Sunday, December 14, 2008
PAS TIDAK LAGI BICARA PERLEMBAGAAN ISLAM

MANSUH COMMON LAW — KETUA HAKIM NEGARA MAHU PERUNDANGAN LAPUK INGGERIS DIGANTI
PETALING JAYA 21 Ogos 2007— Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.
Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.
Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.
”Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.
”Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?” soalnya.
Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman.
Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.
Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England.
Dalam hubungan ini, beliau mahu pakar undang-undang di Malaysia bersepakat sama ada mahu meneruskan amalan merujuk kepada Common Law.
Jika sebaliknya, tegas beliau, pendekatan baru perlu diambil bagi menggantikan Common Law Inggeris yang dilihat sudah sebati dalam perundangan negara.
Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.
Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat.
Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.
Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.
Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950.
Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 17 April 1999 merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
PERJUANGAN YANG DITAKDIRKAN

SEJARAH dikatakan ditulis oleh mereka yang menang, tetapi sejarah persaingan ekonomi dan hubungan kaum di Malaysia tidak pernah ditulis oleh orang yang menang. Sekiranya sejarah yang akan diperkatakan dalam rencana ini dituduh ditulis oleh si pemenang, ia adalah tidak benar. Orang Melayu tidak pernah menang dalam persaingan ekonomi.
Orang Melayu menguasai politik, tetapi itu adalah kerana Negara ini asalnya adalah Tanah Melayu iaitu tanah tempat tinggal bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Kekuasaan tersebut sekarang tidak mutlak. Kuasa di Negara ini dikongsi dalam tolak ansur yang ada ketikanya merugikan orang Melayu.
Sejarah yang dipaparkan dalam rencana ini bertujuan untuk menunjukkan bagaimana orang Melayu menjadi mangsa kepada toleransi mereka sendiri, satu tolak ansur yang seharusnya tidak berulang kerana ia akan mempengaruhi nasib anak cucu kita kelak. Jika kita tersilap langkah, mereka mungkin menjadi hamba di tanah air sendiri.
Kebimbingan 100 Tahun Lalu
Kurun ke 20 yang baru berakhir ditempohi dengan kepayahan oleh orang Melayu. Datuk nenek mereka membangunkan sistem kerajaan tradisi Melayu di neger-negeri di Tanah Melayu. Mereka mempunyai hubungan awal dengan orang Cina dan India tetapi ia bukan dalam bentuk yang di bawa oleh penjajah British.
Penjajah British dalam usahanya untuk mengangkut keluar hasil mashyul Tanah Melayu dan Borneo telah membawa imigran-imigran dari India dan Cina untuk diambil bekerja dalam perusahaan yang dikuasai oleh syarikat-syarikat British. Dasar buruh itu telah membawa implikasi besar kepada demografi, politik dan telah mengubah sama sekali rupa Tanah Melayu.
Di empat buah Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang pada tahun 1901, bilangan imigran dari China dan India melebehi jumlah penduduk Melayu. Bilangan penduduk empat buah negeri itu ialah 643,152 orang. Daripada jumlah itu bilangan orang Melayu ialah 285,202 orang, Cina 299,739 dan orang India 58,211.
Ini bermakna ketika kehidupan di Negara ini dimulakan pada awal kurun ke 20, orang Melayu tiba-tiba telah menjadi minoriti di negeri-negeri mereka sendiri (dengan peratus penduduk Melayu hanya 44 peratus).
Siapakah yang bersalah? Orang Melayu ketika itu memang merasa terhimpit tetapi mereka tidak berkuasa melawan tekanan penjajah. Walaupun di negeri-negeri itu Sultan Melayu tetap menjadi pemerintah di bawah sistem Residen British, tetapi kebimbangan orang Melayu adalah jelas. Mereka tidak tahu selama-lama mereka dapat bertahan lebih-lebih lagi kerana mereka berpecah belah, mundur dan dipisahkan oleh semangat kenegerian.
Apa yang ironi dalam politik ialah beberapa dekat kemudian pemimpin Cina membangkitkan bahawa ada orang Cina telah berada lama dinegeri ini sama lama seperti orang Melayu. Fakta tahun 1901 yang dinyatakan di atas tidak dapat menyembunyikan satu perkara iaitu majoriti orang Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu adalah imigran kurun ke 20.
Ini dapat dibuktikan dengan statistik. Daripada jumlah 299,737 orang Cina di Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1901, bilangan wanita Cina hanyalah 27,155 orang. Kebanyakan imigran Cina adalah lelaki iaitu kira-kira 90 peratus daripada populasi orang Cina ketika itu. Jika mereka telah menetap di Negara ini beratus-ratus tahun seperti orang Melayu sebagaimana yang didakwa, bilangan wanita Cina tidak harus sekecil itu pada tahun 1901.
(Siri rencana yang akan disiarkan ini merupakan rencana dalam simpanan saya yang tiada tercatat nama penulisnya. Saya tertarik kandungannya dan ingin berkongsi dengan pembaca. Tajuknya di oleh daripada ucapan penerimaan jawatan Presiden UMNO oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada bulan Ogos 1951. Tema ucapan Almarhum Tunku ialah “Jawatan Yang Ditakdirkan” Selamat membaca.)
Saturday, December 13, 2008
ORANG MELAYU MANGSA PERCATURAN INGGERIS

BAHAGIAN II
Pihak Inggeris bertapak di Tanah Melayu bermula daripada perjanjian-perjanjian yang ditandatangani dengan Sultan negeri-negeri Melayu. Sultan negeri-negeri Melayu telah diyakinkan oleh Inggeris bahawa kedatangan orang Cina dan India sebagai buruh dan tidak akan menjejaskan kekuasaan mereka dan tidak merugikan rakyat pribumi.
Jumlah penduduk Cina yang meningkat secara drastik di Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 merbahayakan ketuanan Melayu, tetapi nasib malang sebenar orang Melayu ialah apabila mereka dihalang secara sistematik oleh Inggeris daripada menerima pemodenan pendidikan dan ekonomi melalui dasar pecah dan perintah.
Pendidikan Inggeris yang menjadi lambang kehidupan moden dan keupayaan individu tidak sampai kepada orang Melayu pada awal kurun ke 20 ketika Tanah Melayu mula dibuka oleh British kepada persaingan terbuka orang Melayu dan bukan Melayu. Jika sampaipun, ia tidak membawa makna besar.
Antara tahun 1919 sehingga Perang Dunia Kedua, bilangan anak-anak Melayu yang masuk sekolah Inggeris hanya 9 peratus daripada keseluruhan pelajar Tanah Melayu pada tahun 1919 dan Cuma 15 peratus pada tahun 1937’
Pendidikan dari dulu hingga sekarang mempunyai peranan khusus. Ia menentukan apa kerja yang akan dilakukan oleh anak-anak Melayu bila mereka dewasa dan mencorakkan kemiskinan dan kemakmuran mereka. Tanpa pendidikan Inggeris pada zaman itu, mereka tidak mempunyai tempat yang tinggi dalam kehidupan zaman penjajah. Orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi pendidikan dan kesihatan.
Adalah menyedihkan apabila membaca stastik kesihatan orang Melayu pada zaman itu. Pada tahun 1947, kematian bayi Melayu semasa dilahirkan ialah 116 orang bagi setiap 1,000 kelahiran sedangkan di kalangan bayi-bayi Cina ialah 68 orang bagi setiap 1,000 kelahiran.
Dengan kesihatan yang merosot dan pendidikan yang daif, ketika itu orang Melayu sedang menuju kehancuran.
Saat-saat Cemas bangsa Melayu
Selepas Perang Dunia Kedua, pihak British mendapat idea baru bagaimana hendak menguruskan tanah jajahan meraka dengan cuba menukar kedudukan Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada negeri jajahan.
British ingin mengekalkan kepentingan ekonomi mereka supaya terus terkawal. Menerusi satu perjanjian strategik untuk membentuk Malayan Union pada tahun 1946, pihak British merancang memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua kaum termasuk kepada orang Cina dan India walaupun mereka baru beberapa tahun menetap di Tanah Melayu.
Rancangan jahat ini jika dilaksanakan akan menamatkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal Negara ini dan implikasi langsung rancangan pentadbiran itu ialah meletakkan Raja England sebagai Ketua Negara Malayan Union.
Kalau ini dilaksanakan, ketua Negara orang Islam di Tanah Melayu ialah seorang raja beragama Kristian di London. Raja-Raja Melayu akan kehilangan kuasa mereka dan jika ini berjaya dilakukan oleh British ia secara simbolik menandakan berakhirnya identiti, tradisi dan budaya politik Tanah Melayu sebagai sebuah negeri Melayu.
Rancangan jahat ini ditentang oleh orang Melayu melalui UMNO.
Pihak British menukar fikiran berhubung pembentukan Malayan Union berikutan tentangan hebat orang Melayu terutama selepas UMNO yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar berjaya mempengaruhi Raja-Raja Melayu supaya memulaukan Majlis Mesyuarat Gabenor Malayan Union dan menyatukan orang Melayu untuk ‘‘bergabung menunjukkan dukacita di atas kehilangan benda-benda yang kita kasihkan itu.’’
Pada saat-saat yang mencemaskan itu, British bukan satu-satunya musuh orang Melayu. Menurut Datuk Onn dalam satu ucapannya di Istana Besar Johor Bahru pada 12 mei 1946, orang Melayu juga dikhianati oleh beberapa orang bangsa sendiri yang terlalu liberal. Katanya: “Alangkah malangnya, ada beberapa orang Melayu yang tidak mengikut (memperjuangkan hak-hak Melayu) kerana kononnya segan kepada orang asing tetapi mereka tidak segan kepada kaumnya sendiri.”
Malaysan union digagalkan, dan UMNO mula bangkit sebagai sebuah pertubuhan politik kebangsaan yang bertanggungjawab mencetuskan semangat nasionalisme. Buat pertama kalinya orang Melayu yang selama beratus-beratus tahun berpecah disatukan. Dalam UMNO yang memperjuangkan hak-hak Melayu, kata Datuk Onn, “rakyat menjadi raja dan raja menjadi rakyat.”
Sunday, December 7, 2008
KELAHIRAN DAKWAT & KERTAS
Kuala Lumpur, 6 Disember 2008 - Salam perkenalan kepada para pembaca blog Dakwat & Kertas. Memang menjadi hasrat saya sekian lama untuk menyumbangkan fikiran melalui tulisan. Mariam isteri saya sering menyarankan agar saya menulis buku mahupun menulis di akhbar-akhbar. Dipendekkan cerita, kami mula berbincang apakah nama blog yang sesuai untuk saya. Beliau mencadangkan nama Keris Mas bagi menghidupkan semula nama bekas Sasterawan Negara, Kamaluddin Muhamad. Ada juga timbul nama Pena Emas sebagai cadangan ganti. Namun saya lebih cenderung mencipta sesuatu yang baru. Pabila pulang ke tanah air saya terus memilih nama "Dakwat & Kertas".
Nama ini mudah dan jelas dan tidak ada samaran. Dakwat & Kertas mengingatkan saya pandangan yang pernah dikemukakan oleh Mahaguru saya semasa di universiti pada tahun 70an dahulu, Prof. Dr. Syed Muhammad Naguib Al Attas (lihat photo), bahawa istilah tersebut merupakan sebahagian dari perbendaharaan kata yang di bawa Islam semasa mengembangkan sayapnya di Kepulauan Melayu. Suatu istilah yang amat berkaitrapat dengan perkembangan ilmu dan faham akliah yang dibawa Islam di alam kepulauan Melayu bagi menggantikan fahaman tahyul dan mitos hasil daripada pengaruh anamisme dan Hindu-Buddha.