Wednesday, December 17, 2008

PERJUANGAN YANG DITAKDIRKAN - BAHAGIAN 3


UMNO MENYELAMATKAN MELAYU

Kejayaan UMNO menentang Malayan Union telah menyelamatkan orang Melayu, memberi sedikit sinar kepada masa depan mereka dan meletakkan landasan yang membawa kepada perakuan rasmi kedudukan istimewa orang Melayu sebagai peribumi Tanah Melayu.

Pada akhir tahun 1946 selepas Malayan Union digagalkan, satu susunan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru dirintis oleh British dengan lima atas penggubalan. Kali ini pihak British lebih sensitif kepada perasaan orang Melayu yang sudah mula sedar tentang untung nasib mereka.

Satu daripada asas perlembagaan 1948 ialah memberi kerakyatan yang sama bagi semua orang memandangkan Tanah Melayu sebagai tanahairnya dan tempat dia menumpahkan taat setia, tetapi asas ini dirangka dengan mengambil kira satu lagi asas iaitu “memikirkan mustahaknya menjaga keselamatan dan kedudukan khas rakyat Melayu.”

Rundingan antara pihak British dengan wakil Raja-Raja Melayu dan wakil UMNO telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Februari 1948. Di bawah perlembagaan itu kedaulatan Raja-Raja melayu dipulihkan seperti sebelum Perang Dunia Kedua dan kerajaan British mengiktirafkan kedudukan istimewa orang Melayu.

Bagaimanapun peruntukan berhubung kerakyatan di bawah Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu 1948 diperkenalkan. Ia menetapkan dua jenis kerakyatan iaiti kerakyatan berdasarkan kuatkuasa undang-undang dan kerakyatan melalui permohonan.

Ahli-ahli sejarah bersetuju bahawa tolak ansur Raja-Raja Melayu dan UMNO pada tahun 1948 untuk memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu adalah antara peristiwa paling penting dalam sejarah ketuanan Melayu di Negara ini.

Dengan orang Melayu menerima peruntukan tersebut, maka berakhirlah sejarah Tanah Melayu sebagai milik tunggal orang Melayu dan bermulalah perkongsian semua kaum terhadap Negara ini. Orang bukan Melayu boleh menjadi warganegara dan mendapat hak sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu.

Tetapi perlembagaan pada tahun 1948 juga mengiktirafkan secara jelas orang Melayu sebagai penduduk asal persekutuan yang mendapat kedudukan istimewa, dan agama Islam iaitu agama orang Melayu dikategorikan dalam perlembagaan sebagai bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

Sesiapa yang mengkaji bagaimana perlembahaan persekutuan 1948 dirangka harus mengakui betapa besarnya tolak ansur orang Melayu (atau betapa naifnya mereka).

Walau apapun yang dikatakan oleh orang bukan Melayu tentang kesamaan hak, negara ini pada asalnya adalah negara Melayu seperti yang diakui oleh British pada tahun 1948. Ini adalah realiti sejarah. Bagaimanapun semangat toleransi orang Melayu telah membuka peluang kepada orang bukan Melayu untuk menumpah taat setia kepada sebuah entiti yang ditakdirkan beberapa tahun kemudian mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia moden.

Tolak ansur ini apabila dibiarkan oleh orang Melayu dikuatkuasakan dalam perlembagaan 1948 adalah umpama melepaskan seekor burung peliharaan keluar dari sangkar. Burung itu lepas terbang di angkasa dan ia tidak kembali lagi.

Implikasi perjanjian berhubung kerakyatan tersebut ialah Tanah melayu – dan kemudian Malaysia – bukan lagi negeri orang Melayu semata-mata. Sejak itu mereka berkongsi jatuh bangun Negara ini dengan kaum Cina dan India. Kuasa politik bukan sepenuhnya daam tapak tangan mereka lagi.

PERIBUMI DIANAKTIRIKAN OLEH BRITISH

Orang Melayu pada umumnya tidak menentang kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Tetapi orang Cina yang ekstrem dalam Parti Komunis Malaya mencabar Perlembagaan tersebut. Mereka merasakan perlembagaan itu tidak adil kepada orang Cina bertopengkan ideal komunisme.

Tentangan komunis berlarutan selama 12 tahun sehingga tahun 1960. Persekutan 1948 terselamat daripada cita-cita revolusi parti Komunis Malaya yang dikawal oleh pemimpi-pemimpin pelampau Cina. Perlembagaan itu kemudian berkembang sejajar dengan tuntutan zaman sehinggaah idea-idea kemerdekaan tercetus dan perikan ditubuhkan.

Tunku Abdul Rahman Putra yang mengambil alih kepimpinan UMNO daripada Datuk Onn pada tahun 1951 dalam satu ucapanya telah membangkitkan kesan perlembagaan Malayan Union yang liberal kepada orang Melayu.

Kata Tunku Abdul Rahman: ”Oleh kerana kelonggaran dasar Malayan Union itulah yang menyebabkan kita nampak pada hari ini orang Melayu yang dahulu bertempat di pekan-pekan telah lari jauh ke hulu-hulu dan ke tepi hutan dan jika berkekalan seperti sekarang ini nescaya orang Melayu akan terusir jauh lagi kedalam hutan dan ke gunung-gunung yang boleh membawa kesakitan kepada tubuh badannya dan azab sengsara kepada kehidupannya.”

Tunku Abdu Rahman kemudian meneruskan ucapannya dengan menuntut ”diuntukkan tanah-tanah di dalam pekan kepada Melayu dan tanah-tanah di luar pekan mestilah dikawal dengan kuat untuk Melayu.” Dari sinilah bermulanya konsep Tanah Rezab Melayu.

Pada peringkat ini pasa pemimpin politik Melayu telah menyedari bahawa kemunduran masyarakat mereka berkait rapat dengan dasar kerajaan. Untuk orang Melayu maju, mereka wajib dibantu dan komitmen itu perlu dicerminkan dalam perlembagaan.

Dasar-dasar British di bawah Persekutuan tanah Melayu 1948 sebenarnya tidak membawa banyak perubahan kepada orang Melayu. Kaum peribumi itu mungkin telah mendapat kesedaran politik berikutan penentangan Malayan Union, namun dalam bidang pendidikan dan ekonomi orang Melayu terlalu jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum imigran.

Pada tahun pertama Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO, bilangan pelajar Melayu mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pelajaran hanyalah 16 orang sedangkan bilangan pelajar bukan Melayu yang mendapat biasiswa ialah 60 orang.

Pada tahun 1951 juga pendapatan digabungkan boleh cukai oleh 5,195 orang Cina ialah RM62 juta berbanding 773 orang Melayu yang mempunyai pendapatan terkumpul RM8.1 juta. Mengulas mengenai ini, ahli sejarah Victor Purcell menulis bahawa angka itu memperlihatkan perbandingan kekayaan antara kaum pada waktu itu.

Orang bukan Melayu yang majoritinya tinggal dibandar-bandar mendapat keistimewaan berbanding orang Melayu di kampung-kampung. Memang benar Perlembagaan 1948 memperakui kedudukan istimewa orang Melayu tetapi kerajaan penjajah British tidak memberi banyak ruang untuk orang Melayu membaiki nasib mereka.

Orang Melayu tidak digalakkan belajar bahasa Inggeris kerana British tidak mahu ”kehilangan kuli-kuli.” Bahasa Inggeris dan pendidikan Inggeris jika diberikan secara besar-besaran kepada orang Melayu akan membuka peluang kepada mereka untuk menjadi tuan.

Malah pada tahun-tahun tersebut yang merupakan tahun-tahun darurat 1948-1960, orang Cina ternyata mendapat kelebihan yang tidak disangka-sangka berikutan suasana darurat.

Untuk mengelakkan orang Cina tinggal di pinggir-pinggir bandar dieksplotasi oleh komunis, kerajaan British menempatkan mereka di kampung-kampung baru yang kemudian mendapat peruntukan khas daripada kerajaan British untuk dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan penempatan moden seperti sekolah, pusat kesihatan dan jalan raya.

Apa yang berlaku ini menimbulkan kemarahan sesetengah pemimpin Melayu yang merasakan kerajaan British mengutamakan orang Cina lebih daripada nasib peribumi negara ini.

No comments: