Monday, December 22, 2008

BUKAN KERANA SIAL BUKIT !!!

Saya diundang menjadi ahli penal dalam program TV9 Nasik Lemak Kopi O pada ahad, 21 Disember yang lalu. Tajuk perbincangannya adalah “Harga Hartanah di Bukit Antarabangsa Merudum”. Ia dihoskan oleh pengacara terkenal, saudara Aziz Desa. Saya ditanya mengenai bagaimana saya mengimbas kembali kejadian yang berlaku di kawasan Hulu Klang. Terdapat dua ahli penal yang lain termasuk penyanyi Zahid, pemenang akademi fantasia yang masih tinggal di Bukit Antarabangsa.

Saya diminta menjelaskan isu ini berasaskan pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Klang dan Ahli
Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 1990 hingga 1999.

Sebanyak 99 projek cerun bukit yang telah diluluskan sejak dari tahun 2000 hingga tahun 2008, dan terdapat lebih kurang 16 kejadian tanah runtuh utama yang berlaku di negeri Selangor diantara tahun 1993 hingga 2008. Dan daripada jumlah itu 9 daripadanya berlaku di Ampang Jaya terutamanya di Bukit Antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa kawasan Bukit Antarabangsa adalah merupakan kawasan sensitif yang mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh.

Kawasan Bukit Antarabangsa pada asalnya merupakan kawasan rezab dan Tadahan Hujan. Hutan hujan khattulistiwa yang padat memenuhi banjaran titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah. Ini menjadi sebab mengapa empangan Klang Gate di bina di kawasan ini pada tahun 60 an. Apabila tidak ada tanaman tutup bumi, air akan meresap kedalam tanah dan menjadi pelincir kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya. Ini lah yang berlaku kemudianya seperti yang disebut dalam al Quran, “telah berlaku kerusakan di daratan dan lautan akibat perbuatan tangan-tangan manusia…”

Lantaran pengaruh politik dan wang serta pertambahan penduduk Kuala Lumpur, maka pada tahun-tahun berikutnya Zoo Negara mula ditempatkan di Hulu Klang dan kemudiannya Taman Melawati oleh Negara Properties di ikuti oleh kawasan Bukit Antarabangsa yang mula di racik-racik dan di “faraid” kepada taukeh-taukeh besar melalui pengaruh politik Melayu sendiri. Siapakah yang bertanggungjawab membuat keputusan ketika itu terutama sekitar tahun 80an dan 90an, silalah siasat sendiri. Namun itu semuanya tinggal sejarah.

Maka bermulalah kawasan tersebut telah di tukar bagi maksud pembangunan hartanah. Saya ditanya apakah saya terlibat dalam membuat keputusan masa itu? Jawabnya tidak. Ini kerana Bukit Antarabangsa di faraid pada tahun-tahun awal 80an, dilulus dan dibangunkan secara aggresif pada pada permulaan 90an dan kesannya dapat dilihat pada tahun-tahun 2000 ke atas. Dalam kes Highland Towers lebih awal dari itu.

Saya terpilih sebagai wakil rakyat Hulu Klang bermula pada tahun 1990 dan hanya menjadi EXCO Selangor dari tahun 1997 hingga 1999. Jadi saya hanya berpeluang untuk menguruskan bencananya sahaja. Ada juga yang secara sinis semasa pilihanraya 1999 dulu yang menyatakan saya ada kepentingan di kawasan itu. Jika ada yang berpendapat bahawa saya memiliki tanah di Bukit Antarabangsa silalah buktikan. Bukan susah untuk menyiasat pada zaman kerajaan di kuasai Pakatan Rakyat. Mereka pakar dalam hal ini. Masih banyak kotak-kotak rasuah dahulu yang belum dibuka lagi. Silakan.

Terdapat 3 peristiwa besar yang berkaitan tanah runtuh yang saya terlibat secara langsung.

Pertama, bermula dengan Pembalakan haram besar-besaran oleh taukeh Cina yang hanya saya sedari pada tahun 1991 daripada maklumat orang-orang kampong di Sungai Sering. Saya percaya kegiatan mencuri bermula lama sebelum saya menyedari kejadian itu. Saya masuk ke kawasan tersebut bersama penghulu Tawhid dengan menaiki pacuan empat roda dan terkejut melihat bagaimana balak-balak besar yang memakan ratusan tahun untuk membesar telah ditebang sesuka hati dan dibawa keluar dengan tiada siapa yang menyedarinya di pinggir bandar Kuala Lumpur?. Penemuan ini mendapat siaran besar-besaran oleh media massa pada ketika itu yang berakhir dengan kerajaan membenarkan tentera mempunyai kuasa mengawal hutan-hutan simpan daripada di curi.

Peristiwa membongkar kegiatan ini akan saya kenang sampai bila-bila kerana ianya hampir meragut nyawa saya. Terdapat gangster yang mengawal kerja-kerja pembalakan haram itu dan berlaku peristiwa tembak menembak yang tidak diketahui umum. Muhammad Taib selaku Menteri Besar yang baru pulang dari Haji kembali melawat kawasan dengan rambutnya yang dicukur botak !.

Kedua, kejadian Highland Towers pada tahun 1993. Ketika itu saya bersama keluarga baru mencecahkan kaki di Langkawi untuk melawat LIMA. Terlihat di kaca skrin televisyen di airport Langkawi tentang bangunan tumbang di Hulu Klang. Tarikhnya masih saya ingat, 11 Disember 1993. Lalu saya terus mengurus dan meninggalkan keluarga di hotel dan kembali ke airport untuk mengambil “jump seat” untuk segera kembali ke Kuala Lumpur.

Ketiga, kejadian tanah runtuh di jalan masuk Bukit Antarabangsa yang menutup jalan masuk utama yang menyebabkan lebih 15,000 penduduk yang tinggal dalam kawasan Bukit Antarabangsa terperangkap. Waktu ini saya menjadi EXCO yang bertanggungjawab menjaga infrastruktur. Selepas saya tidak lagi menjawat jawatan terdapat banyak lagi peristiwa-peristiwa tanah runtuh di kawasan tersebut sehinggalah yang terakhir ini.

Tetapi kejadian yang paling tragek dalam sejarah Negara sejak merdeka adalah Highland Towers yang merupakan tragedi runtuhan 1 dari 3 blok kondominium di Taman Hillview di Hulu Klang. Ia satu-satunya tragedi tanah runtuh yang pertama dan terburuk. Seramai 48 orang terkorban. Tak kira anak pembesar mana yang terkorban, yang pasti yang terkorban itu di dapati oleh doctor pemeriksa, darahnya semua merah !!.

Sebenarnya, tragedi ini sudah cukup untuk dijadikan pengajaran oleh rakyat dan pihak berkuasa di Negara ini. Tetapi kita tidak pernah belajar daripadanya dan menyalahkannya sebagai takdir Tuhan. Banyak sekali tentang peringatan Tuhan tentang pengurusan alam kita abaikan atas nama pembangunan dan wang. Kes ini harus menjadi rujukan semua pihak dalam membuat keputusan baru mahupun pengurusan cerun dan bukit yang lama dibangunkan, tetapi ia tidak diendahkan.

Namun apa yang lebih menarik pada saya ialah apabila Mahkamah Persekutuan sebulah suara memutuskan bahawa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Gombak (MDG) atau mana-mana kerajaan tempatan mempunyai kekebalan dan dilindungi Seksyen 95 (2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 daripada sebarang tuntutan sebelum runtuhan.

Mungkin ada hikmahnya mengapa kekebalan ini diperlukan, tetapi apa yang dipertikaikan ialah bagaimana peranan PBT yang memungut cukai hanya melaksanakan kerja-kerja tradisi seperti memungut sampah, mencuci longkang (yang mana banyak sekali rungutan rakyat tentang perkhidmatannya), sedangkan kerja-kerja menyelenggara cerun-cerun dan bangunan berisiko tinggi tidak dilaksanakan?? Kita faham ini memerlukan wang yang lebih dari sekadar kutipan cukai pintu.

Antara perkara yang perlu diperhatikan adalah seperti berikut:

a. Musim tengkujuh di Malaysia iaitu bulan November dan Disember membawa hujan lebat melampau setiap tahun dan boleh menyebabkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh terutama di Bukit Antarabangsa.

b. Banyak kemungkinan berlaku pergerakan bawah tanah yang bermula dari kawasan runtuhan lereng bukit yang selalunya bermula dengan runtuhan-runtuhan kecil. Dan hasil daripada perhatian dan aduan orang ramai, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan JKR perlu bertindak lebih jauh daripada hanya menutup runtuhan itu dengan “plastik biru”.

c. Sistem saliran tidak sempurna di kawasan pangsapuri mewah serta sistem perparitan yang tidak dikendalikan dengan sistematik.

d. Topografi kawasan yang berbukit, keadaan dan jenis tanah yang tidak stabil juga menggalakkan berlaku tanah runtuh.

e. Pembinaan bangunan rancak dan tiada pemantauan cerun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan JKR.

Sejak daripada kejadian Highland Towers, kita memang sudah banyak pengalaman mengenai pengurusan malapetaka dan bencana alam. Jutaan ringgit dibelanjakan untuk tujuan pengurusan bencana dan mangsa dan tidak kurang juga ribuan saranan dan pekelilingan yang diterima oleh pihak pentadbir kita.

Tetapi apa yang jelas berlaku adalah “masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan”. Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah musibah tentang bagaimana rapuh dan lembabnya sIstem penyelenggaraan oleh pihak yang berkuasa. Pentadbir kita belum menjadikan penyelenggaraan sebagai budaya kerja mereka. Ini jelas dapat dilihat dengan kekurangan peruntukan yang diberikan dan ketiadaan manual atau senarai semak yang harus ada untuk tujuan tersebut. Parti-parti pembangkang membuat kesimpulan mudah, apa pun yang berlaku di Negara ini adalah kerana RASUAH, habis!!.

Pihak pentadbir banyak menunjukkan minat untuk perlaksanaan projek-projek baru kerana itu tampak mereka bekerja dan hasilnya banyak melalui pembayaran premium dan cukai pintu. Penyelenggaraan tidak membawa wang masuk tapi keluar. Inilah yang menjadikan mereka mengambil sikap sambil lewa.

Oleh yang demikian kes Bukit Antarabangsa adalah merupakan isyarat berterusan untuk disegerakan perlaksanaan pengurusan kelengkapan atau “management facility” yang boleh meningkat dan mengawal nilai hartanah dan bangunan di kawasan tersebut. Kerajaan perlu menyediakan kewangan yang cukup untuk unit perlindungan cerun di JKR dan bertindak secara pro aktif kepada usaha-usaha penyelenggaraan cerun. Jika perlu boleh diwujudkan Jabatan Bencana Alam di MPAJ yang boleh diwujudkan peraturannya bagi maksud “building auditors”.

Jika ditanya saya patutkah dahulu Bukit Antarabangsa dibangunkan?, jawabnya itu satu soalan sejarah yang sukar dirubah tetapi harus dijadikan pengajaran bagai kawasan tanah berisiko tinggi yang lain. Bukit Antarabangsa bukan merupakan kesialan pemaju atau pembeli di kawasan tersebut, tetapi lebih kepada malas dan tidak pekanya pegawai untuk diperbaiki dan di “up grade” perkhidmatan oleh pihak yang memungut cukai.

Bukit Antarabangsa akan menghadapi pasaran hartanah yang merudum buat seketika. Selepas semuanya lupa, ia akan terus menjadi pilihan mereka yang memilih gaya hidup unggul untuk makan malam mengadap Kuala Lumpur Twin Towers diatas sejarah mayat-mayat yang menjadi sebahagian daripada tanah banjaran titiwangsa.



2 comments:

bungaraya said...

BUKANNYA BUKITNYA YANG SIAL. TAPI SIAPA?. Samalah dengan Bukan Islam yang salah tapi penganutnya. DAN bukan UMNO yang salah tapi ahli dan pemimpinnya. Jika semua suasana dan keperluan fizikal di Bukit Antarabangsa telah diperbaiki 100% dan Bukit tumbang jua. Siapa lagi nak dipersalahkan?
Lo fikirlah sendiri.

Ronn said...

bab tuding jari ke muka orang lain dah lama diamalkan... dan amalan itu terus diwarisi.