Friday, December 19, 2008

PERJUANGAN YANG DITAKDIRKAN - Bhg 4



HAK TIDAK TERNILAI ORANG MELAYU
DALAM PERLEMBAGAAN MERDEKA 1957

Rundingan menjelang kemerdekaan merupakan sesuatu yang begitu sensitif kepada politik orang bukan Melayu, dan sering mahu dilupakan oleh ahli-ahli politik Cina kontemperori yang enggan menerima kedudukan istimewa orang Melayu.

Bekas Ketua Halim Negara, Tun Mohammed Suffian Hashim menulis dalam buku yang berjudul An Introduction To The Constitution Of Malaysia tentang bagaimana perlembagaan Malaysia dirangka oleh banyak pihak, bukan oleh komuniti Melayu sahaja.

Sebelum kuasa dipindahkan, pihak berkuasa British menegaskan bahawa komuniti-komuniti utama Tanah Melayu harus duduk bersama dan bersetuju dengan sebuah perlembagaan. Apabila perlembagaan 1957 dirangka, rundingan dibuat antara komuniti Melayu yang diwakili oleh para pemimpin UMNO, Cina diwakili oleh para pemimpin MCA dan kaum India oleh pemimpin-pemimpin MIC.

Persetujuan-persetujuan yang muncul dalam perlembagaan itu adalah hasil perbincangan dan rundingan antara para pemimpin pelbagai kaum itu, di mana mereka telah bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan nasional. Antara isu utama dalam rundingan itu ialah hak kerakyatan, orang Cina dan India diberi kerakyatan melalui pendaftaran manakala anak-anak mereka yang lahir selepas hari merdeka 31 Ogos 1957 menikmati kerakyatan secara automatik.

Apakah implikasi peluang mendapatkan kerakyatan ini kepada orang Cina dan India serta imigran asing lain. Menurut Tun Suffian, kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu mengandungi kelebihan yang begitu bernilai.

”Imigran asing itu secara automatik tidak memerlukan permit untuk bekerja di Malaysia. Dia boleh memperoleh tanah lebih mudah. Dia layak bekerja dalam perkhidmatan awam. Anaknya yang juga merupakan warganegara turut layak mendapat tempat dan biasiswa di sekolah-sekolah dan universiti, dan masa depan mereka di negara ini terjamin.”

Tun Suffian menambah, dengan mendapat kewarganegaraan orang Cina dan India dan anak-anak mereka mendapat satu hak yang tidak ternilai iaitu mereka boleh mengambil bahagian dalam kesatuan sekerja dan dalam aktiviti politik.

Mereka boleh menjadi pengundi dalam pilihan raya, boleh bertanding sebagai calon pilihan raya, jika menang boleh menjadi Menteri, boleh mempengaruhi dasar-dasar kerajaan dan mempunyai kuasa untuk menentukan nasib komuniti mereka dan negara ini.

Konsesi yang diberikan oleh para pemimpin Melayu dalam peruntukan perlembagaan 1957 membolehkan anak-anak orang Cina dan India boleh bercita-cita untuk memimpin Malaysia dan memimpin kerajaan. Tiada siapa lagi dapat menyekat mereka.

Peruntukan perlembagaan yang memberi hak kerakyatan tersebut begitu cepat mempengaruhi imbangan kaum. Antara tahun 1957 dan 1970 (iaitu selama 13 tahun) terdapat 1,758,824 orang Cina dan India telah menjadi rakyat Malaysia.

Sebagai balasan kepada tolak ansur dalam isu kewarganegaraan, wakil-wakil bukan Melayu yang merangka Perlembagaan 1957 bersetuju menerima peruntukkan lain perlembagaan, antaranya peruntukan yang menjadikan Islam agama rasmi Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan dan kuasa raja-raja dan peruntukan yang paling banyak diperkatakn iaitu Artikel 153 Perlembagaan berhubung kedudukan isitmewa orang Melayu.

Tun Suffian menegaskan dalam bukunya: ”Bagi setiap satu
persetujuan yang menguntungkan orang Melayu, ia
diimbangi dengan peruntukan liberal yang menguntungkan
orang bukan Melayu.”


Apa yang diperoleh oleh orang Melayu di Semenanjung dalam perlembagaan tidak dikongsi oleh mereka seorang diri. Apabila kemudian persekutuan malaysia dibentuk pada tahun 1963, kedudukan istimewa orang Melayu dalam perlembagaan diperluaskan kepada penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Malangnya orang selalu lupa kepada sejarah. Selepas Perlembagaan 1957 itu dipersetujui dan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ada kumpulan orang bukan melayu mengungkit kembali peruntukan-peruntukan sensitif dalam perlembagaan dan ini membawa kepada perbalahan kaum. Kemuncaknya ialah Tragedi 13 Mei 1969.

PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Artikel ini merupakan satu keputusan paling mustahak yang dibuat oleh para pemimpin bukan Melayu ketika merundingkan Perlembagaan. Artikel in menyentuh tentang tanggungjawab kerajaan membantu meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu melalui perezaban kuota kontrak, pendidikan dan sebagainya.

Pemimpin politik mainstream Cina dan India menyedari pada tahun 1950-an bahawa orang Melayu lemah dari segi ekonomi dan demi kepentingan perpaduan nasional dan untuk menghapuskan kelemahan itu, mereka bersetuju Artikel 153 ditulis dalam perlembagaan.

Apakah kasihan belas yang dikongsi para pemimpin Cina dan India pada waktu itu? Mereka sedar bahawa kemiskinan orang Melayu adalah masalah Negara. Ia bukan masalah orang Melayu semata-mata.

Kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu adalah satu fakta kehidupan negara ini pada tahun-tahun 50-an ketika perlembagaan negara mula dirangka dan dbincangkan. Malah pada tahun 1968, 12 tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, bilangan doktor Melayu misalnya hanyalah 64 orang berbanding 693 orang doktor Cina dan India. Jumlah ini hanya 9 peratus daripada keseluruhan bilangan doktor yang ada di Malaysia.

Kelemahan dari segi pelajaran, kesihatan serta kehidupan di kampung-kampung yang penuh dengan kemiskinan dan belenggu pusingan ganas kemiskinan pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan telah meletakkan orang Melayu dalam keadaan yang serba daif.

Tanpa dasar-dasar membantu orang Melayu yang digubal selepas peristiwa traumatik tahun 1969 - yang pada asanya merupakan dasar yang menjadi semangat Artikel 153 – orang Melayu akan menjadi kaum terbiar di negara sendiri iaitu sebuah negara Melayu yang mereka sendiri benarkan ia dikongsi dengan kaum-kaum lain.

PERLEMBAGAAN TIDAK BERGUNA JIKA TIDAK DILAKSANAKAN

Selepas Perlembagaan 1957 dipersetujui oleh wakil-wakil semua kaum, Tunku Abdul Rahman yang akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang merdeka menyediakan rakyat dengan acara-acara menyambut kemerdekaan menjelang 31 Ogos 1957.

Pelbagai program diadakan untuk merayakan saat-saat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan termasuk sandiwara, peraduan menyanyi, perlumbaan laut, malam kebudayaan, peraduan bolasepak dan badminton, membaca syair, membaca Al-Quran dan syarahan-syarahan.

Kemerdekaan disambut dalam zaman darurat.

Ketika orang ramai sedang bergembira, pada 9 Julai 1957 akhbar-akhbar di Tanah Melayu melaporkan satu kenyataan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Katanya, sungguhpun Perlembagaan baru Persekutuan telah mendapat sambutan baik, ”tetapi ia tidak akan berguna lansung sekiranya perlembagaan itu tinggal di kertas putihnya saja dan jika tidak diikuti dengan semangat mahu melaksanakannya.”

Kata beliau lagi, ”Kemerdekaan Tanah Melayu mempunyai tapak baik dan ia hendaklah dijalankan dengan perasaan muhibah, saling hormat menghormati dan kesabaran sebagaimana yang telah ditunjukkan sekarang ini di antara satu kaum dengan kaum yang lain.”

Walaupun parti politik Cina MCA telah bersetuju menerima Perlembagaan 1957 tetapi sebuah jawatankuasa 15 orang yang mewakili 1,004 buah Pertubuhan-pertubuhan Badan-Badan Cina di seluruh Malaya menentang keras perlembagaan itu.

Mereka telah pergi ke London untuk mempengaruhi kerajaan Harold Macmillan supaya tidak memperakui perlembagaan tersebut yang mengandungi artikel-artikel yang mengesahkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk peribumi negara ini. Jawatankuasa itu ingin meneruskan keazaman dan perjuangan ”untuk mendapatkan taraf persamaan untuk rakyat dalam negeri ini seluruhnya mengikut persamaan undang-undang internasional.”

Tunku Abdul Rahman menjawab kritikan-kritikan Pertubuhan Badan-Badan Cina terhadap Perlembagaan 1957 itu dengan menjelaskan bahawa dalam perlembagaan tersebut ”berbagai-bagai kepentingan yang bertentangan dari berbagai-bagai pihak dipertimbangkan dengan saksamanya.”

Beliau membangkitkan aspek-aspek sejarah Raja-Raja Melayu yang membuatkan perjanjian dengan kerajaan British, yang mana implikasi perjanjian itu menyebabkan orang Melayu miskin di negara sendiri.

Inilah antara penjelasan Tunku Abdul Rahman kepada Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada 11 Julai 1957:

”Kekayaan dan kemewahan orang lain bagaimanapun telah tidak menolong orang-orang Melayu, malah sebaliknya telah menyebabkan mereka semakin mundur dalam lapangan ekonomi hingga mereka terhalau keluar dari bandar-bandar dan kampung-kampung besar.

”Sebelum perang dahulu orang-orang Melayu telah menerima kemasukan beratus-ratus ribu orang lelaki dan wanita daripada pelbagai bangsa kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk menahan kemasukan tersebut. Pada waktu itu sangat sedikit orang yang berani menerjunkan diri mereka dalam politik dan perjanjian yang dibuat dengan Britain itu telah memberikan kuasa sepenuhnya kepada pihak yang melindungi kita untuk berbuat sesuka hatinya dalam negeri ini. "

”Orang-orang Melayu telah diberi jaminan bahawa kerajaan British akan melindungi kepentingan-kepentingan mereka dan bahawa mereka akan diajar cara-cara pentadbiran dan diberi waktu untuk menanamkan semangat berniaga dan dengan janji-janji ini orang Melayu telah percaya kepada British.”

Tunku Abdul Rahman kemudian menambah, ”Nampaknya semua orang telah lupa bahawa dalam Perjanjian Tanah Melayu tahun 1948, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu adalah bertanggungjawab melindungi dan menjamin kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan-kepentingan yang halal dari lain-lain kaum. Tidak ada tanda yang menunjukkan bahawa orang-orang yang bukan Melayu telah teraniaya terbit dari dasar yang telah berjalan dulu.”

Selepas berbahas selama 11 jam 6 minit pada 10 Julai 1957, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan telah meluluskan sebulat suara dan menerima rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka.

Bagaimanapun Tunku Abdul Rahman ketika itu berasa sungguh kecewa dengan kecanggahan sekumpulan kecil orang Cina yang tidak memahami semangat Perlembagaan 1957. dengan merujuk kepada satu memorandum yang diterimanya daripada Gabungan Dewan-Dewan perniagaan Cina Se Malaya, beliau menuduh penentangan itu ”sebenarnya adalah datang dari golongan-golongan orang-orang Cina yang taat setianya bukan kepada negeri ini tetapi kepada negeri lain.” (Bersambung).

No comments: