Saturday, July 21, 2012

SENTUHAN KECIL UBAH TANGGAPAN



SENTUHAN-sentuhan kecil kerajaan yang kemudiannya diterima daripada tangan-tangan yang menyambutnya kini menjadi petanda rakyat kian merasai keikhlasan pemimpinnya.

Kalau diambil kira sudah berbilion-bilion ringgit kerajaan hulurkan untuk rakyat. Peruntukan subsidi untuk setahun sahaja telah berjumlah RM30.3 bilion dibelanjakan kerajaan. Namun sebilangan rakyat barangkali tidak merasainya kerana telah pun diserap atau dimasukkan ke dalam harga pasaran. Antaranya, harga gula, tepung dan banyak lagi.

Itulah realitinya apabila sentuhan-sentuhan kecil ini dipraktikkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Antaranya yang terbaru, menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) - sebagai tanda kasih pemimpin kepada rakyat.

Dan amalan inilah yang juga dipraktikkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas atau JASA diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Fuad Hassan.

Menerusi program 'JASA Prihatin', agensi kerajaan ini menerjah ke segenap pelosok negara ini - dalam bandar dan luar bandar, terpencil serta pedalaman - mencari-cari rakyat yang susah untuk diceriakan kembali keluarga mereka dalam mengharungi cabaran hidup yang kian mencabar.

Fuad ketika bercakap kepada Utusan Malaysia Khamis lalu di pejabatnya di Aras 3-6, Blok D, Kompleks Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur tidak akan lupa bagaimana bantuan JASA membaik pulih sebuah rumah di kawasan Kota Raja, Kelang semakin dihargai oleh si tuan rumah.

Lawatan KP Jasa di Pulau Ketam, Selangor

"Keadaan rumah yang kami bantu itu amat daif sekali, atapnya bocor. Saya tanya tuan rumah kalau hujan macam mana. Dia kata bila mahu tidur dia akan alih katil. Dinding rumah pun kalau saya 'pintal' sikit akan koyak.


"Inilah benda-benda kecil yang saya cakapkan... pada mereka (rakyat) isu ini amat besar," kata beliau sambil memberitahu JASA telah menggerakkan program 'JASA Prihatin' sejak April tahun lalu dengan tagline 'Sentuhan Mengubah Kehidupan' (Little Touch Changes Life).

Ilham menggerakkan 'JASA Prihatin' dicetuskan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim melalui konsep tukang yang dipraktikkan di Jelebu, Negeri Sembilan. Melalui konsep tersebut, tukang-tukang rumah digerakkan untuk membina projek-projek kecil menyiap dan membaik pulih rumah golongan yang memerlukan. Dari Jelebu, ia dikembang luas ke kawasan lain.

Dikatakan tuan rumah di Kota Raja ada mengadu isu kemiskinannya kepada wakil rakyat di situ. Tetapi sayangnya tidak dipedulikan.

"Kadang-kadang kita (JASA) tidak boleh bantu banyak... setakat yang mampu. Ada kalanya kami ditunjukkan keadaan longkang (tersumbat alirannya) yang seolah-olah kami ini 'pengganti' wakil rakyat yang hanya berlalu begitu sahaja apabila masalah diadukan kepada mereka.

"Ada yang kita bantu tu bekas pegawai kerajaan. Dulu dia kerja di Majlis Daerah Klang, sambil menangis dia kata dulu kerja kerajaan tapi sekarang kerajaan tidak mahu tolong dia. Tapi saya perbetulkan, ini bukan salah kerajaan, salah wakil rakyat di situ," katanya.

Dari April hingga Disember 2011 sahaja, sejumlah 345 rumah dengan anggaran kos RM5,000 setiap rumah telah dibelanjakan untuk membaik pulih rumah rakyat dalam 'JASA Prihatin'. Ia melibatkan pembaikan dinding, atap dan tiang rumah di kawasan tertentu, sama ada kedaifan itu memang sejak azali atau sedia ada atau ditimpa bencana. Semua rumah yang daif dihuni orang Melayu, Cina dan India dibantu tanpa timbul isu pilih kasih.

Di Keningau tempoh hari, Fuad menerbangkan sekumpulan 40 orang doktor pakar dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur untuk membantu penduduk di situ. Mereka datang ke situ memeriksa tahap kesihatan.

"Impaknya memang cukup besar," kata beliau sambil memberitahu kajian JASA mendapati soal kemiskinan dalam bandar sebenarnya merupakan isu besar. Ini termasuk melibatkan masyarakat Cina yang tinggal di flat-flat di tengah-tengah bandar," kata Fuad.

Fuad menarik perhatian di Tanah Merah, Kelantan pula yang mana JASA membelanjakan sehingga RM20,000 untuk proses baik pulih beberapa rumah yang keadaannya amat usang dan daif menerusi satu majlis gotong-royong.

"Kami datang ke situ walaupun ada agensi-agensi lain yang bertanggungjawab sebenarnya tentang soal itu. Di Kelantan, saya percaya ada agensi-agensi ini yang menghulurkan bantuan sedangkan negeri ini diperintah oleh kerajaan Pas. Bagaimanapun orang yang menderita seperti ini tidak diendahkan.

"Sebenarnya projek-projek kecil seperti ini amat berkesan. Apabila kita datang selaku agensi dengan lambang 1Malaysia, rakyat tidak merasakan kedatangan kita (JASA) sebagai satu umpan pilihan raya atau untuk pancing undi.

"Mereka ini nampak lambang 1Malaysia umpama bisa yang baik menusuk sanubari secara halus dan penuh keikhlasan," kata beliau.

"Sebab itu sebelum ini bila kita tanya tentang peruntukan berbilion-bilion ringgit ini, orang Cina kelihatan tidak responsif. Bila ditanya, mereka kata 'ia tidak sentuh daging'. Tetapi sekarang menerusi sentuhan kecil ini iaitu secara direct meskipun RM100 atau RM500, mereka terus berasa gembira meskipun pada peringkat awalnya agak sinis penerimaan itu. Lama kelamaan mereka mula terima keikhlasan Perdana Menteri itu," kata beliau.

Fuad percaya sentuhan-sentuhan kecil yang digerakkan Perdana Menteri dengan turun padang menemui dan menyelesaikan masalah rakyat kian menampakkan bisanya.

BR1M contohnya, meninggalkan kesan yang bukan sedikit impaknya di hati rakyat. Dengan tempoh tamatnya program itu dijadual pada 10 Februari ini, setakat ini sejumlah RM2.5 bilion telah dikeluarkan peruntukan kepada 5.2 juta rakyat negara ini, dengan setiap seorang menerima RM500.

Dalam konteks BR1M, Fuad meminta rakyat membuang tanggapan bahawa peruntukan bantuan itu adalah wajib atas dasar ia memang tanggungjawab pihak kerajaan.

"Sedangkan realitinya tidak semua kerajaan di dunia terdaya melaksanakannya (BR1M). Hanya kerajaan yang mampu sahaja berupaya berbuat demikian," katanya.

Dalam aspek ini juga beliau percaya pakatan pembangkang ketika ini dilihat dalam situasi serba salah dan gelabah apabila melihat keberkesanan program itu.

"Mereka mengatakan kita ambil sahaja duit (BR1M) itu tapi bila pangkah, pangkah yang lain. Tak ada pembangkang ini nak sematkan budaya berterima kasih. Begitupun saya percaya dan penuh yakin bahawa kerajaan sendiri tidak tahu siapa yang rakyat akan pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Bagaimanapun ada tanda-tanda rakyat akan membalas keikhlasan kerajaan itu," kata beliau.

Pada majlis penyampaian BR1M di Sabah baru-baru ini, Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman sanggup menunggu, menyampai serta bersalaman dengan kira-kira 1,000 penerima bantuan tersebut.

"Beliau (Musa) ingin merasai sendiri genggaman tangan rakyat dan ayat-ayat yang keluar daripada mulut rakyat. Kata Datuk Seri Musa, saya ingin lihat satu persatu macam mana wajah rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000. Dan terus terpacul daripada mulut penerima tadi 'jangan bimbang datuk, kita akan sokong datuk' (pada PRU13 nanti).

"Dan inilah yang cukup dibimbangkan oleh pembangkang kala ini," kata Fuad.

Jadi, kalau hendak dibandingkan RM2.5 bilion (peruntukan BR1M) itu dengan RM30.3 bilion (subsidi), duit itulah juga yang sama dibayar oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.

Cuma pendekatan yang digunakan hanyalah menerusi sentuhan kecil yang 'tajam menusuk sanubari' rakyat.


ARKIB : 06/02/2012

"Sentuhan kecil mengubah tanggapan"

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my



No comments: