Sunday, December 7, 2008
PUISI - RASISKAH ITU ?
I
Bagaimana kalau,
Si Buang melempar Melayunya,
Sebab Melayu itu Rasis,
Rasis tiada tempat untuk maju,
Bagaimana majunya Amerika,
Obama boleh jadi raja.
Bagaimana kalau,
Si Anu tangguhkan Islamnya,
Tangguh lama-lama,
Sebab Islam itu jumud,
Buruk nanti wajah kita,
Lihat majunya Turki,
Bagaimana Erdogan mengurus takhta.
“Perlu apanya tongkat,
Yang menguntung segelintir cuma,
Pribumi merempat,
Ah long tak dapat menambah gunung,
Hindraft tersekat menambah dewa...
Yang kaya,
Hanya dua tiga kerat pemimpin,
Rakyat jelata merana…”
Bagaimana kalau,
Kita lemparkan tongkat itu,
Kerana keparatnya pemimpin,
Kita janjikan,
Habuan untuk semua,
Siapa kuat dia dapat,
Yang pandai, memimpin,
Yang kaya, berkuasa,
Yang rajin, meraja.
Yang cemburu,
Itu rasis namanya.
Mana dia tuan Melayu
Yang pernah mengilap sepatu orang ?
Kalau ada yang sampai kemudian,
Jangan dibilang pendatang,
Itu Rasis namanya,
Langkah mundur,
Macam katak bawah tempurung.
Bagaimana dengan janji bersama,
Bernaung di bawah payung lama,
Balasan kepada yang memberi dan memberi.. ?
Ahh, Itu semua keputusan lama,
Apa perlu diikat sejarah,
Ia bukan bebanan,
Bagi yang lahir kemudian.
“Lihatlah Obama,
Terpilih bukan kerana kaumnya,
Bukan kerana pendatangnya,
Bukan juga Islamnya,
Tapi wibawa,
Kerana upaya,
Kita pun kena ikut begitu,
Sebab mereka kata begitu..”
Tangguhkan harammu,
Batalkan fatwamu,
Allah dalam Bible Melayu?
Peduli apa..
Banyak yang lebih besar,
Rasuah dua tiga kerat pemimpin,
Yang lain semuanya kecil belaka.
II
Anak babi membuak di jelapang?
Suburkan!
Hormati hak mereka,
Yang menghalang itu rasis,
Lagi besar rasuah dua tiga kerat pemimpin!.
Anak bumi kan dirampas tongkatnya?
Biarkan,
Biarkan ia berenang sendiri dilautan,
Biarkan malas membangunkan tubuh dari tidurnya !!
Bersimpang siur petunjuk pelbagai bahasa,
Apa salahnya ?
Selagi yang “baru datang” merasa syurga,
Yang menghalang itu rasis namanya.
Anakmu yang di ambang murtad,
Biarkan,
Itu hak mereka
Yang menghalang itu buta dunia
Anak muda sudah lain bicaranya..
III
Bangsaku,
Mamah lah daging saudaramu,
Leburkan arash sendimu,
Curahkan air dari tempayan
Sebab di langit nampak harapan,
Bukan rasis atau jumud,
Kelam pada warna,
Sama rata, sama rasa..
Tak kan ditanya lagi apa kaummu,
Tak kan ditanya lagi apa agamamu,
Bersainglah,
Kerna itu yang kau minta,
Termakan umpan,
“Keparat dua tiga pemimpin”,
Kau hilang segalanya,
Lebur dalam kegilaan permainan,
Orang gila,
Yang meruntun kuasa.
Wahai bangsaku,
Bangun dari utopia mu,
Jangan sampai keliru,
Melayu itu jasadmu,
Islam itu jiwamu,
Yang terjalin,
Dalam satu badan,
Yang berpisah tiada.
Usah bermain
Gelari bahaya,
Takhta tak kan kembali lagi
Kehilangan yang akan kau rasa,
Kerna tak pandai kau menguruskan,
Keparat dua tiga pemimpin itu.
Temanku,
Bukankah..
Tuhan tidak akan mengubah
Nasib sesuatu kaum,
Melainkan
Kaum itu yang mengubahnya..
Rasis kah itu ???
Fuad Hassan
Kuala Lumpur
7 Disember 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Dato' Fuad
Mainta izin untuk poskan puisi ini ke blog panggilan pertiwi di alamat http://panggilan-pertiwi.blogspot.com
Salam takzim - Ruhanie Ahmad
Dato' Ron,
Untuk saudara saya izinkan. Dah lihat puisi-puisi saudara. Rajinnya.. dan hebat.
Post a Comment