Thursday, January 29, 2009

'LITTLE NAPOLEON' DALAM UMNO


POLITIK SELAMAT YANG TIDAK SELAMAT
Sebab perletakan jawatan ahli dewan undangan negeri Perak kawasan Bota, Datuk Nasharuddin Hashim ada alasan yang munasabah. Selain dari kita menghukum kesetiaannya, nanah lama yang hanyir membengkak kini terkutil mengalir keluar. Isunya adalah hubungan antara wakil-wakil rakyat dengan ketua bahagian. Kes wakil rakyat yang bukan ketua bahagian lebih ramai daripada ketua bahagian itu sendiri. Dan isu ini jarang diberikan perhatian.

Dalam struktur hairaki UMNO Ketua Bahagian mempunyai kuasa sebagai ‘little napoleon’ dalam bahagiannya yang juga terdapat kawasan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kuasa ketua bahagian mengatasi kuasa dan peruntukan yang di miliki oleh ahli Parlimen atau adun didalam kawasannya. Ketua bahagian UMNO juga begitu berpengaruh bukan sahaja terhadap parti UMNO tetapi juga kepada parti komponan BN yang lain.

Kuasa ketua bahagian ini luas dalam konsep parti yang memerintah menguasai kerajaan. Dalam banyak hal ketua bahagian adalah kontrak untuk kuasa dan kekayaan.

Ketua bahagian berkuasa kerana Pengerusi Perhubungan yang juga menteri besar terlalu tertakluk kepada struktur parti dan bukannya kepada perimbangan antara parti dan calon pilihan rakyat. Ketua-ketua bahagian boleh menentukan nasib pengerusi perhubungan itu sendiri.

Dalam banyak hal pendapat ketua bahagianlah yang akan dirujuk oleh pengerusi perhubungan yang juga menteri besar negeri dalam perlantikan bagi perlantikan ahli-ahli majlis, badan berkanun yang ada hubungan dengan kerajaan, peruntukan serta calon-calon pilihanraya. Masalah berlaku bila calon pilihan menteri besar bukan yang disenangi oleh ketua bahagian, walaupun calon tersebut ada ‘ranking’ dalam bahagian.

Banyak berlaku peristiwa di mana peruntukan pembangunan dan program rakyat oleh ahli parlimen dan adun mesti mendapat kelulusan Ketua Bahagian. Tujuan penyelarasan ini baik iaitu untuk memperkukuhkan kedudukan parti dalam bahagian itu.

Tetapi banyak kes yang berlaku dimana penyelarasan lebih bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan ketua bahagian dalam bahagian dan dengan ini mengenepikan kedudukan ahli parlimen dan adun yang dipilih rakyat.

Ada terdapat kes-kes dimana ketua bahagian mengarahkan supaya ahli-ahli parti tidak hadir dalam program-program ahli parlimen dan adun yang bukan ketua bahagian. Tujuannya adalah supaya ahli parlimen dan adun yang bukan ketua bahagian tidak terlalu berpengaruh dalam parti bila timbul pemilihan bahagian. Perkara ini sudah begitu membudaya dalam UMNO.

Cara ketua bahagian ini mungkin selesa semasa parti dalam keadaan yang kukuh tetapi bila parti berada dalam keadaan lemah maka terjadilah apa yang berlaku, lompat parti.

Selepas kejutan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, kini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam kini dikatakan sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi". Menurut beliau lagi seperti yang dilaporkan Malaysiakini bahawa "Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian," katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Sebenarnya yang patut bertanggung jawab dalam hal ini adalah pengerusi perhubungan. Pengerusi perhubungan yang biasanya merupakan Menteri Besar boleh mengujudkan beberapa platform untuk memberikan keberkesanan peranan adun kepada kepada rakyat seperti melalui Majlis Penyelarasan adun-adun BN dan sebagainya.

Itupun jika pemimpin perhubungan itu dinamik dan aggresif. Bila Menteri Besar jatuh ke tangan parti pembangkang dalam pilihanraya ke 12 lalu maka terujilah antara kesetiaan terhadap parti atau penderitaan dalam hati terhadap ketua-ketua bahagian. Masalah ini tidak berlaku sekiranya ketua bahagian seorang yang gentleman dan mengamalkan sikap musyawarah.


Dalam kes di Perak perkara ini telah ditimbulkan beberapa kali oleh adun-adun yang berkenaan dalam mesyuarat UMNO Perak tetapi tidak mendapat perhatian. Ini seperti yang diakui oleh wakil rakyat Lintang, Datuk Ahmad Fakeh.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti, baru kelam-kabut, baru kami ini penting," katanya.

Tajul Rosli terkenal sebagai pemimpin yang terlalu berhati-hati dan main selamat. Pengerusi perhubungan ini terlalu takut kepada ketua-ketua bahagian kerana ketua bahagian adalah merupakan ahli mesyuarat perhubungan negeri, sedangkan ahli parlimen dan adun yang bukan ketua bahagian tidak berada dalam perhubungan.

Hubungan menjadi longgar apabila Pengerusi Perhubungan tidak sensitif terhadap rintihan yang dihadapi oleh adun.

Oleh yang demikian soal Datuk Tajul Rosli Ghazali ingin bertanggungjawab dan sanggup letak jawatan sebagai pengerusi perhubungan akibat peristiwa adun lompat parti nampaknya tidak relaven lagi. Ini semacam mengambil sikap lepas tangan kerana ‘snow balling’ politik sedang berlaku. Ada lagi beberapa adun yang bukan ketua bahagian yang mula memasang hasrat lompat parti.

Nampaknya apapun tindakan dan kenyataan pemimpin UMNO untuk memperbaiki parti semuanya tidak kena dan tidak menjadi. UMNO memerlukan ‘miracle’ untuk merombak budaya yang sudah berakar umbi sekian lama.

Jika tidak saya percaya ahli-ahli UMNO di akar umbi sedang mencari parti pilihan yang dapat menyelamatkan agama dan bangsanya serta menjadi pengimbang kepada desakan-desakan aggressif bukan Melayu. Dalam hal ini kalau ikut sistem lampu isyarat atau ‘traffic light’ selepas merah nampaknya hijau.

6 comments:

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

Penulisan Datuk adalah berdasarkan pengalaman dan apa yang Datuk tulis adalah benar belaka.

Seingat saya, semasa tahun-tahun sebelum 1998, DS Anwar Ibrahim telah menggunakan ketua-ketua bahagian UMNO untuk mengukuhkan kukunya. Sebuah artikel selepas kejatuhan Anwar telah membongkar rahsia ketua-ketua bahagian ini menerima elaun daripada Anwar sebagai jaminan sokongan kepada Anwar untuk melawan Presiden UMNO Tun Mahathir pada 1999.

Ada sesetengah ketua bahagian tidak mahu menjadi DUN atau Ahli Parlimen tetapi semua wakil rakyat itu adalah proxinya.

Satu ketika dahulu, UMNO Bahagian Pt.Sulong memang terkenal mempunyai ketua bahagian yang sangat berpengaruh. Allahyarham TS Ridzuan Salim walaupun ada ketikanya tidak menjadi wakil rakyat tetapi menjadi rujukan ahli-ahli UMNO kerana pengaruh, kuasa dan kekayaannya.

Disebabkan pengaruh,kuasa dan kekayaannya Allahyarham memang sukar dikawal oleh perdana menteri hatta menteri besar sekalipun. Ketika Tun M bertembung dengan Tun Musa, beliau akan menyokong Tun Musa.

Apabila Ku Li mencabar Tun M, beliau akan menyebelahi Ku Li. Apabila Anwar berada dipuncak sekali lagi allahyarham bersama Anwar. Pendek kata, allahyarham sanggup melawan arus walaupun hanya sekadar ketua bahagian.

Di bawah pentadbirannya UMNO Pt Sulong sangat stabil tetapi tidak ada demokrasi. Tidak ada siapa berani mencabarnya sehinggalah allahyarham sendiri menarik diri atas sebab-sebab keuzuran dan bosnya sudah masuk penjara.

Pada masa itu UMNO kukuh, UMNO adalah lubok emas. Tidak ada siapa yang hendak melompat parti apatah lagi di Johor. Itu dulu......

Sekarang di Johor sendiri bukan lagi kawasan selamat.

terima kasih

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

gotahlantun said...

SALAM DATUK,

Pinjam post,

Jika tidak saya percaya ahli-ahli UMNO di akar umbi sedang mencari parti pilihan yang dapat menyelamatkan agama dan bangsanya serta menjadi pengimbang kepada desakan-desakan aggressif bukan Melayu. Dalam hal ini kalau ikut sistem lampu isyarat atau ‘traffic light’ selepas merah nampaknya hijau.
Kata2 yang penuh bermakna..tapi Datuk, tempat yang kita nak tumpang beralih, biarlah satu tempat yang lebih kukuh dan perkasa dari yang dahulu.

FUAD HASSAN said...

Saudara Gotahlantun,

Saya setuju cari parti yang lebih kuat daripada UMNO. Soalnya, parti apa yang kuat yang dapat mewakili pandangan Melayu dan Islam?

a. PKR
b. PAS
c. ???

MARI BERSATU said...

Asslamualaikum Datuk,

Saya ingin bertanya sedikit, kenapa pada waktu Tun M jadi perdana menteri, tidak "berbunyi" cerita menteri bergaduh sesama sendiri, tapi bila pak lah jadi pm kita boleh lihat ada cerita-cerita sesama menteri saling menghentam.

Apakah tidak ada koordinasi sesama menteri atau rasa saling hormat sudah hilang?

Yang kedua, saya ingin bertanya, kenapa sistem di negara ini memberi peruntukan pembangunan kepada ketua bahagian sedangkan ketua bahagian bukan kakitangan kerajaan? Ketua Bahagian parti kenapa lebih berkuasa dari wakil rakyat yang resmi. sistem kita atau sikap kita atau silap parti kita.

Terima kasih sebelumnya atas jawapan Datuk Nanti.

SEGAR said...

Salam,

Satu konpirasi besar akan berlaku tok? Saya risau dengan fakta ni:

1. DSN dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuya
2. DSN tukar dengan Pak Lah potfolio
3. Kegagalan DSN sebagai Pengerusi PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - BN gagal
4. DSN dilantik sebagai Pengerusi UMNO/BN Negeri Perak dan terus bergolak.

Maka DSN gagal = Tak jadi PM

Apa pandangan tok'?

MARI BERSATU said...

Assalamuaikum Dato

Ini semua skrip politik la Dato, cuba kita tengok,
1) Tak pasal-pasal hujan tidak ribut tidak ADUN BOTA MASUK PKR, maka bergumbiralah seluruh pemimpin PKR.

2) Tetiba saja TAJOL ROSLI letak jawatan, kononnya memikul tanggungjawab. ORANG PKR BERGUMBIRA LAGI (terlena dengan skenario)

3) Dalam masa yang sama disebarkan berita ada lagi adun BN akan melompat (ORANG PKR BERGUMBIRA terlena lagi)

4) Tup-Tup 3 Adun Pakatan Rakyat Istihar Jadi Bebas.

5) Esoknya ADUN BOTA masuk balik BN

Menjadikan BN menguasai PERAK.

Ini namanya STRATEGI, betul atau jahat, salah atau tidak bermoral, ini namanya KEPINTARAN mengatur strategi.

Adun Bota masuk PKR hanyalah LAKONAN untuk menutup proses akan terjadi "kehilangan" adun pkr, terlalu bergumbira dengan kemasukan adun bota ke pkr menjadi orang pkr lupa bahawa 2 adun yang kena tuduhan rasuah tersebut akan mudah kena "gula-gula" kerana mereka berdua dalam keadaan tersepit dengan tindakan undang-undang yang bakal di hadapi, jadi amat mudah memancing 2 ADUN tersebut untuk masuk BN kerana mereka fikir dengan masuk ke BN sajalah yang akan menyelematkan kes RASUAH MEREKA.

Ini taktik politik yang hebat, mengundurkan TAJOL AKAN DILIHAT BN perak bergolak, tapi sebenarnya ADUN BOTA dan TAJOL sedang BERLAKON dalam FILEM SEBERANG.

Tahniah kepada BN kerana susunan SKRIP yang paling hebat, boleh dicalonkan untuk anugerah SKRIP TERBAIK 2009, Manakala untuk ADUN BOTA anda layak menerima ANUGERAH SRI ANGKASA UNTUK KATEGORI PELAKON HARAPAN,

Kepada PKR dan PAKATAN RAKYAT ini namanya FILEM : "ANDA DIROMPAK DI SIANG HARI", kepada PKR dan PAKATAN RAKYAT...untuk masa akan datang pilihlah CALON yang BERMORAL, tidak tergoda dengan seks rambang, duit atau sebagainya. Iktibar dari skrip filem POLITIK PERAK ini ialah : Semua ini tidak akan terjadi sekiranya 2 ADUN tersebut TIDAK TERPALIT RASUAH, SEMUA INI JUGA TIDAK AKAN terjadi sekiranya PKR pandai pilih calon.

Kepada MB baru Perak - TAHNIAH
Kepada MB lama Perak - BERSABARLAH



4)