Saturday, July 21, 2012

PENGARUH AKHBAR CINA MALAYSIA




SEINGAT penulis kali terakhir melihat sekumpulan besar lebih 50 wartawan dan jurugambar akhbar-akhbar Cina berkumpul ialah pada dini hari 9 Mac 2008.

Waktu itu di sebuah bangunan di George Town, Pulau Pinang ketika sedang menunggu pengumuman rasmi kemenangan bersejarah DAP merampas Pulau Mutiara daripada Barisan nasional (BN). Tidak banyak yang boleh diperkatakan semasa itu berikutan kekalahan teruk parti Gerakan dan MCA di negeri berkenaan memang dijangkakan di sebalik keupayaan UMNO mempertahankan sebahagian besar kerusinya.

Cuma apabila diumumkan ketibaan para pemimpin DAP diketuai Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, hampir kesemua wartawan akhbar Cina bersorak dan saling berpelukan dengan kepemimpinan DAP meraikan kemenangan tersebut.

Bagi penulis, itu adalah reaksi spontan wartawan-wartawan berkenaan yang sebilangan daripada mereka juga adalah rakan baik kami di Utusan Malaysia.

Apakah MCA dan Gerakan yang turut menjadi tonggak kepada BN telah banyak mendampingi dan mendekati akhbar-akhbar Cina?

Maksudnya mendampingi wartawan-wartawan muda akhbar Cina yang barangkali mempunyai pemikiran yang berlainan dengan generasi wartawan lama syarikat mereka yang banyak terdedah pada hubungan harmoni dan perjuangan kepemimpinan negara masa lampau.


Isu Pendidikan & Budaya jadi tumpuan utama media Cina

Apakah wartawan-wartawan muda tadi menulis sesuatu yang dilihat dari skop peribadi? Menulis daripada apa yang difikirkan dan berasaskan kehendak kaum sendiri dengan memiliki 'hubungan yang amat mesra' dengan pemimpin pembangkang khususnya DAP?

Ironisnya, MCA yang mewakili parti kedua terbesar BN dan orang Cina dalam konteks 'kerajaan' seringkali dilihat cuba merentasi dilema antara tuntutan ekstremis Cina dan permuafakatan dengan UMNO.

Suatu ketika apabila Timbalan Ketua Pemuda MCA, Sim Mou Wu menuntut supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi negara pada sekitar 1965, perjuangan anak muda itu dinafikan oleh Presidennya waktu itu, Tun Tan Siew Sin. Akibatnya, Mou Wu disingkirkan daripada parti pada 18 Oktober 1966.

Dalam keprihatinan Siew Sin kepada negara, ia juga memalitkan dilema MCA dalam meletakkan pendirian untuk memajukan cita-cita nasional atau menyokong tindakan kaum sendiri.

Berkongsi perkara sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan bagaimanapun membawa kita merenung lebih mendalam lagi akan perdebatan 'dilema' ini. Beliau mengusulkan kajian pihaknya mengenai impak politik liputan akhbar Cina dalam kalangan masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Fuad mengakui akhbar Cina memainkan peranan amat penting dalam masyarakat kaum itu. Ia diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga tiang utama masyarakat Cina iaitu sekolah Cina, akhbar Cina dan NGO Cina.

"Akhbar Cina biasanya dilihat lebih adil dalam membuat liputan berita dan biasanya mengamalkan prinsip 50-50 iaitu 50 peratus (%) untuk kerajaan dan 50% untuk pembangkang. Sebelum PRU-12, ramai berpendapat bahawa akhbar Cina lebih menyebelahi BN dan jarang memberi ruang kepada pembangkang seperti DAP. Mereka sering 

Jangan ambil mudah peranan akhbar Cina


diserang dan dikritik sehingga PKR pernah memboikot Sin Chew Daily.

"Namun, selepas PRU-12 apabila BN gagal mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah empat negeri, akhbar Cina jelas memberikan sokongan yang nyata kepada pakatan pembangkang. Ini sehinggakan ada liputan khas bergambar yang memperkenalkan Ahli Parlimen dan ADUN pakatan pembangkang yang baru.

"Rata-rata liputan akhbar Cina lebih menyebelahi pakatan pembangkang dan mula membuat banyak kritikan terhadap BN. Banyak isu dilaporkan berat sebelah," kata beliau ketika ditemui semalam.

Beliau memberikan contoh jelas: "Isu pendidikan Cina adalah isu utama dalam laporan harian akhbar-akhbar Cina. Segala kenyataan akhbar dari Dong Jiao Zong disiarkan sepenuhnya. Maka tanggapan bahawa kerajaan tidak adil terhadap pendidikan Cina di negara ini telah menjadi satu persepsi komuniti yang sukar diubah dalam jangka masa pendek selagi Dong Zong dibenarkan untuk terus menjuarai isu ini."

Ketika ini terdapat enam akhbar berbahasa Cina yang utama di Semenanjung iaitu Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, China Press, Guan Ming Daily, Kwang Hwa Jit Poh dan Oriental Daily.

Sementara di Sabah dan Sarawak pula kedapatan 10 akhbar berbahasa Cina. Ini termasuk Overses Chinese Daily News, See Hua Daily News dan United Daily News.

Akhbar paling laris di Malaysia adalah Sin Chew Daily dengan percetakan harian sebanyak 388,240 pada akhir 2011, yang merupakan pengeluaran terbesar di Malaysia. Sin Chew Daily juga berkembang sehingga ke Kemboja dan Indonesia.

Dan semua akhbar Cina utama di negara ini dikuasai oleh seorang taikun iaitu Tan Sri Tiong Hew King dari Sarawak yang memiliki semua akhbar Cina di Semenanjung kecuali Kwong Hua Jit Poh dan Oriental Daily.

Keseluruhan edaran daripada enam akhbar Cina adalah sebanyak 749,162 naskhah yang mana selain Sin Chew Daily, yang lain ialah China Press (166,690 naskhah), Oriental Daily (105,353) dan Guan Min Daily (88,886).

"Semua akhbar ini dapat kita lihat secara umumnya menyokong pembangkang. Walaupun akhbar seperti Sin Chew Daily cuba mengimbangi antara paparan laporan berita kerajaan dan pembangkang, namun dalam banyak hal ia lebih kepada kecenderungan menyokong pembangkang kerana faktor edaran/jualan.

"Dan tidak hairanlah kalau orang bertanya kenapa orang Cina masih belum kembali menyokong kerajaan, maka kita boleh tafsirkannya sebagai 'peranan besar' yang telah dimainkan akhbar Cina," kata beliau.

Fuad bagaimanapun menarik perhatian bahawa 'peranan besar' itu bukanlah sesuatu yang menghairankan ekoran pengaruh pergerakan Cina Huatuan yang telah berakar umbi sejak dahulu.

Huatuan merupakan pergerakan yang menjaga kebajikan kaum Cina di samping pergerakan pendidikan dan kebudayaan lain.

"Huatuan memainkan peranan yang sangat besar dalam menuntut hak-hak kaum Cina yang dirasakan perlu sejak merdeka. Ia khususnya terhadap pengiktirafan sistem pendidikan Cina dan tuntutan bantuan penuh peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Jadi, secara tidak langsung, isu-isu seperti ini dapat membantu mana-mana parti politik yang mendekati Huatuan dan boleh memperjuangkan tuntutan mereka.

"Kerana itu sejak dahulu lagi ada ketikanya MCA turut sama berkongsi pandangan dengan desakan NGO, badan budaya dan pendidikan Cina ini. Dan ada ketikanya juga MCA memainkan peranan berkongsi pendapat dengan UMNO bagi menjayakan cita-cita nasional, contohnya penubuhan Universiti Merdeka.

"Bagaimanapun, dalam hal ini MCA tidak setuju dan lebih positif dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)... yang mana MCA seringkali cuba meletakkan keadaan atau memahami antara tuntutan ekstremis dan kehendak nasional," kata beliau.

Kerana itu Fuad berpandangan adalah elok akhbar-akhbar Cina terus didampingi termasuk didekati para pemegang saham yang terdapat dalam syarikat akhbar berkenaan.

"Juga, yang lebih penting mendekati wartawan-wartawan muda akhbar-akhbar Cina. Hal ini jangan dipandang ringan oleh pemimpin kerajaan dari MCA dan Gerakan...mereka (wartawan) perlu didedahkan dengan perjuangan negara masa lampau.

"Pada masa sama, kerajaan juga harus membantu akhbar-akhbar Cina seperti membeli iklan-iklan dalam akhbar, masukkan program-program kerajaan di dalamnya.

"Saya percaya akhbar-akhbar Cina juga akan mengenang budi, kalau kita beri budi. Ia bukan bermakna nak mengekang mereka melaporkan sesuatu. Cuma yang penting, mereka harus mengikut undang-undang negara yang berkaitan soal hasutan," kata Fuad lagi.

Jangan pandang mudah peranan akhbar-akhbar Cina dalam membentuk pemikiran masyarakat Cina. Huatuan seperti mana biasa akan cuba mengambil peluang dalam sistem pilihan raya melalui tuntutan-tuntutan mendesak Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqui) dan Dong Zong.

Pergerakan ini yang mana kalangan anggotanya ramai menyertai DAP akan merebut kesempatan seandainya wujud bibit perpecahan dalam BN. Mereka akan mencari jalan mengekang hegemoni BN.

Jika tiada usaha berterusan dan serius 'mendampingi' pengaruh akhbar-akhbar Cina, hasilnya dikhuatiri - di saat orang Melayu merimbun ke pihak kerajaan, ia tidak seimbang pula dengan banyaknya pula orang Cina ke 'sebelah sana'.




ARKIB : 20/06/2012


"Jangan pandang mudah akhbar Cina"

Oleh ZULKIFLI JALIL

No comments: