Ke Mana arah sokongan Cina PRU 13 ? |
DI Hotel
Sunway Putra, Kuala Lumpur yang sebelumnya dikenali Hotel Legend pada hari
lompat hujung bulan lalu agak sibuk sekali. Belum pernah dirasai penulis akan
respons untuk program melibatkan Jabatan Hal Ehwal Khas atau dikenali JASA.
Jika dahulu, kelibat JASA ini kurang dikenali.
Tapi minggu
sudah, keadaannya jauh berbeza sekali. Seakan-akan sudah tersemat iltizam dan
tekad yang tinggi dilaungkan oleh kira-kira 1,200 petugasnya untuk menggalas
tanggungjawab dan cabaran getir Barisan Nasional (BN) mengharungi Pilihan Raya
Umum ke-13.
Juga,
sesuatu yang agak menarik untuk dikongsi bersama ialah penyertaan parti-parti
komponen Barisan Nasional (BN) dari MCA, MIC dan Gerakan ke perhimpunan
kebangsaan pegawai-pegawai JASA 2012 tersebut. Mereka tidak 'takut-takut lagi'
keluar menunjukkan sokongan kepada program itu yang barangkali pada tanggapan
ramai 'lebih keMelayuannya'
Lebih
mengujakan lagi ialah apabila pada satu ceramah tertutup dalam perhimpunan itu,
seorang pemimpin parti komponen mencabar pula penasihat Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengaku keterlibatannya dalam satu
skandal video seks.
"Anwar
penakut, dia perlu gentleman macam saya," kata beliau di hadapan hadirin
para pegawai JASA - suatu yang menunjukkan keyakinan pemimpin itu untuk
bercakap secara jujur di khalayak berkenaan.
Ironisnya,
muncul terserlah daripada hasil perhimpunan kebangsaan para pegawai JASA minggu
lalu yang bersesuaian dengan kata kunci gerak kerja mereka: dengar, analisis
dan bertindak. JASA kini banyak berubah. Daripada keseluruhan pegawainya, 200
hingga 300 orang adalah dari kalangan bukan Melayu.
Ketika
sibuk mempengerusikan mesyuarat tidak berjadual dengan pengarah-pengarah
negerinya, Ketua Pengarah JASA, Datuk Fuad Hassan memberitahu penulis bahawa
agensi kerajaan itu kini ramai dianggotai masyarakat berbilang kaum. Kesemuanya
berkongsi wawasan dan cita-cita yang sama - mahu terus mempertahankan kerajaan
yang stabil sedia ada.
Ditarik
penulis supaya mengulas sentimen masyarakat Cina kepada kerajaan sekarang, Fuad
membawa akhbar ini untuk melihat sejarah sokongan politik kaum tersebut.
"Masyarakat
Cina bukan selama-lamanya pembangkang. Sejak era Perikatan dan BN, sokongan
mereka turun naik dalam langkauan persepsi dan isu-isu semasa orang Cina.
Pernah dalam Tanjung 1, Tanjung 2 dan Tanjung 3 yang digerakkan DAP, para
pemimpin pembangkang daripada parti itu tewas teruk dan ditolak pengundi Cina.
"Dan
pada 1999 pula, orang Cina dilihat telah 'selamatkan' BN daripada 'permainan'
mata lebam Anwar," kata beliau.
Meskipun
masyarakat Cina ketika ini dilihat pandai main politik dan mengagih-agihkan
undi mereka dalam kerajaan dan pembangkang secara teratur untuk mewujudkan
'check and balance' dari dalam luar dan dalam kerajaan, diakui setiap kali
bahawa pengurusan untuk mengembalikan sokongan mereka kepada kerajaan sedia ada
agak perlahan. Ini kerana mereka maklum akan janji-janji kerajaan yang semakin
ditunaikan kebelakangan ini, di sebalik 'harapan menggunung atas kertas'
ditabur pembangkang.
Ini tambah
ketara apabila dilihat politik pembangkang yang ekstrem agama seperti mana Pas
sebelum ini yang kini cuba pula menyesuaikan seni suasana baru dengan tidak
membicarakan soal hudud dan Islam. Sebaliknya Pas semakin nampak berkompromi
dalam isu-isu Islam kerana ingin menjadi rakan kongsi DAP yang ekstrem Cinanya.
"Oleh
kerana permainan ini, orang Cina jadi terpengaruh sedikit sebanyak dan pilihan
raya kecil (PRK) pasca 2008 mula memberi ruang kepada keadaan ini dan selepas
16 kali PRK ini ada tanda-tanda sokongan kepada kerajaan perlahan-lahan
meningkat apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menguruskan
dengan baik isu-isu bahasa Cina, biasiswa, isu kebudayaan antaranya perarakan
Chingay bakal diiktiraf warisan kebudayaan kebangsaan.
"Selama
orang Cina menganggap ini isu-isu penting, ketika inilah juga keberkesanan
pengurusan politik Perdana Menteri dilihat khususnya dari segi perkhidmatan
agensi kerajaan yang banyak sekali pembaharuan transformasinya. Kadar jenayah
juga mulai turun melalui tindakan agresif polis manakala kos belanja hidup juga
berjaya dikawal," kata Fuad.
Beliau
turut mencatatkan beberapa perkembangan terbaru yang menampakkan jelas usaha
kerajaan untuk memastikan imej yang baik terus terpelihara di mata rakyat. Ini
termasuk persetujuan diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mempunyai
akses penuh terhadap dokumen pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan.
Demikian juga dengan isu SPBA yang dijawab dan kini sedang diselesaikan dengan
segera, isu NFC diserahkan kepada pihak polis, SPRM dan Peguam Negara untuk
diuruskan.
"Masyarakat
tidak ada waktu untuk melihat isu-isu ini dipanjangkan. Begitulah juga peranan
media-media sosial yang kita lihat jika dahulu lebih banyak menyokong
pembangkang tetapi sekarang isu-isu semasa juga telah dijawab dengan cepat oleh
media sosial yang cenderung pada kerajaan," katanya.
Cuma, kata
Fuad, rakyat mahu melihat 'credible leadership'.
"Mereka
nak tengok siapakah tokoh yang dipilih (calon-calon winnable PRU13)...tidak
boleh pilih yang masuk (bertanding) sekadar nak jawatan," kata beliau.
Apa yang
ketara masa ini ialah jumlah pengundi berdaftar Cina kian meningkat setara
dengan jumlah penduduknya yang layak mengundi. Ini menunjukkan orang Cina yang
layak mengundi benar-benar menggunakan kuasa sebagai rakyat untuk menentukan
masa depan kepimpinan negara.
"Orang
Cina pandai mengamalkan politik yang sangat berhati-hati. Keputusan politik
mereka bersifat strategis, yang penting ialah survival Cina itu sendiri.
"Ini
sangat penting untuk mereka berasa cermat ala feng shui selepas 13 Mei (1969).
Dan dengan sifat berhati-hati inilah diyakini mereka akan perlahan-lahan
kembali menyokong kerajaan," kata beliau.
Namun pada
masa sama, MCA bersama rakannya dari Gerakan mestilah memperkemaskan sokongan
masyarakat Cina kepada parti-parti mereka. Iaitu dengan menunjukkan bahawa
pendekatan-pendekatan BN inilah yang mewakili majoriti kepentingan Cina untuk
diyakini mereka.
Dan ini
mestilah berasaskan politik perkongsian dan bukannya politik peminggiran.
Sumber:
Utusan Online
POLITIK
CINA ALA FENG SHUI
Oleh:
Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment