Lambang kemakmuran dan kepintaran kepimpinan negara |
Pakatan
pembangkang tidak pernah bercerita mengenai seksanya perjuangan Petronas tetapi
tiba-tiba pula menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada rakyat hasil keuntungan
syarikat petroleum negara itu.
"DUIT
Petronas kan ada! RM60 bilion...RM90 bilion...ambil sahaja duit ini, tabur demi
pendidikan percuma. Jadi, janganlah risau bila PTPTN dimansuhkan.
"Kita
akan paksa Petronas naikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu
dan Kelantan kepada 20 peratus".
"Kita
juga akan teruskan subsidi gas memasak, dengan kos RM4 bilion setiap tahun,
juga dari kewangan Petronas."
Petronas!
Petronas! Petronas! memang tak lekang dari mulut pakatan pembangkang PKR, DAP
dan Pas ini.
Tiga
perenggan dari atas tadi, antara yang kerap dipertuturkan oleh pembangkang
kepada sesiapa yang ditemui atau menemui mereka saat ini untuk menawan
Putrajaya.
Cuma
persoalannya, bagaimana kita boleh melakukan pengagihan tanpa ada sebarang
cadangan untuk pertumbuhan. Kalau tiada pertumbuhan, kita sebenarnya hanya
mampu untuk mengagihkan kemiskinan. Oleh kerana tidak ada pertumbuhan daripada
peranan sektor swasta, maka mangsa utama kepada pengagihan harta negara tidak
lain dan tidak bukan - Petronas. Petronas kelak ibarat angsa 'melahirkan' telur
emas - yang menjadi sumber 'pengumuman popular' pembangkang. Ini sehinggakan
boleh menyebabkan Petronas itu sendiri tenat dek keuntungan Petronas itu
sendiri. Padahal, Petronas adalah satu entiti perniagaan. Apabila disebut
perniagaan, ia ada turun naik dan bila turun naik, sudah tentulah ada pasang
surutnya.
Dalam
konteks ini, kita perlu realistik - tidak boleh mengharapkan keberterusan
keuntungan Petronas yang 'statik'. Misalnya pada 2004, menurut data kewangan
Petronas, nett profit atau keuntungan bersih yang diperolehnya berbanding hasil
hanyalah RM23.7 bilion. Nett profit yang dicapai itu setelah dibayar cukai dan
dividen kepada kerajaan. Kemudian, pada 2005, nett profit Petronas menginjak
RM35 bilion dan kemuncaknya pada 2008 semasa harga minyak naik di mana nett
profit syarikat petroleum negara itu mencecah RM61 bilion. Bagaimanapun, tahun
lepas ia turun ke RM52 bilion dan RM40 bilion pada 2010. Maka, boleh
disimpulkan nett profit Petronas tak berkembang disebabkan ia juga bergantung
kepada pasaran permintaan dunia di samping penerokaan pelaburan baru.
Tetapi
sebagai entiti perniagaan, Petronas ada turun naik. Jadi, kalau kita terlalu
mengharapkan duit Petronas, dibimbangi tidak akan ada lagi langkah-langkah lain
untuk mencipta kekayaan negara ini.
Terpaksa bekerja keras menambah keuntungan |
Bercerita
mengenai angsa bertelur emas tadi, penulis turut berkongsi pandangan dan input
dengan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan ketika
ditemui di ibu negara Selasa lalu.
Kata Fuad:
"Angsa yang dipaksakan untuk melahirkan telur emas sehingga angsa itu
sekarang ini sedang senak kerana ia dipaksa melahirkan sebanyak mungkin telur
emas untuk diagih-agihkan kepada rakyat.
"Sedangkan
pembangkang tak berjaya mencipta angsa baru dan daripada angsa (Petronas)
inilah nak bagi royaliti minyak 25 peratus kepada Sabah, Terengganu dan
Kelantan. Daripada angsa inilah hutang PTPTN hendak dihapuskan sebanyak RM42
bilion. Daripada angsa inilah nak diberi pendidikan percuma kepada rakyat
umumnya. Kenapa tak cipta angsa baru, ciptalah angsa baru.
"Seperti
Kelantan, selama 20 tahun bukan sahaja tiada angsa, anak itik pun tak
ada."
Sebab itu,
kata Fuad, semua pihak perlu menilai secara bijaksana kenapa pembangkang mesti
menjadikan Petronas sebagai mangsa kepada cita-cita nafsu mereka semata-mata
untuk menang PRU-13.
Sebenarnya
negara berada dalam keadaan yang dari segi kadar inflasinya agak terkawal
berbanding negara lain. Malaysia memiliki kepimpinan Petronas yang bijaksana
dan kerana itu kita patut berterima kasih kepada anak-anak muda negara yang
dilatih oleh Dr. Mahathir yang memberikan wawasan dan misi kepada kepimpinan
Petronas untuk berpandangan jauh bukan sahaja mencari gali dalam negara tetapi
berkongsi pelaburan dengan negara-negara luar seluruh dunia. Atas faktor inilah
membawa Petronas menjadi satu institusi yang hebat dan boleh bersaing dengan
gergasi dunia seperti Exxon Mobil, Royal Dutch Shell dan BP.
"Kita
dah sama taraf dengan Chevron kerana visi kepimpinan Petronas. Cuba kita tanya
rakyat jiran tetangga bahawa kenapa Pertamina (konsep sama Petronas di
Indonesia) tak 'menjadi' seperti Petronas.
"Orang
kata siapa pegang kerajaan pun boleh jadi, maka tanyalah Pertamina mengapa
tidak jadi kenyataan. Iktibar dari ini ialah ia kerana visi dan misi kepimpinan
Petronas yang berpandangan jauh...pemikiran korporat dan inilah sebenarnya ada
di situ," kata Fuad.
Ironinya,
Malaysia tidak boleh bergantung hanya kepada seekor angsa. Jadi, strategi Najib
adalah anda perlu cetuskan peningkatan. Macam mana nak 'create growth' itu
diperincikan dalam ETP dan GTP - dengan meningkatkan GNI per kapita kepada
AS$$48,000 atau AS$$15,000 setahun - yang mana angka-angka ini juga sudah
tercapai bagi peneroka-peneroka Felda. Dikatakan para peneroka Felda sudah
sampai ke GNI per kapita AS$$48,000 setahun.
Fakta
sebenarnya isu Petronas ini ialah pihak berkenaan tidak bercerita akan seksanya
perjuangan Petronas sehingga sampai ke tahap sekarang. Dia tak cerita berapa
banyak Petronas sudah berikan kepada rakyat.
Hasil semakin kurang |
Di
Petronas, dari 2007 hingga 2010 sebanyak RM335 bilion wangnya telah diambil
kerajaan dengan purata RM81.25 bilion setahun.
"Ke
mana pergi duit ini, subsidi sahaja RM33 bilion, jadi, berapalah yang tinggal
iaitu RM50 bilion, buat jalan (bertar) tak dikira selain pembangunan luar
bandar serta pendidikan, PTPTN.
"Duit
ini dibelanjakan untuk maksud-maksud yang diberikan, jadi, berapa banyak yang
'awak' hendak dari Petronas dengan meluahkan janji-janji di luar tambahan (buku
jingga).
Tetapi jika
diambil kira dengan pendapatan per kapita RM4,000 pendapatan isi rumah, 25
peratus royalti minyak, kurang subsidi swasta semua ini - yang dijanjikan
pembangkang - maka kerajaan perlu membayar RM253.8 bilion - yang mana jika
berterusan akan meningkatkan defisit negara.
Dengan
defisit negara meningkat, pembangkang akan membawa kepada kebankrapan Malaysia
dalam masa hanya dua tahun ini. Sedangkan pendekatan kurang defisit oleh
Perdana Menteri sentiasa disasarkan beliau secara berperingkat setiap tahun.
"Pembangkang
menambahkan lagi defisit dengan tanggungan hutang tadi dan dalam tahun kedua
katakanlah negara diperintah pembangkang, maka Malaysia bakal menyaksikan lebih
100 peratus defisit.
"Jika
ini berlaku, maka strategi kerajaan nak kurangkan defisit tidak lebih daripada
10 peratus akan berjaya sedangkan pembangkang cetuskan lebih defisit melebihi
100 peratus. Akibatnya nanti, Malaysia akan menjadi negara bankrap seperti
Greece dan Sepanyol. Jadi, dengan defisit akan meningkat hingga ke negatif (-)
19 peratus, ia bererti negara memasuk kawasan tenat.
Ternyata,
taburan janji oleh pembangkang tidak ada pertanggungjawaban fakta untuk
menjelaskan. Memanglah mereka akan sebut tidak ada kerajaan yang bankrap kerana
menolong rakyatnya. Kenyataan seperti itu sesiapa pun boleh buat . Namun jika
diambil teladan dari Greece, hakikatnya tetap ada kerajaan yang bankrap
sekiranya tidak ada perimbangan antara pengagihan dengan pertumbuhan.
Meskipun
diselubungi kemungkaran, tetapi kerana tahalluf siyasi atau permuafakatan
politik, DAP, PKR dan Pas, ketiga-tiganya akan tetap membela antara satu sama
lain - walaupun dalam keadaan mungkar.
Sumber
kewangan popular - Petronas angsa bertelur emas?
Oleh
ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment