Tuesday, March 31, 2009

TUN PERAK MUNCUL DI BUKIT GANTANG


ORANG UMNO TAK BACA HIKAYAT HANG TUAH
1. Anwar Ibrahim berkata dalam ceramahnya di Kg. Acheh, Bukit Gantang pada 19 Mac 2009 yang lalu bahawa Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak bukan Hang Tuah atau Hang Jebat seperti yang digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah. Ini kerana Hang Tuah adalah seorang yang setia membuta tuli dengan dialog ‘pantang Melayu derhaka’ dan Hang Jebat seorang yang derhaka kepada raja dan membunuh rakyat jelata dengan slogannya ‘Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah’.

2. Beliau menyamakan Nizar dengan Bendahara Paduka Raja Tun Perak (1456-1498) yang memainkan peranan sebagai penasihat kepada Raja. Ini bagi maksud mempertahankan tindakan Nizar dan Karpal Singh untuk mencabar keputusan Sultan Azlan Shah dalam memilih kerajaan dan Menteri Besar yang baru menggantikan kerajaan Pakatan Rakyat.

3. Menurutnya apabila Raja menitahkan Tun Perak supaya membunuh Laksmana Hang Tuah kerana difitnah berzina dengan gundek Raja, Bendahara Tun Perak telah bertindak menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka. Ini menyebabkan Hang Jebat mengamuk dan derhaka kepada Raja dengan menduduki istana, berzina dengan gundek Raja, termasuk Dang Anum serta membunuh rakyat jelata.

4. Raja kemudiannya bersedih hati dan menyesal kerana menitahkan Bendahara Tun Perak ‘membunuh’ Hang Tuah. Disinilah Bendahara Paduka Raja Tun Perak ‘mohon sembah derhaka’ kerana tidak melakukan titah seperti yang diarahkan. Hang Tuah keluar dari penyembunyian untuk membunuh saudaranya Hang Jebat.

5, ‘Sembah derhaka’ inilah menurut Anwar yang dilakukan oleh Nizar kepada Sultan Perak apabila baginda menitahkan supaya Nizar meletakkan jawatan dan memilih Dr. Zambri Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru akibat Pakatan Rakyat kehilangan sokongan majoriti di dewan undangan negeri.

6. Anwar menyindir dan memperlekehkan ahli-ahli dan ketua cawangan UMNO yang yang hadir kononya tidak membaca Hikayat Hang Tuah. Menurutnya, orang yang menuduh Nizar sebagai derhaka kepada Raja adalah fitnah yang jahat.

7. Sebenarnya Anwarlah yang harus membaca kitab tersebut dengan teliti dan membuat kiasan yang tepat daripada membuat perbandingan-perbandingan yang salah. Cerita Anwar tidak lengkap.

8. Pertamanya, Sultan Azlan Shah, Sultan Perak tidak tepat dibandingkan dengan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang ke 8 dan yang terakhir sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sultan Mahmud Shah (memerintah 1488-1528) bukan merupakan Raja yang pintar dan cerdik seperti Sultan-sultan yang terdahulu daripadanya, seperti Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah. Baginda adalah merupakan sultan yang kejam dan zalim kepada rakyat. Ini terbukti seperti yang terdapat dalam syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang yang gagal itu.

9. Sultan Azlan adalah seorang Raja yang adil dan cukup tinggi ilmu serta pengalaman memerintah. Beliau adalah bekas Ketua Hakim Negara yang amat disegani dan dihormati baik dalam dan luar negara. Pendiriannya sering berkecuali dalam politik melainkan apabila baginda merasakan Bangsa dan Agamanya mulai terancam. Bukankah ini peranan yang harus dimainkan oleh seorang Raja sebagai pelindung kepada Bangsa dan Agama kaumnya.

10. Dalam krisis di Perak, Baginda bukan sahaja berperanan sebagai Raja tetapi juga sebagai Hakim yang adil dengan menemuduga satu persatu wakil-wakil rakyat yang tidak lagi dapat bersama dengan Pakatan Rakyat. Setelah berpuas hati barulah baginda melaksanakan peraturan seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh Negeri Perak.

11. Dalam Hikayat Hang Tuah, Tun Perak yang menasihatkan Raja, tetapi di negeri Perak, Sultan yang menasihatkan Nizar supaya menjaga kepentingan Agama, Raja dan Bangsa. Bukankah Nizar yang membuka laluan kepada kaum lain bagi meratah kepentingan bangsanya.

12. Baginda sudah mengingatkan Nizar berkali-kali supaya menjaga kepentingan tersebut, tetapi demi kepentingan sokongan kerusi dari bukan Melayu, khususnya DAP, maka Nizar membuka segala-galanya dengan sombong dan wajah yang angkuh. Peringatan Sultan langsung tidak diindahkan. Bagi PKR, nama kalimah ‘Allah’ pun boleh diperkongsi oleh agama-agama tok pekong yang lain.


13. Nizar bukan Tun Perak, kerana Tun Perak adalah merupakan Bendahara Paduka Raja yang setia, pintar dan menjadi penasihat yang dihormati oleh Rajanya. Tun Perak bertanggungjawab melindungi kepentingan baginda dan rakyat daripada pelbagai ancaman dan fitnah. Sedangkan Nizar seorang yang ingkar terhadap perintah Raja dan membenarkan pihak luar menderhaka kepada Raja hanya kerana kepentingan peribadinya terhakis.

14. Jika Tun Perak disuruh meletakkan jawatan sebagai Bendahara Raja maka beliau pasti akan berbuat demikian. Dia lebih sayang kepada Hang Tuah daripada dirinya sendiri. Sebab Hang Tuah adalah simbol pertahanan dan kekuatan negara.

15. Sebaliknya, Nizar ingkar dan menubuhkan kerajaan pasola di bawah pokok di Negeri Pasir Berdengung. Bila Nizar ‘mohon sembah derhaka’ maka beliau telah membuka pintu untuk kaum-kaum minoriti terutama Karpal Singh untuk menyaman Sultan Azlan ke mahkamah. Anwar kata itu merupakan hak demokrasi yang harus dihormati.


16. Kesimpulannya, di Perak, Raja yang melindungi dan menasihati Nizar. Sultan Azlan adalah Raja dan sekali gus berperanan sebagai Tun Perak dari segi pandangan jauh, ilmu dan kecerdikannya yang umum mengetahui.

17. Melaka jatuh di tangan Portugis kerana pengkhianatan dari dalaman. Jika Perak jatuh ketangan orang lain dan rakyat tidak lagi hormat kepada Raja, maka ia adalah akibat dari slogan kedaulatan rakyat yang secara halus menghakis kedaulatan Raja-Raja Melayu yang ditaja oleh Anwar Ibrahim. Apakah kita sudah bersedia untuk menerima konsep Malaysian Malaysia yang lama diimpikan dan diperjuangkan oleh DAP selama ini?

18. Sebenarnya jika mengikut Hukum Kanun Melaka, mereka yang derhaka dan khianat kepada Raja, bangsa dan agamanya, maka hukumannya…..sendiri carilah..









4 comments:

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Datuk,

Dalam tulisan Datuk, Datuk sudah menulis panjang lebar tentang perbandingan Tun Perak dengan Nizar calon yang hendak bertanding di Bukit Gantang. Sekali gus tulisan itu telah menyanggah hujah Anwar yang dilihat agak meleset.

Kalau Datuk menolak Nizar untuk diumpamakan seperti bendahara Tun Perak yang masyhur itu saya lebih cenderung untuk menserasikan Nizar dengan Sang Rajuna Tapa.

Di dalam Sejarah Melayu, Sang Rajuna Tapa adalah seorang bendahara di pemerintahan Sultan Iskandar Shah di Singapura dulu. Disebabkan sesuatu krisis dengan Istana, beliau telah tidak berpuashati dengan baginda Sultan pada ketika itu.

Pada waktu itu ketaatan kepada Sultan adalah sama ketaatan kepada tuhan. Ini adalah kerana kepercayaan bahawa Sultan itu adalah bayangan tuhan walaupun ianya zalim dan tidak adil. Penderhakaan kepada Sultan umpama derhaka juga kepada tuhan. Konsep Daulat akan memberi balasan kepada rakyat yang derhaka.

Di pendekkan cerita, kerana ketidakpuasan hati kepada Sultan Sang Rajuna Tapa telah mengutus surat ke betara majapahit untuk menyerang Singapura. Sang rajuna tapa membuka pintu gerbang kota untuk memberi laluan pasukan tentera majapahit untuk menyerang. Habis satu kota bermandikan darah dan sultan bersama pengikut pengikutnya melarikan diri ke Muar. Mengikut sejarah melayu, sedang sang rajuna tapa dan isteri nya bersiap untuk melarikan diri, dengan kehendak Allah, mereka berdua bertukar menjadi batu...

(Sejarah Melayu)

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam datuk,

Sebelum ini saya juga ada menulis satu artikel berkenaan dengan Nizar dan kesultanan Perak. Pada ketika itu saya memprotes tentang kesediaan Nizar untuk memberi hak milik 999 tahun tanah-tanah di kampung Baru. Tajuk tulisan saya ialah :

Tuanku yang cerdik, Menteri Besar yang Dungu

Memang benarlah seperti dalam catatan sejarah,100 tahun terakhir penjajahan British di Tanah Melayu telah memberikan kemewahan melimpah- ruah kepada masyarakat Cina terutama apabila kita memperkatakan pemberian tanah bagi penduduk Kampung Baru. Pada tahun 1950, masyarakat Cina telah mendapat keistimewaan menduduki satu kawasan serba lengkap sedangkan pribumi Melayu hidupnya daif dan merempat di tanah airnya sendiri.

20 tahun kemudiannya baru lah 112,000 keluarga Melayu daif mendapat tanah yang jauh dari bandar, meneroka sendiri dan cuba merubah hidup mereka dengan bantuan kerajaan. FELDA yang ada pada hari ini adalah cetusan idea pemimpin-pemimpin Melayu khususnya Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein yang ingin memberi ruang dan peluang kepada Melayu untuk merasai sedikit nikmat hidup di bumi tanah pusaka ini.

Pada hari ini wujud seorang pemimpin Melayu yang tidak sedar diri dan tidak tahu diuntung telah memberi pula hak milik kekal kepada penduduk -penduduk Kampung Baru yang tidak mendapat hak milik kekal itu semasa penjajahan British. Pemimpin Melayu ini lebih dahsyat daripada British , seorang yang buta sejarah, lemah ,lembik ,mudah dikuasai, senang dipengaruhi dan merelakan ditunggangi oleh orang lain untuk mencapai sesuatu kepentingan. Melayu ini tidak mahu menyelidiki jauh sekali untuk menginsafi kerana tanah-tanah Kampung Baru adalah tanah-tanah milik kerajaan Tanah Melayu atau tanah-tanah persendirian Melayu.

Nasib baik Negeri Perak mempunyai Raja Muda yang cerdik dan bijak dapat menutup kedunguan Menteri Besar yang lemah. Pendedahan DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN RAJA DR. NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
berkenaan isu pemberian hak milik kekal kepada penduduk-penduduk Kampung Baru tidak tercatat dalam buku-buku teks sejarah di sekolah -sekolah dan jarang diketahui umum. Baginda bertitah 'Rancangan Briggs sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu'

Kekesalan dan kesedihan Raja Dr.Nazrin Shah dengan apa yang berlaku di Perak hari ini diterjemahkan dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)baru-baru ini. Titah Raja Nazrin Shah yang menjadi payung kepada umat Melayu Perak perlu disambut oleh YAB Menteri Besar dengan membatalkan hasratnya sebelum timbulnya rasa kebencian umat Melayu di seluruh negara terhadap beliau.

Persoalannya, sama ada YAB Menteri Besar akan patuh kepada nasihat Tuanku Raja Muda yang mewakili hasrat dan harapan Melayu Perak yang dipayungi baginda atau terus tunduk dan mengikut telunjuk rakan kongsinya DAP.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Unknown said...

sebenarnya salah bagi kamu menyatakan yang anwar salah baca. Sebenarnya dia TERlebih baca sehingga jadi keliru.

Tun Perak ke, Hang Jebat ke, Hang Tuah ke. mereka ini semua tak boleh samakan dengan nizar atau anwar.

kalau dari segi character, org ni kaki silat, sekurangnya badan dia tentu sihat. badan sihat minda sihat. Kalau tak camna nak lawan 40 hari/ 40 malam.
Tengok le anwar, umur 60 tahun. badan pun melengkung. Nizar dah le buncit. Keris yang anwar tahu ada kat celah kangkang dia. Keris nizar dah lama bagi kat cina.

Dari segi mentaliti, demi sultan tuah sanggup membunuh. demi kawan jebat sanggup membela. demi negara Tun Perak sanggup berahsia.

Anwar? demi negara, negara dijual
Nizar? demi bangsa, cina kawannya
PKR/PAs demi kawan, kafir di peluknya.

Wah Lau weh.

FUAD HASSAN said...

Amirhamzah64

Salam,

Bagus perbandingan sdr dengan Sang Rajuna Tapa di Singapura. Saya harap ramai yang membaca komen saudara dan membandingkannya dengan pembohongan Anwar yang mendalam.

Kita tak perlu mengaji tinggi untuk melihat 'gurmal' beliau. Buat sedikit kajian dan pembacaan dan fikir serta bandingkan.

Beliau seronok bercakap sesedap mulut dan mengandaikan orang lain semuanya bodoh belaka. Ramai yang terpukau sebab keletah beliau berbicara. Itulah rakyat..

Rakyat yang begitu bukan Tuan, sebab ia hanya mengikut arahan gembala. Gembala itulah yang sebenarnya sebagai 'tuan' dengan mengula-gulakan rakyat melalui 'ketuanan rakyat'.

Akhirnya, si Tuan mendapat segala-galanya, yang rakyat pi mai pi mai tang tu jugak..