENCADANGKAN agar kedudukan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dimasukkan dibawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 fasal 5 dan perkara 10 fasal 4. Ini bagi mempastikan agar tidak berlaku penghakisan dan penghapusan Tanah Simpanan Melayu secara berterusan tanpa sebarang gantian yang wajar.

6. MENGGESA semua pihak supaya menghormati semangat Perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

7. MENGGESA pihak kerajaan pusat dan negeri mengubal langkah-langkah strategi dan inovasi serta pengawalan dan pencegahan dalam memastikan Pribumi bukan sahaja mampu menghadapi situasi krisis ekonomi semasa, bahkan pencapaiannya terus dipertingkatkan bagi mempastikan Pribumi mampu bersaing dalam perubahan lanskap ekonomi dunia yang semakin liberal dan global.

8. MENGGESA pihak yang bertanggungjawab agar merangka pelan-pelan dan jangkamasa tindakan serta pengukuran kejayaan terhadap usaha-usaha memperkasakan hak-hak istimewa Bangsa Melayu dan Pribumi serta mendapatkan pandangan dan maklum balas dari Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu selaku Penaung dan Penasihat, dan melaksanakan semua pelan-pelan tindakan ini sehingga berjaya.


9. MENYERU supaya digabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan-pertubuhan Melayu, Pribumi dan Islam dalam suatu saf gerakerja yang lebih tersusun dan berkesan untuk memperjuangkan suatu pembentukan pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan Kedaulatan Melayu, Pribumi dan Islam dalam perlembagaan dan perlaksanaan.

10. MENGGESA kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif yang telah disepakati, bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan. Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada gangguan-gangguan individu atau kumpulan yang bertindak diluar batas dan peruntukan perlembagaan negara.


Bahawasanya perhimpunan ini berikrar akan mempertahan dan memperjuangkan perisytiharan di atas demi kepentingan dan kesinambungan generasi Melayu dan Pribumi yang akan datang sebagai kaum majoriti asal yang sah menurut sejarah dan perlembagaan. Perpaduan kaum Melayu dan Pribumi adalah teras kepada kestabilan rakyat Malaysia seluruhnya.

Kita Mengusahakan, Semoga Allah menyempurnakan.


Sekian.



(Program Perkasa ini dibahagikan kepada dua sessi. Sebelah pagi bermula Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara mulai jam 9.45 pagi yang dihadiri oleh hampir 5,000 orang dengan Amanat YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebelah petangnya mulai jam 2.00 petang bermula Persidangan Kemuncak Pribumi yang dihadiri oleh 66 badan bukan kerajaan dengan kehadiran 1,500 peserta yang berdaftar. Diakhir persidangan tersebut, ketua penerangan PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad telah membacakan Perisytiharan 10 perkara diatas.) - Semua photo di atas adalah dengan ihsan Minaq Jinggo. Terima Kasih.

2 comments:

amirhamzah64 said...

Salam Datuk,

Tahniah di atas PERISYTIHARAN
25 RABIUL AWAL 1430 / 22 HB MAC 2009
PERSIDANGAN KEMUNCAK PRIBUMI NEGARA
KUALA LUMPUR


Kalau UMNO Tak Boleh, PERKASA Pilihan Terakhir.

Y.Bhg Dato'Ibrahim Azmi, Tokoh Ilmuan Islam dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus menyatakan di dalam ucapannya menyatakan jikalau UMNO sudah tidak boleh lagi hendak mempertahankan Bahasa Melayu, Agama Islam, Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, PERKASA akan bersedia memikul tanggungjawab itu walaupun PERKASA hanya NGO's bukannya parti politik.

Ibrahim Azmi, berkata demikian ketika menjadi pembicara ke 10, dalam Perhimpunan Pribumi Perkasa pada Ahad, 22 Mac 2009 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Beliau yang membicara tajuk kedudukan agama Islam masa kini dan cabarannya turut menyentuh tentang prinsip Islam sebagai Agama Persekutuan Tanah Melayu yang sudah sedia termaktub di dalam perlembagaan. Islam sepatutnya mempunyai kedudukan yang selamat tetapi semakin tercabar bukan sahaja dicabar oleh rakyat bukan Islam tetapi oleh pentadbir-pentadbir yang dikuasai oleh orang Islam.

Beliau memberitahu, ada surau kecil yang dibina di tepi jalan di Terengganu untuk kegunaan pemandu-pemandu teksi bersolat telah dirobohkan oleh pihak berkuasa sedangkan yang bersebelahan dengannya sebuah tokong Cina yang asalnya kecil, bukan sahaja tidak dirobohkan malah kini semakin hari semakin besar.

Beliau berasa kecewa dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tetapi kedudukan tempat ibadatnya bukan sesuatu yang selamat.

Apatah lagi di kala ini umat Islam semakin tercabar dengan pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang begitu liberal dalam beragama demi hendak mendapat secebis kuasa. Pemimpin-pemimpin PAS yang diharap akan mempertahankan agama berdasarkan nama Parti Islam pun semakin hanyut dengan kegilaan merebut kuasa.

Kalau dahulu, berkawan dengan golongan kafir merupakan satu kesalahan amat besar tetapi hari ini pemimpin-pemimpin mereka bukan sahaja berkawan tetapi berpeluk-pelukan dan sanggup pula berkongsi kuasa seperti yang berlaku di Perak.

PAS dan PKR tidak boleh lagi hendak diharap untuk membela Melayu dan Islam berdasarkan perkembangan terkini di Selangor dan Pulau Pinang. Maka sebab itu dalam pengisytiharan PERKASA disebut sebagai pendirian PERKASA perkara 4.:Mengesyorkan agar pihak berkuasa mengambil langkah memperkasakan peruntukan mengenai hal-hal Islam dalam perlembagaan serta menolak sebarang provokasi mana-mana pihak bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Kata Ibrahim Azmi, Kalau UMNO tak boleh, PAS pun tak boleh, PKR jauh sekali boleh. PERKASA lah pilihan tempat orang Melayu bergantung.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

abuhanaan said...

Salam Datuk,

Terima kasih kerana perbahasan di Astro Awani yang walaupun isunya penting dan besar tapi tidak emosional macam tunjuk perasaan anti Karpal Singh. Inilah yang saya harap, kita duduk dan jelas isu-isu Melayu dan Islam dalam keadaan tenang. Maka lagi mudah untuk kita faham dan hayati isu.

Kalau begini tenang dan santun penyampaian, Insya-Allah orang-orang Melayu/Islam baik dalam UMNO atau PAS lama kelamaan akan nampak cabaran yang kita hadapi.

Syabas Datuk dan PERKASA.