Saturday, December 27, 2008

HAPUSKAN HAK ISTIMEWA MELAYU


(Bahagian akhir dari rencana "Perjuangan Yang DiTakdirkan").


PERBALAHAN YANG MELETIHKAN

Perdebatan terbuka orang bukan Melayu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu yang dicetuskan oleh Dewan-Dewan Perniagaan Cina Se Malaya dan Pertubuhan-Pertubuhan Badan-Badan Cina Seluruh Malaya telah berlaku sejak tahun 1950-an. Perdebatan itu kononnya menggambarkan demokrasi tetapi ia membawa malapetaka kepada hubungan kaum dan kestabilan politik negara ini beberapa tahun kemudian.

Mungkin kerana penentang-penentang itu, kerajaan Tunku Abdul Rahman selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidak begitu agresif memperjuangkan program-program membaiki taraf hidup masyarakat Melayu yang ketinggalan. Hanya selepas berlaku tragedi 13 Mei 1969 baru pemikiran kerajaan berubah.

Orang Melayu sendiri sebenarnya telah letih mendengar cerita tentang kedudukan istimewa mereka. Mereka hanya menuntut supaya semangat Artikel 153 diterjemahkan dalam program-program pendidikan, ekonomi dan urbanisasi bertujuan membaiki sosioekonomi masyarakat Melayu.

Mereka sering mengulangi bahawa masalah kemiskinan orang Melayu bukan masalah kaum tetapi adalah masalah negara.

RANCANGAN TIADA BERHUJUNG PERSATUAN CINA UNTUK MENGHAPUSKAN KEDUDUKAN ISTIMEWA MELAYU

Datuk David Chua, iaitu tokoh perniagaan Cina dari Dewan Perniagaan dan perindustrian Cina Malaysia mencetuskan kontroversi pada 10 Ogos 2000 dengan meminta kerajaan tidak meneruskan dasar-dasar membantu orang Melayu. Kononnya, kata Chua kepada majalah Far Eastern Economic Review (FEER), orang Melayu akan lebih berupaya bersaing jika dibebaskan daripada bantuan kerajaan.

Chua kemudian diinterviu semula pemberita Utusan Malaysia berhubung kenyataanya kepada FEER dan dia mengulanginya sekali ini. Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Chua yang menurut akhbar itu membawa maksud supaya hak-hak istimewa orang Melayu dihapuskan.

Dasar-dasar membantu orang Melayu di bawah DEB hanyalah terjemahan daripada semangat Artikel 153 Perlembagaan persekutuan. Ia adalah simbol tolak ansur politik kaum di negara ini; ia satu kontrak kaum yang diikat secara undang-undang. Apabila Chua menuntut dasar-dasar itu dihapuskan, ia secara simbolik membawa maksud meminta dihapuskan hak istimewa Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.

Chua menafikan dia bermaksud demikian tetapi penjelasannya tidak dapat menutup agenda tersembunyi kaum Cina selama berpuluh-puluh tahun untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu. Agenda ini bukan baru kerana ia merupakan aspek tersirat pemikiran politik Cina pada tahun-tahun 1950-an yang agenda besarnya ialah menghakiskan konsep ketuanan Melayu

Tuntutan 17 perkara yang dibuat oleh Gabungan persatuan-persatuan Cina Suqui kemudian mengeruhkan lagi ide-ide liberal yang dicadangkan oleh Chua. Pertimbangan sejarah lansung tidak diambil kira. Tuntutan mereka begitu berbau kecinaan dan secara jelas mahu melahirkan Malaysia yang penuh dengan identiti Cina.

Dalam cubaan menidakkan hak keistimewaan Melayu, hak sama rata dalam ekonomi dan pendidikan dicanangkan, tetapi apabila orang Melayu menuntut ekuiti ekonomi mengikut kaum, orang seperti Chua dan para pemimpin Suqui ini enggan menerima gagasan berkenaan atas alasan ia menghakiskan hak yang diperoleh oleh kaum Cina.

Inilah yang mereka perlu ingat! Peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dalam perlembagaan mengikut sejarah merupakan pertukaran kepada peruntukan memberi kewarganegaraan kepada orang Cina dan India – iaitu peruntukan bersejarah yang menghapuskan hak orang Melayu sebagai pewaris tunggal negara ini.

Sungguhpun Chua begitu berterus terang, tidak ada orang Melayu pada hari ini sanggup bertindak seperti Tunku Abdul Rahman yang mempersoalkan kesetiaan mana-mana orang Cina yang membangkitkan isu kedudukan keistimewaan Melayu. Pernah sekali Tunku Abdul Rahman berkata, mereka ini berkiblatkan kepada Chiang Khai Shek.

Orang Melayu harus menginsafi mengapakah kecaman-kecaman Pertubuhan-Pertubuhan Badan-Badan Cina dan Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Cina Se Malaya pada tahun 1957 terhadap kedudukan istimewa Melayu masih bergema dari masa ke masa sehingga ke hari ini walaupun selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Adakah ia menggambarkan satu agenda politik Cina yang tidak habis-habis, yang sekali-kali tidak berakhir, memandangkan ia diulang dan diulang dari generasi ke generasi oleh pemimpin-pemimpin persatuan Cina? Orang seperti David Chua dan pemimpin Suqui hidup pada tahun 1957 dan mereka juga ada pada abad ke-21 ini.

Orang Cina pada zaman ini sungguh beruntung kerana tiada pemimpin Melayu moden akan sanggup mengulangi apa yang Tunku Abdul Rahman katakan kepada mereka 50 tahun lalu. Pada zaman itu mereka akan dilabelkan sebagai rakyat tidak setia, rakyat yang menghasut dan dihasut serta rakyat yang tidak memahami tolak ansur orang Melayu dan kesusahan kaum itu.

KEDUDUKAN ORANG MELAYU PADA HARI INI

Dalam tempoh tiga dekad DEB dilaksanakan orang Melayu telah keluar sedikit daripada kemundaran mereka.

Mereka telah mempertingkatkan pemilihan ekuiti dalam sektor ekonomi daripada 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada 19 peratus pada tahun 1998. Pendidikan khususnya kuota kemasukan ke universiti dan proses perbandaran telah menukar bentuk pekerjaan, status ekonomi orang Melayu dan keupayaan keluarga-keluarga Melayu.

Orang Melayu sedang beubah – terima kasih kepada perjuangan UMNO, dasar-dasar kerajaan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dilindungi dalam perlembagaan. Tanpa hak-hak keisitmewaan yang disebutkan secara khusus dalam Perlembagaan, DEB tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Banyak orang mengkritik DEB tetapi dasar itu telah membantu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi negara dan menyusun semula masyarakat negara ini. Tiada semestinya lagi Ah Chong pekedai runcit, Ahmad penanam padi dan Ramasami pekerja estet. Sekarang telah wujud Ibrahim jurutera perunding, Suat Ling guru sekolah dan Raju peniaga saham.

Dengan jaminan hak dalam perlembagaan, kerajaan merumuskan satu dasar yang sambung menyambung daripada DEB (1971-1990) kepada Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan dasar-dasar ini memberi keuntungan kepada semua kaum.

Ekuiti orang Cina dalam pemilikan modal syarikat-syarikat berhad telah bertambah daripada 32 peratus pada tahun 1970 kepada 41 peratus pada tahun 1998. sepanjang tiga dekad DEB dilaksanakan, orang Cina semakin makmur dari segi kuantiti manusia Cina yang kaya dan kualiti kekayaan mereka.

Orang Melayu ingin mengubah nasib bangsanya, mereka juga mahu turut menikmati kemakmuran yang telah sekian lama dinikmati oleh keluarga-keluarga Cina di bandar-bandar tetapi mereka tidak pernah membolot semuanya. Mereka sedar tentang identiti Malaysia bahawa kita telah ditakdirkan untuk berkongsi negara ini – dalam politik dan dalam mengejar kekayaan.

CABARAN GLOBALISASI KEPADA KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Terdapat satu persepsi menyeluruh di kalangan orang Melayu bahawa globalisasi ekonomi dunia yang sedang meresap ke dalam ekonomi Malaysia mungkin mengubah daya saing orang Melayu dan kemungkinan menukar pendekatan kerajaan dalam menterjemahkan semangat Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan kepada program-program affirmative action.

Globalisasi digunakan oleh sesetengah pemimpin Cina yang ultra untuk menuntut supaya semangat Artikel 153 itu jangan dikuatkuasakan kerana kononnya pelabur-pelabur asing tidak suka dan syarikat-syarikat asing akan takut berniaga di Malaysia.

Bagi kumpulan orang Cina itu, globalisasi dan liberalisasi yang dibawanya tidak lebih sebagai senjata yang berupaya menghapuskan hak Melayu, menidakkan keistimewaan yang sepatutnya dinikmati oleh orang Melayu dan menyekat masyarakat di negara ini disusun semula.

Sekali kerajaan bersetuju supaya orang melayu dibebaskan daripada bantuan dan pertolongan kerajaan dalam erti kata mereka perlu bersaing dalam situasi perfect competition bermakna perjuangan kumpulan orang Cina itu selama berpuluh-puluh tahun telah berjaya.

Mereka mendakwa bahawa jika orang Melayu dibebasan daripada bantuan kerajaan dan peranan aktif kerajaan diminimumkan, orang Melayu akan lebih berdaya saing. Masyarakat kita kononnnya akan semakin kukuh jika meritokrasi menjadi ciri-ciri ekonomi negara.

Ini bagaimanapun hanyalah andaian-andaian yang dibuat berlapikkan alasan yang begitu halus. Tiada siapa dapat menentukan apakah jika orang Melayu tidak dibantu, mereka akan menjadi sebaliknya iaitu bertukar menjadi peniaga yang lebih cerdik daripada orang Cina, lebih kaya daripada jutawan-jutawan Cina dan kemudian menguasai sepenuhnya kehidupan ekonomi di negara ini.

Cerita kosong ini tidak mungkin berlaku dalam sistem ekonomi Malaysia yang berteraskan kepada kehidupan bandar dan dalam dunia perniagaan tempatan yang masih terikat kepada tradisi monopoli sesebuah kaum. Andaian-andaian seumpama ini tidak dapat dipakai. Jika ada orang melayu yang percaya kepadanya, mereka sebenarnya telah tertipu.

APAKAH AGENDA MELAYU YANG PERLU DITERUSKAN?

Polemik yang dicetuskan oleh David Chua dan Suqui seharusnya mengingatkan pemimpin politik Melayu, birokrat melayu dan masyarakat Melayu tentang sejarah silam dam implikasi tolak ansur para pemimpin Melayu selama ini.

Mereka patut merenung kembali tekanan-tekanan yang dialami oleh orang Melayu dan harapan bangsa itu pada tanah air mereka.

Tunku Abdul Rahman yang libera menyatakan, orang Melayu pernah dihalau ke hutan-hutan dan gunung-gunung oleh dasar-dasar penjajah British. Di bawah DEB yang disokong oleh peruntukan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu telah kembali ke bandar-bandar dan kampung-kampung besar serta dengan segala kelemahan terhesot-hesot mempelajari dunia baru yang begitu asing kepada datuk nenek mereka.

Kita patut bertanya, adakah pada abad ke-21 ini orang Melayu tidak akan lari ke hutan-hutan dan gunung-gunung lagi jika kerajaan membiarkan persaingan bebas yang sama rata tanpa bantuan Artikel 153 dilaksanakan bagi menggembirakan kumpulan Cina yang diwakili oleh pemikiran orang seperti David Chua?

Dan adakah jika perkara itu berlaku kita sebagai orang Melayu kelak akan menulis sejarah bangsa kita dengan dakwat orang yang menang perang.

Ini sesungguhnya satu persoalan bangsa. Setiap seorang daripada kita patut mencari jawapan kepada soalan ini. Sejarah yang dipaparkan hanya memberi kita pengajaran. Terpulang kepada kita untuk menunjukkan sama ada kita benar-benar mahu mempertahankan hak-hak kita sebagai kaum peribumi yang sudah tinggal sedikit itu. Kita sendiri yang akan menentukan adakah sejarah lepas masih sesuai diperjuangkan pada zaman ini.

Elok sekali-sekala kita melihat tawar menawar antara pemimpin Melayu, Cina dan india sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam konteks fakta-fakta yang ditafsirkan oleh orang bukan Melayu. Faktanya ialah kelebihan yang orang Cina dan India dapat dalam Perlembagaan iaitu jaminan kerakyatan perlu berterusan sampai bila-bila.

Tetapi apa yang orang Melayu peroleh sebagai balasan membenarkan negara ini dikongsi bersama orang Cina dan India cuma peruntukan sementara yang mungkin perlu dihapuskan. Jika tidak dihapuskan pun tidak mengapa kata orang bukan Melayu. Ia boleh dikenalkan tetapi jangan kuatkuasakan peruntukan tersebut. Jangan bantu lagi orang Melayu. Zaman telah berubah, kata mereka. Inilah yang sesetangah pemimpin bukan Melayu mahukan.

Tugas kita sebagai orang Melayu ialah menentukan adakah kita mahu berkongsi dengan mereka pendapat itu.


HABIS

1 comment:

Unknown said...

Megah ke Orang-orang Melayu atas kejayaan daripada markah-markah simpati ini? Ini ke lumba lari yang mana sesetengah pelarinya dikeretakan ke garisan penamat?