KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa
Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas
menyampaikan syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka
minda kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah
dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam
kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq,
Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut memberi amaran akan bahaya anasir yang
memecah belah perpaduan ummah, serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha
menjatuhkan pemimpin Islam.
Kehadiran Dr. Sulaiman
melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh mengenai Maqasid Al Syariah yang
disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis
Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di
Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.
Kata Perdana Menteri,
perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah berteraskan kepada tuntutan
Islam berdasarkan konsep Maqasid Al Syariah.
Maqasid Al Syariah yang
khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah ini,
memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat
Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang
menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah
umat Islam.
Sehari sebelum itu, program
Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu Maqasid Al Syariah dalam konteks
Islam dalam pembangunan negara serta keupayaannya untuk dicontohi oleh
masyarakat antarabangsa.
Menurut Profesor Madya Dr.
Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan
Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan
meninggalkan kemudaratan.
"Asas utama Islam
adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk berbuat keadilan dan
bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan Maqasid Syariah, Imam
Al-Ghazali dalam kitabnya 'Al-Mustashfa'," katanya.
Imam Ghazali, jelas Dr.
Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud
syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan
dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih
besar, dengan merujuk kepada prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi
keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah
diangkat dari pemikiran Islam, apakah kandungannya relevan untuk sebuah negara
bangsa pelbagai etnik seperti Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk
Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan
Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut
bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa memorandum dihantar untuk
perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat tidak meletakkan Malaysia
sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini
berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan
terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina,
India dan Melayu sendiri.
Jadi katanya, bagi
memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu,
dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama
rasmi.
Dalam Maqasid Syariat,
diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi memastikan hasilnya membawa
kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Konteks rundingan
kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu
yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.
"Dalam konteks pembangunan
negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang penting tentunya konsep
keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang dijadikan asas utama
kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan
Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai pendekatan wasatiyah yang turut
didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya,
mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan amat
diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru
kita untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian
dan keamanan sebagai keutamaan," katanya.
Wasatiyah dalam konteks
semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks ekonomi, bagi
menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam
berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan terutama dalam
mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan ideologi sosial
dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai
negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan
dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju
kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya rendah, malah ada negara yang
maju kerana sistem autokrasinya, tetapi menenggelami masalah kadar pengangguran
yang tinggi serta kekerasan dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului
hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap
umat Islam yang amat sederhana serta bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama
kemakmuran hari ini. Sumbangan kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat
wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah
menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat,
melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan
J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi memastikan pelajar sekolah
rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar
Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara langsung dari Studio TV Al Hijrah,
Kompleks Pusat Islam setiap Isnin, pukul 10 malam.
ARKIB UTUSAN ONLINE : 24/07/2012
Memahami pengertian konsep Maqasid Al Syariah
Oleh :
ZAINAL RASHID AHMAD
Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah
Oleh :
ZAINAL RASHID AHMAD
Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah
No comments:
Post a Comment