SANTAI UNTUK PELARIAN POLITIK TEMPATANLemas dengan perkembangan politik dan ekonomi Negara, saya mengsyorkan saudara-saudara yang tidak ada pantang menonton wayang untuk pergi menonton filem Valkyrie samada di panggung wayang atau DVD yang boleh dibeli bila di pasaran kelak. Anak Perempuan saya, Farhana, 21, yang mencadangkan dan membiayai tiket untuk filem tersebut pada cuti Taipusam isnin lalu.
Maka kami pun menonton di panggung di Pavilion, Jalan Bukit Bintang. Saya memberi lima bintang untuk filem ini dan ternyata ia merupakan filem sejarah yang terbaik yang pernah saya tonton !!.

Filem ini berdasarkan kisah benar mengenai plot percubaan untuk menghapuskan pemimpin diktator Jerman yang terkenal, Adolf Hitler.
Kisah ini wajar di tonton oleh peminat atau pengkaji sejarah, para pelajar serta mereka yang meminati filem suspen dan thriller. Menonton Valkyrie seolah-olah kita merasai “I was there feeling” pada zaman, peristiwa dan tempat perahsiaan Hitler.
Saya rasa sangat terkesan pada watak, costume, rahsia kisah sebenar, lokasi dan jalan cerita yang sering membuat sering saya menahan nafas dalam mengikut perkembangan cerita yang cemas ini. Filem ini memang terdapat unsur aksi, tetapi aksi-aksi tersebut “its not mindless action”.
Tom Cruise telah diberikan peranan sebagai Kolonel Stauffenberg, seorang pegawai tinggi dalam tentera Jerman. Daripada latar belakang bangsawan dan Roman Katholik, beliau meyakini Hitler merupakan seorang diktator. Beliau telah dijemput bagi menyertai kumpulan-kumpulan rahsia tentera Nazi “German Resistance Movement” bagi menentang Hitler.
Peranan mereka adalah untuk merancang pembunuhan Hitler dan menguasai Jerman dengan tujuan untuk menghentikan Perang Dunia kedua serta membawa keamanan kepada dunia. Percubaan yang gagal ini berlaku pada 20 July 1944.Hitler terselamat daripada percubaan membunuh itu kerana beg yang berisi bom yang di bawa oleh Kolonel Stauffenberg yang diletakkan di bawah meja mesyuarat telah di alihkan ke tempat lain oleh Kolonel Heinz Brandt semasa Stauffenberg keluar dari bilik mesyuarat dan Hitler terlindung dari letupan lantaran meja kayu oak yang kemas dan padat.
Stauffenberg menjangkakan Hitler dan semua yang berada di dalam bilik tersebut telah terkorban dan beliau dengan yakin mengepalai usaha membersihkan Jerman daripada pengaruh Nazi dan Gestapo. Maka berterusanlah drama yang penuh trajik ini.
Biarpun kita mengetahui melalui sejarah bahawa percubaan membunuh Hitler itu telah gagal, tetapi unsur suspen dan thrill semasa menonton filem tersebut menyebabkan saya amat mengharapkan percubaan membunuh itu berjaya.
Inilah kejayaan pengarah filemnya, Bryan Singer (The Usual Suspects, X-Men) walaupun filem itu tidak dilihat begitu komersial dan telah menimbulkan beberapa kritikan terutama mengenai kelewatan pengeluarannya, pelbagai dialek yang bercampur baur Amerika, British dan Jerman serta yang lain-lain. Namun ia tidak mengurangkan kehebatan sejarah yang ingin dipaparkan.Filem ini merupakan filem serius yang dibintangi oleh watak-watak besar yang berkesan bagi menimbulkan kesan sejarah yang dapat diperkongsikan bersama. Malahan wajah Tom Cruise hampir menyerupai watak Kolonel Stauffenberg yang sebenar.
Mereka yang belum menonton sekali lagi saya menganjurkan pergilah menonton bagi menyaksikan sejarah besar yang pernah berlaku. Ianya berbaloi dan akan meninggalkan kesan dalam fikiran dan perasaan kita yang berkecamuk dengan perkembangan suasana politik dan ekonomi tempatan – Selamat Menonton.