1. Pada tahun 1980 saya pernah dijemput melawat Tehran atas jemputan kedutaan Iran untuk menyaksikan kezaliman dan pencerobohan Iraq terhadap Iran di atas sempadan Shat al Arab, satu sempadan perairan yang seharusnya di kongsi bersama. Saya pergi bersama Dr. Mohamad Sulaiman yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia (kini Putra) dan exco ABIM. Waktu itu saya baru berumur 27 tahun, tetapi memegang beberapa jawatan dalam pergerakan mahasiswa dan belia Islam. Saya juga merupakan editor dan pengarang majalah bulanan politik dan sosial, Panji Masyarakat. Penerbitannya sebanyak 30,000 percetakan sebulan.
2. Iran ketika itu baru menghadapi revolusi Islam yang di bawa oleh Ayatullah Ruhullah Khomeini yang berjaya menumbangkan Regim Shah Pahlavi Iran. Saya memang banyak menulis tentang politik Iran dan sebagai aktivis mahasiswa, saya menyokong Iran dan tidak berapa minat dengan Saddam Hussein yang merupakan boneka Amerika. Lantaran itu saya pernah memberanikan diri pergi ke zon perang di Abadan bagi memberikan sokongan moral kepada tentera rakyat Iran dalam perjuangan membebaskan Iran dari serangan Saddam Hussein. Begitulah congak anak muda ketika itu, tak banyak putarbelitnya. Mana yang dilihat sebagai tidak betul kita tentang.
3. Kini selepas 28 tahun peristiwa itu berlalu sekali lagi saya di jemput ke Iran. Kali ini oleh sahabat saya Datuk Ibrahim Ali, yang merupakan ahli parlimen Pasir Mas dan Presiden PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara) untuk mengiringi rombongan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. mahathir mohamad ke Tehran untuk menerima ijazah kehormat perubatan dari Behesti Universiti dan Universiti Tehran. Kami berada di sana selama 5 hari. Bagaimana sambutan hebat rakyat Iran terhadap Tun bolehlah dibaca dalam blogspot sahabat saya kudakepang.
4. Tetapi yang yang menarik minat saya ialah bagaimana Iran menghadapi kehidupan hariannya selepas revolusi. Iran menghadapi pertambahan penduduk yang pesat 75 juta orang. Dengan segala tekanan dan sekatan dari Amerika Syarikat, Iran terus berjaya menghadapi kelangsungan hidup dengan tabah dan tekad. Memang ia tidak semudah seperti yang kita ceritakan. Kadar inflasinya tinggi, harga barang, harga rumah memang sukar dipercayai bagaimana rakyat Iran boleh mengharunginya. Semangat bekerja mereka begitu tinggi walaupun banyak memerlukan pembaikan dari segi mutu perkhidmatan.
5. Pendapat golongan peniaga Iran memang berbelah bagi terutama rakyatnya tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi. Mereka mengharapkan keadaan ekonomi mereka akan berubah. Bank tempatan tidak mempunyai hubungan dengan institusi kewangan antarabangsa. Ini menyulitkan para pelabur untuk berurusan dengan Negara itu.
6. Namun dalam sekatan dan tekanan yang diterima telah terbina kekuatan dalaman untuk meneruskan kelangsungan hidup. Mereka terpaksa berkreatif mencipta seuatu yang mereka tidak miliki. Ini dapat dilihat dalam bidang karyawan dan kesenian.
7. Para karyawannya terus berkarya dengan mutu hasil karya yang tinggi. Ini dapat dilihat dari filem-filem yang dihasilkan sangat begitu berkesan dan banyak memenangi anugerah antarabangsa, walaupun para pelakonnya mempunyai batasan dari segi hubungan lelaki perempuan dan menutup aurat. Mereka kelihatan lebih ayu. Walaupun isi ceritanya mengenai kehidupan harian biasa, soal tukang kasut, sakit kronik, rumah tangga dan sebagainya, tetapi lakonan dan jalan ceritanya ada kelas!
8. Demikian juga dengan bidang tenaga nuclear, penyelidikan perubatan, dan yang lain yang berasaskan sains. Di saat hampir seluruh dunia ditimpa dengan kemelesetan ekonomi akibat ketergantungan dengan perdagangan dan dollar Amerika, Iran nampaknya kurang menerima kesan langsung akibat dari ekonominya yang berdikari.
9. Saya sempat berbincang dengan pegawai-pegawai Iran yang mengiringi kami tentang perubahan sosial semenjak zaman permulaan revolusi dahulu. Dari jawapan-jawapan yang diberikan saya amat tertarik bagaimana Iran mempunyai perlindungan terhadap kehidupan peribadi rakyatnya. Dirumah adalah hak dan syurga bagi rakyatnya dan tiada siapa boleh mengganggu. Tetapi di tempat awam mereka mempunyai kawalan sosial terhadap hubungan antara jantina. Ini amat menarik bagi saya yang jarang berlaku ditempat lain di Negara-negara yang berpegang kepada perlembagaan Islam.
No comments:
Post a Comment