Saturday, December 13, 2008

ORANG MELAYU MANGSA PERCATURAN INGGERIS



























PERJUANGAN YANG DITAKDIRKAN

BAHAGIAN II


Pihak Inggeris bertapak di Tanah Melayu bermula daripada perjanjian-perjanjian yang ditandatangani dengan Sultan negeri-negeri Melayu. Sultan negeri-negeri Melayu telah diyakinkan oleh Inggeris bahawa kedatangan orang Cina dan India sebagai buruh dan tidak akan menjejaskan kekuasaan mereka dan tidak merugikan rakyat pribumi.

Jumlah penduduk Cina yang meningkat secara drastik di Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 merbahayakan ketuanan Melayu, tetapi nasib malang sebenar orang Melayu ialah apabila mereka dihalang secara sistematik oleh Inggeris daripada menerima pemodenan pendidikan dan ekonomi melalui dasar pecah dan perintah.

Pendidikan Inggeris yang menjadi lambang kehidupan moden dan keupayaan individu tidak sampai kepada orang Melayu pada awal kurun ke 20 ketika Tanah Melayu mula dibuka oleh British kepada persaingan terbuka orang Melayu dan bukan Melayu. Jika sampaipun, ia tidak membawa makna besar.

Antara tahun 1919 sehingga Perang Dunia Kedua, bilangan anak-anak Melayu yang masuk sekolah Inggeris hanya 9 peratus daripada keseluruhan pelajar Tanah Melayu pada tahun 1919 dan Cuma 15 peratus pada tahun 1937’

Pendidikan dari dulu hingga sekarang mempunyai peranan khusus. Ia menentukan apa kerja yang akan dilakukan oleh anak-anak Melayu bila mereka dewasa dan mencorakkan kemiskinan dan kemakmuran mereka. Tanpa pendidikan Inggeris pada zaman itu, mereka tidak mempunyai tempat yang tinggi dalam kehidupan zaman penjajah. Orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi pendidikan dan kesihatan.

Adalah menyedihkan apabila membaca stastik kesihatan orang Melayu pada zaman itu. Pada tahun 1947, kematian bayi Melayu semasa dilahirkan ialah 116 orang bagi setiap 1,000 kelahiran sedangkan di kalangan bayi-bayi Cina ialah 68 orang bagi setiap 1,000 kelahiran.

Dengan kesihatan yang merosot dan pendidikan yang daif, ketika itu orang Melayu sedang menuju kehancuran.


Saat-saat Cemas bangsa Melayu


Selepas Perang Dunia Kedua, pihak British mendapat idea baru bagaimana hendak menguruskan tanah jajahan meraka dengan cuba menukar kedudukan Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada negeri jajahan.

British ingin mengekalkan kepentingan ekonomi mereka supaya terus terkawal. Menerusi satu perjanjian strategik untuk membentuk Malayan Union pada tahun 1946, pihak British merancang memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua kaum termasuk kepada orang Cina dan India walaupun mereka baru beberapa tahun menetap di Tanah Melayu.

Rancangan jahat ini jika dilaksanakan akan menamatkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal Negara ini dan implikasi langsung rancangan pentadbiran itu ialah meletakkan Raja England sebagai Ketua Negara Malayan Union.

Kalau ini dilaksanakan, ketua Negara orang Islam di Tanah Melayu ialah seorang raja beragama Kristian di London. Raja-Raja Melayu akan kehilangan kuasa mereka dan jika ini berjaya dilakukan oleh British ia secara simbolik menandakan berakhirnya identiti, tradisi dan budaya politik Tanah Melayu sebagai sebuah negeri Melayu.

Rancangan jahat ini ditentang oleh orang Melayu melalui UMNO.

Pihak British menukar fikiran berhubung pembentukan Malayan Union berikutan tentangan hebat orang Melayu terutama selepas UMNO yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar berjaya mempengaruhi Raja-Raja Melayu supaya memulaukan Majlis Mesyuarat Gabenor Malayan Union dan menyatukan orang Melayu untuk ‘‘bergabung menunjukkan dukacita di atas kehilangan benda-benda yang kita kasihkan itu.’’

Pada saat-saat yang mencemaskan itu, British bukan satu-satunya musuh orang Melayu. Menurut Datuk Onn dalam satu ucapannya di Istana Besar Johor Bahru pada 12 mei 1946, orang Melayu juga dikhianati oleh beberapa orang bangsa sendiri yang terlalu liberal. Katanya: “Alangkah malangnya, ada beberapa orang Melayu yang tidak mengikut (memperjuangkan hak-hak Melayu) kerana kononnya segan kepada orang asing tetapi mereka tidak segan kepada kaumnya sendiri.”

Malaysan union digagalkan, dan UMNO mula bangkit sebagai sebuah pertubuhan politik kebangsaan yang bertanggungjawab mencetuskan semangat nasionalisme. Buat pertama kalinya orang Melayu yang selama beratus-beratus tahun berpecah disatukan. Dalam UMNO yang memperjuangkan hak-hak Melayu, kata Datuk Onn, “rakyat menjadi raja dan raja menjadi rakyat.”



No comments: