Wednesday, April 1, 2009

PPSMI: JAWABLAH SECARA ILMUAN



Bantahan PPSMI bergema dalam p'raya


Ali Bukhari Amir Mar 31, 09 1:27pm

Selain dalam demonstrasi besar awal bulan ini, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut berkumandang di Bukit Gantang yang kini menghadapi pilihanraya kecil.

Tokoh-tokoh utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan turun berkempen dua hari di situ menjelang pengundian pada 7 April ini.

Profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Dr Shaharir Mohd Zain dan penyajak Dinsman dijangka menyampaikan ceramah. - Sumber Malaysiakini.


(Ulasan Dakwat & Kertas) Isu PPSMI tidak habis-habis dibicarakan oleh rakyat samada yang menyokong atau menentangnya. Masalah utama isu ini adalah kerana Menteri yang terlibat tidak mampu menjelaskan lojik PPSMI dan lojik tempoh masa yang begitu panjang diambil bagi menyelesaikan masalah ini.

Penulis sendiri pada mulanya begitu kuat menentang PPSMI. Namun penulis berkesempatan bertanya secara langsung dengan pengasas PPSMI, Tun Dr. Mahathir sendiri pada suatu kesempatan pertemuan jawatankuasa PERKASA sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Ternyata jawapan Tun agak lojik dan boleh diterima akal. Penulis berharap tokoh-tokoh Sasterawan dan pejuang bahasa harus membaca lojik tulisan Tun yang terdapat dalam Che det.com dan memberikan hujah balas dan ilmiah secara tokoh ilmuan dan bukan tokoh jalanan yang berdasarkan ledakan emosi.

Dibawah ini diturunkan tulisan Tun dan diharap mendapat maklumbalas ilmiah dari penentang-penentangnya. Terima kasih. - Penulis.
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
By
Dr. Mahathir Mohamad

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.


4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation
• Oxidation
• Oxide
• Oxidants
• Deoxydation
• Oxidise
• Oxidification
• Dioxide
• Monoxide
• Peroxide

10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

5 comments:

NIZAM MAT SAARI said...

Salam Dato',

Dengan hormat saya menjemput Dato' untuk membaca tulisan saya tentang PPSMI di blog saya melalui url:
http://nizammatsaari.com/blog

Di sana saya menulis tajuk "PPSMI Lagi: Pengukuhan Penolakan".

Terima kasih.

NIZAM MAT SAARI
http://nizammatsaari.com/blog
http://nizammatsaari.blogspot.com

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

Saya ingin memuji keterbukaan Datuk dalam isu ini. Sesuai lah dengan kata-kata hikmat di dalam blog saya iaitu MENGKRITIK TIDAK BERERTI MENENTANG,MEMUJI TIDAK SEMESTINYA MENYOKONG,MENEGUR TIDAK BERMAKNA MEMBENCI,DAN BERBEZA PENDAPAT ADALAH KAWAN BERFIKIR
YANG BAIK.

Walaupun kita ada sedikit perbezaan pendapat dalam isu ini tetapi saya yakin perkara yang baik bukan mustahil boleh diterima oleh semua orang yang suka berfikir di luar kotak.

Langkah bijak Datuk ialah bertanya sendiri dengan 'tuan punya' program ini dan sudah tentu kita akan mendapat informasi yang lebih tepat.

Walaubagaimana pun, kepandaian dan kebijakkan pelajar kita adalah berbeza-beza. Bukan semua pelajar kita mempunyai keupayaan belajar Math dan science dalam Bahasa Inggeris. Inilah sebenarnya yang patut difikirkan oleh pihak tertentu bagi mengatasinya supaya mereka ini tidak ketinggalan.

Saya ada menulis di blog Datuk dalam ruangan komen bertajuk 'Sokong PPSMI tetapi dengan beberapa perubahan'.Idea ini telah pun disebut oleh menteri berkenaan dalam ucapan pergulunggan pada PAU yang lalu.

Saya lebih suka mengambil jalan tengah dengan memberi rakyat berikir, mengeluarkan cadangan dan bantahan.Situasi semasa memaksa kita membuat beberapa pindaan terhadap perlaksanaan dasar bagi mengurangkan kritikan terhadap kerajaan. Perlaksanaan PPSMI ini hanya layak kepada pelajar yang layak dan pelajar yang kurang berkemampuan minda boleh meneruskan di dalam Bahasa Melayu.

Dalam waktu kita mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita juga memberi peluang seluas-luasnya kepada pelajar yang bijak, cerdik dan bijaksana untuk mengaut segala ilmu dalam math science menerusi Bahasa Inggeris.

Akhirkata, Menteri Pelajaran dan Naib Presiden yang baru wajar diberi tugas di Kementerian yang lain supaya dasar PPSMI tidak menjadi polimik yang berterusan sehingga pilihanraya ke 13.

Terima kasih.

FUAD HASSAN said...

Nizam Mat Saari,

Salam.

Terima kasih di atas pendedahan sdr terhadap isu di atas. Saya percaya pendirian sdr pun ada kebenarannya.

Demikian juga pendirian yang dikemukakan oleh Amirhamzah64 ada kebenarannya.

Tun mengambil pendekatan belajar bahasa sumber untuk mendapat sumber yang asal. Dalam konteks ini adalah sains & math.

Soalnya mengapa sains & math dan tidak subjek yang lain?. Ini kerana Tun berpendapat sains & math sumber kemajuan masa kini.

Pendekatan memajukan bahasa Inggeris secara keseluruhan memerlukan penggunaan harian dan melalui tulisan sastera Inggeris di peringkat tinggi.

Pandangan sdr pula mengenai perlaksanaan dan penerimaan para pelajar di desa. Ini saya rasa soal kebiasaan yang memerlukan permulaan.

Pendapat yang menyatakan orang Eropah mengambil daripada Ibn Khaldun, Ibn Sina dan lain-lain kemudian diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris adalah benar.

Tetapi harus diingat, cerdik pandai Eropah yang dikenali dengan orientalis, mempelajari bahasa Arab dengan begitu mendalam, malah lebih mendalam dari orang Arab sendiri, sehinggalah mereka berjaya 'mencuri' perbendaharaan ilmu Islam dan di kembangkan dengan akal fikiran dan penemuan-penemuan mereka sendiri.

Malah di Alam Melayu ini, dengan mempelajari bahasa dan budaya setempatlah maka Inggeris berjaya menawan hati dan perasaan bangsa ini sehingga kemudian mereka berjaya menjajah kita.

Dengan mempelajari bahasa Melayu dalam sastera Melayu tulisan jawi antaranya melalui Winstedt & Wilkinson, pengaruh politik Inggeris berkembang, tetapi tidak pula mereka mengenepikan bahasa mereka.

Saya percaya ilmu sains dan math lebih jauh dari sekadar penggunaan nama khas dan nama am.

Kesimpulan Tun yang agak kuat adalah seperti berikut:

"Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. "

"Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. "

"Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.."

Apapun pendapat yang dikemukakan, saya rasa perbincangan begini adalah sihat dan perlu digalakan. Ini adalah lambang kebangkitan tamaddun sesuatu bangsa melalui perdebatan ilmu.

Tetapi apabila melibatkan keputusan pemerintah, pemerintah bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya.

Inilah yang tidak dibuat oleh Tun semasa ingin melaksanakan dan Menteri Pelajaran yang ada sekarang.

Terima kasih.

Fadli Halim said...

Salam Datuk,

Memang benar orang Eropah belajar bahasa Arab dan menterjemah buku-buku untuk menguasai ilmu yang dipelopori orang Arab ketika itu.

Tetapi BUKAN SELURUH orang Eropah belajar bahasa Arab dengan mendalam. Cuma golongan cerdik pandai saja. Yang lain-lain belajar ilmu menerusi buku yang sudah diterjemah oleh cerdik pandai mereka itu.

Kalau semua orang Eropah menguasai bahasa Arab ketika itu, tak perlulah terjemah dalam BI, guna saja yang original dalam bahasa Arab.

Mereka buat terjemahan kerana mereka tahu lebih senang orang Eropah belajar sains & math dalam bahasa sendiri.

Bahasa penyampaian saja berubah (Arab ke BI) tapi istilah mereka kekalkan, contohnya Al-Kuhl jadi alkohol.

Kita ni sibuk-sibuk risau pasal istilah sains ni pula.

Misa Abadiah said...

Salam Dato.

Saya sejak mula diperkenalkan PPSMI memang saya tidak bersetuju. Mungkin golongan atasan dan pertengahan tiada masalah tetapi bagi orang biasa macam saya dan kebanyakan yang lain ianya amat menyukarkan.

Sekadar contoh kecil, anak kawan saya yang berada di darjah 2 bertanya mengenai soalan matematik yang dia tidak faham. Kawan saya yang gagal menguasai bahasa inggeris gagal untuk menunjuk ajar anaknya.

Bagi saya, PPSMI menjauhkan orang Melayu dari pelajaran Matematik & Sains. Sudahlah ramai yang lemah dan tidak meminati kedua matapelajaran ini, ianya disukarkan lagi dengan pengajaran Bahasa Inggeris yang kebanyakan orang Melayu gagal menguasai.

http://dunia-politik.blogspot.com
dunia-politik@yahoogroups.com