BEBERAPA hari lalu, seorang
pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di
Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom
memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa
dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.
Jemaah lain merungut kerana
mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas,
pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang
dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara
berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik
walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar
kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di
Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia,
Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada
pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama.
Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang
ada.
Arab Spring berterusan lagi
dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti
jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada
2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Hal
Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali
pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya
seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu
perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang
berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia
tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan
sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring?
Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan
rakyat terhadap para pemimpin mereka.
Fuad menilai isu ini
daripada sudut berikut:
1. Semua pemimpin di Asia
Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa).
Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama
dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari.
Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara
militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang
digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu
lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi
sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun.
Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera,
dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab
yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara
yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem
demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam
Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung
usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku
pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency)
negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya
dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4
berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab
Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan.
Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus,
Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat
4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik.
Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan
mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi
international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik
daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah
dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh
sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.
5. Kadar inflasi di
kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila
inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak.
Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula
kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia
sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan
harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang
cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara
selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara
yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu,
kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace
Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA
kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat
Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden
Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada
pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika
ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang
dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara
perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa,
akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang
di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah
untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba
sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka
gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring.
Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya.
ARKIB : 27/07/2012
Arab Spring Berbeda Dengan kita.
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my