ADA
sesetengah tanggapan mengatakan kerajaan mesti banyak bercerita mengenai kisah
kejayaan (success story) kepada orang muda.
Kerajaan,
kata mereka, mempunyai banyak kisah kejayaan yang orang sibuk bercakap
kebelakangan ini. Hanya kerana kisah itu tidak diulangi beberapa kali, ia
kurang disedari orang muda atau belia.
Cuma
risikonya - keghairahan ‘pihak berkenaan’ dalam menerobos politik yang sihat
masih belum pulih. Malah, semakin buruk. ‘Pihak berkenaan’ dikatakan
menggerakkan politik biasa dalam keadaan yang ‘luar biasa’ dengan menjadikan
politik tanah air dalam keadaan huru-hara sekarang.
Memang
‘pihak berkenaan’ dikatakan memiliki tahalluf siyasi atau permuafakatan politik
yang tampak menyerlahkan misi bersama. Ia digabung-gabung, sampaikan konon
tidak terjawab oleh pihak sebelah sana. Namun, kebelakangan ini khususnya sejak
setahun lalu, tampak perubahannya.
‘Politik
luar biasa’ ini dibalas dengan tahalluf siyasi kerajaan atau lebih tepat lagi
Barisan Nasional yang tampak menggugat dan menggusarkan mereka.
Himpunan
Jutaan Belia 2012 di Putrajaya baru-baru ini adalah antara kisah kejayaan yang
perlu dikongsi kepada rakyat negara ini terutama orang muda. Kepada kerajaan,
ia majlis yang diadakan untuk orang muda.
Perhimpunan paling ramai di Putra Jaya |
Namun bagi
pakatan pembangkang, apa sahaja dilakukan kerajaan waktu dan ketika ini adalah
politik semata-mata. Pedulikan mereka. Kalau dilayan, tak berkerjalah kerajaan
untuk rakyat.
Kerana
pembangkang melihat majlis untuk orang muda yang berlangsung dari 23 hingga 23
Mei lalu itu sebagai himpunan sosial yang berjaya digelombangkan kepada
himpunan politik, maka mereka mencuba untuk mensabotajnya.
Di Padang
Kota, Pulau Pinang, pada hari sama himpunan jutaan belia berlangsung, pihak
berkenaan mengadakan program untuk belia. Kelihatannya agak berjaya dari segi
kehadiran program yang diketuai seorang ustaz.
Tetapi di
Selangor, tindakan yang sama, gagal. Kerusi-kerusi yang diletakkan dalam dewan
tidak diisi penonton, kosong belaka. Program yang sepatutnya dihadiri ketua
pembangkang dan beberapa orang kanannya tidak berjaya.
Sebenarnya,
golongan muda adalah sasaran kerajaan dan pembangkang. Kedua-duanya akur bahawa
ketika ini golongan itu mewakili 77.9 peratus daripada pengundi berdaftar untuk
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bercakap
kepada penulis di ibu negara Khamis lalu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas
(JASA), Datuk Fuad Hassan berkata, kalau hendak diambil kira jumlah kehadiran
dan penyertaan lebih dua juta golongan di bawah umur 40 tahun ke Himpunan
Jutaan Belia di Putrajaya, ia memang tampak ketara pandangan mereka terhadap
kerajaan - semakin hari semakin baik.
Ini kerana
cuma satu sahaja yang boleh disimpulkan - kalau orang muda tak suka kerajaan,
masakan mereka hadir program tersebut. Tapi, mereka tetap hadir dengan
gelombang besar pula ke majlis di Putrajaya itu.
Perhimpunan Hijau di Kedah |
“Cuma kita
(kerajaan) jangan terlampau selesa dan tidak baca isyarat orang muda ini dengan
baik. Orang muda adalah golongan yang paling sukar diramal.
“Mereka
seringkali dilabelkan sebagai golongan yang tidak mengambil peduli mengenai
politik tanah air. Dan dikatakan mempunyai pelbagai tuntutan khusus yang sukar
dijangka.
“Kerana
itulah suara orang muda tidak boleh sesekali diketepikan. Hakikatnya golongan
itu akan menjadi penentu kepada masa depan negara dan tentu sekali kita
bercakap tentang menjelang PRU-13," kata beliau.
Mengambil
peluang untuk menyelami isi hati orang muda inilah maka bertempat di sekitar
Putrajaya sempena perhimpunan belia terbesar itu, pihak Fuad berusaha menyelami
isi hati orang muda melalui satu kaji selidik.
Kajian
dibuat dengan pemilihan responden dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun secara
rawak merangkumi kaum Melayu sebanyak 82.34 peratus, Cina (10.04 peratus),
India (3.94 peratus), Bumiputera Sarawak (0.96 peratus), Bumiputera Sabah (1.63
peratus), Orang Asli (0.49 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.31 peratus.
Hasil
kajian yang diperoleh amat positif. Ia jelas sekali menunjukkan golongan muda
mengambil berat mengenai politik negara. Berdasarkan soalan yang diberikan,
seramai 46.1 peratus generasi muda berminat mengikuti perkembangan politik
negara.
Lebih
memberangsangkan lagi di sebalik tanggapan kononnya orang muda tidak hiraukan
apa yang dibuat kerajaan, kira-kira 75 peratus responden yang sama berpuas hati
dengan perkhidmatan yang disediakan untuk generasi muda melalui Program
Transformasi Kerajaan.
“Orang muda
adalah pengundi berdaftar terbesar. Mereka ini penentu masa depan negara dan
mengikuti perkembangan daripada media sosial dan media elektronik.
“Oleh itu
boleh dirumuskan bahawa parti yang banyak memberi perhatian kepada pengurusan
orang muda itulah yang akan menentukan kemenangan pada pilihan raya umum
nanti," kata Fuad yang turut memberitahu kajian tersebut merangkumi 71
peratus belia bandar dengan bakinya adalah dari luar bandar.
Kata
beliau, biarpun dapatan daripada kajian adalah positif, namun beliau berharap pihak
kerajaan akan mengambil berat mengenai beberapa isu golongan muda yang sering
diputar belitkan parti pembangkang.
“Kami
sengaja meletakkan soalan adakah anda bersetuju agar semua hutang PTPTN
(Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dihapuskan dan hasil dapatan
yang diperoleh adalah 42.7 peratus menyokong berbanding 34 peratus tidak
menyokong.
“Di sini,
isu PTPTN adalah isu popular dan ‘strategik’ dimainkan pembangkang sehingga
memancing orang muda dan diajar oleh mereka nilai-nilai yang tidak baik, iaitu
diajar agar tidak membayar hutang. Sedangkan perkara ini bertentangan dengan
budaya ketimuran dan ajaran agama.
“Kita lihat
orang muda sedikit sebanyak terpengaruh, oleh kerana itu, setiap kali isu
seperti ini berlaku, kerajaan diharap bertindak pantas memberi penjelasan yang
konkrit dan sistematik kerana isu pendidikan merupakan antara perkara yang
menjadi perhatian golongan muda," katanya.
Fuad
berpendapat, golongan muda mudah dipengaruhi. Oleh itu, golongan tersebut perlu
diberi pendidikan dan penjelasan mengenai batas-batas ‘kebebasan’ agar tidak
dimanipulasikan pihak-pihak yang menjadikannya sebagai slogan politik.
Berikutan
perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara April lalu yang dikatakan ‘berjaya’
menarik sokongan orang muda, kajian pihak Fuad turut bertanyakan respons
golongan belia mengenai demonstrasi tersebut.
Hasil
dapatan mendapati 52.7 peratus responden tidak bersetuju bahawa demonstrasi
jalanan merupakan cara terbaik untuk menegur kerajaan, manakala 54.9 peratus
responden pula tidak bersetuju bahawa demonstrasi Bersih 3.0 benar-benar
bersih.
Lebih
menarik lagi, 64.3 peratus golongan muda yang ditemu bual itu mahu pihak
berkuasa bertegas ke atas mana-mana kumpulan yang ingin mengadakan demonstrasi
jalanan pada masa hadapan.
“Kajian
tersebut turut menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa sistem pilihan
raya di negara ini berjalan dengan baik dan lebih 50 peratus bersetuju sistem
pilihan raya berlangsung dengan adil," katanya.
Kata Fuad,
dalam kajian tersebut, pihaknya juga menyelitkan mengenai senarai pemimpin mana
yang menjadi pilihan orang muda ketika ini. Rata-rata anak muda semua kaum
memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding sembilan
pemimpin lain termasuk kalangan parti pembangkang.
“Anwar
Ibrahim tidaklah sepopular seperti yang disangka. Malah golongan muda dalam
kajian itu lebih memilih (Mursyidul Am Pas) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
berbanding Anwar.
“Ini
mungkin kerana orang muda sudah terdedah dengan cerita peribadi Anwar serta
mereka juga telah melihat segala manipulasi janji pembangkang terutama PKR yang
diketuainya yang tidak pernah ditunaikan," katanya.
Apa pun,
rumusannya ialah kerajaan perlu pintar dalam membaca isyarat orang muda.
Kehendak golongan ini memang sukar diramalkan.
Namun, kalau
kita berpegang kepada satu sahaja -- orang muda biasanya golongan yang baru
hendak memulakan kehidupan. Apa lagi yang baru berkahwin. Tuntutan mendesak
waktu itu adalah soal ekonomi - peluang pekerjaan yang lebih baik dan rumah.
Meneliti
dapatan kajian pihak Fuad, terselit satu rumusan di dalamnya yang agak menarik
perhatian. Yakni, dalam kalangan orang muda, faktor yang banyak mempengaruhi
pemilihan dalam politik ialah diri mereka sendiri. Peratusnya besar, 75.1.
Pengaruh keluarga dan rakan-rakan pula, masing-masing hanya sekitar 30 peratus
dan 27 peratus.
Orang muda
memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk disuntik. Jika di pentas ceramah,
lawak jenaka wajar diselang-selikan dengan inti ucapan politik yang berat-
lakukanlah.
Semakin
ramai yang ingin mendengar kisah kejayaan kerajaan. Anak-anak muda ingin
mendengar kisah tersebut.
ARKIB :
04/06/2012
‘Kisah
kejayaan’ untuk belia
Oleh
ZULKIFLI JALIL dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment